Sabtu, 23 Ogos 2025

Senjata Peribumi Melawan Kolonial Milik Siapa?

Apabila dipersoalkan senjata yang digunakan oleh kaum peribumi Palestin untuk menentang penjajahan kolonial, saya teringat akan kisah yang diceritakan oleh Dr. Azzam Tamimi perihal sejarah gerakan pembebasan Palestin. Saya sarankan, kita semua mendengar ulang sejarah itu kembali.

Apabila British menguasai Palestin, antara perkara utama yang dilakukan oleh mereka adalah melucutkan senjata dari tangan peribumi. Kata Dr. Azzam, hatta pisau pun tidak dibenarkan disimpan di rumah-rumah kaum peribumi. 

Penjenayah zionis pula diberi latihan ketenteraan, sebahagian dari mereka ikut serta sebagai askar British dalam Perang Dunia Kedua. Mereka dibenarkan untuk menubuhkan kumpulan pengganas para-militari seperti Haganah, Stern Gang, dan Irgun. Sebab itu apabila Plan Dalet dilaksanakan pada 1947/48, kaum peribumi tidak mempunyai senjata untuk melawan. Ada sedikit pasukan-pasukan kecil Arab Legion pada ketika itu yang membantu dan cuba bertahan, namun jumlah mereka terlalu kecil.
Kampung-kampung dibakar hangus, penduduknya dihalau, telaga mereka diracun, kebun mereka ditebang, sebahagian besar dibunuh dengan kejam. Namun mereka sedar, untuk membebaskan watan mereka dari penjajahan kolonial, senjata adalah alat utama. Maka apabila rusuhan pemberontakan intifadha berlaku, senjata mereka hanya batu-batu. Ada juga yang mula merampas senapang musuh dan mula menggunakannya. Ya, senjata mereka hanya batu.

Sebab itu kita dengar nasyid yang menyebut "dan kerikil perkasa berlarian", kerana batu itu adalah simbol perjuangan mereka. Mereka kemudian mula menyusun pasukan pembebasan yang tersusun. Mula menghantar pelajar mereka untuk belajar kejuruteraan perang. Mereka melihat anak-anak mereka dibakar, rumah mereka dimusnahkan, generasi mereka dicacatkan, adakah mereka wajar menyerah senjata dan disembelih secara pasif? Menjadi mangsa yang baik, rela disembelih tanpa melawan?

Dari situ barulah mula pasukan yang terancang dibentuk, yang kita lihat pada hari ini. Mereka mempunyai pasukan dron sendiri, roket sendiri, RPG sendiri, sniper sendiri, dan alat-alat letupan tersendiri. 100 tahun mereka dibunuh dan dijajah, seratus tahun mereka bangunkan senjata mereka untuk mempertahankan diri, rasa-rasa wajarkah mereka mendengar pandangan 'penganalisis' neo-orientalis yang tidak pernah pun menghidu peluh di medan tempur? Neo-orientalis yang bersembang dan tidak pernah melihat kampungnya dibakar? Neo-orientalis yang kononnya Azhar kiblat ilmunya yang tidak pernah melihat bagaimana anaknya ditembusi peluru di kepala? Apa hak Neo-orientalis ini menyuruh pejuang pembebasan Palestin menyerahkan senjata? Zionis melancarkan perang selama 600 hari pun tidak berjaya melucutkan senjata pejuang pembebasan. Adakah pejuang akan serahkan senjata dengan pandangan  'penganalisis' neo-orientalis?

Senjata itu adalah hak pejuang untuk membebaskan watan mereka dari penjajahan. Pandangan neo-orientalis itu tidak lebih mulia dari taik kucing yang terlekat di bawah tapak kasut kita.

Membocorkan Rahsia Berkenaan Dengan Dua Buah Buku

Saya mahu bocorkan satu rahsia, sebenarnya buku Dua Sayap Ilmu dan Malam Dalam Aksara Yang Panjang, selain dari menjadi buku yang merekodkan renungan saya perihal kecintaan kepada membaca dan menulis, ia juga adalah naskah saya yang ingin meraikan dan menghargai insan-insan yang mewarnai dunia membaca dan menulis saya. Cuma kadang saya tak bagi tahu mereka pun, kalau mereka jumpa dan terbaca, maka jumpalah. 

Bersembang Dengan Sahabat Dari Iran

 

Berpulang dari Tokosue menemani Muhammad Syahmi Ibrahim makan tosei di Wisma Central pada 20 Ogos 2025, aku membaca buku Ibnu Sina yang aku ‘terbeli’ di Tokosue di dalam LRT. Buku tersebut bertajuk Avicenna: His Life and Works tulisan Soheil M. Afnan. Walaupun sekarang terlalu sibuk dengan disertasi akhir dan tiada masa untuk membaca di luar bidang, saja aku mahu baca bingkisan buku tersebut dan dapatkan gambaran kasar kerana subjeknya sangat menarik. Tak sabar nak tunggu habis belajar dan boleh membaca dengan bebas semula!

Khusyuk membaca, brader sebelah aku tegur, dia buka headset dan kata “interesting you are reading about a great Iranian figure”. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai rakyat Iran yang bekerja di Malaysia. Terus aku berhenti baca dan bersembang rancak dengannya. Aku bertanya kepadanya tentang program nuklear Iran, beliau menyatakan bahawa Iran tidak membanguntan program nuklear bagi tujuan ketenteraan.

Aku kata pada dia, Iran adalah negara hebat yang aku hormati, hanya Iran, Yaman dan Lubnan berdiri tinggi mempertahankan umat hari ini, negara arab lain semua tak boleh pakai. Iran adalah negara yang mempertahankan Palestin dengan benar, dengan darah dan nyawa mereka. Aku tanya dia pasal keluarga, terutamanya ketika meletusnya Perang 12 Hari. Alhamdulillah, isteri dan anaknya di Malaysia semasa perang tersebut, ayah dan ibunya ada di Iran pada ketika itu, tapi mereka selamat dan tidak tercedera.

Dia menunjukkan aku makam Ibnu Sina di Iran dalam talifonnya. Aku bertanya pada dia, bagaimana pandangan masyarakat Iran yang diperintah pemerintahan teokrasi vilayatul faqeh terhadap figura falsafah seperti Ibnu Sina? Katanya Ibnu Sina dianggap sebagai sarjana agung yang dihormati di Iran. Aku juga bersembang perihal Rumi dan Shams al-Tabriz dengannya. Aku bertanya, adakah Rumi dianggap sarjana dari Iran kerana beliau dari Konya? Dia membetulkan faktaku, Rumi lahir dan hidup di Iran, cuma kemudian dia berhijrah dan mati di Konya. Dia menyatakan bahawa Tabriz itu nama bandar di Iran, jadi Shams al-Tabriz bermaksud Shams yang berasal dari Tabriz.

Aku bercerita padanya bahawa aku tahu tokoh hebat dari Iran selain Rumi adalah Hafez. Cuma aku tak membaca sangat karya Hafez. Aku baca Rumi, tapi bergantung pada tafsiran Coleman Barks yang walaupun puitis, banyak mengubah dan merosakkan maksud asal. Tapi aku tidak mampu memahami bahasa Farsi, jadi terpaksa juga bergantung pada terjemahan Inggeris. Aku juga katakan padanya sebenarnya karya-karya Farsi ini sangat penting untuk dibaca, kerana ia banyak mempengaruhi sastera orang Melayu. Aku kata padanya, di Malaysia ramai orang bernama Fairuz, nama itu berasal dari nama orang Farsi. Dia ketawa, ya Fairuz itu figura yang membunuh khalifah.

Seronok betul aku bersembang dengan sahabat dari Iran. Aku rasa satu gerabak tu dengar kami bersembang kuat. Aku merasakan saudara-saudara di Iran sering dilihat dengan perspektif serong dan sempit oleh kerana propaganda orientalis yang mengapi-apikan persengketaan Sunni-Syiah. Walhal umat ini mampu menjadi lebih hebat jika kita menerima perbezaan dan membina kehidupan bersama. Sebelum berpisah, beliau cadangkan aku membaca buku Gulistan tulisan sarjana Saadi Shirazi. Aku kata padanya:

“Brother, you have to translate all these literature, because western one tend to corrupt the text and meaning”.

Dia ketawa, dan di situ kami berpisah.