Penulis: Wendi Zarman
Penerbit: Green Dome Publications
Cuba teka, apa perasaan ketika mahu menjadi ayah buat kali pertama? Ia tidak dapat diceritakan, seperti mana kita tidak dapat menceritakan kesakitan melahirkan anak. Kerana perasaan dan rasa bukan merupakan kuantiti fizikal, ia hanya diketahui oleh orang yang merasai dan mengalaminya. Namun, secara ringkas ia dapat diceritakan, walaupun ia tidak akan sama dengan apa yang dirasai oleh insan yang mengalaminya sendiri.
Secara jujur saya berasa sangat takut, risau dari pelbagai sudut. Sudut keewangan, sudut kemampuan dan skil mendidik anak dan bermacam lagi. Hakikatnya, ia merupakan kitaran kehidupan, yang harus ditempuhi baik bersedia atau tidak. Sebaiknya kita cuba bersedia, walaupun cuba untuk bersedia dan merasa sedia itu dua perkara yang berbeza.
Secara jujur buku karya Wendi Zarman ini, saya kira isinya biasa-biasa sahaja. Sekadar 171 mukasurat tidak banyak yang dapat diketengahkan. Ia tidak datang dengan idea baru baik dari segi pendidikan mahupun cara pendidikan itu dilaksanakan. Tajuknya lebih hebat dari isinya.
Namun dalam setiap perkara pasti ada positif dan negatifnya. Karya ini walaupun tidak membawa gagasan pemikiran atau method pendidikan baru, sudut positifnya masih ada. Karya ini mengungkapkan isu dan teknik sedia ada sebagai satu refreshment kepada para ibu dan bapa.
Antara isu yang dibincangkan adalah sekolah swasta dan sekolah kerajaan, silibus agama dalam pendidikan formal persekolahan, juga cara kita memandang seorang anak. Antara yang ditekankan oleh penulis adalah cara memupuk dan mengembangkan adab anak. Adab ini termasuk adab dengan Allah, Rasul, manusia lain, alam, dan ilmu. Juga aspek disiplin anak, anak-anak seharusnya disiapkan disiplin nya merangkumi ibadah, makan, berbicara, penampilan, belajar dan lain-lain. Selain itu, buku ini turut menghuraikan nasihat Luqman Al-Hakim seperti yang difirman kan Allah didalam Al-Qur'an bersama ulasan ringkas untuk diaplikasikan pada anak-anak hari ini.
Sungguh, subjek pendidikan anak-anak ini perlu diperhatikan dengan serious oleh ibu bapa juga bakal ibu bapa. Ibu bapa dan bakal ibu bapa perlu menimba ilmu pendidikan, baik melalui pembacaan, menghadiri seminar, mendengar kuliah, agar anak mendapat hak pendidikan sebaiknya. Sekiranya kita perlu mengikuti kursus 6 tahun untuk layak menjadi doktor, adakah kita mampu menjadi ibu bapa sukses tanpa sebarang persediaan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan