Pada 24-25 Februari 2023,saya sempat bersama sahabat-sahabat menziarahi komuniti orang asli di RPS Air Banun, Grik, Perak. Bagi saya, ia merupakan satu pengalaman yang menggembirakan, menyedihkan, membahagiakan, menenangkan, dan memenatkan. Kata orang putih, mixed feelings. Kami bertolak awal pagi sebelum subuh, dan tiba di perkampungan orang asli pada jam 9 pagi. Setibanya kami ke kampung, anak-anak orang asli mula mengekori dan mengintai-ngintai kami, namun mungkin kerana muka tidak familiar, mereka masih segan bertegur sapa. Kami memunggah barang di Surau Kampung Sungai Raba.
Selesai memunggah, kami meratakan badan ke lantai surau, bersembang-sembang santai, berehat kemudian terlelap. Aku terlelap sebentar sebelum terbangun. Dari celah-celah pagar surau aku melihat anak-anak orang asli yang bermain-main di bawah pokok. Riuh rendah, seronok. Mereka bermain tanpa merisaukan apa-apa esok, mereka gembira untuk hari ini. Aku teringat puisi Horace:
"Quam minimum credula postero, carpe diem"
Kata Horace, jangan percayakan hari esok, sebaliknya hiduplah sehidupnya hari ini. Melihat telatah, anak-anak yang comel-comel di dalam hutan ini memang membahagiakan. Riang mereka bermain dengan alam, tanpa risau perihal semalam atau hari ini. Pada mulanya, mereka malu-malu dengan kami. Sedang kami bermalas-malas di anjung surau, ada suara yang menjerit dari dapur.
"Hoi, mari minum!" jerit Ustaz Bahari. Beliau membancuh Kopi-O di dalam dapur surau yang diuruskan oleh Kak Ton. Ustaz Bahari merupakan pegawai agama yang menguruskan hal ehwal orang Islam di kampung ini, selepas Jumaat disediakan jamuan makan untuk orang kampung. Ketika kami sedang berbual, datang Cheknelek, Tok Batin kampung. Antara pesan Ustaz Bahari yang aku ingati adalah perlu untuk kita bermesra dengan orang asli, perlu berkawan untuk mendidik mereka. Solat Jumaat hari itu dikhatibkan oleh Shariman, siswa dari UniSHAMS. Selesai solat, kami makan bersama orang asli, aku duduk bersama anak-anak mereka dan bersembang. Seorang namanya Ilham, cucu Kak Ton, seorang lagi Azizi. Masa makan ini mereka mula mesra denganku. Benarlah kata pujangga "beberapa putik bicara dapat menghilangkan prasangka". Selepas makan, kami tolong Kak Eton basuh semua pinggan, periuk, dan peralatan memasak. Makanan yang paling aku suka adalah sambal hijau, sambal yang ditumbuk bersama ikan bilis. Fuhh.
Petang itu kami pergi jungle trekking, bersama dua orang asli yang menjadi penunjuk jalan, Tambon dan juga Nurjoal. Namun perjalanannya tidak jauh, berjalan sekitar 30 minit sebelum turun ke sebuah lata. Di situ terdapat batu yang seperti telah ditarah menjadi bentuk bulat seperti sebuah kolam buatan, ditengah-tengahnya turun air terjun deras. Nampak seperti "ditarah", tetapi aku merasakan ia adalah proses semula jadi selepas jutaan tahun. Batu-batu besar ini membentuk strukturnya yang tersendiri. Aku mula pening-pening lalat semasa disini. Sebenarnya aku memang tidak sihat semasa datang ke sini, aku bawa bersama ubat selsema, panadol, dan antibiotik. Sepanjang di sana, aku tetap juga makan ubat walaupun tidak konsisten mengikuti masa.
Sebelah malam, selepas maghrib, kami melakukan sedikit program bersama anak-anak orang asli di surau. Rakan siswa dari UniShams, Muaz, Muta'ali, Hafizuddin, dan Shariman bercerita tentang sirah. Bertanya soalan kuiz, dan juga bernasyid bersama mereka. Aku pula mendengar mereka membaca Surah Al-Fatihah. Malam itu, kami bertambah mesra bersama anak-anak orang asli. Mereka juga mula mengajar aku bahasa Jahai. Antara Yang aku belajar:
sabim hadiah = banyak hadiah
nama yek = nama saya?
nama pai? = nama awak?
jom pergi tom = jom pergi sungai, air juga disebut sebagai "tom".
ot = anjing
mit utun melo = mata awak coklat
kecii = hitam
gey = makan
behik = kenyang
cerok = lapar
Kebanyakan suku disini adalah Jahai, namun ada juga yang berkahwin campur dengan suku lain seperti Temiar. Malam itu aku tidur awal kerana kepenatan dan juga kepala yang tak berapa sihat. Pada keesokan harinya, Politeknik Seberang Jaya mengadakan aktiviti bersama anak-anak orang asli. Pagi itu, Pakcik Abdul Halim dan Pakcik Yusman sampai. Jadi aku membantu mereka membersihkan kebun limau. Penat juga mesin rumput di kebun, lenguhnya terasa selama 4 hari. Buah limau di kebun sudah mula kelihatan, namun buahnya tidak banyak kerana pokok tidak di trim. Jadi Pakcik Yusman ajar orang asli trim pokok, dan Pakcik Abdul Halim membantu harvest serai untuk dicari pasarannya di sekitar Pulau Pinang. Selain beraktiviti bersama anak-anak, membantu membersihkan kebun-kebun yang diusahakan, aku juga menyampaikan sedikit bantuan makanan dan juga beberapa barangan keperluan kepada keluarga-keluarga di sana. Pada tengahari itu, orang asli telah membuat persembahan Yakpengloi Siwang Jahai, iaitu persembahan nyanyian dan tarian dengan muzik dari ketukan buluh.
Selepas makan tengahari dan solat zohor, kami bertolak pulang. Pengalaman yang berharga ini membuatkan aku sendiri banyak berfikir, dan termenung perihal hidup. Perihal bagaimana manusia hidup dengan begitu berbeza sekali walaupun mereka berada dalam negara yang sama. Jika diberikan kesempatan, usia, dan kekuatan. Insha'Allah akan ketemu lagi dengan anak-anak comel ini beserta dengan manusia-manusia hebat seperti mereka ini. Gambar-gambar di sana, aku simpan di muka buku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan