Sabtu, 17 Februari 2024

Catatan Baitul Muslim 69: Pekerjaan Yang Tiada Rehat


Berbeza dengan kerja kita di pejabat, selepas lapan jam, kita dibenarkan untuk pulang ke rumah dan berehat, namun tugas menjadi ibu bapa adalah tugas yang berterusan, bermula anak itu lahir hinggalah mereka dewasa. Kita tidak boleh berhenti selepas lapan jam. Sebab itu saya merasakan bahawa ibu bapa itu memerlukan perhentian-perhentian, untuk mendengar peringatan dan memperbaharui tenaga mereka untuk melaksanakan tugas ini. Salah satunya adalah dengan menyertai forum, diskusi, wacana, dan perkongsian pengalaman berkenaan dengan tugas keibubapaan. 

Sebenarnya tugas mendidik anak itu bermula dengan memilih pasangan. Ini adalah satu fakta yang tidak dapat dilarikan lagi. Pasangan yang dipilih mestilah mempunyai tujuan yang sama perihal pendidikan anak-anak. Jika dari awal lagi pasangan mempunyai tujuan yang berbeza, anak yang dilahirkan akan mengharungi fasa pendidikan yang mengelirukan. Dari rumah-rumah yang keliru ini, akan lahirlah generasi yang keliru, yang menyumbang kepada masalah-masalah masyarakat. Lebih menyedihkan, jika anak-anak tidak dididik dengan satu didikan Islam yang baik, maka produknya adalah produk yang keliru sesuai dengan kekeliruan masyarakat yang ada. Seharusnya ada satu keiltizaman pada ibubapa untuk melahirkan generasi Al-Qur'an, namun ini tidak akan berlaku jika ibubapa itu sendiri tidak membaca Al-Qur'an tetapi memaksa anak-anak mereka membaca Al-Qur'an.

Dalam kita mendidik anak-anak pada hari ini, kita juga harus sedar akan perbezaan generasi. Generasi kita mungkin boleh dikatakan generasi 'imigran' kepada dunia digital dan virtual, tetapi generasi anak-anak kita, mereka adalah digital native, generasi peribumi kepada alam virtual dan digital. Maka pendekatan kita perlulah pendekatan yang berada di tengah, kita tidak boleh memisahkan mereka dari dunia mereka, tapi dalam masa yang sama kita tidak boleh melepaskan mereka tanpa kawalan dan perancangan. Mereka mestilah masuk ke alam digital ini dengan pengetahuan yang baik, tentang kebaikan dan keburukannya, agar mereka tidak terdedah kepada perkara-perkara yang berbahaya.

Dunia digital juga memberi mereka akses kepada informasi yang tidak terfikir oleh generasi sebelumnya. Oleh sebab itu, metodologi kita adalah harus mengarahkan mereka ke arah maklumat yang betul. Bukan menghalang mereka sepenuhnya. Mereka akan sentiasa mencari, jika kita menghalang dan bukan membantu mengarah mereka, mereka akan mencari dari sumber-sumber yang salah. Hasil dari pendedahan kepada dunia digital ini juga mempunyai kesan kepada psikologi generasi yang terhasil, mereka pasti akan mempunyai cara fikir yang berbeza dari generasi kita. Di sudut ini ada positifnya dan ada juga negatifnya. Contohnya, mereka mungkin akan lebih cenderung mahukan hasil yang segera, kerana dunia digital yang serba pantas, di sini mungkin menjadi keperluan kepada ibu bapa untuk menerangkan bahawa, tidak semua apa yang mereka lihat di dalam skrin itu benar dan dapat dicapai dengan pantas. Mereka perlu diajar perbezaan antara "content" yang dilihat di media sosial dan realiti.

Kita juga perlu sedar bahawa syarikat-syarikat yang menguasai online platform sedang merebut masa anak-anak kita. Jika kita tidak menyedari akan hal ini, besar kemungkinan, anak-anak kita akan menghabiskan masa membesar mereka lebih banyak dengan skrin dari ibu bapa. Lebih malang, jika skrin yang akhirnya menjadi ibu bapa mereka. Di sini lahir keperluan kepada kita untuk mengawal dan mempelbagaikan aktiviti mereka. Memastikan mereka mempunyai kemahiran digital, dalam masa yang sama mampu berfungsi sebagai manusia normal di alam realiti.

Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan anak-anak lebih banyak tanggungjawab dalam melakukan kerja-kerja rumah. Sekiranya mereka sudah boleh menyidai baju, maka libatkan mereka dengan aktiviti menyidai baju. Jika mereka sudah boleh mengemas bilik, jadikan ia sebagai tugasan harian. Jangan memarahi mereka jika mereka tersalah buat pada peringkat awal kerana ini akan mematikan semangat mereka. Sebaliknya beri galakan untuk mereka memperbaiki kerja-kerja mereka.

Menjadi ibubapa tidak boleh dimulakan dengan dasar "tidak sengaja". Sebaliknya ia memerlukan ilmu. Ilmu ini sebahagiannya adalah melalui pembacaan dan juga kursus. Sebahagiannya melalui perkongsian pengalaman dengan ibu bapa lain. Sebahagian besarnya adalah melalui pengalaman sendiri apabila menjadi ibu bapa. Setiap anak itu berbeza, maka tiada sebenarnya cara yang benar-benar ideal, ia perlu disesuaikan kepada setiap anak-anak. Yang ada hanyalah kaedah-kaedah umum. Kaedah-kaedah ini boleh kita dapati dari kisah-kisah penuh pengajaran di dalam Al-Qur'an dan juga model keluarga yang ditunjukkan oleh Rasulullah. 

Cabaran pendidikan ini berbeza di zaman baharu ini, ia memerlukan usaha dan satu kesungguhan. Zaman ini juga merupakan satu zaman yang kompleks, oleh itu kita sentiasa perlu mengemaskini ilmu yang kita ada. Kita juga perlu sedar, ada ketika kita tidak mampu mendidik keseluruhan anak-anak kita, ada ruang yang perlu diberikan kepada orang lain. Kepada guru, saudara mara, kawan-kawan, oleh itu kita juga perlu memberi mereka suasana yang boleh mendidik mereka di luar lingkungan kita. Akhir sekali, kita hendaklah sedar, bahawa ilmu sahaja tidak mencukupi, pendidikan ini memerlukan tarbiyah yang mendidik karakter, yang mendidik hingga ke tahap "rasa", bukan sekadar tahu. Dengan tarbiyah yang sempurna inilah anak-anak kita berkemungkinan menjadi sebahagian dari generasi yang lebih baik.

Penulisan ini adalah olahan dari nota dari sebuah perkongsian keibubapaan yang disampaikan oleh Cikgu Azmi Bahari dan Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff dalam Program Keibubapaan & Aulad Banat di Sekolah Rendah Ummi (Seru), Alor Setar, Kedah pada 09 Februari 2024.

Tiada ulasan: