"Apabila berfikir menjadi suatu jenayah,
Hanya perlu mengambil tafsiran cendiakawan berjubah,
Ia suatu yang haram bagi awam,
Lalu keilmuan pun tenggelam karam.
Apabila mimpi digari,
Kemajuan apa yang boleh di cari,
Apabila idea dipenjara,
Bangsa mati penuh sengsara."
Puisi ini boleh di dapati di kulit belakang buku saya, namun
tulisan ini bukanlah untuk tujuan promosi buku. Sekiranya anda sedang mencari
bahan bacaan, saya cadangkan anda mencari buku-buku tulisan Chomsky. Sekadar
mahu menjelaskan tulisan yang bersembunyi disebalik ayat abstrak.
Jika kita membaca discourse berkenaan social justice kita
sering akan berjumpa dengan terma "class society", yang membawa
maksud wujudnya sekumpulan elit yang berkuasa menentukan bagaimana manusia
biasa lain hidup - rakyat kebanyakan. Kelas elit mempunyai kuasa ekonomi,
politik, taraf sosial yang lebih tinggi, mereka menentukan polisi. Classical
proletariat vs bourgeoisie.
Dalam kehidupan seharian kita juga, sama ada kita sedar atau
tidak, kita mempunyai kelas elit intelektual. Yang menentukan bagaimana manusia
lain berfikir. Mereka sering dipanggil expert, mempunyai autoriti untuk memberi
definisi, dimana definisi berlawanan adalah salah, tidak tepat, kolot,
anti-moden dan lain-lain.
Mungkin kalau dalam studi berkenaan orientalisme kita
bercakap bagaimana kita memahami kebudayaan timur mengikut definisi dan analisa
barat, begitu jugalah kita, sentiasa memerlukan kelas intelektual untuk memberi
kita definisi berkenaan dengan aturan sosial, tatacara politik, susunan ekonomi
dan lain-lain. Mereka meletakkan pagar sempadan pemikiran.
Saya teringat kata-kata ahli ekonomi di Cambridge, Ha-Joon
Chang dalam syarahan beliau, beliau menyebut "95% of economics is common
sense".
Kelas intelektual yang saya maksudkan bukanlah spesifik
kepada ahli akademik atau agamawan, tetapi terbuka kepada mana-mana persona
yang menutup ruang fikir, termasuk saya sendiri. Persepsi minda yang saya ingin
bawakan adalah bukan untuk menolak golongan intelektual, tapi berani berfikir
meskipun berlawanan dengan autoriti. Kerana sering kali kita menerima
kesimpulan kerana kita tidak faham hujahan, kita terima dan berkata "dia
betul, aku yang terlalu bodoh untuk faham".
Sebaliknya apa yang saya ingin bawa adalah kita mendengar
hujahan baik dari orang yang bergelar intelektual atau tidak, dan berfikir
sendiri kebenarannya, adakah ia masuk akal atau tidak. Bukan percaya buta orang
dengan semua yang diberikan kepada kita hanya kerana dia mempunyai tag
intelektual. Akal itu bukan milik eksklusif mana-mana kelas, ia adalah anugerah
buat semua.
Untuk membina bangsa yang berjaya, ilmu tidak boleh bersifat
eksklusif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan