Setelah kita mendapat iman, kita
perlu merasakan bahawa usia adalah jambatan, modal untuk balik bertemu ALLAH. Masa
berlalu dengan begitu pantas, tahun 2018 yang kita rasa seolah baru bermula kini sudah lebih dari separuh telah pun berlalu.
Kita habiskan hidup bekerja untuk memberikan segala-galanya kepada anak-anak. Tapi kita perlu tanya kepada diri kita. Kita nak sediakan anak-anak untuk
apa? Agar satu hari nanti mereka dapat menjadi pekerja makan gaji? Atau untuk sediakan mereka kepada perkara yang
lebih kekal, untuk bertemu ALLAH. Kita mahu menjadi ibubapa yang menyiapkan
anak-anak untuk menjadi ahli syurga. Target kita adalah untuk di himpunkan bersama semula dalam satu keluarga di dalam syurga nanti.
Sebelum kita meninggal, kita perlu sedar adakah anak-anak akan meneruskan hidup dengan iman dan mendoakan kita nanti.
Anak-anak kita tidak akan terus kecil. Satu hari nanti dia tak akan suruh kita tiup
belon lagi, mereka akan ada kawan-kawan, ada teman berbual. Masa kini adalah
masa kita bersama anak-anak, jika kita terlepas masa keemasan, kita tak akan dapat semula masa
bersama anak-anak.
Zaman kini untuk mengekalkan anak
dalam iman merupakan satu cabaran yang sukar. Dua tujuan besar kita membentuk
anak:
1. Membentuk mereka sebagai hamba ALLAH
2. Membentuk
anak dengan ilmu dan kemahiran agar mampu berkhidmat kepada Islam dan manusia
sejagat.
Selagi ada matahari terbit selagi
itu ada harapan dan bantuan ALLAH, seharusnya kita tidak berputus asa. Sebelum kita mahu didik anak, kita sendiri
perlu dididik dan mempunyai kefahaman. Kita nak faham apa ciri-ciri anak soleh
dan cara untuk mencapai tujuan ini. Dr. Tariq Suwaidan menerangkan bahawa usia keemasan untuk
didik kepimpinan anak-anak adalah umur 4-6 tahun.
Kita kena peruntukkan 3T untuk
anak-anak. Time, touch, talk. Orang
barat sendiri mengambil pengajaran dari orang Islam, dengan menceritakan kisah
(seerah) pada anak-anak. Kita sendiri perlu menjadi tokoh yang mempersonakan untuk anak-anak, baru dia akan mencontohi kita.
Dia akan belajar dari kita dengan melihat bagaimana perilaku kita, apa yang
kita sembangkan dengan kawan-kawan kita. Jadi kita kena sibuk membina diri, kerana anak-anak akan sentiasa memerhatikan kita. Anak-anak akan terus membesar, dia tak akan tunggu kita. Kita tak boleh kata pada dia
“tunggu sekejap, jangan membesar lagi,
tunggu ayah jadi baik sikit”.
Kita membesarkan dan mendidik anak-anak kerana perasaan cinta kita pada mereka. Cinta tak semestinya berbalas.
Mungkin satu hari nanti anak kita tak balas cinta kita, itu bukan tugas kita.
Kita yang pilih untuk mencintai mereka, mencintai semula adalah tugas mereka
bukan kita.
Nota dari siri seminar bersama Tuan Haji Rosdi Baharom.
Senarai rujukan:
1. Sentuhan jiwa untuk anak kita oleh Dr.
Muhammad Muhammad Badri
2. Children around the Prophet by Dr. Hesham Al-Awadi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan