Selasa, 25 Jun 2019

Catatan Baitul Muslim 20: Kenapa Abi tak suka kakak?


"Kenapa Abi tak suka kakak?" tanya anakku kepada ibunya.

Aku pun tidak tahu mengapa, sukar benar untukku bersabar dengan karenah anakku yang kini sudah mencecah umur 4 tahun. Petang itu, pulang sahaja aku dari pejabat, aku terus membawanya ke klinik, selepas diperiksa doktor tiada apa yang serius, cuma tonsilnya bengkak. Doktor bungkuskan ubat demam dan antibiotik. Namun, sampai dirumah anakku tidak mahu makan walau puas dipujuk. Sabarku pun habis, aku mengambil keputusan untuk membuat hal sendiri. "Ah penatlah, malas nak melayannya" getus hatiku. Kerana tidak dilayan, akhirnya anakku menangis dan mencari ibunya.

Aku kagum dengan kesabaran isteriku, walaupun pipi dibasahi airmata, dia tetap juga berlembut memujuk anakku, sabarnya lebih panjang dariku. Begitulah kuasa Tuhan menciptakan seorang ibu dengan kesabaran yang begitu ajaib. Aku tidur awal, dengan harapan mimpi dapat memadamkan api kemarahan. Kami bersetuju, jika aku tidak dapat bersabar isteriku akan memujuk, jika dia tidak dapat sabar, aku perlu memujuk, kerana anak akhirnya perlu tempat untuk berpaut.

"Bukan Abi tak suka, bukan Abi marah. Tapi Abi susah hati, Abi risau sebab kakak tak sihat, tapi kakak tak mau makan ubat. Abi balik kerja penat-penat terus bawa kakak jumpa doktor sebab Abi sayang kakak, Abi nak kakak cepat sihat. Jadi kakak kena la makan ubat" pujuk isteriku sepanjang malam.

Keesokan paginya anakku tidak ke sekolah, masih muntah-muntah dan tinggal bersama neneknya sementara kami bekerja.

"Maaf tidak dapat bersabar semalam, entah kenapa susah nak bersabar dengan perangainya semalam. Abang tak layan dia sebab takut kalau terlepas marah tertengking, jadi elok diam sahaja." ujarku pada isteri keesokan pagi.

Biasanya kami akan berbincang semula apabila situasi sebegini terjadi. Sebagai ibubapa muda, ia adalah medan untuk kami belajar dan saling menasihati dalam selok belok menjadi ibubapa. Aku hormati isteriku, sering dalam situasi seperti ini kesabaran dan nasihat beliau sangat berharga. Ya, ego lelaki itu tinggi, tetapi anak itu amanah bersama, jadi masing-masing mempunyai hak menyuarakan pandangan tentang bagaimana merangka strategi membesarkan anak. Bapa selalunya memilih ketegasan, manakala ibu memilih kelembutan dan kasih sayang.

"Kita kena tetap cuba bersabar, sebab mereka masih kecil dan tidak mengerti. Saya faham kadang-kadang kita susah nak kawal amarah dan emosi, kita kena cuba bersama-sama, dan jangan sebut perkataan yang menguris hatinya, kerana walaupun kecil dia ada perasaan, kesannya adalah di masa hadapan, kadang-kadang dia hanya nak bermanja dan sangat sensetif dengan kata-kata kita. Kita saling memerlukan kekuatan untuk mendidik anak-anak" panjang nasihat isteriku pagi itu. Sedikit sebanyak aku berasa bersalah kerana terlalu mengikut emosi dan pendek kesabaran. Seorang bapa perlu belajar merendahkan egonya dan menghulur kasih-sayang disaat hati sedang terbakar dek amarah.

Benarlah mendidik anak bukan semudah menghabiskan pembacaan sebuah buku. Tidak seindah bait-bait puisi. Ia menuntut kesabaran, perasaan, peluh, dan airmata. Khatam sejuta kitab dengan isi-isi teorinya belum tentu dapat menjamin kita berjaya mendidik seorang anak. Moga-moga satu hari nanti kakak faham bahawa umi dan abi marah dan bertegas semuanya untuk kebaikan anak-anak. 


Tiada ulasan: