Selasa, 6 Oktober 2015

Pemuda Islam Yang Dijanjikan



Penulis: Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Penerbit: Jundi Resources
Tahun: 2011

"Bagai semalam terasa kehangatan belaian tarbiyah yang begitu bersemangat."

Begitulah perasaan saya ketika menyelak helaian makalah kecil tulisan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi  ini. Terasa begitu lama saya tidak membaca bacaan fikrah yang berjaya mengusik semangat muda, menyalakan semula lilin perjuangan dalam diri yang kian malap ditelan kegelapan zaman. Kali terakhir, saya membaca buku yang sangat menyentuh semangat muda saya adalah buku Al-Muntalaq, tulisan Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid.

Membaca makalah kecil ini, saya dapat merasakan perbezaan penulisan yang hanya untuk mendapat royalti, dengan penulisan yang benar-benar ikhlas ingin meniup semangat perjuangan dalam diri pemuda. Ayat yang digunakan mudah difahami, puitis serta fikrah yang disampaikan juga jelas dan jernih.

Buku ini sarat dengan nasihat dan peringatan yang membasahkan jiwa serta menyedarkan insan-insan yang terlena. Antara pesanan yang saya kira amat penting adalah pentingnya kefahaman yang jelas tentang Islam. Hal ini kerana, musuh Islam berusaha sedaya upaya memesongkan kita dengan slogan-slogan yang menipu. Kekufuran dijenamakan sebagai kebebasan, kefasikan diangkat sebagai seni, juga kerosakan digambarkan sebagai kemajuan. Semuanya nampak begitu indah, namun dalam tidak sedar, ummat Islam masuk ke dalam perangkap mainan kuffar.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi juga menekankan pentingnya generasi muda menawan kota ilmu, menolak khurafat kerana menuntut ilmu itu satu kewajipan, dan berfikir merupakan satu ibadah. Mengikut secara membuta tuli adalah perkara yang tercela. Pentingnya berilmu sebelum beramal dan mencari bukti sebelum beri'tiqad.

Konsep kebangsaaan juga diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya. Kita merupakan bangsa Muslim, bukan bangsa yang terpisah mengikut garis peta yang dilukis oleh tangan-tangan jahat penjajah. Setiap inci bumi ummat Islam adalah hak ummat Islam yang perlu dipertahankan, dibebaskan apabila dicerobohi. Konsep nasionalisma ini bukanlah menolak kecintaan kita pada tanah kelahiran kita, kerana Islam merupakan agama fitrah, fitrah manusia mencintai bumi kelahirannya. Namun bukanlah fahaman nasionalisma yang kita anuti itu, menyempitkan kita dari bersaudara. Nasionalisma kita lebih besar, sebesar dunia Islam yang luas.

Makalah ini sarat dengan pesan-pesan membangkitkan jiwa pemuda, tidak mampu saya tintakan semula. Anda harus membeli dan membacanya sendiri. Inshallah tidak rugi!

Tiada ulasan: