Bulan ini dua orang bapa kepada
sahabat saya mengakhiri perjalanan mereka di dunia. Seorang guru di Pulau
Pinang dan seorang lagi merupakan usahawan pembinaan di Johor. Benarlah kematian
itu menghidupkan, ia memberi kehidupan baru kepada si mati dalam perjalanan abadi
mereka yang panjang, ia juga menghidupkan hati buat mereka yang masih hidup,
berita kematian membuatkan mereka merenung dan menilai semula arah hidup
mereka.
Begitulah pesan nabi, mereka yang
cerdik adalah mereka yang berfikir tentang kematiannya, bekalan apa yang dia
telah masukkan kedalam bagasi hati mereka, amalan apa yang telah dia kumpul dan
depositkan ke dalam bank amalan mereka untuk menempuhi alam seterusnya.
Sudah tentu analisa ini hilang dari
konfrontasi di arena ideologi materi manusia. Di mana ketinggian ilmunya
membataskan perbahasan yang melangkaui realiti fizik. Ia tidak dapat di ukur
dengan alatan dan instrumen logika. Kemampuan abstraksasi akal juga hanya
berbahas dalam lingkungan perasaan, tiada tempat untuk ruh bangkit segar dan
hidup di hati.
Sebab itu sarjana ateis bertanya
soalan. Jika polio boleh dibasmi dengan hasil kajian vaksin, mengapa agama
boleh terus hidup bahkan berkembang sedangkan sains moden kini sudah menerobos
ke cakerawala baru. Sebenarnya professor, agama tidak menolak sains dan sains
tidak menolak agama, yang menolaknya hanya manusia yang berkiblatkan harta,
mereka miskin jiwa.
Hakikatnya manusia ini kerdil,
fiziknya mudah sahaja tewas dengan penyakit yang lahir dari bakteria dan virus
sebesar hanya zarah, masanya singkat sepuluh tahun sahaja kulitnya sudah
berkedut. Maka kita tiada masa untuk kedekut, sama ada kedekut tenaga membantu
manusia, kedekut harta, atau kedekut untuk sujud pada pencipta.
Maka cukuplah mati menjadi tazkirah buat kita.
Cukuplah manusia, jangan disalahkan atau disalahgunakan agama. Biarkan manusia
mencari jiwa mereka. Dan engkau pun pergilah mengembara, sedang Tuhan
menunggumu disana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan