Ada
satu perbezaan besar apabila membaca literatura dari jalur ekonomis Marxis
berbanding ahli ekonomi biasa yang kebanyakannya memeluk ideologi pasaran
terbuka dan neo-liberal. Perbezaan besar inilah yang saya kira membawa ramai
anak muda lebih gemar membaca literatura berjalur kiri.
Jika
kita membaca buku ekonomi biasa, kita akan berhadapan dengan pelbagai teori,
statistik, dan bahasa matematika yang bukan merupakan bahasa natural spesis
manusia homo sapien. Ini menjadikan pembacaan sangat berat, terlalu akademik,
namun ia gagal apabila berhadapan dengan dunia sebenar. Teori ekonomi yang
diajar di bangku universiti meminjam persamaan matematika dari algebra untuk
kelihatan saintifik, tetapi gagal apabila diterjemah kedalam dunia praktik.
Berbeza
dengan literatura ekonomi jalur kiri, kebanyakannya ditulis dalam bahasa
manusia, contoh dan permisalannya adalah perkara harian, ia mudah di telan dan
dicerna minda. Inilah yang membezakan dua teori ekonomi ini.
Ramai
yang bersangka bahawa teori ekonomi kiri telah mati, dengan jatuhnya blok
Kesatuan Soviet Russia. Intelektual seperti Fukuyama menandakan ia sebagai era
tamatnya sejarah, sejarah telah tamat ujar Fukuyama, dan sistem kapitalis
pasaran terbuka liberal telah menang dan merupakan produk akhir dalam evolusi
ideologi manusia.
Namun
krisis demi krisis, menimbulkan semula literatura kiri, Marx menghantui mereka,
professor yang duduk pada kerusi paling tinggi dalam fakulti ekonomi tidak
dapat menerangkan bagaimana persamaan matematik dan algebra mereka tidak dapat
membendung kejatuhan ekonomi. Maka duit titik peluh rakyat dikeluarkan bagi
mengeluarkan bank dan syarikat korporat dari lubang bankrupsi, dan mereka pun
berjudi kembali menggunakan wang pendeposit dan mengumpulkan bonus akhir tahun
hasil untung atas angin kutipan bunga.
Mungkin
benar, Marx bukanlah seorang ahli ekonomi, dia merupakan ahli falsafah. Teori
Marx tidak dapat menyelesaikan masalah sistem ekonomi dunia. Tetapi mengapa
bangsa muda masih menggilai beliau, masih tekun meniti perenggan karangan
beliau, masih segar membaca komentari ekonomi berjalur kiri?
Pada
hemat saya kerana bahasanya yang mudah difahami bangsa homo sapien. Contoh yang
digunakan masuk akal, juga semangat juang yang diselitkan membakar semangat
muda kebebasan, keadilan, dan kehidupan yang lebih bermakna. Ekonomi tidak
dipisahkan dengan etika, alam sekitar, dan perasaan kemanusiaan.
Pada
hemat saya juga, walaupun banyak idea Marx dalam menyelesaikan masalah ekonomi
tidak praktikal malah mungkin telah dicuba tetapi tidak berjaya, kaum muda
masih membacanya kerana tiada suara lain yang berani mengkritik ketidakadilan
ekonomi dan sosial hari ini. Jadi, melalui literatura kiri, sisi-sisi busuk dan
hodoh ekonomi penindasan dapat dikenal pasti, masalah sistemik dapat difahami,
dan penyelesaian kreatif baru dapat difikirkan.
Dalam
pembacaan dan kajian saya, antara soalan yang selalu bermain diruang fikir
adalah, jika pendapatan manusia dijamin, apakah mereka akan menjadi malas,
apakah motivasi mereka untuk bekerja dan berusaha? Soalan saya ini membawa saya
bertemu dengan buku tulisan D'Amato yang merupakan editor kepada majalah
International Socialist Review (ISR), setelah hampir 22 tahun menyumbang
naratif alternatif kepada umat manusia, ISR melabuhkan tirai penerbitannya pada
tahun ini.
Pada
mulanya saya agak skeptik dengan buku terbitan Haymarket Books karangan D'Amato, kerana
tulisannnya yang kecil dan perenggannya yang panjang, pastinya melenguhkan mata
dan membosankan jiwa. Ternyata saya silap, membaca pendahuluannya sahaja
membuatkan mata semakin membulat, dan tarikan semakin kuat. Buku yang bertajuk
The Meaning of Marxism ini merupakan sebahagian dari diet pembacaan saya pada
tahun ini yang berfokuskan ekonomi.
Selepas
berehat sebentar dari ekonomi dan menekuni memoir Dr. Ang Swee Chai berkenaan
perjuangan bangsa Palestina yang begitu kental, kini minda kembali segar untuk
pengembaraan intelektual seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan