Ahad, 29 Januari 2017

Freakonomics



Penulis: Steven D. Levitt & Stephen J. Dubner
Penerbit: Harper, 2009

Buku ini dikategorikan oleh Harper dalam genre 'ekonomi', meskipun jika kita melihat review ramai yang beranggapan bahawa ia bukanlah berkenaan dengan ekonomi sebenar. Buku ini bagi saya merupakan bahan ekonomi tetapi telah diolah agar mudah dibaca oleh mereka yang berada di luar bulatan ekonomi. Pembacaan buku ini mungkin 100 kali ganda lebih mudah dari membaca buku The wealth of Nations oleh Adam Smith. Saya kongsikan sedikit dapatan pembacaan saya kali ini.

'Morality, it could be argued, represent the way people would like the world to work-whereas economics represents how it actually does work' (pg. 11)

Saya tertarik dengan kenyataan ini. Ia mengingatkan saya tentang apa yang ditulis oleh Machiavelli berkenaan dengan habit manusia yang suka memperkatakan tentang pemerintahan dan sistem kerajaan yang ideal namun ia tidak pernah terjadi dalam dunia sebenar. Ekonomi menerangkan bagaimana sesuatu sistem itu berfungsi, dan apabila memperkatakan tentang manusia, ia melibatkan teori insentif. Dalam kata lain, manusia melakukan sesuatu kerana insentif. Insentif tidak semestinya berbentuk material, ia boleh jadi sesuatu yang bersifat spiritual, moral dan bermacam lagi. Sebagai contoh, mengapa kita memberi wang kepada orang miskin? Ia tidak mendatangkan faedah kepada kita dari sudut keewangan, tetapi kita melakukannya kerana merasa tanggungjawab untuk membantu orang dalam kesusahan, ini adalah insentif moral.

Buku ini juga membicarakan berkenaan dengan teori information asymmetry, teori yang mengatakan bahawa beza sesorang expert dan consumer adalah perbezaan informasi. Expert mempunyai lebih informasi dari consumer. Ini menjelaskan kenapa kita suka membawa rakan ketika ingin membeli sesuatu. Sebagai contoh kita ingin membeli barangan kereta, kita akan membawa rakan kita yang merupakan seorang mekanik, kerana dia mempunyai lebih informasi dari kita. Kita sering mendengar sebagai contoh seorang nenek membeli pendrive 4 GB dengan harga RM100. Ini adalah contoh information asymmetry dimana seorang nenek tidak mempunyai banyak informasi berkenaan dengan pendrive, jadi dia tidak mengetahui value sesuatu produk, dan mudah di manipulasi dalam sesuatu transaksi. Internet menurut buku ini banyak membantu pengguna untuk mendapatkan informasi dan mendekatkan jurang perbezaan informasi dari expert dan pengguna.

'Criminals, like everyone else, responds to incentives' (pg. 103)

Teori insentif juga menerangkan kepada kita berkenaan dengan kadar jenayah. Jika insentif untuk melakukan jenayah adalah lebih besar dari insentif tidak melakukan jenayah, maka kadar jenayah akan meningkat. Di negara kita sebagai contoh, jika hukuman mengedar dadah ditukar dari gantung sampai mati dengan denda sebanyak RM100, maka kita akan melihat kadar pengedaran dadah meningkat.

'We have evolved with a tendency to link causality to things we can touch or feel, not to some distant or difficult phenomenon' (pg. 140) 

Antara topik kontroversi yang dibincangkan dalam buku ini adalah sebab penurunan kadar jenayah di US sekitar tahun 1990. Criminologist telah mengemukakan pelbagai teori, antaranya pertambahan pasukan polis, perubahan sistem polis yang lebih inovatif, juga penuaan populasi. Namun buku ini mencadangkan sebaliknya, sebab penurunan kadar jenayah ini adalah disebabkan pada tahun 1973 mahkamah telah membenarkan wanita menggugurkan kandungan (legalize abortion) dalam kes Roe vs. Wade. Legalized abortion telah menyebabkan ramai bayi yang tidak di ingini tidak dilahirkan. Bayi yang tidak dingini menurut buku ini kebanyakannya akan membesar dalam suasana yang buruk dan menjadikan mereka penjenayah apabila memasuki fasa kehidupan remaja. Dengan membenarkan wanita menggugurkan kandungan bakal penjenayah ini tidak dilahirkan. Kenyataan ini membangkitkan kontroversi berkenaal dengan perihal moral.

'..for emotion is the enemy of rational argument' (pg. 149)

Public emotion merupakan satu senjata yang sangat berkesan untuk digunakan bagi kepentingan tertentu. Walaupun jika dilihat fakta ia tidak tepat. Ahli politik adalah antara mereka yang pandai memainkan sentimen awam bagi kepentingan mereka. Sebagai contoh untuk memerangi Iraq, US memainkan emosi ketakutan dengan mendakwa bahawa Iraq mempunyai weapon of mass destruction (WMD). Walaupun dalam realiti ia tidak wujud, sepertimana yang dibuktikan oleh Matt Damon dalam filem Green Zone. Begitu juga perkara-perkara lain, expert dalam bidang-bidang tertentu sering menakutkan orang awam bagi tujuan peribadi mereka, sebagai contoh: untuk menjual produk kesihatan.

'A regression analysis can demonstrate correlation, but it doesn't prove cause' (pg. 164)

Ada perbezaan antara causality dan correlation. Arsenic menyebabkan manusia mati (cause). Makanan seperti teh tarik, roti canai, dan nasi lemak ada kaitan dengan diabetes (correlation). So mathematically speaking, a cause is also a correlation, but a correlation does not necessarily be the cause. Dalam bab ini, buku ini cuba mencari correlation antara beberapa faktor yang menyebabkan seorang kanak-kanak itu berjaya dalam hidup. Tetapi ingat, ianya adalah correlation bukan cause. Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan seseorang anak: 1. Educated parents 2. Parent with high socioeconomic status 3. Child with many books in his home. Sekali lagi saya ulangi faktor-faktor ini corelated tapi bukan cause.

Namun apabila penulis menyatakan seperti dibawah, saya merasakan exercise ini meaningless:

' Keep in mind that these results reflect only a child's early test scores, a useful but faily narrow measurement, poor testing in early childhood isn't necessarily a great harbinger of future earnings, creativity, or happiness.' (pg. 168)

Buku ini menerangkan bahawa apabila seseorang itu membeli buku berkenaan dengan parenting kebiasaannya telah terlambat, kerana teknik-teknik parenting ini bukan merupakan faktor penting untuk membentuk anak-anak. Sebaliknya, faktor-faktor utama telah lama ditetapkan seperti: dengan siapa kita berkahwin & bagaimana keadaan sosioekonomi keluarga.

Banyak lagi saya kira aspek-aspek yang menarik yang dibincangkan dalam buku ini namun tidak dapat saya kongsikan kerana kekurangan masa & tenaga. Sekiranya anda ingin mencari buku ekonomi yang tidak begitu serious, hanya sebagai light reading, buku ini boleh dicadangkan. Namun, untuk mendalami ekonomi dengan lebih mendalam, buku yang lebih serious dan lengkap perlu dicari.


Jumaat, 20 Januari 2017

Tuesdays With Morrie



Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Broadway Books, 1997

Buku ini merupakan kisah benar mengenai seorang pelajar, Mitch Albom yang melawat semula professor, Morrie Schwartz yang mengajarnya di kolej yang sedang menghidap penyakit ALS (penyakit yang sama dengan Stephen Hawking). Di saat-saat akhir mereka bersama, mereka berbincang berkenaan dengan kerjaya, keluarga, anak-anak, cinta dan apa yang penting dalam kehidupan.

