Isnin, 30 Mac 2020

Mimpi-mimpi yang takkan bisa terulang



Saya selalu menulis kerana banyak sebab. Ada kalanya menulis adalah terapi diri, saat dihimpit kesedihan, atau perasaan-perasaaan datang, menulis adalah instrumen saya untuk mengalirkan emosi keluar, untuk kembali tenang dan hidup semula. Banyak ketika, menulis datang kerana hasil membaca, apabila membaca, terkadang ada idea yang seolah-olah mahu keluar tetapi tersekat di dalam minda, ia akan terus berlegar-legar di dalam minda selama beberapa hari, kadang beberapa minggu, hingga menyebabkan saya sukar untuk memikirkan perkara lain, dengan menulis, idea ini keluar dan minda kembali segar. Sedia menerima idea-idea baru.

Menulis juga merupakan peluang, satu peluang untuk berinteraksi dengan generasi yang akan datang, yang mungkin saya tidak kenal, tidak pernah tahu namanya, tidak pernah menatap wajahnya, jiwa-jiwa yang tak pernah muncul dalam mimpi-mimpi saya, tapi jika tulisan saya saya tulis tidak terpadam, mereka boleh mendengar suara saya pada satu hari nanti. Mungkin sebahagiannya akan tersimpan di perpustakaan, atau jika alam maya masih belum menemui akhiratnya, mungkin mereka akan terjumpa saya di laman blog ini.

Hari ini saya ingin menulis tanpa fokus, seperti daun layu yang jatuh di atas arus sungai, biarlah sungai minda mengalirkan penulisan ini sendiri. Setia dalam alirannya, mendamaikan dalam alunannya, mendinginkan dalam sentuhannya.

Musim berkurung akibat wabak corona ini bagi saya merupakan satu anugerah. Selama ini roda kehidupan berjalan tanpa henti, tanpa sedar anak saya yang baru semalam lahir kini sudah mempunyai lapan gigi. Pengurungan ini memberi ruang untuk saya duduk bersama keluarga, melihat anak-anak makan, membiarkan mereka memanjat belakang badan, membiarkan tangan-tangan halus menampar muka dan mendengar alunan tangisan mereka. Saat-saat ini akan berlalu cepat, esok mereka akan masuk ke menara gading, tidak mahu lagi dikendong atau didukung, tidak mahu lagi digomol pipi-pipi bersih dan gebu mereka. 

Dunia ini memang aneh. Dalam sekelip mata ia bertukar, kerana sekecil wabak yang tidak terlihat dunia terhenti, kedai-kedai di tutup, kereta dan motor sejuk di rumah, seolah-olah ia merupakan waktu rehat kepada bumi yang telah tua ini, yang sudah penat menghidu karbon dioksida kilang manusia, yang sudah penat mengorbankan hutan belantara, yang sudah penat memberi segala galiannya, kini tiba masa semuanya terhenti. Bumi tua ini akhirnya mampu duduk tenang seketika diatas kerusi tuanya, tidak lagi hirau akan jerit pekik manusia.

Semalam genap satu bulan pemergian ayahku, terasa begitu cepat 30 tahun ini berlalu, ibarat mimpi, yang aku tahu tak mungkin bisa diulang, ia mimpi yang telah pergi ke alam abadi, tidak tersentuh lagi oleh tangan-tangan manusiawi. Jika ayah menjadi ukuran usiaku, maka aku telah menghabiskan separuh umurku, hanya ada 30 tahun berbaki. Walaupun aku tahu, umur itu rahsia tuhan, disimpan disebalik tabir yang tak mampu diintai insan, namun hatiku seolah hampir pasti, bahawa umurku hanya berbaki sedikit, tiga puluh paling lama, mungkin kurang daripada itu. 

Mati bagi saya satu kejadian yang menakutkan, bila difikirkan secara mendalam, difikir secara sebenar dan secara sedar. Apa yang akan menanti selepas itu? Soalan ini ditanya oleh setiap manusia, setiap agama dan bangsa. Namun ada kalanya aku rindu untuk mati, aku mahu hilang dari dunia ini. Mahu aman, tiada fikiran, tiada emosi, tiada kegelisahan atau kenikmatan, hilang, diam, tenang, kosong.

Rahsia-rahsia ini tidak mungkin akan kita tahu, walau kita membaca seribu buku. Takkan tersirat walau kita digelar professor atau pak doktor. Namun masa-masa yang masih disisakan oleh tuhan kepada manusia ini elok digunakan. Dinikmati dengan menghirup secawan kopi, ditemani senaskah manuskrip ilmu, sambil dimenung alam buana indah hingga ke hujung fatamorgana yang paling jauh.

Ahad, 15 Mac 2020

Bertemu Ikon Perjuangan Palestin - Dr. Ang Swee Chai



Saya sudah agak lama mengetahui akan perjuangan dan aktivisme Dr. Ang Swee Chai. Namun hanya selepas membaca buku beliau From Beirut to Jerusalem saya benar-benar dapat merasai struggle dan kesakitan yang beliau tempuhi. Seorang yang sangat kuat beragama Kristian, lahir di Pulau Pinang, berwarganegara Singapura dan mendapat suaka politik di United Kingdom. Beliau adalah antara doktor yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Kem Shabra-Shatila ketika Lebanon diserang oleh Israel. Beliau kemudian merupakan antara saksi yang memberi keterangan berkenaan peristiwa tersebut di Kahan Comission di Israel.

Saya banyak menulis artikel berkenaan beliau di portal Independent Insight dan Borneo Komrad, dan akhirnya beliau menjemput saya ke Singapura untuk berjumpa dan makan malam bersama beliau dan keluarganya. Namun, passport saya telah lama mati dan tidak pernah diperbaharui selepas saya pulang dari menuntut ilmu di Rusia. Akhirnya saya sempat berjumpa beliau di UN Conference di KL pada 28 Februari 2020 dan mendengar sendiri syarahan berkenaan pengalaman beliau secara live membantu dan mengubati rakyat Palestin dan Lubnan yang cedera diserang penjajahan Israel. Gambar-gambar kecederaan yang ditayangkan sangat mengerikan, bagaimana peluru kecil yang dipanggil butterfly bullet meninggalkan luka yang besar, mengecaikan tulang dan daging manusia.

Saya bawa buku beliau untuk autograf, beliau sebaliknya memberi saya buku beliau versi terbaru. Dan saya menghadiahkan beliau buku kecil antologi puisi kami Maka Kitab Itu Pun Menyanyi sebagai token penghargaan dan persahabatan. Saya terangkan kepada beliau ada satu puisi yang saya tulis didalamnya berkenaan dengan perjuangan rakyat Palestin. Terlalu banyak sebenarnya yang mahu ditulis hasil pendengaran syarahan beliau. Malah banyak gambar-gambar kekejaman Israel yang dikongsi terlalu dahsyat untuk saya kongsikan di ruang ini. Semangat juang mereka seharusnya kita tekuni dan sokongi.



Perbualan dengan diplomat-diplomat dari negara lain juga sangat menyegarkan. Antaranya adalah seorang diplomat dari Afrika, saya bertanyakan bagaimana negara yang menerima bantuan dari Amerika boleh mengutarakan usul dan menyokong usul perjuangan Palestin. Beliau lantas berceramah kepada saya soal prinsip, dan bagaimana bantuan tidak akan dapat mengubah prinsip keadilan yang didokong negaranya.

Terima kasih juga kepada pegawai-pegawai Wisma Putra yang ramah melayani kami para tetamu.

From the river to the sea, Palestine will be free!

Selasa, 10 Mac 2020

Kalau Bintang Punya Suara



Apa itu keindahan?
Adakah ia senyuman?
Walau jiwa dalam kesedihan?

Bolehkah aku terus menangis disini,
tanpa perlu menyapu sepi?

Aku ingin hilang,
aku ingin menjadi lalang,
yang tumbuh tak dipandang,
tiada perasaan sedih atau galang,
tanpa jiwa yang perlu mengerang.

Aku mahu hilang bersama angin,
ditelan dalam laut dingin.

Kalau bintang punya suara,
Aku ingin dia berkata.

"Ayuh bersamaku saudara,
pabila mentari mula bicara,
hilanglah bersamaku saudara,
pejamlah dan hilangkan sengsara".

Khamis, 5 Mac 2020

Belajar Hidup Dari Ayah

Kami bersama ayah sewaktu kecil. dari kiri Syed Ahmad Islami, dalam dukungan Syed Ihsan, dan yang paling kanan Syed Ahmad Fathi. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah, Syed Mohd Khair merupakan anak kelahiran Changkat Tin, Tanjung Tualang, Perak. Ibunya bernama Andak Jijah dan ayahnya bernama Syed Mohd Jiplus. Beliau bersekolah di Sultan Yusuf School (SYS) dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan kejuruteraan awam. Beliau dipanggil pulang oleh Allah pada umur 61 tahun pada 29 Februari 2020 di rumah kami di Gombak.

Pulang ke Sungai Petani selesai pengebumian ayah berseorangan sememangnya merupakan masa yang sangat subur untuk mengimbau memori. Kemana sahaja saya lihat, akan terkenang ayah. Bila lalu di kawasan Tapah dan terlampak air terjun Lata Kinjang, teringat ayah selalu sebut berkenaan dengan Lata Kinjang dan pernah bawa kami mandi disana. Bila teringat anak-anak teringat ayah selalu menyanyi bila jumpa cucu-cucunya "Oh Amni, budak solehah. Oh Idlan budak yang soleh", malah mainan anak-anak kebanyakannya ayah yang beli, saya jarang hingga hampir tak pernah beli mainan untuk anak-anak.

Masa balik kampung dan ketika baru mula belajar bercakap dahulu saya masih ingat saya dengar ayah sebut perkataan "berbaloi", saya tak faham dan ayah terangkan apa maksud perkataan berbaloi. Kereta kami tak ada radio, biasanya kami akan dengar ayah menyanyi nasyid lagu Raihan, Rabbani, dan Hijaz sampai kami tertidur. Semasa kecil saya masih ingat saya pernah dibawa ayah ke pejabatnya, Pejabat JKR di Menara UMNO Kuala Lumpur, saya tidak pasti kenapa ayah bawa saya hari itu.

Saya juga masih ingat ayah mengajar saya matematik masa kecil. Yang paling saya ingat adalah ayah ajar saya cara bundarkan nombor, senang sahaja saya jawab soalan-soalan ayah. Kemudian ayah tanya soalan trick question, cuba bundarkan nombor 10, saya fikir tak dapat-dapat, ayah tak mahu beri jawapan dan terus tanya saya hingga akhirnya saya menangis. Itu metodologi ayah mengajar, dia mahu anak-anaknya berfikir sampai limit pemikiran, kemudian baru dia bantu. Tapi ia berkesan, saya ingat sehingga ke hari ini.

Masa kecil juga, ayah belikan kami akuarium. Macam-macam ikan kami pernah bela, ada ikan yang kami beli di kedai ikan seperti ikan flowerhorn, ada ikan yang kami tangkap sendiri di Ulu Yam, di dalam longkang di Taman Melewar seperti ikan Talapia. Juga ikan yang kami tangkap di parit kampung seperti ikan Haruan, Puyu, Sepat, Ikan Mata Tiga. Balik kampung biasanya di bahagian kaki tempat duduk belakang ada baldi berisi air dan ikan yang kami tangkap di kampung. Ayah ajar macam mana nak keluarkan air dari akuarium guna paip air, isi air dalam paip, tutup, satu hujung bubuh dalam aquarium dan hujung satu lagi lepas dibawah, air akan turun sendiri hasil tekanan udara. Kami belajar fizik secara amali sebelum masuk sekolah menengah!

Zaman dahulu tengok cerita guna tape, video tape ini zaman sebelum ada Video CD. Antara cerita yang ayah kerap kali ulang pada kami ialah filem 'Lion of the Desert' yang mengisahkan perjuangan Umar Mukhtar di Libya menentang penjajahan Fasis Itali. Sampai hari ini ia merupakan cerita kegemaran saya. Ketika di universiti saya download semula, memang betul-betul memori. Apabila teknologi VCD muncul ayah banyak membeli VCD tentang teknik bermain bola, juga VCD berkenaan dengan 'Golden Goals' Liga Inggeris. Melalui VCD ini saya mula melihat gol-gol hasil permainan Thierry Henry, Patrick Vieira, Fredrik Ljungberg, dan yang saya paling minat adalah gol Dennis Berkamp melawan Newcastle. Sejak itu saya menjadi menyokong kelab Arsenal dibawah kelolaan Arsene Wenger, dan memupuk minat saya bermain bola. Ayah selalu membawa kami ke padang di hujung minggu berlatih dan bermain bola.

Ayah juga gemar bermain badminton. Saya masih ingat raket Yonex ayah yang mempunyai pemegang berbulu-bulu berwarna hitam. Kadang-kadang di pagi hujung minggu ayah membawa kami berlatih di court terbuka Taman Melewar, ayah ajar posisi bermain, satu kaki kena selalu ditengah gelanggang, badan yang bergerak kiri kanan depan belakang, ayah ajar macam mana nak pukul back-hand. Kadang kala ayah bawa kami bermain di dewan Parlimen bersama sahabat-sahabatnya. Tapi minat saya lebih kepada bola dari badminton.

Kami 5 beradik, dari kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Ihsan, Syarifah Nabihah, Syed Zulfaqar, dan Syed Ahmad Islami. Sumber: Album Lama Keluarga.
Apabila teknologi komputer mula muncul, ayah bersemangat mengajar kami perisian-perisian komputer. Walaupun kami ketika itu lebih berminat bermain game seperti Age of Empire dan Pokemon Yellow. Ayah ajar macam mana nak guna Microsoft Excel sebagai kalkulator, cara buat slide guna Powerpoint dan cara guna Microsoft Word. Saya masih ingat semasa satu halaqah keluarga, ayah akan tunjuk pengajaran hidup dari hidup seekor rama-rama, ayah gunakan Powerpoint untuk cerita kepada kami.

Ayah juga selalu mengeluarkan saya dari zon selesa, saya masih ingat ketika cuti sekolah menengah berlaku banjir besar di Pahang. Ayah hantar kami ke Pahang mengikuti sahabat beliau, Pakcik Kamarudin Putih, saya sangat segan ketika itu kerana tak kenal, ayah tak ikut sekali, tapi saya tak berani melawan, saya mengikuti miri bantuan banjir membersihkan lumpur di kampung, sekolah, dan rumah-rumah penduduk yang terjejas. Di ketika lain, semasa cuti sekolah, ayah akan menyuruh saya balik kampung sendiri menaiki bas, zaman itu belum ada talifon bimbit, saya pun tak pasti macam mana saya berjaya sampai ke kampung sendiri.

Ayah juga minat berkebun, masa kecil ketika di kampung kami akan bermain dengan pokok keembung, ayah tunjuk macam mana nak picit buah keembung supaya dia meletup keluarkan biji. Ayah akan kumpul benih-benih dari kampung dan tanam dirumah. Bila kami kerumah yang ada pokok keembung dengan warna bunga yang kami belum ada ayah akan minta benih. Di rumah pada suatu ketika penuh pokok keembung dengan bermacam warna bunga. Saya paling suka picit bagi meletup buah keembung. Kami belajar biologi secara amali di rumah! Kami juga selalu mengambil buah Kelapa Pandan bila menziarahi rumah Arwah Pak Andak, kemudian ayah akan bawa kami tanam di tanahnya di Changkat Tin.

Ayah juga minat camping. Dirumah kami ada khemah, sleeping bag, binokular, kompas, beliau selalu camping dengan sahabat semasa muda, kadang ayah membawa kami. Saya masih ingat ayah ada beli satu buku bertajuk "Ikhtiar Hidup", buku itu merupakan manual survival di hutan bila bersendirian. Ayah akan tunjuk pada kami dan bercerita bagaimana nak potong akar pokok untuk mendapatkan air, cara memasang perangkap haiwan, cara memasak dengan menanam dan menyalakan api di atas tanah.

Ayah juga minat bertukang. Dari toolbox ayah kami belajar cara menggunakan tukul, cara memaku, cara menggunakan gergaji. Ayah mengajar kami cara menggunakan kertas pasir untuk meratakan permukaan kayu dan bagaimana nak sapu syelek pada kayu. Cara guna thinner untuk bersihkan cat yang melekat di tangan. Semuanya skil-skil kehidupan yang saya masih guna hingga ke hari ini. Ayah juga pandai berenang, dan selalu ajar kami berenang di Teluk Batik, Perak. Ketika saya di sekolah menengah ayah selalu membawa adik-adik berenang di kolam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Semasa di sekolah rendah kami memang tidak dibenarkan menonton televisyen pada waktu malam. Nak tengok kartun Doremon dan Crayon Shin Chan pun selalu dimarah kerana sudah dekat maghrib. Apabila di sekolah kawan-kawan bersembang berkenaan dengan lawak Senario yang mereka tonton semalam, saya langsung tidak ada clue sebab saya tak diajar tengok TV pada waktu malam. Sampai sekarang saya jenis yang tak suka tengok TV. Sekarang mungkin TV semakin sudah tidak relevan sebab sekarang ada YouTube.

Ayah juga sangat teliti bab duit. Setiap anak mempunyai tabung. Dari duit belanja RM2 yang diberi setiap hari, 20 sen perlu dimasukkan ke dalam tabung. Saya ingat pada satu hari saya tercicir duit 2 ringgit saya, bila ke sekolah tak boleh beli apa-apa makanan, balik saya cerita pada ayah ingatkan ayah nak beri 2 ringgit baru, sebaliknya kena marah dan diperingatkan untuk jaga duit elok-elok. Begitu ayah mendisiplinkan kami. Duit raya kami hampir semua dimasukkan ke dalam Tabung Haji, tidak dibenarkan beli mercun. Cuma selepas dah besar sikit kami pernah membeli mercun guna duit raya, itu pun sedikit sahaja.

Selepas habis sekolah rendah, ayah beri saya dua pilihan sahaja untuk sekolah menengah, sama ada ke Ibnu Khaldun di Klang atau Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Perlis. Saya memilih Perlis kerana kakak saya ada di MATRI. Saya dan kakak sahaja yang bersekolah di MATRI penuh dari tingkatan satu hingga lima, adik-adik lain bercampur dua-dua sekolah. Kami tidak pernah dihantar di sekolah kebangsaan. Ayah sangat pentingkan pendidikan agama, walaupun kami tak kaya ayah sanggup berkorban dan bayar yuran kami. Di MATRI saya diajar berdikari, saya belajar guna kad bank dan guna ATM.

Ketika di MATRI saya diberitahu pakcik-pakcik disana bahawa rumah pam air berdekatan musolla MATRI adalah hasil tangan ayah. Tapi ayah tidak pernah bercerita kepada saya tentang hal ini. Semasa saya kecil saya sudah pernah ke MATRI mengikut ayah bermusafir dengan Ustaz Mudrikah, saya masih ingat kami melawat gua, dah besar baru saya tahu nama gua tersebut adalah Gua Kelam, saya masih ingat ayah belikan saya jagung bakar ketika itu. Kami tidur di musolla.

Habis sekolah saya mendapat tawaran ke asasi kejuruteraan UIAM dan biasiswa MARA dibawah skim pelajar cemerlang (SPC) ke Rusia. Ayah tak berapa berkenan saya ke Rusia, tapi beliau hormati keputusan saya dan benarkan saya pergi. Beliau membawa saya mendaftar di UniKL-MIAT untuk program foundation. Namun hari kedua, beliau tidak menghantar saya semula sebaliknya menyuruh saya menumpang ayah kawan saya Haziq Husni, pada ketika itu. Lepas sekolah memang ayah suruh saya berdikari, apa-apa borang ayah tak akan isi, ayah suruh isi sendiri, dia hanya akan isi bahagian dia  sahaja seperti gaji. Semasa saya menyambung sarjana di UTM dia langsung tak hantar, sebaliknya dia suruh saya naik bas sendiri. Ayah nak anak-anaknya belajar berdikari.

Kami diwaktu kecil bersama ibu, Norizan Mohamad Noh. Dari Kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Zulfaqar, Syed Ahmad Islami, Syed Ihsan (dalam dukungan), Syarifah Nabihah dan Kakak Pembantu Rumah yang menjaga kami dahulu. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah juga seorang yang sangat meraikan keluarga dan sahabat. Hampir setiap jemputan kenduri akan cuba dihadirinya. Betul kata adikku Zulfaqar, bahawa banyak sifat kami merupakan copy paste sifat ayah, saya sehingga ke hari ini sukar menolak perlawaan kenduri dan jamuan, mesti pergi melainkan ada perkara yang tak dapat dielakkan. Begitulah sifat ayah mencorak hidup saya.

Begitulah sedikit sebanyak sifat-sifat ayah yang saya masih ingati hingga ke hari ini. Tentu banyak lagi kisah-kisah yang ada berkenaan ayah dari kawan-kawannya dan sedara mara. Saya harap saya diberi kesempatan untuk jumpa sahabat lama ayah, juga sedara mara ayah yang saya tak berapa kenal untuk menggali lagi kisah perwatakan ayah. Biarlah coretan-coretan ini menjadi kenangan saya dengan ayah.

Al-Fatihah untuk ayah.

Isnin, 2 Mac 2020

Ayah: Hari Separuh Jiwaku Mati

Gambar ayah, Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus ketika beliau masih muda. - Dari Album Keluarga.

Sewaktu kecil, banyak program motivasi, program muhasabah diri yang aku ikuti. Yang banyak berkisar tentang kematian ibu ayah, untuk menggetarkan rasa, diceritakam suasana bagaimana sebagai anak, kita pulang ke rumah, mendapati rumah sudah dikerumuni keluarga dan jiran tertangga, dan ditengah-tengah ruang tamu terbujur badan yang kaku diselimuti kain. Semua program-program itu tidak dapat menyiapkan perasaanku untuk menghadapi hari ini.

Petang itu ayah kelihatan juga seperti penat, aku tanya keadaannya, dia kata dia okay sahaja. Kami pun bersiap seperti biasa, ayah keluar rumah melambai kami pulang ke Sungai Petani selepas berhujung minggu di Kuala Lumpur.

Sekitar jam sembilan, Zulfaqar menalifon saat kami sudah hampir melepasi Perak, aku pada mulanya tidak dapat mengangkat kerana sedang memandu, namun aku berkali-kali cuba menalifon semula, akhirnya dapat, katanya ayah muntah-muntah dan tak boleh bangun. Aku bertanya adakah ayah sedar? Katanya ayah sedar dan sedang menunggu ambulance. Aku ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian Ihsan menalifon sambil menangis katanya ayah telah tiada, diikuti dengan panggilan dari Islami. Aku keluar di Exit Changkat Jering, dan berpatah semula ke Gombak. Kakak juga dalam perjalanan ke Gombak dari Kelantan.

Aku tidak menangis ketika itu, aku menjawab dengan tenang kesemua panggilan, dan memberitahu bahawa aku dalam perjalanan pulang. Perasaan aku terlalu kebas ketika itu, seperti aku dapat menerima kenyataan bahawa kini aku sudah tidak lagi punya insan untuk dipanggil ayah. Namun apabila mesej mula berpusu-pusu masuk, emosi yang ku sangka kukuh mula retak, empangan emosiku pecah, air mata mula mengalir dipipi. Terasa separuh jiwaku telah mati.

Sebagai anak, tentulah banyak kenangan bersama ayah, ada yang masih kukuh dalam ingatan, ada yang sudah samar-samar, ada yang sudah pudar dan hanya nyata dalam album-album gambar. Aku harap ini semua hanya mimpi buruk, yang akan hilang apabila aku bangun semula. Aku merasakan ingin untuk hidup dihari semalam, hari yang tenang, bukan hari ini yang menyakitkan dan panjang, bukan hari esok yang melukakan. Namun tidak mampu tangan insan menolak qada' Tuhan.

Apabila sampai dirumah sekitar jam 12 malam baru aku sedar perihal realiti yang sedang aku hidupi, ini memang bukan mimpi ngeri. Aku duduk disisi tubuh ayah yang telah kaku, mengambil naskah surah Yasin, cuba membaca tanpa menangis walau aku tahu aku tak mampu. Dalam serak aku berdoa, ya Allah ampunilah ayahku. Selesai bacaan aku selak kain muka ayah, wajahnya kini pucat kerana darah sudah berhenti mengalir. Aku tekap wajahku pada pipi ayah, mungkin ini yang terakhir, aku bisikkan pada telinga ayah "Ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal Ayah, Assalamualaikum".

Sekitar jam 3 pagi, apabila tetamu mula surut, kami sudah selesai berbincang dengan nazir berkenaan dengan butiran pengurusan jenazah esok pagi, aku membawa anak-anak ke hotel berdekatan untuk berehat sebentar. Mencari ketenangan sebelum mengharungi ribut esok hari.

Pagi esoknya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahimah untuk dimandikan. Aku bersyukur, kami semua 5 beradik bersama ibu diberi kesempatan untuk memandikan ayah. "Inilah bakti terakhir kita buat ayah" kata ibu kepada kami sambil meratakan air ke badan ayah yang kini sudah mengeras. Ibu tidak henti berselawat, kami adik beradik tidak berhenti menangis. Aku cuba mengangkat tangan ayah, namun sudah keras, pengurus jenazah mula mengurut-ngurut tangan ayah untuk mengendurkan otot yang mengeras. Hanya wajah ayah yang seperti tersenyum, memberi kami sedikit perlindungan dari kesedihan yang menjiwai emosi. Inilah tubuh yang berkerja bertahun-tahun menyara kami sekeluarga, yang membawa motor menghantar kami ke sekolah setiap pagi dengan wang saku 2 ringgit, di tubuh ini kami mencari kasih, mencari sayang, hari ini kami menghantarnya pulang.

Ketika sudah selesai dikafan, pengurus jenazah bertanya adakah masih ada yang nak melihat wajah arwah ayah buat kali terakhir. Tak mampu aku untuk mengatakan tidak. Lalu beliau buka bahagian muka, aku menekapkan wajahku di pipi ayah. Ya, kali ini betul-betul terakhir, sebelum aku hanya boleh melihat wajahnya pada gambar-gambar lama. "Ahmad sayang ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal ayah, jumpa disana, assalamualaikum" aku bisikkan ke telinga ayah kali terakhir di dunia ini. Satu persatu adik beradik ayah masuk mengucup wajahnya buat kali terakhir, Mak Kecik, Pak Oteh, Mak Yang, Mak Chu, Pak Ngah bergilir-gilir mengucup pipi saudara seibu seayah mereka.

Kubur ayah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak ditandai dengan batu bernombor 1128.

Selepas selesai solat, jenazah ditanam dan talkin dibaca, tubuhku terasa sangat penat, kepalaku sangat pening, dan emosiku telah habis kering. Terasa kekok bila masuk semula ke rumah selepas perkemubian. Rumah ini terasa asing, terasa tidak sama, terasa tidak lengkap, terasa seperti ada yang hilang tanpa kelibat ayah.

Aku tidak tahu bila aku akan merasa normal semula. Adakah perasaan sedih ini akan hilang, atau ia akan kekal memaruti hatiku selama-lamanya. Namun aku sedar, kematian ini adalah hakikat insan, ia merupakan tazkirah bagi yang masih bernyawa. Peluang bagi mereka yang masih bernafas. Semoga Allah terima ruh ayah sebagai orang yang soleh, kami redha dengan pemergian ayah. Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan kepada kami seorang ayah. Semoga Allah merahmati ayah.

Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus.
30 April 1959 – 29 Febuari 2020.