Ahad, 28 April 2019

Mengenai penulisan


Benar, jam 1 pagi adalah untuk kreativiti, ia adalah masa emas bagi penyair menulis puisi, masa bagi penyanyi menulis lirik lagu yang bakal menjadi siulan remaja, juga masa yang sangat sayup dimana sang rahib sujud mencari Pencipta.

Seingat saya, saya mula menulis blog seawal tingkatan 3, waktu itu saya sendiri tidak faham apa itu blog. Saya menulis blog kerana melihat adik saya mempunyai blog, sebagai abang, saya rasa tercabar. Zaman itu semua orang mempunyai blog, namun kebanyakanya menjadikan blog sebagai diari peribadi. Jadi, apabila Facebook mula menjadi mainstream, penulis blog beralih ke penulisan di status Facebook, yang mana lebih mudah dicapai dan tersebar.

Saya kira, sehingga hari ini saya telah menulis sekitar 255 posting, well not bad. Walaupun blogger kelihatan sebagai satu platform yang stabil, namun saya masih skeptik, kerana pada tahun ini juga, Google telah menutup satu platform mereka iaitu Google+. Jadi ada kemungkinan tulisan saya disini akan hilang satu hari nanti.

Oleh sebab itu bagi saya, pembukuan masih mempunyai peranan yang penting dalam memelihara penulisan, pemikiran, perasaan yang kita simpan dalam bentuk sambungan perkataan dan perenggan. Selain buku, saya juga ada menulis artikel untuk majalah, tapi malangnya mereka jarang menulis nama atau email saya dengan betul, jadi pembaca mungkin tidak dapat mengenalpasti penulis sebenar.

Ada banyak sebab saya menulis, yang pertama adalah saya rasa, saya menulis untuk diri saya sendiri. Dalam banyak masa dan saat, saya merasakan saya ada terfikir sesuatu, kadang-kadang saya merasakan satu tekanan (pressure) jika saya tidak menulis, tidak tenang, tapi setelah ia di tulis dan dilepaskan, saya boleh kembali berfikir dengan tenang, dan dapat berfikir tentang perkara yang lain pula, menulis bagai sebuah injap, membukanya melepaskan air yang bertakung sekian lama di dalam minda. Selepas ia dilepaskan, kita merasa ringan.

"Siapa awak untuk menulis berkenaan dengan politik, awak tidak ada PhD dalam sejarah Malaysia" saya diberitahu pada suatu ketika. Bagi saya sesiapa sahaja boleh menulis berkenaan dengan politik tanpa PhD, hatta menteri yang menjadi ahli politik pun ada yang tidak mempunyai sijil, mengapa kita yang boleh berfikir ini tidak boleh menulis?

Betul atau salah apa yang kita tulis itu perkara biasa. Kita belajar dari membuat kesilapan. Jika kita tidak melakukan kesilapan kita tidak belajar. Saya tak semestinya berpegang dengan apa yang saya tulis sepanjang hayat. Idea berubah mengikut zaman, manusia berubah mengikut situasi, informasi baru boleh menyebabkan sesuatu fahaman menjadi basi dan obsolete. Jadi tak usah takut jika tersalah, kita boleh berubah.

Saya tetap akan menulis selagi ada hayat, orang baca tak baca bukan itu isunya. Apa yang lebih penting kita belajar skil penulisan, lebih banyak kita tulis, lebih banyak salah, lebih banyak kita belajar. Penulisan adalah satu pengembaraan, ia merupakan satu seni yang memberi kepuasan, ia adalah idea yang mengubah pemikiran. 

Khamis, 25 April 2019

Permainan terakhir




Melangkah keluar pintu, keluar dari kotak buntu. Terasa sedikit segar menghirup nafas kehidupan, dengan angin yang bebas liar bertiup, bunga magenta pun berdansa hidup. Simbahan mentari petang pengasyikkan, tidak panas, jauh sekali dari kebekuan.

Ajaib dengan manusia, mudah saja di hambat dalam kawanan, terpesona dengan iklan yang mengasyikkan. Watak-watak palsu begitu mengasyikkan, lalu mereka pun membayar harga kebahagiaan.

Ibarat makanan, yang masuk ke badan. Sedap di lidah tidak berapa lama tahan. Kebahagiaan yang dibeli tidak pun berkekalan. Umpama ubat bius, sekian lama ia pun hilang.

Esok mereka akan diberikan iklan lagi. Dan di gembala dalam kawanan lagi, beratur membeli tiket bahagia palsu, bersama watak-watak palsu. Lalu hanyutlah mereka dengan candu.

Ah, apa kau tahu!

Ini permainan terakhir.

Maka kenyanglah syarikat iklan, untung dengan mudahnya menawan insan. Bahagiamu palsu sedangkan keuntungan mereka berbillion ribu. Esok engkau perlu membanting tulang lagi, kerana setelah dipermainkan dengan terakhir, engkau tetap fakir.

Ahad, 21 April 2019

Catatan Baitul Muslim 19: Muhasabah dari kenyataan Asiah


“Saya cakap terang-terang kat encik suami, dalam bab rumah tangga, jangan jadikan Nabi sebagai contoh. Saya tidak kepingin karakter suami sebegitu. Banyak yang Nabi buat terhadap isteri-isteri baginda, saya tidak setuju dan saya tidak suka. Contohnya, Nabi senang-lenang beribadah di Gua Hira' dengan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan isteri seorang. Sesuatu yang pak lebai tabligh contohi dan amalkan hingga kini, nak beribadah tanpa gangguan katanya. Nabi berkahwin lain dengan isteri baru tanpa pengetahuan isteri-isteri baginda yang sedia ada. Sebab tu lelaki Muslim yang acah-acah nak mencontohi sunnah poligami, mereka juga mencontohi muslihat kahwin senyap-senyap di belakang isteri ini. Nabi bila pening kepala dengan kerenah isteri-isteri baginda, Allah beri jalan keluar dengan ugutan talak terhadap isteri-isteri yang bermasalah. Rujuk awal surah At-Tahrim. Sebab tu lelaki Muslim sampai sekarang guna kuasa talak untuk mendapatkan ketaatan dan kepatuhan isteri. Saya tidak sesabar isteri-isteri Nabi. Saya juga tak ingin nak kejar syurga melalui tapak kaki suami. Sampai bila-bila saya takkan boleh "bersuamikan seorang Nabi". Jadi tak perlulah encik suami berubah menjadi Nabi. Confirm saya akan walk away nanti.” tulis Asiah di Facebook pada 15 April 2019.

Ramai cendiakawan Islam, pak Ustaz, pakar hadis, agamawan, dan ilmuan tampil menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh kenyataan Asiah. Ada yang sedikit tegas bunyinya ada yang bernada ingin berdialog. Itu harus dipuji, begitulah tanggung jawab mereka dalam merungkai kekeliruan masyarakat.

Sememangnya kenyataan Asiah itu mengguris hati orang yang mengaku muslim dan mencintai nabi mereka. Jadi tidaklah janggal keimanan mereka membuahkan perasaan sedih dan kecewa dengan kenyataan itu. Kita bersetuju penafsiran seerah nabi itu harus diperbetulkan dan dijelaskan pemahamannya yang sebenar. Namun pada hemat saya ia tidak boleh terhenti disitu tetapi pergi lebih jauh.

Kritik Asiah terhadap sikap suami muslim yang mengabaikan tanggung jawab terhadap anak dan isteri itu perlu muhasabah yang dalam serta tindakan lanjut. Suami-suami muslim perlu bermuhasabah tentang sejauh mana dia telah mengambil tanggung jawab dalam keluarga, terutamanya dalam menguruskan anak-anak. Seharusnya suami muslim meringankan beban isteri mereka dengan melengkapkan diri dengan kemahiran menjaga anak, memujuk anak menangis, bermain dengan anak kecil, menyusukan anak, menidurkan anak dan seterusnya.

Perkara ini perlu ditekankan hingga kepada bakal-bakal suami muslim, agar isteri-isteri muslim berasa bahagia. Kerana realiti kehidupan hari ini memaksa kedua pasangan bekerja, mereka perlu belajar berkongsi beban. Suami muslim perlu sedar sekiranya mereka tidak bertanggungjawab, mengabaikan keluarga dan anak-anak, mereka adalah fitnah buat Islam.

Juga muhasabah dan tindakan ini perlu dipanjangkan pada persoalan hukum dan undang-undang syariah. Agar kes penceraian dan tuntutan nafkah dipercepatkan supaya tiada muslimah yang merasakan diri mereka teraniaya dengan sistem syariah. Kita perlu melihat lebih jauh dan dalam pada isu ini, bukan sekadar menyalahkan tetapi melihat peranan dan tanggung jawab kita. Seharusnya kita berkerja agar setiap isteri muslim itu bahagia, dan melihat pada struktur sistem yang ada agar tiada yang teraniaya.


Saya lihat ramai yang mengutuk dan mencaci. Mencaci gelap itu mudah. Namun untuk mendapat terang, tidak cukup kita mencaci gelap, kita perlu menyalakan lilin.

