Selasa, 30 Disember 2025

Penyerahan Disertasi Untuk Semakan

Pada hari Isnin, 29 Disember 2025, akhirnya saya telah menghantar enam naskah manuskrip disertasi di pejabat Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM sekitar jam 3 petang. Walaupun penghantaran ini tidaklah bermakna pengajian telah selesai, ia tetap menandakan bahawa satu bahagian yang besar sudah selesai. Fasa analisis dan penulisan telah selesai, kini saya masuk ke fasa semakan pemeriksa sebelum ke fasa viva voce yang dijangka akan diadakan pada penghujung Januari 2026. Selepas itu, saya akan memasuki fasa pembetulan. Sekiranya pembetulan diterima, saya kira, barulah saya boleh menarik nafas lega dan mula kembali pada kehidupan normal semula.

Isnin, 29 Disember 2025

Tamat Musim Pembacaan 2025

Tahun 2025 merupakan tahun yang agak mencabar bagi saya untuk membaca. Kerana tahun ini saya diulit penulisan disertasi yang memerlukan saya menumpukan bacaan pada bahan-bahan akademik, jadi secara tidak langsung, sesi leisure reading saya terganggu. Walau bagaimanapun, saya masih sempat juga membaca secara selit-selit dicelah kesibukan. Walaupun diet pembacaan saya berat kepada buku sejarah, saya cuba juga memvariasikan pembacaan kepada buku-buku puisi, self-help, cerpen, dan karya sastera lain agar pembacaan saya lebih berwarna dan tidak hanya berbentuk hitam putih, walaupun akhirnya saya akan kembali juga mengulit naskah sejarah. Secara keseluruhan, hanya 17 buah buku yang berjaya habis dibaca kulit ke kulit. Bacaan akademik lain tidak dimasukkan dalam senarai, kerana dibaca bahagian yang berkaitan dengan kajian sahaja, jadi rasa tidak puas untuk diletakkan dalam rak "habis baca". Perlu diulang baca kulit ke kulit baru boleh dimasukkan dalam rak "habis baca". Semoga 2026, membuka musim baharu untuk saya menikmati lebih banyak buku-buku yang menunggu di dalam rak! Senarai buku yang sempat dibaca untuk 2025:

1. Diario de Mexico oleh Zakaria Ali 
2. Diaspora Manusia Purba & Pensejarahan Maritim Kepulauan Asia Tenggara oleh Ismail Ali 
3. Isrā’īliyyāt, Ḥadīth Mawḍū‘ & Fitnah Sīrah di Alam Melayu oleh Zahiruddin Zabidi
4. Siri Wacana Falsafah Ilmu: Kerancuan Falsafah Barat oleh Mohd Suhail Mohd Sufian et. al.
5. Aisha (R.A.): Beyond Six oleh Abu Rafaan
6. Tubuh-Rumah: Kajian Dan Nota-Nota Proses oleh Syafiq Faliq bin Alfan
7. The Divided State: Factional Structures and the Crisis of Democracy oleh Joonhong Park 
8. Gampang! oleh Jack Malik
9. Nakal-Nakal oleh Amier Suhaimi
10. Majapahit: Intrigue, Betrayal and War in Indonesia's Greatest Empire oleh Herald van der Linde
11. Pascabaca oleh Asha Rashid 
12. Zine Dari Johor: Egoisme
13. Revolusi Tanpa Ideologi oleh Benz Ali 
14. Melayu & Konservatisme oleh Mohd Jamizal Zainol
15. Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965) oleh Ramlah Adam
16. Ibn Khaldun: His Life and Works oleh Mohammad Abdullah Enan
17. Testament Politik A.P.I. oleh Ahmad Boestamam






Ahad, 21 Disember 2025

Catatan Baitul Muslim 73: Kemarahan Tidak Memadamkan Tanggungjawab

Hakikat manusia sifatnya lemah, walaupun mungkin badannya sasa dan gagah, kadang kala dia akan tewas juga pada emosinya. Sifat sedih, marah, kecewa, itu semua adalah sebahagian dari manusia. Walaupun kita kadang tidak suka pada emosi-emosi ini, tanpanya kita tidak boleh menjadi manusia, kita akan menjadi robot biologi. Secanggih mana teknologi yang cuba melahirkan robot biologi untuk bekerja di kilang, akademia dan industri, tetap juga tidak akan berjaya, kerana emosi akan terus mengekorinya. Emosi itu akan memberontak, menggerakkan revolusi proletar yang memanggil semula pengiktirafan manusia sebagai manusia, bukan haiwan ekonomi untuk menjadi robot di perusahaan.

Emosi ada tempatnya, namun tidak boleh dibiarkan menjadi pemandu kehidupan. Ada kalanya kita perlu berusaha mengawal emosi itu agar kita setia berjalan di atas batas rasional. Walaupun kita sedih atau kecewa dalam kehidupan misalnya, itu tidak sepatutnya membuatkan kita meninggalkan tanggungjawab kita kepada Tuhan dan manusia.

Rasulullah SAW sentiasa memberi pesan kepada kita tentang keperluan menjaga marah. Ini dapat difahami dari beberapa hadis. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, seorang lelaki datang meminta nasihat dari Rasulullah. Beliau bersabda:

"Jangan marah". Baginda mengulanginya beberapa kali dan baginda bersabda lagi "jangan marah". (Bukhari No. 6116)

Dalam sebuah hadis yang lain baginda bersabda:

"Bukanlah dikatakan orang kuat kerana dapat menumbangkan lawannya, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya pada waktu marah." (Bukhari No. 6114)

Maka jelas, walaupun emosi itu diiktiraf, kita perlu berusaha mengawalnya. Dalam rumahtangga misalnya, kita sudah bersetuju untuk memikul tanggungjawab, sama ada dalam suka atau duka. Maka para suami, jika pun bergaduh atau merajuk dengan isteri, tidak boleh meninggalkan tanggungjawab-tanggungjawab wajibnya. Kerana rasa marah atau sedihnya bukan pembatal kepada tanggungjawab yang sudah dia persetujui dalam janji nikahnya. Jika perasaan marah boleh membatalkan tanggungjawab, maka tiada keluarga akan kekal, semuanya akan terbubar.

Begitu juga dengan anak-anak. Asam garam menjadi ibu bapa adalah dilukai oleh perangai anak-anak. Anak-anak yang sedang membesar itu pastilah banyak salah dan tidak tahunya. Kadang kelakuannya mengecewakan. Jadi tugas ibu bapa adalah berulangkali memaafkannya. Berulang kali menegurnya, menasihatinya, mengasuhnya. Jika marah itu memadamkan tanggungjawab, maka sukarlah kita mahu membesarkan anak-anak. Kerana fitrah sifat anak-anak itu melakukan kesilapan (berulang kali), tugas ibubapa adalah mengurus kesilapan mereka. Memastikan mereka belajar dari kesilapan tersebut. Bukan meninggalkan mereka. 

Koleksi Fikir: Isu Pendidikan Negara

Kita tidak menghalang sesiapa untuk belajar menggunakan apa-apa sistem. Hendak belajar menggunakan sistem Taiwan, British, Portugis, Venezuela, Korea Utara, terpulanglah kepada masing-masing. Belajar itu satu perkara yang baik. Belajar itu membasmi kebodohan, pelajaran itu mengangkat bangsa dan watan menjadi pandai. Tetapi memaksa orang lain mengiktiraf sistem luar itu satu kepelikan. Sesebuah negara pastilah perlu memperkasakan sistemnya sendiri, bukan sibuk dipaksa menerima sistem luar. Jika semua sistem luar hendak diiktiraf, jadilah sistem sendiri cacamerba, tiada keunikan, dan tiada jati diri.

Tamat Musim Penulisan 2025

Dengan berakhirnya tahun 2025, maka tamatlah musim penulisan untuk tahun ini. Tahun ini rasa sedikit sesak kerana sibuk dengan usaha untuk menyiapkan disertasi dan menamatkan pengajian. Namun alhamdulillah, di celah-celah kesibukan, Allah masih mengizinkan saya menulis dan menerbitkan beberapa buku dan artikel jurnal. Tahun ini diberi rezeki menerbitkan sebuah buku bersama Rabak-Lit dan dua buah buku bersama The Biblio Press. Juga diberikan rezeki menerbitkan sebuah jurnal di dalam Minden dan sebuah di dalam JMS.

Buku-Buku 2025

1. Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi. Rabak-Lit, Mei 2025. ISBN: 9786299825487

2. Malam Dalam Aksara Yang Panjang. The Biblio Press, Mei 2025. (Kata pengantar oleh F. Fansuri dan Izzuddin Khalis). ISBN: 9786297733531.

3. Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida. The Biblio Press, September 2025. (Kata pengantar oleh Amirul Asyraf). ISBN: 9786297733685.



Artikel Jurnal 2025

1. “Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874–1941: Preliminary Survey on the Involvement of the Malay in the Tin Mining Industry in Perak, 1874-1941”. MINDEN Journal of History and Archaeology 2 (2): 115-134, 2025. ISSN: 3030-685X | eISSN: 3083-8096

2. “Aspek yang Menghubungkan Orang Cina di Tanah Melayu dengan Negara China, 1850-2000: Aspects That Shape the Relationship of Ethnic Chinese in Malaya with China, 1850-2000”. Jurnal Melayu Sedunia 8 (1): 104-115, 2025. e-ISSN: 2637-0751

Terima kasih diucapkan kepada penerbit, pensyarah, rakan-rakan, dan para haters yang banyak membantu saya sepanjang musim penulisan 2025. Semoga ada sedikit manfaat dari penulisan-penulisan ini. Jika diberi rezeki dan umur, berjumpalah kita di musim penulisan 2026. Senarai penuh bibliografi penulisan boleh diakses di pautan ini.

Selamat tahun baru diucapkan buat semua!

Rabu, 17 Disember 2025

Ketika Arus Merempuh, Wajarkah Ombak Dicemuh?

Arus akan sentiasa ada,
membadai hidup yang fana,
sentiasa akan menarik kita,
ke dalam lubuk kecewa.

Ada juga arus kehidupan,
yang akan menolak bak taufan,
memaksa kita kedepan,
tanpa ada payung persediaan.

Maka apakah sikap kita?

Menjadi penentang jangan!
Menjadi pengikut jangan!

Jadilah kita pembaca yang setia.

Yang bijak mengurus arus,
yang bijak menyimpan nafas,
jika tidak kita akan penat awal,
dan impian terlepas dari kawal,
kita hanya mendapat sial.

Jika terlalu gopoh menghakimi,
hilang nanti kawalan diri,
cita-cita kering tanpa perigi,
segala usaha tak bernilai lagi,
ibarat pasir yang perlahan pergi,
dari celahan jari-jemari.

Ahad, 14 Disember 2025

Sahabat, Bila Perang Ini Akan Tamat?

Sahabat,
selepas perang ini tamat,
ke mana kau akan pergi?
akankah kita berjumpa lagi?

Aku akan membawa diri,
segala kesesakan akan ku menjauh lari,
aku ingin segera berjumpa sepi,
bersamanya kembali merenung memori.

Di atas bukit datar tiada ranjau,
aku kan berbaring di rumput hijau,
di situ aku ingin menutup mata,
melupakan segala calar sengketa.

Seperti Shikamaru,
yang asyik merenung langit biru
aku ingin melihat perarakan awan,
aku ingin menikmati hidup perlahan.

Aku merasakan.

Angin yang kita rasakan berdesir,
sebenarnya adalah ribut yang belum terzahir.

Ahad, 7 Disember 2025

Penulisan Sebagai Sebuah Seni


Apabila mendapat khabar berita tentang kematian Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam merasa sangat sedih kerana tidak dapat pergi menziarahi teman seperjuangannya buat kali yang terakhir. Zaman tersebut, belum ada sistem pengangkutan seperti hari ini. Boestamam mendapatkan mesin taipnya, meluahkan perasaannya, penulisan merupakan saliran bagi beliau untuk meluahkan perasaan. Dalam tribute beliau kepada Dr. Burhanuddin, beliau menyatakan bahawa temannya itu merupakan “bapa kebangsaan Melayu”.

Tribute tersebut tidak dihantar ke akhbar, kerana Boestamam tidak mahu ia “dikerat-kerat” oleh editor, ia kemudian diabadikan dalam naskah bertajuk Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya. (Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Kejora, 1972), hlm. 72-78). Boestamam memang seorang penulis yang prolifik, beliau pernah menulis untuk akhbar Majlis bersama Ibrahim Yaacob. Jika dibaca memoir Boestamam, beliau memang seorang penulis yang natural, penulisannya enak, tidak dibuat-buat, disulam dengan pengalaman dan juga kadang kala diselit dengan jenaka. Penulisannya ranum dan matang.

Menulis itu bagi saya merupakan sebuah seni. Seperti seni lain, ia mengambil masa untuk matang, untuk ranum, untuk rendang dan enak dipetik. Saya selalu merasakan, penulisan yang sedap itu lahir dari perasaan yang sebenar, bukan dibuat-buat, bahkan penulisan non-fiksyen sekali pun, jika seninya benar, boleh menggetarkan jiwa lebih dari karya fiksyen. Menulis juga merupakan ladang yang subur untuk meluahkan perasaan, hatta perasaan yang paling sensitif, yang paling subversif, jika benar seninya, boleh ditulis dengan gubahan yang mempesonakan.

