Isnin, 27 Mac 2023

Kepentingan Keadilan Dalam Pemerintahan

 


Alhamdulillah, disela-sela bulan Ramadhan ini, selain mengisi masa dengan ibadah dan membaca Al-Qur'an. Sempat menelaah sedikit buku terbaru terbitan The Biblio Press yang saya kira merupakan naskah yang sangat baik untuk ditekuni.

Naskah ini merupakan terjemahan Muhammad Yusra Hulaimi kepada buku tulisan Imam Ghazali yang bertajuk al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk (Saduran Emas Sebagai Nasihat Buat Para Pemerintah). Bagi saya kerja-kerja penterjemahan ini merupakan kerja-kerja penting dalam menyuburkan keilmuan di Malaysia. Kerana tidak semua warga kita mempunyai keupayaan untuk membaca khazanah ilmu dalam bahasa asal mereka. 

Saya dapati terjemahan saudara Yusra sangat baik, bahasanya tidak kekok atau kedengaran literal. Seperti yang dikatakan Franz Rosenthal (penterjemah buku Ibnu Khaldun, Muqaddimah), terjemahan yang tidak bersifat literal mudah difahami namun mempunyai risiko mengubah makna asal, bahasa moden mungkin memberi makna yang tidak pernah difikirkan oleh penulis asal. Tetapi bagi saya terjemahan literal akan menyusahkan pembaca, oleh itu saya secara peribadi merasakan terjemahan kepada laras bahasa moden adalah yang terbaik. Literal atau tidak, dalam penterjemahan, sebenarnya every translation is an interpretation. Ini tidak dapat dielakkan. 

Bahagian yang paling saya suka dalam naskhah ini adalah ketika Imam Ghazali membahaskan persoalan keadilan. Bagi beliau, sekalipun pemerintah itu kufur, jika dia mampu berlaku adil kepada orang yang diperintah, kerajaannya akan kekal. Sebaliknya jika dia beriman, jika dia tidak berlaku adil, ia akan musnah. Kezaliman adalah sesuatu yang tidak stabil.

Beliau memberi contoh pemerintahan adil oleh penganut Majusi yang dapat bertahan selama 4 ribu tahun hasil dari keadilan dan kesaksamaan yang mereka berikan. Memberi hak yang selayaknya kepada warganya. Hingga ada riwayat yang mengatakan bahawa Allah mewahyukan kepada Nabi Dawud agar tidak mencela raja-raja Parsi kerana mereka mentadbir dunia dengan cemerlang.

Saya kira sisi-sisi keadilan seperti ini wajar diketengahkan dan relevan hingga ke hari ini. Dalam kita mengukur kebaikan pemerintah, skala yang perlu digunakan adalah skala keadilan. Jika pemerintah itu berlaku adil, wajarlah kita taati, jika tidak, wajarlah kita tukar ganti. Wallahualam.

Tahniah diucapkan pada penerbit dan penterjemah, moga banyak lagi khazanah-khazanah ilmu diterjemahkan bagi mengayakan lagi pemikiran warga dan bangsa dalam negara ini.

Buku ini boleh didapatkan disini.

Sabtu, 18 Mac 2023

Mampukah AI Menulis Seperti Manusia? Tidak.


Lama rasanya saya tidak mencari masa bersendirian malam-malam menulis renungan. Mungkin zaman saya mempunyai banyak masa sudah berlalu, zaman kini adalah zaman saya dihimpit kesibukan, masa untuk mencuri-curi ruang untuk termenung dan berfikir sangat terhad. Pasti ada sahaja kerja lain yang menuntut masa, dan tenaga juga tidak seperti dahulu, saya tidak mampu lagi menaip begitu lama hingga ke larut pagi.

Malam ini saya mahu mencuba nasib dan menulis renungan perihal penulisan. Seperti membaca, jika seseorang itu konsisten menulis, penulisannya akan berevolusi. Corak kita menulis, cara kita menulis, akan berubah, dan kadang kala ia bukan sahaja dipengaruhi pemikiran kita, tetapi dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Sebab itu Carr dalam bukunya What is History? menulis bahawa untuk memahami sesebuah penulisan, seorang pembaca bukan sahaja perlu mengenali penulis, dia juga perlu mengenali zaman ketika penulis itu menulis, kerana kita semua adalah produk latar sosial kita.

Kadang-kadang, ada juga orang yang bertanya, katanya mahu menulis tapi tidak tahu mahu menulis apa. Bagi saya soalan ini sukar dijawab. Kerana setiap penulis mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Jika penulis itu mahu menjual hasil penulisannya, maka untuk mengetahui apa yang perlu ditulis, dia perlu memahami kehendak masyarakatnya. Jika masyarakatnya gemar akan artis Korea, maka dia perlu membuat kajian tentang itu dan menulis perihalnya. Jika masyarakatnya suka healing, maka untuk menjual dia perlu menulis penulisan yang menjerumus ke arah itu.

Namun saya secara peribadi tidak menggemari penulisan seperti ini, kerana ia tidak membebaskan penulis. Sebaliknya penulis digari dengan kehendak masyarakat. Saya lebih suka menulis apa yang saya mahu tulis. Cuma, risikonya adalah ia mungkin tidak diminati sesiapa. Tetapi bagi saya itu lebih memuaskan hati dan membahagiakan. Saya tidak bahagia jika orang menyukai penulisan saya tetapi jauh dalam lubuk hati saya, saya tidak berminat akan hal tersebut. Saya tidak mampu menipu diri sendiri.

Jika seseorang itu mahu menulis untuk kepuasan dirinya, saya akan menasihatinya untuk menulis tentang apa yang dirasakan penting dalam hidupnya. Jika dia merasakan keluarga adalah penting, maka tulislah hal keluarga, jika dirasakan pemikiran penting, tulislah hal pemikiran. Hidup ini sangat singkat, masa yang kita ada begitu terhad. Menulis hal-hal yang tidak penting bagi diri kita akan membazirkan banyak masa. Kita seharusnya menumpukan perhatian pada perkara yang kita rasa penting, kita rasa berharga, meski pun ia tidak diminati sesiapa. Kerana bagi saya, pada ketika itulah penulisan sebenar akan lahir, kita akan mengerahkan minda kita untuk merakam sebaiknya apa yang kita rasakan berharga.

Jika tidak, tulisan yang dihasilkan adalah sekadar halai balai. Kita dapat lihat sebagai contoh penulisan assignment di universiti. Ketika pelajar dipaksa menulis sesuatu yang dia sendiri tidak minati, hasilnya caca merba, sekadar mahu lulus, ia adalah penulisan yang tidak mempunyai jiwa. Pensyarah yang terpaksa memeriksa karangan mereka pun akhirnya sakit jiwa.

Menulis bagi saya adalah seni yang tersendiri. Dari satu sudut, ia adalah seni untuk mengenali diri. Dengan menulis kita dapat mengenali pemikiran kita, ini tidak dapat dilakukan jika ia adalah proses yang terpaksa. Proses yang terpaksa akan melahirkan karya yang terpaksa, karya yang terpaksa tidak akan dapat menyentuh jiwa.

Sebab itu saya berpegang bahawa menulis merupakan kelebihan manusia, meski pun kini lahir teknologi-teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang mampu memanipulasi bahasa, ia tetap tidak sama dengan manusia. AI mungkin bijak tetapi ia tidak mempunyai jiwa, perasaan, dan tidak punya kesedaran, secanggih manapun, ia hanya mampu belajar dari apa yang telah dihasilkan manusia. Sebaliknya manusia mampu menghasilkan perkara baharu tanpa arahan, tanpa dipandu, manusia dapat merasa perkara di luar pancaindera. AI mungkin boleh menghasilkan sesuatu dari data, tetapi ia tidak dapat menghasilkan sesuatu dari perasaan, ia tidak boleh merasa sepi di malam hari dan mengarang puisi sendiri.

Semasa zaman robotik bermula dahulu, kita sering didendangkan bahawa robot bakal mengambil alih kerja-kerja perkilangan, hari ini kilang-kilang masih punya pekerja. Mungkin kerjanya berbeza, namun ia tidak menghilangkan, sekadar menyenangkan. Saya kira begitulah juga peranan AI dalam penulisan.

Berbalik kepada topik asal, sebelum saya terbabas dalam AI, saya merasakan penulisan merupakan satu seni ekspresi, oleh itu ia tidak boleh dihasilkan dengan baik jika niatnya tidak benar. Dan bagi saya, dalam evolusi penulisan, semakin lama, apa yang saya hargai sebagai benar adalah kebebasan. Menulis dan merakam apa yang saya rasakan dekat dan penting.

Dengan konsisten menulis juga, kita sebenarnya dapat memerhatikan evolusi penulisan kita. Banyak penulisan-penulisan awal saya yang saya rasakan tidak cukup matang dan ranum, tapi sekali pun tidak pernah saya padamkan, kerana ia merupakan sejarah penulisan saya, tanpanya saya tidak dapat melihat perkembangan. Dengan menyimpan penulisan kita yang buruk, kita akan menyedari bahawa kita sebenarnya sedang berubah. Penulisan kita berubah, pemikiran kita berubah.

Ada yang mengatakan bahawa jika seseorang itu berubah dia tidak konsisten. Saya pula akan mengatakan bahawa jika seseorang itu tidak berubah, dia tidak pernah belajar apa-apa dalam hidupnya. Dia tidak lebih dari seketul batu. Kebolehan seseorang untuk berubah menandakan kebolehannya untuk belajar. Maka itulah manusia, makhluk yang belajar.

Ahad, 5 Mac 2023

Catatan Baitul Muslim 61: Menjawab Soalan Anak-Anak


Sekitar cuti sambutan tahun baru cina, pada awal tahun 2023, aku sempat bertemu dan bersembang bersama seorang sahabat lama, Musthoffa Syawwal. Selepas bermain bola bersama, kami singgah makan di Bertam. Lewat malam tersebut kami bersembang tentang banyak perkara, dari lewat malam, kami bersembang hinggalah awal pagi. Walaupun penat dan mengantuk, aku merasakan ia adalah satu diskusi yang bermakna dan menyegarkan. Antara yang kami sembangkan adalah perihal bagaimana untuk mengembangkan pemikiran anak-anak.

Anak-anak ini apabila mereka berjaya menggunakan lidah dan mula bertutur, dia akan mula bertanya macam-macam. Kadangkala soalannya berulang-ulang, banyak ketika juga soalannya tidak masuk akal. Ibubapa yang tidak sabar dan berhati-hati mungkin akan menjawab soalan anak-anak itu bukan untuk membuatkan mereka berfikir, tetapi untuk membuatkan mereka berhenti bertanya kerana mereka berasa rimas. Aku sendiri membuat kesalahan ini dan sering kali menyesali perbuatanku itu.

Musthoffa yang mengusahakan bisnes farmasi membuat pemerhatian bahawa untuk generasi baharu mengharungi cabaran kehidupan, mereka perlu mempunyai kemampuan berfikir yang baik. mempunyai kecerdikan bersosial, menyelesaikan masalah secara kendiri, dan mempunyai kemahiran logik dalam memahami persekitaran mereka. Ya, sangat banyak perkara yang perlu mereka kuasai, dan semestinya ia tidak dapat dikecapi semuanya hanya dengan membaca, ia adalah tugas sukar kerana mereka akan mewarisi dunia yang berbeza dari dunia yang dihidupi oleh ibubapa mereka. Sebab itu aku merasakan bahawa yang lebih penting adalah mereka belajar untuk belajar. Kemampuan mereka untuk belajar benda yang baru akan menyebabkan mereka relevan dengan zaman yang akan datang. Jika mereka mampu belajar benda baru, mereka akan dapat melansungkan hidup dengan cabaran baharu pada masa akan datang. Oleh itu, hadiah kita pada anak-anak yang paling penting adalah membuatkan mereka jatuh cinta untuk belajar dan terus belajar. Untuk itu, kita perlu sabar menjawab semua soalan mereka.

Quam minimum credula postero, carpe diem


Pada 24-25 Februari 2023,saya sempat bersama sahabat-sahabat menziarahi komuniti orang asli di RPS Air Banun, Grik, Perak. Bagi saya, ia merupakan satu pengalaman yang menggembirakan, menyedihkan, membahagiakan, menenangkan, dan memenatkan. Kata orang putih, mixed feelings. Kami bertolak awal pagi sebelum subuh, dan tiba di perkampungan orang asli pada jam 9 pagi. Setibanya kami ke kampung, anak-anak orang asli mula mengekori dan mengintai-ngintai kami, namun mungkin kerana muka tidak familiar, mereka masih segan bertegur sapa. Kami memunggah barang di Surau Kampung Sungai Raba.

Selesai memunggah, kami meratakan badan ke lantai surau, bersembang-sembang santai, berehat kemudian terlelap. Aku terlelap sebentar sebelum terbangun. Dari celah-celah pagar surau aku melihat anak-anak orang asli yang bermain-main di bawah pokok. Riuh rendah, seronok. Mereka bermain tanpa merisaukan apa-apa esok, mereka gembira untuk hari ini. Aku teringat puisi Horace:

"Quam minimum credula postero, carpe diem"

Kata Horace, jangan percayakan hari esok, sebaliknya hiduplah sehidupnya hari ini. Melihat telatah, anak-anak yang comel-comel di dalam hutan ini memang membahagiakan. Riang mereka bermain dengan alam, tanpa risau perihal semalam atau hari ini. Pada mulanya, mereka malu-malu dengan kami. Sedang kami bermalas-malas di anjung surau, ada suara yang menjerit dari dapur.

"Hoi, mari minum!" jerit Ustaz Bahari. Beliau membancuh Kopi-O di dalam dapur surau yang diuruskan oleh Kak Ton. Ustaz Bahari merupakan pegawai agama yang menguruskan hal ehwal orang Islam di kampung ini, selepas Jumaat disediakan jamuan makan untuk orang kampung. Ketika kami sedang berbual, datang Cheknelek, Tok Batin kampung. Antara pesan Ustaz Bahari yang aku ingati adalah perlu untuk kita bermesra dengan orang asli, perlu berkawan untuk mendidik mereka. Solat Jumaat hari itu dikhatibkan oleh Shariman, siswa dari UniSHAMS. Selesai solat, kami makan bersama orang asli, aku duduk bersama anak-anak mereka dan bersembang. Seorang namanya Ilham, cucu Kak Ton, seorang lagi Azizi. Masa makan ini mereka mula mesra denganku. Benarlah kata pujangga "beberapa putik bicara dapat menghilangkan prasangka". Selepas makan, kami tolong Kak Eton basuh semua pinggan, periuk, dan peralatan memasak. Makanan yang paling aku suka adalah sambal hijau, sambal yang ditumbuk bersama ikan bilis. Fuhh.

Petang itu kami pergi jungle trekking, bersama dua orang asli yang menjadi penunjuk jalan, Tambon dan juga Nurjoal. Namun perjalanannya tidak jauh, berjalan sekitar 30 minit sebelum turun ke sebuah lata. Di situ terdapat batu yang seperti telah ditarah menjadi bentuk bulat seperti sebuah kolam buatan, ditengah-tengahnya turun air terjun deras. Nampak seperti "ditarah", tetapi aku merasakan ia adalah proses semula jadi selepas jutaan tahun. Batu-batu besar ini membentuk strukturnya yang tersendiri. Aku mula pening-pening lalat semasa disini. Sebenarnya aku memang tidak sihat semasa datang ke sini, aku bawa bersama ubat selsema, panadol, dan antibiotik. Sepanjang di sana, aku tetap juga makan ubat walaupun tidak konsisten mengikuti masa.

Sebelah malam, selepas maghrib, kami melakukan sedikit program bersama anak-anak orang asli di surau. Rakan siswa dari UniShams, Muaz, Muta'ali, Hafizuddin, dan Shariman bercerita tentang sirah. Bertanya soalan kuiz, dan juga bernasyid bersama mereka. Aku pula mendengar mereka membaca Surah Al-Fatihah. Malam itu, kami bertambah mesra bersama anak-anak orang asli. Mereka juga mula mengajar aku bahasa Jahai. Antara Yang aku belajar:

sabim hadiah = banyak hadiah

nama yek = nama saya?

nama pai? = nama awak?

jom pergi tom = jom pergi sungai, air juga disebut sebagai "tom".

ot = anjing

mit utun melo = mata awak coklat

kecii = hitam

gey = makan

behik = kenyang

cerok = lapar

Kebanyakan suku disini adalah Jahai, namun ada juga yang berkahwin campur dengan suku lain seperti Temiar. Malam itu aku tidur awal kerana kepenatan dan juga kepala yang tak berapa sihat. Pada keesokan harinya, Politeknik Seberang Jaya mengadakan aktiviti bersama anak-anak orang asli. Pagi itu, Pakcik Abdul Halim dan Pakcik Yusman sampai. Jadi aku membantu mereka membersihkan kebun limau. Penat juga mesin rumput di kebun, lenguhnya terasa selama 4 hari. Buah limau di kebun sudah mula kelihatan, namun buahnya tidak banyak kerana pokok tidak di trim. Jadi Pakcik Yusman ajar orang asli trim pokok, dan Pakcik Abdul Halim membantu harvest serai untuk dicari pasarannya di sekitar Pulau Pinang. Selain beraktiviti bersama anak-anak, membantu membersihkan kebun-kebun yang diusahakan, aku juga menyampaikan sedikit bantuan makanan dan juga beberapa barangan keperluan kepada keluarga-keluarga di sana. Pada tengahari itu, orang asli telah membuat persembahan Yakpengloi Siwang Jahai, iaitu persembahan nyanyian dan tarian dengan muzik dari ketukan buluh.

Selepas makan tengahari dan solat zohor, kami bertolak pulang. Pengalaman yang berharga ini membuatkan aku sendiri banyak berfikir, dan termenung perihal hidup. Perihal bagaimana manusia hidup dengan begitu berbeza sekali walaupun mereka berada dalam negara yang sama. Jika diberikan kesempatan, usia, dan kekuatan. Insha'Allah akan ketemu lagi dengan anak-anak comel ini beserta dengan manusia-manusia hebat seperti mereka ini. Gambar-gambar di sana, aku simpan di muka buku.