Sabtu, 23 April 2022

Biarlah Agamawan di Lembah Perdebatan Mereka

 

Biarlah para agamawan dengan debat mereka. Biarlah mereka berdebat antara mereka siapa yang paling sesat, siapa yang paling kuat, siapa yang paling tepat dan siapa yang paling hebat, biarkan mereka menentukan siapa antara mereka yang punya serban paling besar, janggut yang paling panjang dan jubah yang paling labuh. Itu bukan urusan kita.

Biarkan mereka bertikam lidah, biarkan mereka berlawan siapa yang paling fasih, siapa yang paling soleh. Biarlah mereka yang menentukan sesama mereka siapa yang paling sunnah, siapa wahabi, siapa sufi, siapa munafik, siapa fasiq, siapa kafir, siapa ke syurga, siapa ke neraka. Itu bukan urusan kita.

Biarlah para agamawan bersama kitab-kitab mereka, bersama nukilan kalam-kalam imam mereka bertempur di pentas debat. Biarlah mereka bergaduh perihal urusan yang telah digaduhi selama beribu-ribu abad. Biarlah mereka ulang debat yang sama. Biarkan mereka dengan keasyikan debat mereka semalam, hari ini, esok dan tahun depan. Biarlah mereka berdebat tentang tajuk debat, debat perihal tarikh debat, berdebat perihal apa yang nak didebat. Itu semua bukan urusan kita.

Kalau pun kita hendak mengintai, cukuplah kita mengintai sarkis debat itu umpama kita mengintai sarkis politikus. Ia adalah sarkis yang sama, cuma jubah dan kopiah yang berbeza.

Lalu apa urusan kita?

Urusan kita adalah meninggalkan agamawan. Urusan kita adalah berjumpa bersama teman dan keluarga menyambung silaturahim. Bermanis muka, bersembang, berbicara, berkongsi roti dan bergembira. Urusan kita adalah mengimarahkan Ramadhan dengan puasa, tilawah, dan solah. Urusan kita adalah membaca buku, menimba ilmu dan berbincang perihal bagaimana untuk membangunkan kehidupan, membangunkan masyarakat, membangunkan keluarga, dan membangunkan insan. Urusan kita adalah untuk berkasih sayang antara satu sama lain, bertoleransi dengan senyuman dalam menerima perbezaan. Urusan kita adalah membersihkan hati agar ia sejahtera.

Biarlah agamawan di satu lembah dan kita di lembah yang lain. 

Sabtu, 2 April 2022

Kerusi Kosong di Sebelah Sawah Padi


Tinggal kerusi itu sendiri,
sepi.

Di sebelah tepi,
seluas fatamorgana sawah padi.

Kerusi itu menunggu sebuah jiwa,
yang sudah pergi selamanya.

Kerusi itu setia menunggu, 
sejauh mana pun masa berlalu,
tetap di situ.

Kerusi itu menunggu.

Di tepi,
sawah padi,
yang kini berubah sepi.

Tidak sempat air mata dikesat,
takdir datang,
tidak sesat,
tidak lewat,
walaupun sesaat.

Meragut seorang ayah,
dari anak di sebuah Madinah.

Pintu bahagia sudah ditutup,
pintu kesedihan kini menyusup.

Masuk ke dalam hati,
yang kini sudah mati.

Seguni gula kini terasa tawar,
udara pagi tidak lagi terasa segar,
segala jenaka terasa hambar,
dikunci sedih tanpa keluar.

Hirisan takdir begitu dalam.
Tak terubat dek kalam.

Tiada lagi tawa-tawa yang lalu.
Yang tinggal hanyalah.


Rindu.

Psikologi Membaca: Buku di Paras Mata


Peranan buku di rumah dibincangkan oleh banyak orang. Antaranya dalam buku Freakonomics, yang mengkaji hubungan keberadaan buku di rumah dengan anak yang berjaya dalam pelajaran. Mereka membuat kesimpulan bahawa bukan buku itu yang memberi kesan magik kepada anak untuk berjaya, tetapi rumah yang ada banyak buku ini kebanyakannya mempunyai ibu bapa yang menjaga pendidikan anak-anak. Jadi jika seorang anak itu tidak berjaya atau tidak minat belajar, memasukkan satu tan buku ke dalam rumah tidak akan mengubah apa-apa jika ibubapa tidak mengambil berat tentang pelajaran anak-anak.

Tapi kali ini saya ingin merakamkan sudut lain dalam hal menyimpan buku di rumah. Sekadar rakaman pemerhatian dan perasaan peribadi. Bukan kajian yang emperikal, saya juga tidak ada apa-apa statistik untuk dibentangkan. 

Di rumah saya, ada dua bilik yang saya simpan buku-buku. Satu bilik tidur dan satu lagi bilik saya bekerja. Di kedua-dua bilik ini, buku diletakkan dalam rak di paras mata. Maksudnya mata terus boleh lihat buku ini ketika berdiri tanpa perlu mendongak atau menunduk. Masuk bilik sahaja terus nampak buku. Saya kira permandangan ini penting bagi saya. Setiap hari saya keluar masuk bilik saya nampak buku. Ia memberi kesan psikologi kepada saya. Pertamanya saya sering melihat sambil memerhatikan buku mana yang saya sudah baca, buku mana yang belum saya baca. Dari permandangan rak ini minda saya akan sentiasa berkira-kira, mana lagi banyak, buku yang sudah dibaca atau buku yang belum dibaca.

Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya sentiasa berfikir bahawa masih banyak buku yang belum saya baca. Ia seperti reminder buat saya apabila saya sudah lama tidak membaca, bahawa masih banyak buku yang saya hendak baca. Ada juga buku yang saya beli ketika saya bersemangat untuk mendalami sesebuah tajuk, namun setelah berlalu sekian lama, semangat itu pudar. Namun dengan melihatnya setiap hari, semangat yang pudar itu tidak terpadam. Sebaliknya ia hidup, umpama api lilin kecil di dalam hati yang meliuk-liuk. Menunggu masa yang sesuai untuk kembali membara.

Buku yang sentiasa tidak hilang dari pandangan saya setiap hari juga membuatkan saya sentiasa berfikir tentang kandungan buku. Buku-buku yang saya sudah baca menyebabkan saya sentiasa terkenang akan idea-ideanya apabila saya melihatnya setiap hari. Manakala buku-buku yang saya belum baca menyebabkan hati saya sentiasa tertanya-tanya, pemikiran dan idea apa yang bakal mereka sajikan buat saya. Oleh itu, walaupun ada kalanya saya menjadi malas membaca, dengan sentiasa melihat buku setiap hari, keinginan membaca buku tidak pernah hilang dari fikiran saya. Walaupun ia tidak menjadi fokus saya pada sesuatu ketika, ia sentiasa wujud dalam unconscious mind saya.

Melihat buku setiap hari juga menyebabkan saya lama kelamaan dapat menghafal dimana letak duduknya sebuah buku. Minda saya sudah dapat menghafal secara tidak sedar kedudukan sesuatu buku. Jika saya ingin merujuk buku-buku yang pernah saya baca, saya akan menjumpainya dengan mudah, kerana kedudukannya telah pun saya hafal. Ini juga bermakna, koleksi buku saya tidaklah begitu banyak, kerana ia boleh dihafal. Jika pustaka peribadi seseorang itu besar, mungkin untuk menghafal setiap letak duduk buku itu menjadi lebih sukar. Namun bukan mustahil!

Saya memang seorang pembaca yang perlahan. Bagi saya membaca ibarat mencicip sehirup kopi. Tidak boleh tergesa-gesa, nikmatnya itu perlu dirasai. Biar airnya masuk perlahan-lahan menyapa bibir, biar kehangatannya meresap di mulut, biar rasa pahitnya mekar di lidah, diikuti rasa manis dan juga rasa lemak-lemak susu. Begitu juga buku, idea yang sedap dan ranum itu perlu perlahan-lahan dicerna minda, difikir-fikirkan, ditulis dan dikembangkan. Barulah membaca itu menjadi satu kenikmatan intelektual. Bukan aktiviti yang gersang. Sebab saya membaca dengan perlahan, jadi koleksi buku dalam pustaka saya juga berkembang dengan perlahan. Tidak dilupakan orang-orang yang meminjam buku saya tapi belum dikembalikan, janganlah sekali-kali kalian ingat saya sudah lupa! Bagi saya, setiap buku yang saya beli dan baca adalah khazanah minda saya, jadi sentiasa akan saya simpan, dan ulang selak bila kerinduan intelektual sampai kepadanya.

Dengan melihat buku-buku setiap hari, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kita kesan psikologi, terutamanya dalam keadaan kita sedang malas membaca, atau pun saat kita terperangkap dalam reading slumps atau reader's block. Reading slumps ini merupakan keadaan yang menimpa orang yang suka membaca, namun ada ketika dia tidak dapat membaca, jika dipegang buku pun dia tidak dapat mengekalkan konsentrasi membaca. Ia memerlukan masa untuk pulih. Selain keluar bersiar-siar melihat alam, kembali ke rumah melihat-lihat buku pun akan mempercepatkan rasa ingin membaca itu datang semula.

Begitulah serba sedikit perkongsian saya perihal kesan menyusun buku di dalam rumah di paras mata. Letakkan buku di tempat-tempat di dalam rumah yang mana kita selalu lalui. Dengan sentiasa melihat buku-buku ini setiap hari, ia akan meninggalkan kesan di dalam minda, secara sedar atau tidak sedar, ia akan memberi kita motivasi untuk membaca, dan juga mengekalkan konsistensi kita dalam membaca seiring peningkatan usia. Selamat menyusun buku dan membaca!

Kembali Ke Zaman 60 Kilogram


Sebenarnya sudah lama saya berazam untuk mengurangkan berat badan. Tapi seperti biasa, saya tak ada perancangan atau keiltizaman. Sekadar azam tahun baharu yang tak tertunai seperti orang lain. Hinggalah saya melihat sebuah gambar saya sendiri pada satu hari, ketika membeli kopi, pada ketika itu berat badan saya sudah mencecah 78 kilogram. Doktor katakan pada saya ketika itu saya kini pre-obes.

Bertitik tolak dari situ saya mulakan langkah dengan konsisten. Pada mulanya saya tak ada langkah yang spesifik, hanya skip lunch, tak minum air manis dan kurangkan makan nasi dalam diet harian. Selepas 3 bulan saya berjaya turun dalam 6 kilogram. Selepas itu berat saya statik dan tidak turun. Saya mula buat pembacaan, kajian, dan mendengar pandangan pakar dan saintis untuk mengetahui cara yang lebih berkesan dalam menentukan diet dan menguruskan berat badan.

Antara pakar yang saya dengar adalah Giles Yeo yang merupakan seorang ahli genetik yang mengkaji tentang genetik obesiti, permakanan dan diet. Beliau menerangkan perbezaan antara tenaga yang dihasilkan dari makanan berasaskan protein, fiber dan karbohidrat. Menurut beliau, semua jenis ini mempunyai tenaga. Cuma tenaga yang dihasilkan dari karbohidrat, jika diambil berlebihan akan ditukarkan kepada lemak. Sedangkan tenaga dari protein tidak dapat disimpan, jika lebih ia akan dibuang oleh badan. Selepas itu saya tailor permakanan saya. Saya hampir langsung tidak makan karbohidrat (nasi) - saya namakan diet saya ini protein diet. Saya hanya makan protein, buah dan sayur. Melalui cara ini saya berjaya turun 2 kilogram. Namun selepas itu berat saya kembali statik dan tidak turun.

Saya kembali mengkaji. Antara yang saya jumpa juga dalam perjalanan saya kembali ke zaman 60 kilogram adalah peranan bersukan. Conventional wisdom kita mengatakan sukan hanya sumbang 30% dari penurunan berat, 70% adalah pemakanan. Ini disanggah oleh Ruben Meerman. Beliau bertanya sebuah soalan yang sangat signifikan, berat yang kita hilang itu bertukar menjadi apa? Jawapan beliau adalah kebanyakannya menjadi karbon dioksida. Sementara 20% bertukar menjadi air yang disingkirkan dari badan melalui peluh, air kencing, dan air mata. Ya, karbon dioksida mempunyai jisim dan sangat signifikan dalam penurunan berat badan, oleh itu sukan yang menyebabkan kita bernafas dengan lebih laju akan menyebabkan kita turun berat badan dengan lebih cepat.

