Selasa, 19 November 2024

"Kau ni tulis banyak sangat buku"


Kadang-kala kalau saya berjumpa dengan kawan-kawan, ada juga yang bergurau dan berkata yang saya tulis banyak sangat buku. Ada yang kata "kau ni tulis buku macam buat goreng pisang". Sebenarnya susah juga proses menulis buku. Kebanyakannya ditulis bertahun-tahun, disimpan, diperam, bila sudah ada keyakinan diri, baru diperbaiki, disusun, diasah, dan dikeluarkan. Tetapi orang tidak nampak proses bertahun-tahun ini, proses duduk membaca, proses membuat carian maklumat, proses cuba memahami sesuatu idea dan konsep, semua proses ini sebenarnya lebih lama dari proses membuat goreng pisang. Tetapi semua proses ini terhijab sebab ia tidak dizahirkan. Kalau asyik memberi tahu orang kita sedang menulis buku mungkin nampak seperti menunjuk-nunjuk, dan tidak begitu manis dan bertatasusila. Kebiasaannya, apabila semua proses ini sudah siap dan manuskrip sudah diserahkan kepada penerbit, barulah kita akan beri tahu orang dan buat hebahan.

Tapi kadang-kadang hati ini berbolak-balik, ada kalanya saya rasa betul juga, kadang saya fikir juga. Mungkin sudah sampai masa saya berhenti menulis dan sudah cukup dengan buku-buku yang ada setakat ini. Banyak-banyak buku, bukan ada orang yang akan baca kesemuanya. Mungkin saya patut berhenti dan cari hobi lain. Antara hobi yang saya pertimbangkan mungkin mahu pergi gym dan besarkan muscle lengan, atau pergi mengembara secara solo di pergunungan di Tibet atau pergunungan di Hindu Kush.

Namun, pada satu hari, saya terdengar sebuah podcast oleh Dr. Roy Casagranda bersama Daizy Gedeon, beliau menceritakan bagaimana Ibnu Haitam menulis 130 buah buku semasa hayatnya. Dahsyat juga, sebab zaman dahulu bukan macam hari ini, ada kemudahan seperti laptop, dulu proses menulis buku adalah proses manual menggunakan tangan. Saya fikir, mesti lenguh tangan Ibnu Haitam tulis hingga 130 buku. Zaman itu juga belum ada kopi hipster seperti Zus Coffee, mungkin kalau mengantuk, Ibnu Haitam terpaksa membancuh kopi biasa sahaja. Apabila saya membuat perbandingan, apalah sangat beberapa buku yang saya tulis berbanding Ibnu Haitam yang telah menulis 130 buku.

Walaupun Ibnu Haitam menulis 130 buku, hanya 20 dari buku-buku beliau yang berjaya survive hingga ke hari ini selepas 1,004 tahun beliau meninggal. Maksudnya, selepas hampir seribu tahun, hanya 15 peratus sahaja bukunya yang dapat bertahan. Jadi kalau kita mahu satu buku bertahan selepas seribu tahun, kita sekurang-kurangnya perlu menulis 10 buku. Tetapi buku bertahan bukan disebabkan bilangan sahaja, kalau buku yang ditulis tidak bermanfaat dan membosankan, mungkin, jika ditulis 1,000 buku pun, semuanya tidak akan bertahan. Jadi selain jumlah, kita juga perlu menulis dan mengeluarkan idea yang menarik. Proses ini bukanlah proses yang mudah. Tetapi saya yakin, jika kita konsisten menulis walaupun tulisan kita pada awalnya tidak menarik, semakin lama penulisan kita akan menjadi semakin baik. 

Jadi, bila saya fikir semula, saya tidak jadi mahu bertukar hobi. Saya batalkan niat untuk pergi gym, Tibet, dan Hindu Kush. Saya mahu sambung semula menulis.

Tiada ulasan: