Saya merasakan ada kalanya manusia melakukan kesilapan dengan merasakan bahawa jika mereka mengetahui dengan banyak bermaksud mereka semakin berilmu. Tidak semua pengetahuan itu sebenarnya ilmu. Tambahan di era limpahan informasi, ada kalanya pengetahuan yang disogokkan kepada kita itu hanya distraction yang tidak berguna. Kebanyakan lambakan informasi itu propaganda algoritma dan juga iklan jualan.
Sebab itu saya mengambil keputusan untuk unfollow beberapa akaun yang tidak bermanfaat, yang sibuk berdebat tetapi masih belum faham definisi debatnya. Ternyata hidup lebih aman, kita boleh memberi fokus pada ilmu yang bermanfaat. Memang kita tidak dituntut untuk tahu semua perkara.
Beberapa hari lalu saya duduk di depan tingkap, melihat Laut China Selatan. Mengosongkan fikiran sekosongnya. Cuba mengamalkan nasihat Eckhart Tolle untuk ‘menutup fikiran’ apabila kita tidak menggunakannya. Sekadar melihat alunan ombak, yang naik dan turun dan botol plastik yang terapung mengikuti ritma ombak. Tenang. Dan kosong.
Kekosongan dan ketenangan sebenarnya merupakan ramuan penting bagi idea. Sebab itu Ibnu Tufail menulis novel perihal solitude dan Ibnu Khaldun mengarang kitabnya dalam solitude. Selain solitude, saya merasakan bahan penting dalam adunan tulisan dan idea adalah kedegilan. Kadangkala orang mengutuk penulis itu ada ‘keegoan’ nya yang tersendiri. Seperti yang dituduhkan kepada Sayyid Qutb. Tapi saya merasakan kedegilan itu adalah istilah yang lebih tepat. Pengarang yang degil, yang tidak mahu mengikuti batasan-batasan yang membosankan, yang berani berfikir di luar kotak yang dipaksakan, yang lebih suka dengan laras bahasanya dari konvensi penguasa, yang berani berbeza meski seluruh dunia mencemuhnya. Penulis ‘degil’ itu akhirnya mencipta alur sungai baharu.
Beberapa zaman berlalu, generasi berubah, alur itu sudah menjadi sungai baharu yang deras. Generasi baharu akan menikmatinya, mengambil manfaat dalam pelayaran ilmu baharu. Penulis tidak dihargai di zamannya itu perkara biasa, kerana bukan itu tugas penulis. Tugas penulis adalah terus setia kepada generasi akan datang.
Tugas mereka adalah mengalur sungai baharu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan