Sebenarnya dah lama saya nak menulis sedikit perihal buku terbaharu saya bersama Cukong Press ini. Sejak saya memegang sendiri naskah yang baru keluar dari kilang yang diterima dari Ocha Vozvyshennyy di Taman Kosas pada penghujung Ramadhan 2022. Namun disebabkan pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup, ia beberapa kali tertangguh. Di kesempatan ini harapnya sempatlah saya menulis sedikit tentangnya. Jika anda pernah menulis buku, pasti anda faham perasaan menyambut buku baharu, sesetengah penulis menganggapnya persis perasaan seperti menyambut seorang "anak". Teruja.
Buku ini saya dedikasikan buat dua orang sahabat saya, Umar Muhajir bin Ghazali dan Muaz Mat Isa. Kedua-dua mereka merupakan teman baik saya. Kami bukan sahaja banyak berkongsi memori, kadang kala kami juga berkongsi rasa dan perasaan bersama. Banyak episod hidup saya yang bersilang dengan mereka. Namun apakah daya, takdir memetik mereka di usia yang sangat muda, walaupun sedih saya redha. Jadi saya dedikasikan buku ini sebagai ingatan penghargaan buat mereka.
Ucapan terima kasih juga saya ucapkan buat Dr. Akram Ghafar yang sudi mengukir sedikit pra-kata buat naskah ini. Semoga dengan tinta yang dicurahkan beliau akan memotivasikan saya untuk terus menulis lagi di masa hadapan.
Ramai teman-teman yang bertanya, ini buku yang ke berapa? Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. Kerana saya merasakan begitu sukar untuk mendefinisikan apa itu buku. Kerana ada tulisan saya yang terbit hanya dalam talian, adakah itu dikira sebagai buku? Jika tidak, ia sedikit bermasalah kerana ia mempunyai ISBN. Kemudian buku antologi yang saya tulis bersama dan dalam masa yang sama menjadi editor, adakah itu dikira sebagai buku saya? Juga ada buku puisi yang diterbitkan bersama. Adakah puisi itu tulisan atau perasaan? Ada juga buku yang sama dengan edisi yang berbeza, masing-masing ada ISBN tersendiri, jadi adakah ia dikira satu buku atau buku berbeza?
Sebenarnya saya sendiri pun tidak mengira berapa buku yang pernah saya terbitkan. Kerana saya kira kepuasan menulis adalah mengeluarkan idea, pandangan, isi hati dan perasaan, bukan mengira buku. Dalam masa yang sama penulisan juga merekod kisah kehidupan kita dan juga sejarah sekeliling kita. Itulah kepuasannya, meninggalkan butir-butir kata-kata untuk generasi seterusnya apabila kita sudah lagi tiada. Mungkin ia terbit sebagai buku, zine, antologi, blog, atau artikel atas talian, asalkan ia dapat dicapai oleh generasi seterusnya.
Seperti kebanyakan buku saya yang lain, buku ini merupakan koleksi penulisan, sejak tahun 2018 sehingga kini. Ia tidak ditulis dalam masa satu hari, satu minggu, atau satu tahun. Tetapi tidak semua tulisan saya terpilih untuk dimuatkan dalam naskah ini. Banyak juga tulisan yang tidak saya muatkan seperti pengalaman, catatan keluarga, puisi, ulasan buku, yang saya kira akan saya akan muatkan dalam naskah yang berasingan di masa hadapan.
Sebaliknya rencana yang dipilih untuk dimuatkan dalam naskah ini bersifat umum, esei-esei perihal politik dan demokrasi, ekonomi, dan falsafah. Saya kira skop ini pun sudah cukup besar untuk menjadi sebuah buku. Dalam menyusun tulisan untuk dimuatkan dalam buku ini, saya mendapati ia menampakkan perubahan corak saya berfikir. Sememangnya pemikiran itu sesuatu yang akan berubah dan perlu berubah. Perubahan ini mematangkan kita sebagai manusia dalam proses kita untuk cuba memahami dunia.
Semakin lama saya cuba membaca (tak la banyak mana pun membaca), menulis dan memahami. Saya merasakan dalam setiap perkara manusia selalu meletakkan satu idea di depan mereka. Kesetiaan pada idea ini menjadikan idea itu menjadi satu pemikiran yang memandu manusia dalam hidupnya dan disebut sebagai ideologi. Boleh jadi ia adalah ideologi perihal teologi, politik, ekonomi dan lain-lain. Namun hidup bukanlah idea, ia tidak rigid dan tekstual. Sebab itu Edward Said menulis dalam makalahnya akan bahaya jika manusia itu menjadi manusia yang textual (ditulis beliau sebagai "textual attitude"). Malah dalam sungai sejarah, sering kita melihat ideologi apabila digabungkan dengan kuasa dan rigidity melahirkan tragedi buat manusia.
Saya ingin membawakan naratif bahawa ideologi dan kebenaran itu dua benda yang berbeza. Orang sering beranggapan bahawa kita perlu kepada sesuatu ideologi untuk sampai kepada kebenaran. Saya pula memikirkan bahawa kita perlu terus bersama kebenaran tanpa perlu (atau mungkin lebih tepat, tidak semestinya) melalui jambatan ideologi. Dalam kata lain, apa yang benar itulah yang perlu kita pegang, walaupun ia di luar ideologi yang kita cenderungi. Dalam kata lain, ideologi kita adalah "kebenaran". Mana yang benar itulah ideologi kita. Bukan kiri, kanan, depan atau belakang. Saya harap buku ini dapatlah menjelaskan pandangan saya ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan