Sabtu, 17 Februari 2024

Catatan Baitul Muslim 69: Pekerjaan Yang Tiada Rehat


Berbeza dengan kerja kita di pejabat, selepas lapan jam, kita dibenarkan untuk pulang ke rumah dan berehat, namun tugas menjadi ibu bapa adalah tugas yang berterusan, bermula anak itu lahir hinggalah mereka dewasa. Kita tidak boleh berhenti selepas lapan jam. Sebab itu saya merasakan bahawa ibu bapa itu memerlukan perhentian-perhentian, untuk mendengar peringatan dan memperbaharui tenaga mereka untuk melaksanakan tugas ini. Salah satunya adalah dengan menyertai forum, diskusi, wacana, dan perkongsian pengalaman berkenaan dengan tugas keibubapaan. 

Sebenarnya tugas mendidik anak itu bermula dengan memilih pasangan. Ini adalah satu fakta yang tidak dapat dilarikan lagi. Pasangan yang dipilih mestilah mempunyai tujuan yang sama perihal pendidikan anak-anak. Jika dari awal lagi pasangan mempunyai tujuan yang berbeza, anak yang dilahirkan akan mengharungi fasa pendidikan yang mengelirukan. Dari rumah-rumah yang keliru ini, akan lahirlah generasi yang keliru, yang menyumbang kepada masalah-masalah masyarakat. Lebih menyedihkan, jika anak-anak tidak dididik dengan satu didikan Islam yang baik, maka produknya adalah produk yang keliru sesuai dengan kekeliruan masyarakat yang ada. Seharusnya ada satu keiltizaman pada ibubapa untuk melahirkan generasi Al-Qur'an, namun ini tidak akan berlaku jika ibubapa itu sendiri tidak membaca Al-Qur'an tetapi memaksa anak-anak mereka membaca Al-Qur'an.

Dalam kita mendidik anak-anak pada hari ini, kita juga harus sedar akan perbezaan generasi. Generasi kita mungkin boleh dikatakan generasi 'imigran' kepada dunia digital dan virtual, tetapi generasi anak-anak kita, mereka adalah digital native, generasi peribumi kepada alam virtual dan digital. Maka pendekatan kita perlulah pendekatan yang berada di tengah, kita tidak boleh memisahkan mereka dari dunia mereka, tapi dalam masa yang sama kita tidak boleh melepaskan mereka tanpa kawalan dan perancangan. Mereka mestilah masuk ke alam digital ini dengan pengetahuan yang baik, tentang kebaikan dan keburukannya, agar mereka tidak terdedah kepada perkara-perkara yang berbahaya.

Dunia digital juga memberi mereka akses kepada informasi yang tidak terfikir oleh generasi sebelumnya. Oleh sebab itu, metodologi kita adalah harus mengarahkan mereka ke arah maklumat yang betul. Bukan menghalang mereka sepenuhnya. Mereka akan sentiasa mencari, jika kita menghalang dan bukan membantu mengarah mereka, mereka akan mencari dari sumber-sumber yang salah. Hasil dari pendedahan kepada dunia digital ini juga mempunyai kesan kepada psikologi generasi yang terhasil, mereka pasti akan mempunyai cara fikir yang berbeza dari generasi kita. Di sudut ini ada positifnya dan ada juga negatifnya. Contohnya, mereka mungkin akan lebih cenderung mahukan hasil yang segera, kerana dunia digital yang serba pantas, di sini mungkin menjadi keperluan kepada ibu bapa untuk menerangkan bahawa, tidak semua apa yang mereka lihat di dalam skrin itu benar dan dapat dicapai dengan pantas. Mereka perlu diajar perbezaan antara "content" yang dilihat di media sosial dan realiti.

Kita juga perlu sedar bahawa syarikat-syarikat yang menguasai online platform sedang merebut masa anak-anak kita. Jika kita tidak menyedari akan hal ini, besar kemungkinan, anak-anak kita akan menghabiskan masa membesar mereka lebih banyak dengan skrin dari ibu bapa. Lebih malang, jika skrin yang akhirnya menjadi ibu bapa mereka. Di sini lahir keperluan kepada kita untuk mengawal dan mempelbagaikan aktiviti mereka. Memastikan mereka mempunyai kemahiran digital, dalam masa yang sama mampu berfungsi sebagai manusia normal di alam realiti.

Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan anak-anak lebih banyak tanggungjawab dalam melakukan kerja-kerja rumah. Sekiranya mereka sudah boleh menyidai baju, maka libatkan mereka dengan aktiviti menyidai baju. Jika mereka sudah boleh mengemas bilik, jadikan ia sebagai tugasan harian. Jangan memarahi mereka jika mereka tersalah buat pada peringkat awal kerana ini akan mematikan semangat mereka. Sebaliknya beri galakan untuk mereka memperbaiki kerja-kerja mereka.

Menjadi ibubapa tidak boleh dimulakan dengan dasar "tidak sengaja". Sebaliknya ia memerlukan ilmu. Ilmu ini sebahagiannya adalah melalui pembacaan dan juga kursus. Sebahagiannya melalui perkongsian pengalaman dengan ibu bapa lain. Sebahagian besarnya adalah melalui pengalaman sendiri apabila menjadi ibu bapa. Setiap anak itu berbeza, maka tiada sebenarnya cara yang benar-benar ideal, ia perlu disesuaikan kepada setiap anak-anak. Yang ada hanyalah kaedah-kaedah umum. Kaedah-kaedah ini boleh kita dapati dari kisah-kisah penuh pengajaran di dalam Al-Qur'an dan juga model keluarga yang ditunjukkan oleh Rasulullah. 

Cabaran pendidikan ini berbeza di zaman baharu ini, ia memerlukan usaha dan satu kesungguhan. Zaman ini juga merupakan satu zaman yang kompleks, oleh itu kita sentiasa perlu mengemaskini ilmu yang kita ada. Kita juga perlu sedar, ada ketika kita tidak mampu mendidik keseluruhan anak-anak kita, ada ruang yang perlu diberikan kepada orang lain. Kepada guru, saudara mara, kawan-kawan, oleh itu kita juga perlu memberi mereka suasana yang boleh mendidik mereka di luar lingkungan kita. Akhir sekali, kita hendaklah sedar, bahawa ilmu sahaja tidak mencukupi, pendidikan ini memerlukan tarbiyah yang mendidik karakter, yang mendidik hingga ke tahap "rasa", bukan sekadar tahu. Dengan tarbiyah yang sempurna inilah anak-anak kita berkemungkinan menjadi sebahagian dari generasi yang lebih baik.

Penulisan ini adalah olahan dari nota dari sebuah perkongsian keibubapaan yang disampaikan oleh Cikgu Azmi Bahari dan Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff dalam Program Keibubapaan & Aulad Banat di Sekolah Rendah Ummi (Seru), Alor Setar, Kedah pada 09 Februari 2024.

Sabtu, 23 Disember 2023

Jiwa Yang Selalu Sendiri

 

Tiada jiwa lain selainmu
yang boleh bertemu denganmu
kamu dilahirkan begitu
dan selamanya akan begitu.

Belajarlah bersendiri
kerana hidup adalah jalan sunyi
untuk dilalui jiwa setiap hari
tanpa ada yang menemani.

Belajarlah untuk tidak difahami
untuk disalah tangapi
dimarahi malah dibenci
kerana jiwa hakikatnya sentiasa sendiri.

Hanya yang akan menemani
adalah senaskah sunyi.
Maka jadikanlah ia tali
untuk kau pegang sepanjang perjalanan ini.

Belajarlah untuk gembira dalam sunyi
belajarlah untuk hidup dengan sepi
kerana fitrah jiwa memang begini
dilahirkan hidup tidak difahami.

Tuhan menciptakan sebuah rumah
buat setiap jiwa manusia
dalam lautan yang paling dalam
tak tercapai oleh apa pun.

Tiada cinta yang dapat menyelam
untuk memahami perasaan silam
tiada jiwa lain yang mampu 
merasai segala sakit sedihmu.

Maka jiwa yang selalu sendiri,
ketahuilah, kau saja yang memahami
jiwamu sendiri.

Setiap hari,
tiada henti,
hanya sunyi,
sampai mati.

Jumaat, 22 Disember 2023

Pesta Buku Tidak Antarabangsa KL (PBTAKL)


Pesta buku tahunan KL sememangnya merupakan acara tahunan yang selalu saya sertai. Kata ibu saya, masa saya umur 2 tahun pun ibu pernah bawa saya ke pesta buku KL. Awalnya memang pergi sebagai pembeli sahaja. Saya mula ada keinginan membaca buku-buku antarabangsa selepas membaca sebuah buku oleh Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat. Saya tidaklah mengagumi Friedman, malah banyak pandangannya yang saya tidak persetujui. Namun buku tersebut tidak dapat saya buang dari sejarah pembacaan saya. Ia adalah buku yang sangat mengasyikkan. Yang membuatkan saya dahaga untuk membaca lebih banyak idea-idea, pemikiran, dan juga sejarah dunia yang luas ini.

Maka, secara semula jadinya, saya berkunjung ke pesta buku KL untuk mencari buku-buku yang berlainan, yang antarabangsa, yang tiada di jual di kedai buku konvensional. Namun akhirnya saya menyedari, bahawa pesta buku ini bukanlah pesta antarabangsa seperti namanya. Saya sedar akan hal ini sejak tahun 2016, tujuh tahun yang lalu, kritikan saya pada tahun tersebut saya coretkan di blog, dan masih ada hingga ke hari ini.

Namun sejak tahun 2019, saya tidak lagi datang ke pesta buku KL sebagai pembaca. 2019 adalah tahun di mana saya menjual sendiri buku-buku saya yang diterbitkan sendiri secara swaterbit, pada tahun tersebut ada diberi ruang khas untuk penerbit mandiri. Selepas tahun 2019, pesta buku tersebut sudah berubah, ia telah menjadi medan untuk bertemu rakan-rakan buku, bukan lagi sebagai tempat saya datang sekadar mencari buku.

Ada yang mengkritik pesta buku KL sebagai pasar menjual buku-buku agama. Genrenya sangat sempit kepada buku-buku yang membosankan dan bersifat konspirasi. Namun saya ada juga menulis sanggahan saya terhadap kritikan ini. Kerana bagi saya, ada penerbit-penerbit kecil yang bukunya bagus, cuma pengunjung kena rajin meneroka di sudut-sudut kecil, di reruai belakang, dan kawasan tidak strategik. reruai besar biasanya hanya mengulang cetak buku-buku sama dengan genre yang serupa sahaja. Bagi saya, reruai-reruai kecil inilah yang menarik saya untuk turun ke pesta buku KL. Kerana mereka menjamu pengunjung dengan buku-buku yang mencabar pemikiran dan memberi topik segar yang berbeza.

Dua tiga hari kebelakangan ini, saya membaca keluhan dan tulisan banyak rakan-rakan penerbit kecil bahawa kebanyakan reruai sudah dibolot penerbit besar sebelum penyertaan dibuka lagi. Ramai yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyertai pesta buku kali ini. Bagi saya, tanpa mereka, sudah tidak ada sebab saya perlu ke pesta buku KL lagi, sudahlah tidak antarabangsa, penerbit yang memberi tarikan juga akhirnya ditolak keluar oleh penerbit besar yang membosankan.

Maka saya kira, akhirnya pesta buku ini bukan lagi akan menjadi satu majlis para pencinta ilmu berkumpul dan berbincang perihal idea dan pemikiran. Ia akan menjadi sekadar tempat untuk membawa anak-anak berjalan-jalan. Juga menjadi tempat lawatan pelajar sekolah yang dipaksa menaiki bas beramai-ramai.  Sama seperti kedai buku yang makin tidak relevan dan menjual alat tulis, pesta buku tahunan KL juga nampaknya menuju kepada samudera kebosanan yang sama.

Jumaat, 15 Disember 2023

Catatan Baitul Muslim 68: Malam Ini Sekejap


Sekitar awal Disember 2024, aku perlu menjaga anak-anak di rumah beberapa hari kerana isteri berada di hospital bagi pembedahan sinus. Satu malam, aku mengurut kaki Idlan yang berumur 5 tahun dengan minyak Nona Roguy. Idlan biasanya sakit kaki malam-malam, doktor kata "growing pain", ada malam dia terjaga dan menangis, perlu diberi makan ubat tahan sakit baru boleh tidur semula. Jika diurut kaki sebelum tidur, biasanya dia tidak akan terjaga. Oleh kerana dia sudah tidur petang, malam itu, Idlan petah pula bersembang.

"Abi"

"Ya" jawabku sambil mengurut.

"Abi tahu tak kenapa malam ni sekejap?" tanya Idlan.

"Tak tahu, kenapa?" jawabku yang tak dapat menangkap maksud soalannya.

"Malam ni sekejap sebab kita kelip mata, buka mata dah pagi" katanya.

"Bukan kelip mata, tutup mata. Kita tidur tutup mata. Tapi betul lah yang adik cakap tu. Nanti adik kelip-kelip mata dah 6 tahun. Kelip lagi dah masuk sekolah macam kakak. Abi pun dulu kecik macam adik, kelip-kelip dah tua" jawabku, cuba menerangkan kepadanya konsep masa yang berlalu pantas.

"Tapi abi belum tua macam Tokmi?" tanya Idlan sambil tersengih.

"Nanti Abi kelip-kelip lagi, tua macam Tokmi la" jawabku.

Malam tersebut, pillow talk dengan anak kecil ini membuatkan aku berfikir dengan sekilas masa yang sebentar yang diberikan Tuhan untuk kita menghirup sedikit hidup. Aku kira, anak kecil juga sudah mula merasai bertapa masa berlalu dengan pantas. Kita hanya diberi peluang untuk menggenggam sebentar, lama ke lamaan kita perlu melepaskan semuanya, tak kira bertapa sayangnya kita terhadap apa pun.

Aku juga merasakan masa yang diberikan aku untuk hidup ini mungkin tidak lama. Terutamanya selepas serangan jantung pada bulan November 2023. Aku merasakan mungkin masaku sudah hampir tamat. Dunia ini ibarat jam gergasi, semuanya berputar mengikut putaran kehidupan yang sudah ditetapkan. Dan putaranku hampir tamat.

Amni, anak pertamaku pada ketika itu berada di darjah 2. Dia berada di fasa kehidupan di mana dia tidak lagi suka diarah-arah. Jadi usaha untuk menyuruhnya melakukan perkara harian seperti solat, tidur, buat kerja sekolah, malah mandi sekali pun sangat mencabar. Pada mulanya pendekatanku adalah dengan memarahinya. Namun seperti biasa, marah akan menimbulkan penyesalan dalam diri ibu ayah. Jadi kini pendekatanku agak berbeza, aku cuba belajar untuk menjadikan marah itu sebagai pendekatan kedua atau ketiga. Bagiku ketegasan masih penting, namun ketegasan bukanlah pengganti kepada kasih sayang. Walaupun niat kita baik, anak-anak perlu merasai kasih sayang itu. Rumah kita bukanlah kem tentera. Tetapi aku tetap berpegang, bahawa sebagai seorang ayah, sikap tegas itu perlu ada. Disiplin adalah satu skil kehidupan yang perlu diperturunkan kepada anak-anak. Namun aku merasakan fasa ini tidak akan kekal, ia akan berakhir seperti yang telah ditetapkan oleh jam gergasi dunia. Anak ini akan ke fasa seterusnya. Jadi, aku juga harus sedar akan hal ini, dan memilih strategi terbaik.