Seperti bidang-bidang lain, teknologi sebenarnya banyak membantu meningkatkan kualiti penulisan. Jika digunakan dengan betul dan tidak curang. Salahnya pada penulisan-penulisan yang tempang itu bukan pada teknologi, tetapi moral dan pertimbangan. Teknologi hanya alat manusia, jika diguna dengan betul, boleh membantu manusia. Tetapi boleh juga jika diguna dengan bersalahan, mencipta “art berat” yang janggal dan dangkal.

Menulis seharusnya menjadi lapangan akal dan jiwa. Untuk kita menggubah perasaan dan idea. Untuk kita mengadun revolusi dengan cinta. Dan jika betul seninya, mampu menjadi lapangan yang mengubah jiwa manusia.

Penulis Yang Tiada Peminat


Semasa saya sampai ke program bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Putrajaya pada 06 Disember 2025 (Sabtu). Pegawai PNM yang bertugas sangat baik, mesra, dan ramah meraikan penulis. Seorang pegawai bertanya kepada saya berseloroh.

“Encik datang seorang aja ke, tak bawa sekali peminat?”

Saya pun menjawab dengan penuh sopan.

“Saya tak ada peminat puan, tapi saya harap lepas perkongsian saya nanti, puan dan pegawai-pegawai PNM lain sudilah jadi peminat saya.”

Walaupun lawak saya hambar, pegawai tersebut gelak juga sedikit sebagai meraikan penulis yang datang. Saya sebenarnya tidak mahu datang, kerana sedang bergelut menyiapkan disertasi dan perlu bersedia untuk melakukan pembentangan pada Isnin, 08 Disember 2025. Namun kerana asyik terlalu fokus dengan disertasi membuatkan saya stress, saya hadir juga ke Putrajaya, sebagai escapism bagi saya lari sebentar dari program sarjana yang menyesakkan minda.

Apabila sampai giliran saya naik ke pentas, saya pun berkongsilah sedikit perspektif saya tentang penulisan. Perkongsian saya adalah selepas perkongsian Kelly Telly, jadi banyak juga idea beliau yang saya ulas semula, saya sengaja tidak menyediakan apa-apa skrip, kerana tidak mahu menjadi perkongsian yang membosankan, biarlah spontan sahaja. Hendak berkongsi banyak tak pandai, jadi saya rasa berkongsi sedikit cukuplah. 

Bagi saya, saya menulis bukan sebab peminat, tapi sebab saya sendiri yang minat menulis. Mungkin akan ada orang suka apa yang saya tulis, mungkin juga ada yang tidak suka. Jika kita menulis kerana peminat, jika tidak mendapat sambutan, kita mungkin akan berhenti. Tapi jika kita menulis memang kerana kita ikhlas mahu menyampaikan suara kita, ada atau tidak peminat itu tidaklah menggusarkan.

Mempunyai peminat bagi saya tidaklah penting sangat. Bagi saya, kita menulis bukan untuk peminat kita hari ini, tetapi untuk masa hadapan. Ramai penulis yang saya rasa berjaya, tetapi di zamannya dia tiada peminat. Malah ada penulis yang tidak sempat pun melihat karyanya dibaca orang. Karya mereka diterbitkan post-humous iaitu lepas mereka meninggal. Tetapi tetap generasi selepas itu menjadi “peminat” mereka. Bagi saya penulis perlu mempunyai minda sebegini, memastikan karya mereka malar hijau untuk generasi seterusnya, bukan sekadar peminat sedia ada.

Selain itu, bagi saya, menulis untuk memuaskan hati peminat itu tidak benar-benar “membebaskan” saya sebagai penulis. Saya tidak suka terikat dengan sesiapa pun, termasuklah peminat. Saya merasakan, ada ketikanya menulis mengikut peminat itu menjadikan karya “seperti dibuat-buat” dan maksudnya tak cukup tulus dan mendalam. Tidak menyeronokkan jiwa kita, dan mungkin hanya hype buat peminat sementara di generasi ini sahaja tetapi kesan jangka masa panjangnya pudar.

Kita kena menulis dengan berfikiran jauh, tulisan kita akan dibaca oleh generasi seterusnya. Tiada peminat di zaman ini pun tidak mengapa. Jadi, tulislah walau tidak ada peminat. Mungkin peminat anda belum lahir lagi. Mungkin karya anda akan dihargai selepas lima generasi. Siapa tahu. Tetapi jika anda memilih untuk tidak menulis, seribu generasi pun bertukar, suara anda tidak akan ditemui.

Isnin, 1 Disember 2025

Menerbitkan Artikel Dalam Jurnal Melayu Sedunia Universiti Malaya

Terima kasih Jurnal Melayu Sedunia (JMS) Universiti Malaya kerana menerima dan menerbitkan artikel terbaharu saya dalam Vol. 8 (1). Artikel ini merupakan penelitian saya kepada beberapa sumber perihal etnik Cina yang membentuk masyarakat majmuk di Tanah Melayu (Malaysia). Penelitian seperti ini pastilah tidak lengkap jika tidak merujuk kepada sarjana yang terkemuka dalam bidang ini iaitu Prof. Wang Gungwu.
 
Etnik Cina bukan wujud di Tanah Melayu sahaja, mereka juga membentuk populasi yang signifikan di negara Asia Tenggara lain dan ditermakan sebagai "hua-qiao" atau overseas Chinese. Wang Gungwu mencerakinkan lagi kategori masyarakat Cina ini sebagai "huashang", "huagong", dan fenomena paling kontemporari adalah kategori "huayi".

Dalam artikel ini juga saya menyingkap peristiwa bersejarah tentang bagaimana Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis China. Hubungan Malaysia dengan komunis tegang kerana perang dan darurat dari 1948 hingga 1960. Bagaimana selepas 14 tahun darurat tamat, Malaysia dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara komunis ini? Merujuk kepada tulisan guru saya, Dr. Tan Chee Seng, saya cuba menjawab persoalan ini.

Artikel ini boleh diakses secara percuma, klik pautan di bawah:

Mon Monologue: Tri


Akhirnya, aku kini sudah di hujung perjalanan untuk menyiapkan pengajian sarjana setelah melalui proses yang panjang, bermula dari kursus pengenalan, kuliah, tutorial, perbentangan, dan kini di fasa akhir disertasi. Walaupun nasib disertasi ini masih lagi belum jelas, sama ada akan diterima atau tidak oleh pemeriksa, sekurang-kurangnya aku sudah menyiapkannya dan menghantarnya untuk semakan. Aku merasakan, aku sudah melakukan yang terbaik. Maka, aku serahkan pada takdir, akan keputusannya.

Menyerahkan disertasi telah menghilangkan satu beban yang sangat berat dari pundakku. Aku memang teringin untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun mungkin aku akan berehat sebentar beberapa tahun. Mengumpul tenaga dan juga wang ringgit, sebelum melalui jalan sunyi yang menyiksakan dan juga menyeronokkan. Hilangnya bebanan dari pundakku ini sedikit sebanyak dapat membuatkan aku melihat dunia sebagai satu kehidupan yang indah semula. Menghargai sisi-sisi bahagianya yang selama ini terlindung di sebalik tekanan membaca dan menyiapkan kajian setiap hari.

Kesibukan yang tidak membenarkan aku membaca atau menikmati filem. Namun selepas menghantar disertasi, mindaku sedikit sebanyak mula terang kembali. Di sebalik masa-masa senggang, aku sempat menonton animasi The Wind Rises, karya Hayao Miyazaki tidak pernah mengecewakan. Kisah ini adalah berkenaan Jiro, seorang kanak-kanak yang bercita-cita menjadi jurutera aviasi. Aku menonton dengan perlahan, tiga kali sesi masih belum habis. Bukan kerana bosan, tapi kerana aku merasakan kisahnya sangat baik, elok dihargai perlahan-lahan.

Antara babak yang menarik perhatianku adalah Jiro yang sering bermimpi perihal kapal terbang sejak dari kecil lagi. Di dalam mimpinya, dia selalu berjumpa dengan Caproni, seorang jurutera aviasi Itali yang menjadi idolanya. Babak ini sebenarnya sangat memberi kesan kepadaku. Kerana pada masa aku bergelut dengan penulisan disertasi sarjana, sememangnya ia terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Aku sering bermimpi akan hal-hal disertasi semasa tidur, walaupun kadang kala aku sedar ia hanya mimpi, ia mengingatkanku bahawa disertasi itu menghantuiku baik semasa aku sedar mahu pun tidur.

Monolog ini merupakan medium aku mengekspresikan sedikit kebebasan yang kini aku rasai semula. Bertemankan kopi dan penulisan di malam hari memang satu perkara yang sangat mengasyikkanku. Malam dalam aksara yang panjang adalah satu kenikmatan bagiku, sama ada aksara bacaan atau tulisan. Harapnya, kebebasan ini akan mencapai kemuncaknya tidak lama lagi. Saat aku selesai viva voce dan menyerahkan disertasi akhir kulit keras kepada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Tidak sabar rasanya untuk aku menyambung projek penulisan yang tertangguh, juga membaca buku-buku yang menarik yang telah aku kumpul. 2026 akan menjadi tahun yang aku nantikan, akan aku warnainya dengan pembacaan dan tulisan yang membebaskan.