Ahad, 14 April 2019

Catatan Baitul Muslim 18: Dengan sebesar dunia pun tidak bisa



Saya teringat satu perbincangan saya dengan Kathrine Lim (bukan nama sebenar) dalam satu mesyuarat bagi penganjuran satu program kesenian di pejabat. Setelah semua perkara habis dibincangkan, Kat bertanya kepada saya.

"Berapa umur anak awak?"

Yang kedua empat bulan dan yang pertama empat tahun jawab saya. Kat sedikit terkejut, kerana dengan usia yang begitu muda saya mempunyai dua orang anak. Kat menceritakan bahawa dia dan suaminya tidak mahu mempunyai anak, kerana ia satu beban yang besar dan dia tak rasa dia mampu. Namun beban tersebut bukan beban keewangan, lebih kepada beban penjagaan, mereka mampu dari segi wang, tapi lebih gemar menggunakan duit untuk bercuti bersama di luar negara.

"Saya dah 40-an. Is it too late? Mesti awak nak kata saya akan menyesal di hari tua."

"Life start at fourty" jawab saya sedikit berjenaka. Saya katakan bahawa setiap orang mempunyai pilihan masing-masing. Saya tak tahu kecenderungan orang lain dan tak tahu sama ada dia akan menyesal di hari tua atau tidak.

Sebab saya tak pandai sangat bercakap (saya lebih selesa menulis dari bercakap), saya cadangkan dia membaca buku Tuesday with Morrie. Kerana saya rasa banyak nasihat yang baik tentang keluarga dan anak-anak dalam buku tersebut.

Tapi jika saya diberi peluang semula untuk memberi nasihat.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bertapa bahagia dan gembiranya apabila mendengar suara anak menjerit kegembiraan menyambut kepulangan kita dari kerja, segala penat lelah dan kerungsingan hilang sebentar melihat wajah ceria mereka memeluk kaki kita kegembiraan. “Abi dah balik!”.

Saya akan katakan, ya, anak-anak memang mengambil masa dan tenaga kita. Kadang kita penat mereka ajak bermain, kita nak tidur dia ajak kita baca buku, dompet tertinggal tapi dia suruh kita beli belon, kita suruh pakai baju merah dia nak pakai baju biru, dan bermacam lagi kisah suka, duka, dan kelakar bersama anak-anak.

Tapi selepas semua masa dan tenaga kita habis. Dan mereka pun akhirnya tertidur. Kita melihat dan merenung wajah mereka yang bersih tidur dengan tenang, kita pun diselubungi tenang, kita kucup pipi mereka tanda selamat malam, dan kita merasa bahagia.

Kita tidak dapat menukar ganti perasaan bahagia itu, dengan sebesar dunia pun tidak bisa.

Isnin, 8 April 2019

Nota-nota peribadi di PBAKL 2019




Tahun ini PBAKL kembali ke tengah pusat negara di PWTC, saya ingat kali terakhir saya datang PBAKL adalah di MAEPS Serdang, kemudian beberapa tahun tidak dapat hadir atas komitmen pengajian. Tahun ini masih ada komitmen pengajian tapi saya ‘mengelat’ dan datang juga.

Jika sebelum ni datang untuk berjalan-jalan sambil menambah koleksi buku untuk dibaca, tahun ini saya datang untuk menjual buku. Walaupun jika dikira untung rugi mungkin tidak berbaloi pun menjual di PBAKL bagi penerbit swaterbit indie, tetapi apa yang lebih berharga adalah pengalaman juga perbualan-perbualan dengan masyarakat.

Buku yang saya cetak sebenarnya telah lama habis, saya pun malas untuk mencetak lagi. Tapi apabila sahabat saya Izzat mengajak untuk bersama dia untuk menjual di reruai swaterbit saya buat cetakan kedua. Saya tahu, jika untung rugi itu hanya dikira dengan matawang ringgit mungkin tidak berbaloi, tapi apa yang lebih penting adalah solidariti bersama penulis dan penerbit indie, pengalaman bercerita dengan pengunjung, juga sembang dan renungan bersama.

Bersama komrad-komrad Anarko-sindikalisme

Antara pengalaman berharga kali ini adalah berkongsi reruai dengan penerbit anarkis indie. Duduk dengan mereka, sama-sama menjual buku, makan bersama, semestinya berharga dan melahirkan perasaan brotherhood. Mereka ini ber-ideologi pro-buruh, anti-fasis (antifa), budak-budak punk, juga pemusik-pemusik indie. Di takdirkan Tuhan mereka berkongsi reruai dengan budak usrah!

Amatan saya mereka mempunyai semangat brotherhood yang kuat antara sesama mereka dalam komuniti mereka, dalam kalangan Islamis semangat ini terjelma dalam terma ukhuwwah Islamiyah. Mereka juga kebanyakannya tidak percaya pada Tuhan.

“Weh tak solat Jumaat ke?” sapa Oka.

“Aku boleh jamak sebab datang dari Sungai Petani.” balas saya. Melihat saya ingin bertanya pula Oka terus berkata.

“Oh kitorang tak, kitorang kafir.” jelas Oka.

Apa yang menarik adalah selepas kami bersama-sama menjual buku dari pagi sehingga penat, kami duduk bersama-sama bersembang hati ke hati. Oka bercerita berkenaan dengan ideologi anti-fasis beliau, beliau berkata dia menentang semua ke-fasisan baik fasis-agama atau fasis-bangsa, tetapi percaya kepada pendekatan anti-keganasan. Saya pun bertanya bangaimana dengan ‘aksi langsung dan sabotase’? antara sebuah buku klasik anarko-sindikalisme yang sempat saya belek.

“Tak semua benda yang kita baca sesuai kita pratikkan hari ini, kena lihat situasi” jelas Ashi.

Wow, saya kagum mendengar kata-kata yang keluar dari mulut adik punk berumur 17-tahun, dia seolah faham ilmu waqi’. Ashi tidak menghabiskan sekolah, dia bersama kawan-kawan menjual t-shirt dan buku. Mukanya bersih dan sentiasa ceria, dipipi bawah mata kanan beliau ada sebuah tatoo perkataan ‘mercy’, di leher beliau ada tatoo besar rama-rama, tangan kanan dan kiri juga ber-tatoo, dan di kedua telinga ada gelang kecil yang ditindik.

Oka kemudian bercerita tentang ketidakpercayaan beliau pada tuhan, beliau berkata bahawa asas ketidakpercayaan beliau adalah pencarian dan pembacaan beliau, beliau bukan tidak percaya agama disebabkan dendam atau mempunyai pengalaman buruk dengan orang-orang agama. Tetapi beliau sama sekali tidak membenci agama, baginya tidak percaya dan benci dua perkara berbeza. Dia percaya idea perlu berlawan dengan idea, dan buku perlu berlawan dengan buku.

“Apa perasaan ko bila dengar orang cakap camtu?” tanya Ashi, mungkin dia curious apa yang budak usrah seperti saya fikirkan mendengar cerita bangsa sendiri tidak ber-tuhan.

Saya sedikit sebanyak menceritakan latar keluarga dan hidup saya, buku-buku yang saya baca di pertengahan hidup, saya katakan bahawa setiap manusia mempunyai latar hidup mereka. Dengan latar-latar ini setiap manusia sampai kepada cara fikir mereka, dan manusia tidak boleh memilih latar keluarga mereka, jadi saya tiada sebarang perasaan benci. Tapi saya percaya bahawa manusia boleh berkomunikasi apabila dia sudah dewasa dan memilih cara fikir baharu yang lebih benar dengan kemampuan akalnya.

Oka berkata bahawa dia ada membelek-belek buku saya, dia kata dia akan baca, sekiranya tiada unsur fasis dia mahu cetak dan jual buku saya. Ashi kelihatan masih muda dan jauh lagi perjalanan hidupnya, saya hadiahkan kepadanya senaskah buku saya secara percuma dan berpesan agar dibaca dan tidak dibuang.

Sembang petang dengan politikus

“Mana ko nak cari ahli politik beli zine punk.” kata Budiman yang singgah di reruai kami dan membeli dua siri Mosh Zine. Jika dilihat dengan mata kasar, tidak nampak seperti ahli politik, memakai baju t-shirt Hard Rock Cafe ‘Seville’ sambil menarik trolley-cart berisi buku, dan bersembang pasar dengan budak-budak jalanan. Agak kelakar trolley-cart beliau saya lihat, teringat makcik-makcik tua dia Rusia ketika saya masih belajar dahulu, mereka juga menggunakan trolley-cart yang sama.

Dia pun duduk dan bersembang bersama kami, bertanya khabar dan progress jualan. Banyak juga topik menarik yang kami bualkan, terutamanya berkenaan dengan penulisan buku dan proses jualan. Budiman pernah ter-viral dalam sebuah wacana anjuran akhbar harian, apabila seorang pakcik tua mengatakannya ‘bodoh’, tapi dia tenang menjawab.

Saya bertanya tentang wacana tersebut, Budiman menjawab biasa “Alah, tak kisah, aku tahu diorang tu cari makan”, nampak dia tidak menyimpan hati sedikit pun. Dia bercerita tentang pengalamannya menerbitkan buku, bagaimana dia menjual buku sendiri dan bertegas tidak mahu jual pada orang tengah. Baginya, dia yang berusaha membuat kajian dan menulis, mengapa orang tengah boleh mengaut 40 peratus? Dia kemudian mengeluarkan bukunya ‘Propaganda Politik’ dari trolley-cart kelakarnya. Buku ini dari hasil kajian PhD-nya ujar Budiman. Oka minta free tetapi Budiman tak bagi, saya pun membeli sebuah tanda solidariti.

Minum kopi bersama Wolf di tepi Sungai Gombak

Saya sempat di PBAKL tahun ini hanya dua hari, sepanjang dua hari itu hanya berada di reruai sendiri dan tidak mempunyai masa untuk berkembara, menikmati, dan membelek buku di reruai yang lain. Hari kedua di reruai kami disertai Wolf, pemuzik dan penulis, dan Nizang, penerbit zine. Wolf tiba awal, anarkis-anarkis lain masih belum bangun tidur. Dia pun menyusun poskad hasil karya beliau. Saya turut membantu mempromosikan poskad beliau, ada juga pembeli dari crowd saya yang membeli.

Buku Wolf bagi saya menarik, ia bukan travelog biasa tapi sebuah pengembaraan dengan misi tersendiri, dalam masa yang sama dimuatkan lukisan-lukisan beliau sepanjang pengembaraan beliau. Saya tertarik dengan kehalusan seni beliau, dan beliau bercerita tentang bagaimana setiap lukisan itu di hasilkan, teknik-teknik yang digunakan. Saya bertanya berkenaan dengan lukisan original. “No, not for sale!” jawab Wolf tegas. Saya beli satu buku beliau 'Kept in Ink' bersama poskad tanda solidariti.

“Weh, jom cari kopi” ajak Wolf apabila sudah separuh hari berpromosi dan memberi flyers pada pengunjung. Masing-masing penat, kini tiba masa untuk makan tengahari. Kami pun keluar dari dewan dan masuk ke medan makan di tepi sungai Gombak yang berwarna seperti ‘teh tarik’. Kami bersama makan nasi putih dengan ayam goreng kampung, sambal belacan kedai tersebut sangat sedap, pedas, dan ‘terangkat’. Saya bungkus satu untuk Izzat.

Wolf bercerita perihal dirinya, dari dia mula berkarya ketika belasan tahun, aktiviti harian busking di SACC mall, juga projek-projek amal beliau mengajar muzik secara percuma kepada anak-anak di PPR. Kami bersembang berkenaan dengan buku, banyak juga yang dibualkan kerana banyak buku yang sama kami baca seperti karya-karya Chomsky hingga ke kritikan Richard Dawkins terhadap agama.

Kami kemudian berbual berkenaan dengan halatuju politik kiri di Malaysia. Wolf berpendapat bahawa parti sosialis di Malaysia masih membawa sosialis lama era-70-an sedangkan kapitalis berubah dengan cepat, kapitalis hari ini tidak sama dengan kapitalis 70-an. Di sebabkan itu mereka sukar mendapat base terutamanya dalam lingkungan ideologi. Perkataan ‘sosialis’ sendiri mempunyai konotasi negatif di Malaysia dan sering dikaitkan dengan ‘komunis’. Tetapi bagi Wolf, parti sosialis konsisten dalam bekerja memperjuangkan rakyat bawahan, tiada siapa boleh menyangkal mereka ‘berkerja’, dan dia sendiri meletakkan simpati beliau pada mereka, dan tidak segan membantu jika diminta.

Selamat tinggal Pesta Buku KL 2019

Dalam pekat malam kota aku meninggalkan pesta buku tamat hari ke-dua, pekat malam kota tidak sama dengan pekat malam desa kerana ada lampu neon di mana-mana. Pesta kali ini membuatkan aku berfikir berkenaan dengan keindahan seni dan karya, bagaimana ia boleh merentas rupa, warna, juga ideologi dan budaya. Baik kiri atau kanan, mereka duduk sebentar dalam genjatan senjata, bersama di dalam satu dewan bersama menjual karya.

Di kesempatan ini, saya ucapkan terima kasih buat penganjur yang memberi ruang kepada kami untuk bernafas, kepada komrad-komrad anarkis yang bersama-sama menjual karya, kepada pengunjung yang sudi singgah mendengar cerita, kepada pembeli dan pencinta karya, kepada suri hati yang menjaga dua anak tercinta dan melepaskan suamimu ke pesta, dan yang paling utama, kepada Allah yang memberikan nikmat tenaga dan usia.

Selamat tinggal pesta buku!