Strategi mendidik anak tidak boleh statik, ia perlu berubah sesuai dengan perubahan fasa kehidupan anak-anak. Seperti yang dikatakan Sun Zu, untuk memenangi peperangan, kita perlu fleksibel dan mampu mengubah strategi apabila keadaan memerlukan. Aku kira strategi mendidik anak-anak juga begitu, perlu bertahap, dan sentiasa mengikuti kesesuaian perkembangannya.

Malam-malam ini memang sekejap. Kelip-kelip mata, kedua-dua mereka akan membesar dan mendewasa. Jadi masa yang ada padaku adalah genggaman sementara. Bila-bila sahaja putaran aku akan tiba, dan genggamanku akan terlerai juga.

Ahad, 3 Disember 2023

Catatan Baitul Muslim 67: Metodologi Marah Anak-Anak


Minggu lepas hari lahir Idlan, jadi kami sekeluarga lari sekejap dari rutin harian dan bercuti singkat di Taiping. Berbulan-bulan Idlan ayik mengulang, katanya dia mahu pergi zoo untuk hari lahirnya. Tetapi apabila sudah di Zoo Taiping, kami berjalan hanya sekitar sejam, sebelum Idlan mengajak pulang kerana kepenatan. Kakaknya Amni masih mahu meneroka, namun akhirnya terpaksa juga dia mengikut pulang. Sebelum pulang, kami singgah mandi di Burmese Pool dan kemudian makan Kuey Teow Doli. Idlan yang kini sudah genap 5 tahun sudah petah bercakap. Kadang seronok juga bersembang dengannya di waktu malam sebelum tidur. Biasanya aku akan bertanya tentang kawan-kawannya di tadika, jadi banyaklah benda yang dia ceritakan. Idlan sekarang hanya ke tadika separuh hari, jadi apabila pulang tadika, antara soalan yang kerap ditanyakan kepadaku adalah "bila Abi nak habis kerja?". Ini selalu membuatkan aku dalam dilema apabila bekerja di rumah, pertama terasa rimas kerana asyik terganggu, kedua rasa bersalah kerana tidak melayan anak yang mahukan perhatian. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak memarahinya.

Teknik memarahi anak ini aku kira merupakan dilema ibu bapa sejak berkurun lamanya. Dari satu sudut, kita mahu mendisiplinkan anak, di sudut yang lain kita tidak mahu hubungan dengan anak-anak menjadi renggang. Tapi saya berpendapat, memarahi anak ini adalah sebahagian dari cara pendidikan. Cuma metodologinya perlu betul. Ia perlu digunakan dengan tepat pada masa dan keadaan yang sesuai, juga dengan metodologi marah yang sesuai. Untuk anak-anak yang terlalu kecil, seperti yang baru berusia 5 tahun, marah mungkin metodologi yang tidak begitu sesuai. 

Anak-anak yang sudah bersekolah mungkin lebih sesuai. Kerana mereka sudah mula memikul tanggung jawab. Oleh itu perlu ada pemupukan sifat pertanggungjawaban untuk memastikan mereka tidak culas terhadap tanggungjawab yang ada. Bagi saya metodologi marah yang betul adalah kita bersifat tegas, memberikan hukuman yang setimpal, dan memastikan mereka tidaklah sampai terluka atau merasakan kita tidak menyayangi mereka.

Bagi saya, pendekatan berleter tidak begitu efektif. Jika sudah disebut sekali pun tidak berjaya. Mengulang cakap benda yang sama berjam-jam bukan solusinya. Apabila peringatan yang cukup sudah diberikan saya kira ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan. Agar anak-anak faham bahawa ibu bapa mereka sudah berada di fasa yang mana mereka akan mengotakan kata-kata mereka. Sebagai contoh, jika ibu bapa telah memberikan penekanan "jika tidak disiapkan kerja sekolah, tiada masa untuk menonton video akan diberika" maka ibu bapa mestilah melaksanakan janji ini. Jika tidak, anak-anak tidak akan merasai ketegasan ibubapa mereka. Bagi saya ketegasan lebih efektif dari berleter.

Ia juga lebih efektif dari sudut psikologi. Bagi saya dengan berleter dengan panjang lebar, ia lebih banyak melukakan emosi anak yang semestinya sudah penat dimarahi. Saya juga tidak merasakan anak-anak yang sudah dimarahi akan mempunyai kompetensi akal untuk memproses leteran yang diberikan kepadanya. Bagi saya, dalam situasi anak sudah dimarahi dan diperingatkan, kita hanya perlu memberi satu arahan yang tegas, kemudian membiarkan mereka mempunyai ruang dan masa untuk berfikir. Tinggalkan mereka untuk bertenang dan berfikir tentang apa yang sudah kita nasihati. Jika kita terus menerus berleter, ini tidak akan membantu kerana besar kemungkinan mereka sudah menutup telinga apabila dimarahi. Maka lebih baik dalam keadaan ini, memberi satu nasihat yang tegas dan beredar. Anak mempunyai ruang dan masa untuk berfikir, ibu bapa juga mempunyai ruang dan masa untuk bertenang.

Bagi saya, ini adalah metodologi marah anak yang lebih berkesan.

Jumaat, 1 Disember 2023

Mon Monologue


Lama sudah rasanya tidak mencoret sedikit monolog. Jadi di ruang sempit ini, saya sekadar mahu melepaskan perasaan-perasaan yang ada.

Beberapa minggu kebelakangan ini adalah minggu graduasi. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan dan saudara mara yang bergraduasi. Meriah sekejap aliran media sosial dengan gambar konvo. Ada yang berjaya menghabiskan sarjana muda, ijazah, dan doktor falsafah. Melihat semuanya sangat menginspirasikan.

Saya kira belajar dan menyambung pengajian adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan. Belajar bagi saya merupakan proses umum. Ia dilalui oleh semua orang, kadang-kadang mereka sedar, kadang mereka tidak sedar. Belajar tidak semestinya melalui pengajian formal, tidak semestinya memerlukan kita membaca buku, setiap sisi kehidupan kita dapat menjadi satu proses pembelajaran. Dialog kita, pekerjaan, pengurusan anak-anak, masalah-masalah hidup. Semua mengajar kita sesuatu sama ada kita sedar atau tidak.

Beberapa ketika, saya memang minat membaca buku. Bagi saya meneroka helaian buku adalah sesuatu yang membahagiakan. Meskipun kadang kesibukan hanya membenarkan saya menyelak beberapa halaman sahaja sehari. Lama kelamaan ia menjadi ruji harian. Walaupun membaca buku itu mengasyikkan. Saya kira ia juga mempunyai limitasinya yang tersendiri dalam proses pencarian ilmu.

Ia bersifat mandiri dan tidak berstruktur. Maksudnya, kita baca apa yang kita mahu baca, kita yang menentukan apa yang kita mahu pelajari. Kita juga boleh membacanya mengikut kelajuan kita sendiri tanpa apa-apa tekanan atau paksaan. Tetapi saya merasakan, untuk kita mahir dan belajar sesuatu perkara, kita memerlukan sedikit tekanan. Tidaklah tekanan yang membuatkan kita gila. Tetapi tekanan yang mampu mengeluarkan kita dari bilik kita yang selesa, dan belajar sesuatu yang mungkin kita sendiri tidak sedar kita perlu belajar. Ini bagi saya memerlukan pengajian yang tersusun dan formal.

Seperti apa-apa objek logam yang cantik, ia memerlukan tekanan haba agar ia boleh dibentuk dan dibina. Saya kira proses mencari ilmu dalam dunia formal juga begitu. Ia memberi kita tekanan untuk kita berusaha. Kita perlu belajar walaupun kita malas. Kita tidak boleh bersenang lenang kerana kita mempunyai had masa. Maka ia memaksa kita berusaha. 

Berbanding dengan mencari bacaan sendiri. Memilih subjek formal untuk dipelajari memerlukan kita membaca bahan-bahan tertentu, kuliah pengajian akan membuka fikiran kita kepada bahan-bahan yang sangat menarik yang jika kita bergerak sendirian mungkin tidak kita temui. Kerana manusia secara bersendirian itu amat terhad upayanya. Dengan diskusi dan dialog, dia akan mendapat sesuatu perkara yang sudah diusahakan orang lain, jadi ini akan membantunya dalam usaha pencarian ilmu kerana sebahagiannya boleh didapati melalui usaha orang lain. Jika semua mahu dilakukan bersendirian, usahanya sangat terhad, malah penerokaannya mungkin tidak akan sampai ke garis hujung fatamorgana ilmu.

Menyambung pengajian sememangnya mengasyikkan. Duduk mendengar kuliah membuatkan kita terasa seperti pelajar muda. Walaupun mungkin rambut-rambut putih sudah mula muncul di sebalik selitan ikal rambut, namun jiwa kita akan sentiasa merasa muda dengan duduk belajar. Proses pembelajaran membuatkan jiwa kita segar, sentiasa mahu mencari dan memahami.

Keasyikan mendengar kuliah juga membuatkan kita sedar. Kita hanya titik nol kecil dalam lautan infiniti ilmu. Saya sangat gembira terutamanya jika menjumpai sesuatu perkara yang sebelum ini saya tidak ketahui. Memahami sesuatu yang sebelum ini saya sendiri tidak sedar akan kewujudannya. Belajar sentiasa mengerdilkan kita. Semakin kita tahu, semakin kita sedar bahawa kita hanya zarah kecil dari bima sakti ilmu yang tiada penghujung. 

Menyambung pengajian juga memberikan kita peluang untuk mendampingi para sarjana dan pemikir. Memetik buah-buah ilmu mereka dari jarak yang lebih dekat. Memberi kita peluang merasakan sentuhan inspirasi. Melihat jalan ilmu yang telah mereka telusuri. membuatkan hati kita berbunga untuk menempuh jalan yang sama juga. Jalan-jalan ilmu yang membawa kita pada bahagia.

Maka jika ada satu perkara yang saya mahu lakukan sepanjang umur usia yang singkat ini. Saya mahu selamanya menjadi penuntut ilmu. Menjadi pelajar yang meneroka sempadan-sempadan pengetahuan. Menjadi rahib yang asyik bersendirian di perpustakaan. 

Hinggalah tiba satu hari di mana saya dipanggil semula oleh Tuhan.

Sabtu, 18 November 2023

Serangan Jantung di Umur 30-an


Pagi Ahad, 11 November 2023 sepertinya merupakan Ahad seperti hari yang biasa. Kami merancang untuk ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan ibu di sebuah homestay dan membawa anak-anak bersama. Di pertengahan jalan kami singgah di Shell Sungai Bakap untuk membeli makanan dan minuman, saya pula ingin membeli kopi sebagai peneman di sepanjang perjalanan. Pada ketika itu saya mula merasakan sakit di dada, namun ketika itu tidak begitu kuat, jadi saya fikir ia akan hilang tidak lama lagi, jadi saya terus memandu seperti biasa meninggalkan Shell Sungai Bakap. 

Namun sakit dada saya tidak surut-surut malah bertambah sakit. Akhirnya saya keluar di Exit Parit Buntar di mana isteri saya mengambil alih stereng, dan kami terus ke bahagian kecemasan Hospital Parit Buntar. Selepas mengambil tekanan darah, saya dibaringkan dan electrocardiogram (ECG) di lakukan. Saya juga diberikan beberapa ubat termasuklah ubat glyceryl trinitrate yang perlu diletakkan di bawah lidah. Selepas itu, dada saya beransur hilang sakitnya. Sampel darah diambil, ECG dilakukan sehingga kali ke-3, dan ujian X-ray juga dilakukan. Selepas lebih kurang sejam, doktor memaklumkan bahawa saya terkena serangan jantung ringan, bacaan ECG menunjukkan ada perubahan dan saya perlu dimasukkan ke dalam wad.

Oleh kerana Parit Buntar agak jauh dari rumah saya, saya akhirnya memutuskan untuk masuk ke wad di Hospital Sungai Petani atas risiko sendiri. Setelah menandatangani surat, saya pun dibenarkan pulang ke Sungai Petani. Di bahagian kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, saya diuji sekali lagi dengan ECG, doktor memaklumkan bacaan menunjukkan ada serangan jantung, manakala imej X-ray menunjukkan keadaan paru-paru dan jantung yang normal, tiada angin. Akhirnya saya dimasukkan ke Wad Bunga Raya 2.

Setelah tiga kali dicucuk fondaparinux di perut dan makan ubat kolestrol setiap malam, saya akhirnya dibebaskan dari wad pada 14 November 2023 dan dibenarkan pulang ke rumah. Saya dibekalkan dengan ubat glyprin, clopidogrel, pantoprazole, dan atorvastatin. Final diagnosis yang dinyatakan pada discharge note saya adalah "unstable angina".

Bacaan kolestrol saya sebelum ini memang sedikit tinggi. Kali terakhir ujian darah saya lakukan untuk masuk ke Universiti Sains Malaysia pada 22 Ogos 2023. Ketika itu bacaan kolestrol keseluruhan saya adalah di paras (6.5), LDL di paras (4.5), manakala bacaan triglycerides pada paras (0.9). Oleh kerana waktu menunggu untuk ujian cardiac stress test dan echocardiogram di hospital kerajaan agak lama. Saya memutuskan untuk ke Hospital Pantai untuk melakukan ujian lanjut.

Ujian di Hospital Pantai dilakukan bermula 15 November 2023, keputusan echocardiogram tidak menunjukkan apa-apa gejala yang tidak normal, kesimpulan yang dibuat dari ujian ini adalah "good heart function". Kemudian saya telah menjalani cardiac stress test pada hari yang sama. Ujian ini dilakukan dalam beberapa fasa. Di mana alat ECG dilekatkan pada badan, dan kita dikehendaki untuk berlari di atas treadmill. Setiap fasa, kelajuan dan inclination akan ditingkatkan. Setiap fasa dilakukan dalam masa 3 minit. Jururawat mencadangkan saya melakukan ujian hingga fasa ke-6, namun di fasa ke-5 saya sudah kepenatan dan berhenti. Cardiologist mengatakan bahawa jantung saya stabil pada fasa pertama, namun bermula fasa kedua dan seterusnya, bacaan graf menunjukkan ada penurunan kandungan oksigen, beliau menyebut ada "interference" bermula fasa kedua. Jadi beliau menasihatkan saya untuk berhenti dari menjalankan apa-apa sukan yang berbentuk kompetatif dan high-intensity. Hanya dibenarkan jog ringan sahaja. Nampaknya berakhir sudah kareer sukan saya.

Oleh kerana had limit insurans saya untuk rawatan luar spesialis terbatas, untuk ujian computed tomography (CT Scan) coronary angiogram dan angiogram untuk melihat aliran darah dengan menggunakan contrast dye, saya sekali lagi perlu dimasukkan ke dalam wad. Saya melakukan CT Scan pada 16 November 2023. Saya di minta untuk berbaring dan menahan nafas selama sepuluh saat sementara mesin CT Scan berpusing di sekeliling saya. Pusingan ini dilakukan sebanyak dua kali, kali kedua badan terasa agak panas apabila ubat hijau dimasukkan ke dalam badan dan mesin berpusing laju di sekeliling badan. Doktor mengesahkan bahawa memang terdapat salur darah yang menyempit di bahagian kiri hadapan jantung. Namun menurut beliau, keputusan ini juga tidak begitu konklusif kerana ia mempunyai limitasi dari sudut peratusan kesilapan (percentage error). Salur darah yang bermasalah ini adalah left anterior descending artery (LAD) di mana doktor menulis keputusannya "focal mild to moderate stenosis at proximal to mid LAD". Untuk lebih tepat, doktor menasihatkan saya untuk melakukan angiogram menggunakan contrast dye.

Ujian angiogram ini saya lakukan pada 17 November 2023. Semasa tangan kanan ditebuk untuk dibius dan dimasukkan alat saluran contrast dye, saya merasakan sangat sakit, tangan juga merasa kejang. Dalam hati saya berdoa "O God I am not afraid to die but please spare me the pain". Dari ujian ini memang dapat dilihat bahawa saluran darah kiri hadapan itu mempunyai blockage sebanyak 50%. Maka saya kira dari ujian-ujian ini, saya perlu menerima hakikat bahawa saya memang mempunyai masalah jantung, tidak lagi boleh melakukan sukan berat, dan perlu berdisiplin makan ubat hingga ke hujung usia. Walaupun terdapat sedikit kesedihan di hati kerana tidak dapat lagi terlibat dalam sukan-sukan yang diminati, saya tidaklah kecewa yang teramat sangat sehingga menimbulkan depresi. Saya terima sahaja dengan hati yang redha. Mungkin ini adalah stesen kehidupan yang baharu di mana saya diberi peluang untuk lebih fokus dalam hal pengajian dan akademik. 

Khamis, 2 November 2023

Untuk Cinta, Aku Laburkan Umur Pada Ilmu

 

Semalam sempat ke Big Bad Wolf Sungai Petani bersama anak-anak. Oleh kerana ada beberapa almari lagi buku yang belum dibaca, dan mungkin takkan sempat dibaca semuanya sebelum mati, jadi saya berikrar untuk beli sebuah buku sahaja. Saya tertarik dengan sebuah buku yang cuba untuk memperihalkan sejarah universiti, bagaimana universiti boleh sampai ke tahap moden yang diduduki sekarang. Buku tersebut bertajuk Wisdom's Workshop: The Rise of the Modern University oleh James Axtell.

Saya mempunyai satu sikap di mana, kalau saya tahu buku itu menarik, namun saya tak punya masa untuk membacanya, saya akan membelek-belek dan membaca 10-20 mukasurat pertama. Biasanya tesis utama akan berada dalam lingkungan ini. Walaupun mungkin bukan keseluruhannya. Axtell dalam kalam mulanya banyak menceritakan perihal pengalaman peribadinya, perubahan-perubahan minatnya yang menyebabkan beliau banyak menulis subjek-subjek yang berbeza. Namun akhirnya beliau kembali ke subjek kegemarannya, yang beliau gelar sebagai "cinta pertama", iaitu universiti.

Membaca pengalaman Axtell menulis menimbulkan satu semangat yang berjangkit kepada saya. Entah kenapa semangat menulis saya yang semakin lama semakin pudar muncul semula. Melihat semua buku-buku yang ditulis Axtell membuatkan saya cemburu. Takkanlah saya hanya mahu berhenti di sini, sedang horizon ilmu masih luas. Masih banyak yang boleh dipelajari dan ditulis dengan baki umur yang ada. Maka saya kira saya perlu bersemangat semula untuk mengangkat pena.

Budaya pena dan penulisan bukanlah sesuatu yang baru di tanah nusantara kita ini. Menurut John M. Gullick dalam tulisannya Indigenous Political Systems of West Malaya (halaman 52), budaya penulisan dan sastera telah merebak di Nusantara sejak berkurun lamanya. Pada kurun ke-15 surat dari kuasa asing akan di bawa oleh Sultan Melaka ke bandar dengan rombongan bergajah untuk dibacakan. Begitu sekali mereka meraikan sebuah penulisan.

Maka haruslah kita generasi baharu meneruskan budaya penulisan, pembacaan, susastera, dan juga wacana. Bukan sekadar untuk meninggalkan sesuatu untuk generasi seterusnya. Tetapi juga untuk diri kita sendiri. Untuk memuaskan kecintaan kita pada ilmu. Kerana bagi saya, umur yang berguna adalah umur yang kita laburkan pada ilmu.

Ahad, 8 Oktober 2023

Palestin: Saat Para Kolonialis Tersedar Dari Tidur


Pada 08 Oktober 2023, saya membaca berita-berita yang sedang keluar perihal perjuangan bangsa Palestin untuk membebaskan tanah air mereka dari penjajahan dan kolonialisma Zionis. Berita-berita ini sangat mengesani hati dan menaikkan semangat saya. Sejak 1948, umat Islam di Palestin dibunuh, dihalau, dilayan dengan dasar apartheid, ia pastinya satu keadaan yang tidak stabil. Mana mungkin satu bangsa dapat dizalimi selama-lamanya. Pasti dalam sejarah bangsanya akan lahir generasi-generasi yang berani, yang cekal berjuang membebaskan tanah air mereka. Saya berharap, semoga perjuangan mereka beroleh kemenangan dan mengakhiri kolonialisma dan apartheid once and for all.

Siri perang antara Palestin dan Zionis bukanlah satu perkara baharu. Seperti yang dikatakan oleh Husam Zomlot dalam wawancara Aljazeera "sejarah tidak bermula 48 jam yang lalu". Perjuangan pembebasan yang bermula semula ini bukanlah satu perkara baharu. Ia merupakan penerusan dari perjuangan pembebasan Palestin sejak dari tahun 1948 apabila militia-militia Zionis melakukan jenayah kemanusiaan pembersihan etnik. Militia Zionis telah membunuh banyak orang-orang Palestin serta menghalau mereka dari tanah air mereka.

Sejak 1948, naratif perjuangan Palestin adalah naratif defensif. Mereka terpaksa bertahan menjadi mangsa kekejaman Zionis yang dibekalkan persenjataan moden oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Namun pada 08 Oktober 2023 ini, naratif perjuangan sudah berubah, perjuangan Palestin kini berubah kepada ofensif, dengan pejuang-pejuang kemerdekaan dari Gaza memasuki kawasan-kawasan yang dijajah oleh Zionis serta cuba memerdekakannya. Para kolonialis serta kuasa-kuasa imperial barat yang hipokrit tiba-tiba tersedar dari tidur. Mereka telah lama bermimpi bahawa mereka boleh melanjutkan projek kolonial mereka. Kini mereka tersedar bahawa bangsa yang dijajah mereka juga mempunyai maruah dan keberanian.

Terlalu awal untuk bersorak kemenangan. Tapi dari segi psikologinya, ia akan tertanam sedalam-dalamnya pada minda para kolonialis bahawa penjajahan mereka tidak akan melahirkan keamanan dan keselamatan. Ya, sekali lagi, masih terlalu awal untuk bersorak meraikan kemenangan melawan kolonialisma dan apartheid yang masih tersisa ini. Tetapi seperti yang ditulis oleh Marwan Bishara "10 jam pertama ini telah mengejutkan" kolonial Zionis. Mereka tersedar dari tidur, bangun dari "keangkuhan kepada kehinaan".

Berita perjuangan melawan kolonialis Zionis hampir tiada langsung di Facebook. Semua kandungan pro-perjuangan Palestin diturunkan, disekat, dan dibuang. Begitulah kuatnya censorship Facebook bagi menyokong kolonialisma Zionis. Media sosial seperti X (Twitter) dalam hal ini lebih bebas dan lebih banyak berita. 

Antara perkara yang menyeronokkan diri saya apabila kisah-kisah perjuangan Palestin naik semula di mata dunia adalah keluarnya banyak bahan-bahan sejarah baharu. Antara yang paling best dan baru keluar adalah sejarah perjuangan pembebasan oleh Azzam Tamimi dalam sebuah wawancara. Beliau menerangkan bagaimana gerakan perjuangan itu bermula. Bermula dengan tidak mahu berjuang dan melakukan gerakan islah. Kemudian terpaksa berjuang kerana keadaan memaksa. Ramai yang mengkritik mereka apabila mereka hari ini mereka menggunakan senjata moden seperti roket dan drone. Tapi pada peringkat awal mereka hanya menggunakan pisau sahaja. Apabila terdesak, mereka menggunakan cara kamikaze. Mereka juga cuba berjuang pada peringkat awal dengan merampas senjata lawan. Dan apabila gerakan-gerakan lain yang pada awalnya mengkritik mereka mula berhenti berjuang kerana mendapat dana dan janji ekonomi, mereka terus dengan perjuangan mereka. Dari pisau ke persenjataan moden baharu. Saya kira sejarah seperti ini perlu ditranskripkan dan dokumenkan agar capaiannya lebih luas dan bermanfaat.

Menjadi penyokong yang menyorak perjuangan dan revolusi yang telah menang itu benda mudah dan mediocre bagi saya. Tapi bersama memperjuangkan perjuangan yang masih berada di tahap struggle, itu adalah emas dan permata. Terma seperti terroris, militan, pemberontak dan sebagainya, ini semua adalah terma yang biasa digunakan sepanjang zaman oleh pihak kolonial dan konco-konconya dalam mempertahankan jenayah kolonial mereka. Jadi tak perlulah kita berasa hairan dengan kelakuan media Barat dalam melaporkan kezaliman Zionis. 

Sebab itu Kanafani dahulu menekankan pentingnya kita menggunakan istilah yang betul, jika kita hanya ikut naratif kolonial, kita sendiri keliru mana satu yang perlu kita sokong. Sebab kolonial Zionis ini merupakan projek Eropah, tidak hairanlah semua negara Eropah menyokong projek kolonial Zionis sehingga ke hari ini. Jadi usahlah berharap sangat kepada Eropah yang "enlighten" itu, semuanya hipokrit sahaja. Benar kata Pappe, tiada kuasa kolonial yang akan menyerahkan kuasa mereka dengan mudah hanya dengan berbincang sambil minum teh. Semua kuasa kolonial dalam sejarah menyerahkan kuasa mereka setelah mereka dipaksa dan peribumi memberontak. 

Jadi kita tidak perlulah naif, kononnya kita menyokong keamanan, walhal peribumi dibunuh setiap hari tanpa pembelaan. Menyuruh mereka berdiam diri adalah menyuruh mereka untuk mati dalam senyap. Bagi saya golongan-golongan yang mengaku tercerah, kononnya menyonsong wacana dekolonialisasi, semunya hipokrit sahaja jika mereka hanya duduk diam membisu ketika projek kolonial zalim Zionis masih berlangsung ke atas dunia. Mereka hanya suka dengan wacana sia-sia di atas awan perihal pencerahan yang selamat, yang sudah menang dan tidak berguna pun diungkit lagi. Sedang wacana sebenar di zaman mereka langsung tidak disentuh.

Jumaat, 6 Oktober 2023

Erti Hidup Pada Melepaskan


Hidup ini merupakan perjalanan yang panjang, oleh itu kita tidak dapat membawa semua yang kita rasai dan hadapi dalam perjalanan hidup. Kerana jika kita mahu membawa semuanya, hidup akan menjadi terlalu berat, kita akan tersangkut dan tidak dapat bergerak. Oleh itu, salah satu perkara yang penting dalam hidup adalah untuk kita belajar melepaskan. Belajar melepaskan memori dan nostalgia yang melukakan. Belajar melupakan kesilapan dan kesalahan. Belajar untuk melepaskan orang-orang yang menghambat kehidupan kita.

Saya dulu merasakan kita perlu mendengar dan terima semua pandangan orang lain. Walaupun pandangan itu menyakitkan, melukakan, dan juga melemahkan diri saya sendiri. Mungkin pengalaman masih belum banyak, jadi saya memang idealis, naif, dan hanya menerima apa yang datang. Namun semakin dewasa saya menyedari tak semua orang itu berguna untuk saya, ada orang-orang yang sebenarnya saya tidak perlukan. Malah jika saya simpan mereka dalam hidup saya, ia hanya akan membuatkan hidup saya statik dan terpendam. 

Maka penting untuk kita melepaskan mereka dari hidup kita. Kita tak perlu dengar semua pendapat dan pandangan. Kerana ada pandangan yang sebenarnya bukan pandangan, tetapi hanyalah iri hati yang dibalut dengan keindahan. Ada komen yang sekadar mahu melemah dan mematahkan kita. Ada senyuman yang palsu. Maka, kebolehan untuk kita mengabaikan orang-orang seperti ini sangat penting. Ia membolehkan kita terbang lebih tinggi, berlari lebih jauh, dan mendaki puncak-puncak baharu.

Tidak perlu untuk kita selama-lamanya terperangkap dalam bayang-bayang orang lain. Tiba masa kita kena belajar keluar, berdikari, dan mandiri. Perlu berani untuk tidak menoleh ke belakang. Pasti, tiba satu hari nanti, kita akan menghargai keberanian diri kita sendiri pada masa lalu. Kerana jika kita masih membelenggu diri kita dengan orang-orang yang tidak penting dan merosakkan, hidup kita hanya akan statik, malah mungkin lebih teruk, sentiasa terkebelakang. Kita tak mampu untuk maju ke depan.

Maka ingatlah, tidak semua orang itu penting. Sebahagiannya memang ditakdirkan untuk kita tinggalkan. Agar kita mampu membesar dan mendewasa dengan lebih bahagia.

Jumaat, 29 September 2023

Membaca & Proses Berfikir


Saya kira proses pembelajaran tidaklah eksklusif pada membaca sahaja. Proses pencarian ilmu itu pelbagai, dengan mengembara, mencari pengalaman, berdialog, mendengar syarahan, menonton kandungan video, dan seribu satu cara yang lain.

Tapi saya kira membaca buku mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya adalah kelebihan berfikir. Berbeza dengan mendengar atau menonton kandungan. Proses membaca biasanya berlangsung dalam suasana yang senyap dan sunyi. Keadaan ini membenarkan kita menghadam maklumat dalam masa yang sama berfikir tentangnya.

Jika kita mendengar syarahan, tidak sempat kita berfikir tentang sesuatu perkara, pensyarah mungkin berkata perihal benda yang lain. Jadi fikiran kita segera teralih, ini menghalang kita daripada berfikir dengan lebih dalam. Tetapi proses membaca dalam diam dan kesunyian memberi kita ruang untuk berfikir dengan lebih mendalam dan panjang. Idea itu dapat digarap dengan lebih sempurna dalam kotak fikir kita. Ia boleh bermain-main lebih lama di dalam kolam pemikiran kita lantas membolehkan kita menimbang pelbagai sudut dan perspektif. Dengan membiarkan fikiran melayang, kita membenarkan idea mengalir dengan lebih lama. Hal ini akan menghasilkan takungan idea yang lebih bermutu.

Dan inilah sebab bagi saya pembacaan memberi kelebihan dalam mengayakan idea dan pemikiran, adalah lebih baik kita biarkan fikiran kita tenggelam dalam pembacaan.

Catatan Baitul Muslim 66: Memori Sebelum Hilang


Keluarga bagi saya merupakan kumpulan memori, memori tentang insan yang hidup bersama dalam sebuah keluarga. Insan-insan di dalamnya pasti tidak akan hidup bersama selamanya, itu sunnah kehidupan yang diatur Allah, namun yang pasti memori yang terkumpul akan kekal bersama hingga setiap ahlinya menghembuskan senafas nyawa. Dalam penulisan kali ini tiada sebarang nasihat atau motivasi kekeluargaan yang saya mahu coretkan. Sekadar ingin menyimpan beberapa memori sebelum ianya hilang pergi apabila anak-anak mula mendewasa.

Amni kini sudah darjah dua dan sudah bersekolah. Pencapaian akademiknya boleh dikira cemerlang, walaupun setiap hari dia sedikit liat untuk menyiapkan kerja sekolahnya dan perlu sering dikerah oleh uminya. Amni banyak menunjukkan minat dalam hal kesenian, kraf, dan juga sains. Dia masih lagi mengikuti kelas seni di hujung minggu di Global Art. Kini, Idlan juga sudah mengikuti kakaknya ke kelas. Jadi setiap minggu ada lukisan-lukisan baharu yang di bawa pulang. Jika dikumpulkan, mungkin boleh dibuat satu galeri pameran seni. Namun, kraf-kraf yang dibawa balik sukar disimpan kerana kekurangan ruang. Kebanyakannya akhirnya rosak dan dibuang. Namun mungkin itu semua boleh menjadi bahan latihan buat mereka untuk menghasilkan karya seni dan kraf yang lebih baik di masa hadapan. Sehingga kini Amni masih ingat lukisannya yang pernah saya jadikan sebagai kulit buku antologi puisi. Sering disebut "nah abi boleh buat buku baru", sambil menyerahkan lukisan.

Selain itu, Amni banyak menghabiskan masa menonton video di talifon bimbit. Antara cerita kegemaran terbarunya adalah animasi Jepun Cardcaptor Sakura. Ada ketikanya dia menyuruh saya melukis watak-watak anime untuknya. Amni juga banyak terpengaruh dengan eksperimen sains yang dilihatnya di dalam video. Cubaan terbaharunya beberapa hari lepas adalah memasukkan biji gula-gula mentos ke dalam air berkarbonat Coca-Cola. Namun eksperimen ini gagal kerana air tersebut tidak membuak dan melimpah keluar. Amni juga menunjukkan minat yang tinggi terhadap pelekat, jika ke kedai Mr. DIY akan minta beli pelekat. Hingga ke sekolah pun berjual beli pelekat bersama kawan-kawan.

Idlan pula kini berada di tadika dan berusia 5 tahun. Antara lagu kegemarannya sekarang adalah lagu Ababil nyayian kumpulan Raihan. Setiap hari dia akan melihat video Abrahah di Youtube sambil mendengar nasyid ini. Juga menyuruh tokmi menceritakan kisah burung Ababil berulang-ulang kali. Semasa solat berjemaah maghrib, Idlan akan request agar surah Al-Fiil dibaca, jika tidak dibaca, dia akan mempersoalkannya selepas solat. Selain itu, antara video yang sering diulang-ulang adalah video tarian singa semasa hari Tahun Baru Cina atau lion dance. Dia masih ingat peristiwa dia menjerit dan menangis satu ketika dahulu ketika melihat lion dance secara live di kedai di Riverfront, Sungai Petani. Katanya kini dia sudah tidak takut kepada lion dance. Selain menonton video, kadang-kala dia akan melakukan lion dance sendiri dengan kakaknya menggunakan selimut. Disuruhnya saya merakam aksi mereka untuk dimuatkan di laman Instagram.

Aktiviti lain Idlan selain Ababil dan lion dance adalah mewarna dan juga menyiapkan buku aktiviti. Setiap hari dia akan meminta saya untuk mencetak sesuatu untuk diwarnakan. Selesai mewarna, lukisan akan ditampal di bilik tidur, atau dimasukkan ke dalam file yang mengumpulkan kertas-kertas warnanya. Kadang-kala dia akan mengajak saya menyiapkan puzzle yang dibelikan oleh tokmi kepadanya. Manakala sebelum tidur, dia akan meminta saya menceritakan sesuatu kepadanya. Biasanya saya akan mencipta sahaja apa-apa cerita berkenaan dengan haiwan atau dinosaur.

Juga sekarang kedua-dua anak ini akan bermain game Sonic Prime Dash di masa senggang mereka. Moga-moga mereka berdua tumbuh menjadi manusia yang baik.

Ahad, 24 September 2023

Tidak Lebih Dari Daun Kering Yang Hanyut Tanpa Sedar


Kadang-kala kita akan mempersoalkan keputusan yang kita buat dalam hidup. Di lautan infiniti kemungkinan, kita hanya dapat memilih satu pilihan. Meninggalkan infiniti pilihan lain yang telah ditolak satu. Selepas itu, alur kehidupan baharu akan terbentuk, suka atau tidak, kita tidak dapat berpatah semula selepas kita melakukannya.

Bagi saya, itu biasa. Itulah kehidupan. Kehidupan adalah satu dari pelbagai pilihan. Sebagai makhluk rasional, kita selalu akan berfikir ke belakang, menimbang betulkah keputusan yang kita lakukan ini. Namun, tiada siapa yang dapat menjawabnya melainkan diri kita sendiri.

Saya sering juga menilai keputusan dalam hidup. Sering kali banyak perkara yang mudah boleh dipilih. Tetapi entah kenapa, yang lebih susah itu lebih memikat hati untuk dipilih. Saya merasakan, hidup yang sekali ini, pastilah lebih bermakna jika kita mencuba sesuatu yang sukar. Sesuatu yang tidak dicuba oleh orang lain.

Teringat zaman di universiti. Masa tahun akhir, para pelajar disuruh memilih penyelia. Ada seorang penyelia yang digeruni pelajar, namanya Cistyakov. Mungkin kerana dia sedikit tegas dan garang. Semua pelajar tidak berani menjadikan beliau sebagai penyelia mereka. Saya pula tidak berapa gemar ikut orang lain. Jadi saya memilih beliau, kemudian ada beberapa teman lain yang memberanikan diri untuk memilih beliau. Orang kata, the rest is history.

Mengikut arus dan pilihan majoriti memang mudah dari menjadi dissenter, contrarian atau non-conformist. Tapi dimanakah keseronokan dalam hanya mengikut dengan senang lenang? Melawan arus tidak menjanjikan kejayaan, tapi kita dapat belajar lebih banyak daripadanya. Sama ada keputusannya jaya atau gagal. Ia memberi kita lebih kekuatan dan daya tahan.

Teringat puisi Inggeris yang dipelajari dulu-dulu masa di sekolah "the road not taken". Memilih jalan yang orang lain tidak mahu lalui kadang memang sukar dan mencabar. Ia melatih tahan dan sabar. Namun bagi saya, ia lebih memuaskan, dari sekadar mengikut sahaja arus dan apa yang ditetapkan. Seolah hidup tidak lebih dari daun kering yang hanyut tanpa sedar.

Ahad, 17 September 2023

Catatan Baitul Muslim 65: Kerinduan yang menggigit


Kerinduan yang paling menyakitkan adalah kerinduan yang dipisahkan oleh kematian. Merenung gambar-gambar lusuh lama juga tidak membantu, malah ada ketikanya hanya menambah kerawanan jiwa. Melihat rumah yang dahulunya riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil dan adik-beradik yang saling bertelingkah, kini hanya sepi, dengan perabut dibalut agar tidak dihuni habuk. Juga peralatan-peralatan lama, yang masih setia menunggu tuannya yang tidak akan pernah kembali, ia terdampar sepi mengumpul karat-karat besi.

Begitulah sebenarnya putaran hidup, suka atau tidak, tiada apa yang kekal. Anak-anak yang menghiasi hidup akan terus tumbuh membesar. Masa tidak akan menunggu ibu bapa yang mahukan manja-manja mereka berkekalan. Lama kelamaan anak-anak itu akan merdeka dan mandiri, dia akan keluar dari rumah bertebaran membawa diri. Dia akan membina hidupnya yang baharu, dengan orang-orang baharu. Putaran hidup ini walaupun menyedihkan, ia adalah lakaran kehidupan. Tiada siapa yang salah, kerana ia adalah sunnatullah. Yang muda akan tua, yang kecil akan dewasa, dan semuanya akhirnya akan meninggalkan dunia.

Sekuat mana pun kasih sayang yang dibina, apabila tiba masanya, perpisahan terakhir akan menggigit kita. Meninggalkan parut rindu di dalam hati yang tidak akan pernah sembuh. Parut yang akan kita bawa sehingga ke akhir hayat. Hidup ini sememangnya melankolik jika kita mahu memilihnya. Namun disebalik melankolik ini, hidup juga memberi kita pilihan untuk bahagia dan gembira jika kita memilihnya. Hidup, seperti juga sekeping wang syiling, mempunyai dua sisi. Ada sisi sedih, ada juga sisi gembira, dengan keduanya hidup kita diwarnai.

Selepas kita tenggelam dalam melankoli hidup, yang memang selayaknya kita tenggelam sementara, kita harus bangun semula. Untuk menghargai apa yang kita masih ada. Ya, kita kehilangan seseorang, tetapi kita tidak hilang semuanya. Haruslah kita adil, dalam menangisi insan yang sudah pergi, kita juga harus meraikan insan-insan yang masih ada di sisi. Menemani mereka, selama mana takdir membenarkan kita. Melankoli hidup dicipta Tuhan bukanlah sebagai perasaan yang sia-sia. Tetapi sebagai satu renjutan jiwa, agar kita menghargai apa yang masih kita ada.

Selagi kita punya masa bersama anak-anak, maka hargailah mereka. Raikan tangisan manja mereka. Lihatlah segala apa yang mereka mahu tunjukkan kepada kita, sama ada pencapaian kecil atau besar mereka. Dengarlah segala aduan-aduan dan rungutan mereka, sebesar dan seremeh mana pun yang kita rasa. Hayatilah pertengkaran antara mereka, kerana satu hari nanti, ribut tangisan dan perang mulut mereka adalah lagu yang sentiasa kita rindu dan damba. Sebelum kerinduan datang menggigit, kita harus menghargai kehidupan bersama insan-insan. Selama mana takdir membenarkan.

Jumaat, 15 September 2023

Ombak Yang Kepenatan


Dalam sebuah bual bicara, Saudara Wan Hamidi ada menegur penulisanku di mana aku menulis bahawa aku merasakan aku telah tua. Aku memberi tahu padanya perihal konteks penulisan ku itu. Kerana kebanyakan mereka yang datang mendekatiku untuk bertanya perihal hal-hal penulisan adalah orang yang lebih muda dari diriku, sebab itu aku merasakan diri ku tua.

Wan Hamidi menerangkan bahawa dia menegurku yang perasan tua kerana dia bimbang bahawa aku akan berhenti menulis. Katanya apabila seseorang itu tua, dia mungkin merasakan masa untuk dia menulis sudah selesai. Dia pun meletakkan penanya dan tidak lagi menulis. Pada ketika itu, aku merasakan, pasti aku tidak seperti itu. Aku masih bersemangat untuk menulis, dan aku akan terus menulis.

Namun sedikit demi sedikit apa yang digusarkan oleh Wan Hamidi itu menyelinap masuk ke dalam hidupku. Semakin lama aku semakin kurang menulis dan tidak lagi aktif menerbitkan penulisan. Malah banyak projek-projek penulisan yang tergendala dan berhabuk sahaja di dalam komputer. Sepertinya gelombang yang menolakku untuk menulis telah surut dan pudar. Ombak semangat untuk menulis dalam jiwaku sudah kepenatan.

Namun apabila direnungkan, sebenarnya tidaklah aku berhenti menulis langsung. Namun fokusku sudah berubah. Kebanyakan penulisanku berfokus pada hal-hal yang lebih akademik. Jadi aku kurang menulis perihal perenungan hidup, kisah-kisah, cerita pendek, yang sebelum ini merupakan jenis-jenis esei kegemaranku. Aku merasakan, sebenarnya, semangat menulis itu ada pasang surutnya. Mungkin kini aku di fasa persurutan, tetapi tidaklah sampai ke tahap berhenti.

Bagi aku penulisan itu memerlukan sifat istiqamah. Istiqamah ini bukan melakukan perkara ketika bersemangat sahaja. Melakukan perkara ketika bersemangat itu kerja mudah. Tetapi istiqamah yang sebenar adalah apabila kita memaksa diri kita melakukan perkara ketika kita penat dan malas. Jika dalam keadaan paling bawah pun kita masih terus cekal bekerja dan berusaha, maksudnya kita berjaya istiqamah. Walaupun mungkin usaha itu tidaklah sebanyak seperti mana ketika semangat kita sedang bergelojak dan membara.

Sedang aku melayan perasaan malas yang membadai jiwa ini aku menerima sepucuk mesej.

"Saiyid Ahmad Fathi berbakat, insyaallah masa depan menanti dia di sana."

Mesej ini merupakan mesej yang dihantar oleh Ustaz Darus Senawi kepada Ustaz Yazid Noh selepas Ustaz Yazid menyerahkan naskah Mendidik Untuk Bahagia kepada Ustaz Darus. Naskah tersebut merupakan antologi kumpulan catatan aktivis pendidikan di Sabah yang aku bantu susun, sunting, dan terbitkan. Bagi aku Ustaz Darus bukanlah penulis sebarangan, walaupun aku tidak pernah menjadi pelajar beliau secara langsung, aku ada membaca naskah-naskah kitab Arab yang beliau terjemahkan. Antaranya kitab Fiqh Al-Sirah yang merupakan kitab karangan Almarhum Sheikh Said Ramadhan Al-Buti, kitab terjemahan Ustaz Darus ini aku tekuni semasa aku menyambung pengajian di Rusia ketika muda dahulu. Namun bukunya yang paling berbekas bagiku adalah naskah Kembara Darus Senawi 1963. Bagi aku buku ini agak istimewa kerana ia memaparkan sudut peribadi beliau juga pengalaman mudanya.

Mesej dari Ustaz Darus ini, meski pun ringkas, membuatkan hati aku sedikit berbunga semula. Sedikit sebanyak kabus kemalasan bertiup pergi dan ombak kemalasanku sedikit sebanyak bergelora semula. Ayuh, aku mahu bermula semula.