Langit pada hari Khamis 19 September 2019 masih kabur diselubungi jerebu. Dari terminal Raja Tun Uda tanah besar semenanjung hilang dalam samar penglihatan yang terbatas, ternyata jerebu kali ini sehebat jerebu tahun 90-an. Kerana keadaan atmosfera yang tidak sihat, aku mengambil keputusan untuk tidak bermain futsal pada hari tersebut, namun hatiku tidak begitu tenang hari itu kerana ia mungkin merupakan hari terakhir futsal bersama Mickey, beliau bakal berpindah ke Carolina Utara, sebuah negeri selatan dari Washington, dan disebelah timurnya terbentang Lautan Atlantik.
Aku pun menghantar mesej pada beliau mengucap selamat jalan, dan bertanya bila pesawatnya bakal berlepas, ternyata dia mempunyai beberapa lagi hari berbaki. Aku hadiahkan kepada beliau naskah buku Tuesday with Morrie, buku yang bagi aku secara personal sangat mendalam nasihat dan renungannya berkenaan dengan persoalan kehidupan. Seingat aku, kali pertama aku membacanya adalah selepas dipengaruhi Seetal, yang bercerita dengan penuh semangat bertapa berharganya buku tersebut dan memberi aku naskah untuk dipinjam dan dibaca.
Mickey memberiku buku Billion Dollar Whale tulisan Tom Wright & Bradley Hope, katanya elok kita bertukar buku. Buku ini bukanlah buku yang asing bagiku, apatah lagi di Malaysia. Kali terakhir aku ke kedai buku, harganya sekitar RM80 seingat aku. Secara purata ia adalah buku yang mahal, kebiasaannya aku hanya membeli buku sekitar harga RM30-RM40 senaskah. Lebih dari RM40 bagiku agak mahal. Tetapi bukan sebab harga aku tidak membeli buku ini, seingat aku terdapat beberapa buku mahal yang aku beli seperti tulisan Noam Chomsky dan Howard Zinn.
Mungkin aku tidak membelinya atas faktor ideologi politik. Aku masih ingat perbualanku bersama seorang teman rapat yang bekerja di sebuah akhbar, akhbar yang melaporkan secara extensive berkenaan dengan 1MDB. Temanku tersebut merupakan penyokong pembangkang satu ketika dahulu, blog peribadinya antara lain pernah menulis perihal buku Tony Pua, The Tiger That Lost Its Roar. Namun seperti banyak anak muda yang lain, euphoria reformasi telah hilang apabila pembangkang mengambil alih kerajaan, ceramah-ceramah indah terbukti tidak mudah untuk ditukar menjadi polisi. Katanya baginya buku tersebut 'populis', mengambil keuntungan dari skandal ini. Kami meneroka kedai buku Kinokuniya bersama hari itu, beliau melabel buku-buku populis lain, antaranya buku I am Malala.
Mungkin juga aku tidak membelinya kerana aku boleh membaca berita sahaja. Selepas skandal 1MDB meletup, ia dilapor dan diulas secara meluas, baik oleh media antarabangsa, akhbar tempatan, blog, hatta propaganda-propaganda di Facebook. Ia boleh dibaca dari pelbagai sudut, pembangkang atau kerajaan, jadi mengapa perlu beli buku? Atau mungkin disebabkan diet buku aku yang lebih berat kepada teori dan falsafah dalam politik dan ekonomi, aku melihat buku ini lebih kepada berunsur sensasi.
"We will discuss it in a week" kata Mickey menyerahkan kepadaku naskah buku yang dikeluarkan dari almari pejabat. Aku suka membaca perlahan-lahan jadi aku non-committal.
Tetapi ketika aku mula menyelak naskah ini di dalam bas Rapid Penang ternyata ia sangat mengasyikkan, mataku seolah digam pada helaian-helaiannya. Hari pertama sahaja aku menghabiskan lebih dari 50 mukasurat. Ia ditulis ala-ala novel, dengan cliff-hanger di setiap penghujung bab. Buku ini fokusnya bukan Najib atau 1MDB, tetapi Jho Low (JL).
Ia dimulakan dengan kisah bagaimana JL dibesarkan, bagaimana bapanya, Larry mempunyai harapan besar untuk anaknya lalu menghantarnya ke sekolah elit di Wharton, di mana beliau mula memasuki orbit golongan elit dan bangsawan, bersosial dan berkenalan dengan golongan kaya dan raja. Bermula dengan kenalan ini JL memulakan skimnya untuk menjadi kaya tanpa perlu bekerja keras. Dari seorang nobody dari Pulau Pinang beliau menjadi billionaire yang sibuk ber-party mewah bersama bintang-bintang Hollywood.
Namun ada sesuatu isu besar yang boleh dilihat dari kejayaan JL menipu dan meng-kayakan dirinya, iaitu kegagalan institusi keewangan antarabangsa, terutamanya bank dalam membolehkan ia semua berlaku, menutup mata bagi mengalihkan wang berjumlah berbillion dollar. Membaca buku ini mengingatkan aku kepada buku The Big Short yang memaparkan ketamakan golongan banker yang rakus mengaut keuntungan di atas angin menjual sub-prime mortgage yang akhirnya menarik runtuh sistem keewangan, cuma kali ini ia mempunyai mastermind.
Dalam siri konspirasinya JL berjaya menggunakan, menipu, dan memanipulasi pelbagai pihak termasuk kerajaan, bank-bank seperti BSI, Falcon, Goldman Sachs, juga pemain korporat seperti 1MDB, IPIC, Aabar, juga pelbagai industri hiburan termasuklah artis-artis Hollywood. Namun seperti mana skim-skim penipuan sepanjang sejarah, ia memerlukan terlalu ramai konspirator, akhirnya JL sendiri tidak dapat mengawal apa yang dia mulakan. Kejatuhan skim JL menarik bersamanya konspirator-konspiratornya, dan Malaysia juga mencatat sejarah apabila kerajaan bertukar buat kali pertama.
Hari ini prosiding mahkamah telah dimulakan, dan banyak perkara yang parallel dengan apa yang ditulis oleh Wright & Hope dengan keterangan-keterangan saksi di mahkamah. Setiap rakyat yang ikhlas berharap ia akan membawa keadilan, dan pesalah di beri hukuman setimpal. Ia adalah penting agar pemimpin masa akan datang sentiasa berwaspada dengan tingkah laku mereka, berhati-hati dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan, dan yang paling penting sentiasa berlaku amanah dengan tanggungjawab mereka mengurus harta negara. Ia adalah pengajaran kepada ahli politik bahawa mereka tidak duduk diatas undang-undang.
Buku ini sememangnya ditulis dengan komposisi yang menarik, seperti sebuah novel. Kerana ia membabitkan isu politik tempatan, ia harus cuba dibaca dengan meletakkan ideologi politik di luar, dan disudut lain, agar ia boleh di hadam secara objektif. Keabsahan perincian laporan ini diharap akan kita ketahui dengan berlangsungnya prosiding di mahkamah. Suka atau tidak suka, skandal ini akan kekal dalam sejarah negara.