Saya juga kemudian bertemu dengan intermittent fasting (IF). IF adalah teknik menurutkan berat badan dengan membiarkan badan kita berlapar lebih dari 18 jam. Kita hanya dibenarkan makan dalam window 6 jam, kemudian berpuasa dalam tempoh 18 jam. Namun dalam tempoh berpuasa, kita dibenarkan minum air kosong dan juga kopi dan teh tanpa gula. IF ini menggalakkan badan kita melakukan proses ketosis, dimana insulin sedia ada dalam badan kita habis digunakan, oleh itu badan kita mula mencairkan lemak-lemak yang ada bagi keperluan tenaga harian badan kita. Untuk sampai kepada ketosis, kita perlu berpuasa sekurang-kurangnya lebih dari 16 jam.

Jadi saya couple IF dengan senaman harian dan diet yang melebihkan protein dan fiber. Dengan cara ini berat badan dapat turun dengan lebih laju, kira-kira 1 kilogram seminggu. Melalui cara ini, saya turun lagi 2 kilogram, sekarang saya sudah mencapai 68 kilogram, dengan penurunan total sebanyak 10 kilogram. Namun melalui kiraan BMI, berat saya ini belum lagi dikira sebagai berat yang sihat dan masih dikira sebagai overweight. Berat badan sihat saya adalah sekitar 43 kilogram hingga 58 kilogram berdasarkan ketinggian. Jadi saya masih mempunyai baki 10 kilogram untuk sampai ke berat yang sihat. Target saya adalah 55 kilogram. Berjaya menurunkan 10 kilogram adalah pencapaian milestone pertama saya. Milestone kedua adalah menurunkan lagi 10 kilogram. Milestone terakhir adalah 3 kilogram.

Milestone 1: Turun 10 kilogram (dari 78 kepada 68) - berjaya
Milestone 2: Turun 10 kilogram (dari 68 kepada 58) - dalam proses
Milestone 3: Turun 3 kilogram (dari 58 kepada 55) - akan datang

Banyak lagi sebenarnya perkara-perkara yang saya lakukan, antaranya berhenti makan ultra-processed food dan menyediakan makanan sendiri. Ultra-processed food adalah makanan yang telah diproses secara industri, ia tidak boleh dihasilkan di dapur di rumah, dan ia telah berubah dengan drastik dari bentuk asalnya. Ia juga telah ditambah dengan perasa, perisa, pewarna, bahan awet dan pelbagai bahan lagi untuk meningkatkan tekstur dan kesedapan makanan. Jadi makanan seperti ini sangat berbeza dari segi isinya dari makanan asal (whole food). Sebagai contoh, potato chips dalam balang adalah untra-processed food, ia tidak sama dengan kentang yang kita beli dikedai. Lebih baik beli kentang dari makan potato chips atau french fries. Mengapa? Walaupun mempunyai jumlah kalori yang sama, badan kita lebih mudah menyerap kalori dari ultra-processed food kerana ia telah dipermudahkan dari segi isi dan bentuknya, oleh itu kita akan gemuk dengan lebih laju. Berbanding kalori yang sama dalam whole food, dimana badan kita perlu bekerja untuk mencerna bagi mendapatkan kalori untuk dijadikan tenaga, jadi penyerapannya lebih lama dan sedikit.

Kerja dari rumah juga banyak membantu saya mengubah cara hidup. Tanpa perlu ke tempat kerja dan menghabiskan 4 jam diatas jalan raya, masa ini boleh digunakan untuk bersenam dan menyediakan makanan yang sihat. Ia juga membantu saya untuk konsisten dengan cara permakanan sihat kerana ketiadaan kawan-kawan yang sering ajak saya makan di luar. Jika kita makan di luar, kita tidak dapat mengawal bentuk makanan, juga jumlah lemak, minyak, dan gula yang ada dalam makanan. Ia bergantung kepada tukang masak restoran. Jadi makan masakan sendiri di rumah lebih membantu kita mengawal berat badan.

Semua ini dan banyak lagi saya kongsikan bersama dalam episod Kultura Podcast Ke-31. Jika anda ingin mengikuti pengalaman saya turun 10 kilogram, dan mengetahui dengan lebih lanjut apa yang anda perlu lakukan untuk menurunkan berat badan, bolehlah bersama mendengar episod podcast tersebut..