Langit bertukar dari hitam ke jingga. Perlahan-lahan warna
jingga beralih ke biru muda, malam bertukar pagi. Kelihatan burung-burung
keluar dalam kawanan, terbang bebas memulakan hari baru. Mindaku juga terbang melayang,
sambil memandu kereta menyusuri banjaran Titiwangsa, jalan yang menghubungkan
Gerik ke Jeli. Kabus tebal masih menyelimuti kawasan banjaran, anak dan isteri
masih lena di buai mimpi. Fikiranku terbang semakin tinggi, semakin jauh.
Ketenangan dan kebahagiaan mungkin merupakan sesuatu yang
sering di kejar manusia. Dua perkara ini merupakan sesuatu perkara yang
abstrak, emosi yang subjektif yang tidak wujud dalam bentuk fizik. Ianya bukan
objek seperti poligon yang mempunyai sisi atau bucu, juga bukan elips yang
mempunyai radius atau diameter. Oleh sebab itu manusia selalu gagal menemuinya
apabila ia dicari dari sudut perspektif materialistik. Segala bentuk kebendaan,
mungkin boleh mendatangkan kepuasan sementara, namun masih meninggalkan
kekosongan besar dalam hakikat kehidupan insan. Dia akan terus mencari,
melompat dari satu material ke material lain, dari basikal kepada kereta, dari
rumah flat kepada kondominium mewah, tetap tidak dapat melegakan dahaga, hingga
akhirnya insan tiba ke hujung usia.
Manusia hidup dalam dualiti. Dua unsur yang membuatkan dia
merasakan dirinya hidup. Yang pertama adalah unsur utama, dalam tradisi Islam
ia dipanggil roh. Eckhart Tolle dalam bukunya ‘The Power of Now’ menyebutnya
sebagai the essence of being atau sekadar being. Unsur yang kedua bukanlah
unsur utama ia lebih kepada alat untuk kita gunakan untuk terus hidup, ia
dipanggil minda. Rene Descartes menulis bahawa manusia merasa wujud apabila mindanya boleh berfikir, beliau menulis "I think therefore I am".
Benarkah ada dualiti roh dan minda?
Antara bukti mudah dualiti roh dan minda ini adalah monolog
yang wujud dalam hidup kita. Kita sering bersembang dengan diri kita sendiri,
kadang-kadang ia berlaku dalam sedar, dan dalam banyak situasi ia berlaku dalam
keadaan separa sedar atau tidak sedar. Minda adalah alat untuk kita gunakan
untuk berfikir dan menyelesaikan masalah, jika kita berehat tidak memikirkan
apa-apa, minda kita akan kosong tetapi kita masih hidup. Ada ketika minda
menguasai diri, kita melihat orang yang bercakap seorang diri dan dimasukkan ke
dalam pusat rawatan mental kerana dia tidak lagi dapat mengawal mindanya.
Bagaimana kita mahu merasai kewujudan roh dalam diri?
Eckhart Tolle membawa teori bahawa kita akan merasai
kewujudan roh ini dengan mengosongkan minda, cuba berada ditempat yang sunyi
dan hening. Pada ketika itu kita akan lebih merasa sedar akan perkara yang
berlaku disekeliling kita, kita juga dapat melihat minda kita sebagai entiti
yang berbeza. Teori ini tidak asing dalam tradisi Islam. Sebab itu dalam Islam
dianjurkan untuk bangun bertahajud diawal pagi yang hening, kerana dalam
keadaan sunyi ini, dengan minda yang kosong, kita dapat bermunajat pada tuhan
dan mengecapi ketenangan dan kebahagiaan.
Akhirnya aku tiba di Kelantan, selesai berurusan dengan
resepsi dan masuk ke dalam bilik. Petang itu aku duduk di tepi pantai sambil
dihembus ombak yang datang dan pergi. Anakku duduk di pangkuanku gembira
bermain dengan ombak. Langit berubah kembali jingga, menandakan satu lagi hari
dalam hidupku bakal berakhir. Bertemankan ombak dan langit jingga yang hening,
fikiranku kosong, aku merasa hidup. Tenang. Bahagia.