Saya secara peribadi sangat tersentuh dengan kisah ini. Di mukasurat-mukasurat yang terakhir saya tidak dapat dari teringat akan seorang yang sangat akrab dengan saya pada ketika dahulu. Kami banyak bersembang berkenaan dengan kehidupan. Saya menganggap beliau seperti adik saya sendiri. Setiap kali ada perkara yang mengganggu fikiran nya pasti dia akan mencari saya. Dia pergi pada tahun 2016 meninggalkan saya apabila terlibat dengan kemalangan. Hingga hari ini saya masih merinduinya, rindu jenaka dan senyuman nya.

Ok kembali kepada buku ini.

Dalam conversation mereka, Morrie sedar bahawa masa yang ada padanya hanya sedikit, namun ia tidak merendahkan semangatnya untuk terus hidup dan menikmati setiap saat yang berbaki. Morrie tidak memilih untuk memendam diri, malah beliau keluar dari kesedihan dan menjadi seorang yang ceria, dia memilih untuk menghargai orang sekelilingnya dan memastikan bahawa setiap kata diucapkan kepadanya ketika dia masih hidup. Bagi nya tidak guna kita menyatakan kita sayang akan seseorang hanya apabila dia telah mati. Morrie mengumpulkan keluarganya dan mengadakan pre-funeral, seolah-olah raptai sebelum pengebumian sebenar, agar setiap ucapan dapat didengarinya ketika dia masih hidup.

Mitch dalam refleksinya hasil perbualan dengan Morrie menyatakan bahawa budaya hari ini menyibukkan kita dengan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan hidup kita. Kita sibuk dan ambil berat berkenaan dengan artis, supermodel, ahli-ahli sukan yang sebenarnya tiada impak dalam hidup. Malah ada yang beremosi dan menangis melihat drama yang di lakonkan oleh orang yang dia tidak kenal, seharusnya kita mengambil berat dan fokus terhadap orang-orang sekeliling kita, ibu ayah, isteri, anak-anak, adik beradik. Mereka sepatutnya menjadi tumpuan fokus kita, kerena mereka ada impak dalam hidup kita.

Morrie yang merupakan seorang agnostic kini merasakan bahawa manusia sebenarnya mempunyai unsur yang lebih dalam, unsur spiritual. Manusia sering menfokuskan diri terhadap perkara-perkara material yang akhirnya tidak memuaskan diri. Kita mengutamakan material lebih dari memerhatikan alam dan menghargainya. Morrie mengatakan, menikmati cahaya matahari juga merupakan satu anugerah yang perlu dihargai. Saya teringat akan diari yang ditulis Anne Frank ketika bersembunyi dari tentera Nazi, bertapa beliau merindui melihat cahaya matahari dan merasai kehangatannya.

Ramai pasangan moden hari ini memilih untuk berkeluarga kecil, satu anak sudah mencukupi, malah ada yang menumpukan sepenuh kehidupan pada kerjaya dan memilih untuk tidak mempunyai anak. Ini adalah resepi kepada kehidupan yang tidak gembira, kerana akhirnya kita akan menyedari bahawa di hujung usia wang yang dikumpul tidak dapat memberi kasih sayang seperti anak-anak. Walaupun membesarkan anak-anak diawal kerjaya merupakan satu perkara yang sukar, namun kesukaran itu akan berakhir, ia akan menjadi kenangan yang membahagiakan.

Untuk bahagia, kita juga perlu belajar untuk melepaskan, untuk redha. Apabila kita dilanda kesedihan, kesusahan, adalah perkara normal untuk berasa sedih, risau. Tetapi setelah selesai menangis kita perlu kembali berdiri, meneruskan kehidupan dan melepaskan perasaan tersebut. Membicarakan soal keluarga Morrie mengutarakan bahawa ia memerlukan banyak pengorbanan, perlu difahami apa yang diperlukan oleh pasangan, bukan hanya memikirkan apa yang kita perlukan. Yang paling penting, adalah kita perlu belajar menghormati pasangan kita, menerima kelemahan nya dan sedar kita juga tidak sempurna.

Banyak lagi refleksi-refleksi yang saya kira sangat mendalam dan berharga dalam buku ini. Helaian-helaian akhir buku ini pasti akan meninggalkan kesan pada anda, bahkan mungkin anda bakal menitiskan air mata.

'No, you don't understand. You're not a wave, you're part of the ocean..part of the ocean.'


Jumaat, 13 Januari 2017

Catatan Baitul Muslim 13



"Kadang-kadang seorang suami bukan lah seorang yang kaya. Namun apabila ada keperluan dan keinginan isteri dan anak-anak dia akan cuba tunaikan. Walaupun mungkin di pejabat dia terpaksa menolak pelawaan rakan-rakan untuk makan di restoran luar. Kerana dia sedar itu tanggungjawabnya."

"Sering kali orang tidak nampak pengorbanan seorang ayah. Apa yang orang nampak adalah seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah beberapa hari. Pengorbanan seorang ibu mungkin lebih mudah dilihat, mudah ditafsir tanpa perlu berfikir panjang."

Begitu monolog ku beberapa hari di pejabat akhir-akhir ini. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan ku berfikiran sedemikian. Jika hendak dibandingkan dengan ramai orang lain rasanya aku masih bertuah. Mempunyai badan yang sihat, dapat berkerja, punyai isteri dan anak yang sihat. Cukup makan dan pakai, tidur masih beratap. Cuma mungkin kebelakangan ini aku kerap memerhati buruh-buruh yang bekerja dibawah terik mentari di sekitar pejabat, berapa banyak peluh yang mereka titiskan untuk memastikan ada nasi untuk disuap kedalam mulut anak-anak mereka.

Anak ku kini sudah berumur hampir 14 bulan. Dahulu hanya minum susu kini sudah boleh mengunyah goreng pisang. Dahulu hanya boleh bergolek kini sudah boleh berlari memanjat tangga. Sedikit sebanyak sudah boleh memahami arahan-arahan mudah. Mulut juga sudah mengeluarkan bunyi seolah-olah menyebut sesuatu perkataan.

Aku sedang membaca sebuah buku, bertajuk 'Tuesdays With Morrie' yang mengisahkan pengalaman seorang professor, Morrie yang menghayati saat-saat akhir dalam kehidupannya dengan berbicara bersama bekas pelajarnya berkenaan dengan apa yang penting dalam kehidupan. Apabila berbicara berkenaan dengan keluarga, Morrie mengungkapkan bahawa pengalaman membesarkan anak-anak merupakan antara pengalaman yang paling berharga dalam hidupnya.

Kehidupan moden sering menolak kita untuk mengejar perkara material. Gaji yang lebih besar, rumah yang lebih tingkat, kereta yang lebih laju, untuk itu kita melihat ramai yang tidak berkahwin dan menumpukan hidup mereka pada kerja. Masyarakat moden mempunyai keluarga yang kecil. Anak-anak dilihat sebagai penghalang kerjaya kepada ibu bapa. Bagi Morrie, ini adalah kehidupan yang salah, diakhirnya mereka akan sedar segala material yang dikejar tidak dapat mengisi kekosongan hidup mereka. Mereka akan menghabiskan sisa-sia hari tua mereka bersendirian, dan dalam kesedihan.

Ya, membesarkan anak merupakan satu kerja yang sukar. Sering kali ketika tiba giliranku menjaga anak sendirian, akan ku pastikan dia dimandikan, disuap sarapan diteman bermain dan menonton siri video belajar bahasa inggeris. Apabila dia tidur ditengah hari, barulah tiba giliranku untuk mandi dan makan. Suatu hari segala kesusahan ini akan berlalu, apa yang tinggal adalah anak-anak yang telah dewasa. Setiap perkara yang baik memerlukan kesabaran. "Good things come to those who wait."

Sering kali apabila melihat anak kecil tersenyum, atau apabila mereka mendepakan tangan untuk didukung, segala penat lelah hilang dari ingatan. Apabila anak kecil meletakkan pipinya di tangan kita kemudian terlelap, kita merasa bahagia. Melihat wajah anak kecil tidur, kita merasa aman.

Ahad, 8 Januari 2017

Wasatiyyah Islam – Antara Liberalisme & Konservatisme di Malaysia



Penulis: Mohammad Kamil B. Hj. Ab. Majid
Penerbit: Pekan Ilmu, 2012

Pertamanya saya ingin mengupas berkenaan dengan konsep buku dan juga susun atur. Buku ini saya kira berkonsepkan ilmiah, dan kadang kala terlalu ilmiah dan tidak berapa sesuai dengan pembacaan awam. Susunan ayat dipenuhi dengan perkataan jargon yang kadang kala tidak di definisikan dan tidak difahami oleh audiens. Jika kita membaca bab dua pula, kita akan dapati ia dipersembahkan dalam bentuk point, dan ada point mempunyai sub-point, dan sub-point pula mempunyai sub-sub-point. Ini menyebabkan pembacaan begitu sukar untuk menjadi satu gagasan kefahaman yang bersambung.

Kemudian proses penerbitan juga dilakukan dengan tergesa-gesa. Proses proofreading dan editing mungkin tidak dilakukan atau mungkin dilakukan dengan tidak teliti. Hasilnya naskah akhir dipenuhi dengan pelbagai kesalahan ejaan. Lebih kritikal saya kira sebagai contoh, pada muka surat 66 dan 67 terdapat perkataan dalam kurungan (masukkan hadis ibadat / contoh). Ini merupakan perkara yang tidak sepatutnya ada dalam manuskrip yang sudah diterbitkan!

Kemudian pada bab-bab seterusnya ada yang ditulis sebahagian nya dalam bahasa Indonesia. Perkara ini lebih menjadikan buku ini apabila dibaca, sangat berceramuk. Walaupun mungkin penulisan ini merupakan gabungan penulis-penulis, seharusnya dari sudut bahasa ia diharmonikan, dan dipilih satu bahasa. Saya rasa cukup sebanyak ini kritikan berkenaan dengan teknikaliti buku ini, saya ingin berbicara berkenaan dengan idea dan isi buku.

Saya merasakan bahawa buku ini mempunyai isi yang baik. Pada bab-bab seterusnya apabila ia ditulis dengan garapan pada perenggan dan bukan dalam bentuk point, ia sangat memudahkan pembacaan dan pemahaman terhadap isi. Saya petik beberapa isi yang saya kira relevan untuk dibincangkan.

Apabila membicarakan konsep wasatiyyah (pg. 55), buku ini mengetengahkan  bahawa Islam mementingkan kepentingan bermasyarakat (societal). Perkara yang dilakukan bersama dinilai lebih baik dalam Islam, sebagai contoh solat diganjari lebih besar apabila dilakukan berjemaah. Perkara ini antara topik yang perlu diperhatikan apabila kita melihat perjuangan yang ditaja oleh barat berkenaan dengan kebebasan individu atau human right. Adakah kebebasan yang diperjuangkan itu baik meskipun apabila ia merosakkan apabila dilihat dalam sudut pandang kemasyarakatan?

Berkenaan soal hudud, pendekatan wasatiyyah seharusnya tidak hanya memfokuskan kepada perlaksanaan hukuman sahaja (pg. 67). Kefahaman berkenaan hukum itu juga penting bagi mengharmonikan nya dalam opinion masyarakat. Usaha untuk menerangkan nya dengan baik perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi menandingi opinion barat bahawa ia satu hukuman primitif dan kejam. Kita perlu menjawab kritikan media barat ini dengan rasional dan logikal, agar dapat diterima baik dan menjadi persepsi baik bagi masyarakat. Juga berkenaan prosedur dan tatacara perlaksanaan harus dihuraikan. 

Dalam konsep wasatiyyah juga beliau mengutarakan bahawa tidak semua perkara tradisi atau amalan lama itu perlu dianggap buruk dan out of date (pg. 91). Perkara-perkara yang merupakan kalam ulama silam dan bukan ketetapan qat’i boleh dinilai semula dengan kritis. Agar pengamalan Islam sentiasa segar dan seiring dengan peredaran zaman. Hal ini bertentangan dengan konsep barat yang membuang semua perkara tradisi sebagai tidak lagi berguna serta menghalang kemodenan.

Dalam membincangkan fahaman konservatif beliau menyatakan antara kelemahan fahaman ini adalah kurang menggunakan akal dan metologi ilmiah. Akal dianggap sebagai sumber sekunder yang tidak dapat menyaingi pendapat ulama silam (pg. 105).  Mereka membertahankan semua amalan warisan serta menentang semua agenda permodenan. Perkara ini bertentangan dengan konsep wasatiyyah, dimana ummat Islam seharusnya menerima kebaikan yang ada dalam arus kemodenan secara selektif dan di harmonikan dengan suasana setempat.

Penulis juga berpendapat bahawa demokrasi boleh diterima selagi tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Hadis. Beliau memetik kenyataan Yusuf Qardhawi yang menyatakan demokrasi adalah gambaran daripada agama Islam dan tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Hadis (pg. 148).

Ketika membahaskan berkenaan dengan tokoh liberal di Mesir, pandangan Hassan Al-Masyat telah dipetik yang mengatakan liberal tidak bertentangan dengan Islam (pg. 175). Namun liberal yang dimaksudkan adalah berfikiran bebas, bukan liberal tanpa batasan acuan barat. Tokoh liberal di Mesir seperti Hamed Tahir menyeru agar perkara yang harus diperjuangkan dalam ummat Islam hari ini adalah isu-isu besar seperti keadilan, persamaan dan syura (pg. 191). Hamed Tahir merasakan bahawa Al-Azhar menghalang idea-idea pembaharuan ini. Akibatnya ummat masih membincangkan perkara-perkara kecil yang telah pun dibincangkan zaman-berzaman. Kesyumulan Islam seharusnya diperlihat dari segi praktik, mampu mengupas isu-isu realiti kehidupan, harus keluar dari sekadar menentukan halal dan haram, serta perkara-perkara furuiyyah.

Dalam kesimpulan buku ini, terdapat satu petikan yang menarik perhatian saya:

“Kelas professional Melayu baru yang dilahirkan melalui dasar permodenan dan DEB ini tidak menunjukkan paradigma pemikiran yang bersifat rasionalisme, objektivisme dan saintisme seperti yang diharapkan oleh Mahathirisme.” (pg. 289)

Saya tidak bersetuju dengan kesimpulan ini kerana ia merupakan generalisasi yang tidak berpijak di bumi nyata. Sekiranya kita lihat bidang industri hari ini golongan professional Melayu memainkan peranan yang sangat besar. Malahan kebanyakan GLC hari ini ditadbir oleh golongan professional Melayu. Ia adalah kesimpulan pra matang.


Secara keseluruhan buku ini dari segi teknikal dan editing merupakan buku yang amat menghampakan. Bermula dengan persembahan dalam bentuk point yang sangat mengelirukan, kesalahan ejaan yang begitu banyak, penggunaan istilah yang tidak konsisten, serta percampuran bahasa Melayu dan Indonesia yang menjadikan ia buku yang caca merba. Namun dari segi isi, terdapat perbahasan-perbahasan yang baik seperti perbahasan sejarah liberalisme di barat dalam bab 4. Saya berharap buku ini dapat diperbaiki sekiranya cetakan seterusnya ingin dilakukan.