Kehidupan yang saya rasakan hari ini terasa begitu berbeza, dunia telah berubah terlalu banyak sehingga saya merasakan ianya begitu menyesakkan, terlalu sibuk hingga tiada nafas untuk instospeksi, kehidupan hanya dijalani untuk survival, ia kering, hanya dilalui untuk menghabiskan masa untuk melihat hari seterusnya. Seolah ia berlalu tanpa diisi, tanpa pelajaran dan pengajian. Setelah segala keributan berlalu, di pagi ini akhirnya ada sedikit ruang untuk merenung, mencatat, dan cuba memahami kehidupan. Catatan kali ini ingin ditulis dengan bebas, tanpa ada tujuan lain melainkan merungkai perasaan yang ada, bukan untuk memuaskan hati sesiapa.
Teringat saya kepada satu perjumpaan silam, tika belum berumahtangga, saya bersama seorang sahabat bernama Saiful bertandang bertemu seorang pakcik yang kami anggap sebagai murabbi dan pendidik. Pertemuan kami pada ketika itu atas urusan pengajian dalam bidang kajian kami. Namun saya tidak ingat apa yang dibincangkan sehingga diskusi kami pada ketika itu memasuki daerah rumahtangga, walaupun kami berdua ketika itu masih bujang dan sedang mengaji.
Murabbi tersebut menceritakan bagaimana dia dan isterinya mendapat anak pada usia awal rumahtangga. Sejak dari itu mereka sibuk menguruskan anak-anak, dan beliau merasakan beliau tidak sempat untuk benar-benar "berkenalan" dan bercinta dengan isterinya. Kerana setelah mendapat anak keseluruhan tenaga, emosi, perhatian, dan perbualan akan memfokus perihal anak-anak, urusan hubungan dan percintaan suami-isteri menjadi hal yang kedua. Sekian lama, mereka berdua tidak lagi muda dan merasakan mereka sudah terlepas dari zaman muda untuk bercinta.
Nasihat yang saya dapat dari pertemuan itu adalah perlunya menjaga hubungan percintaan suami-isteri yang sihat dan segar. Kerana itulah yang memayungi kehidupan anak-anak, jika ia tidak dijaga, makan payungnya bocor dan anak-anak akan basah ditimpa hujan. Oleh itu ia tidak boleh menjadi agenda kedua dalam keluarga. Ia perlu menjadi agenda pertama dalam keluarga bersama agenda mendidik dan menjaga anak-anak. Ya, kedua-duanya sepatutnya menjadi agenda pertama.
Tanpa perkenalan yang sebenar. Rumahtangga akan berjalan secara auto-pilot, iaitu masing-masing bersetuju dalam banyak perkara tanpa ada perbincangan yang dalam dan merungkai persoalan. Masing-masing merasakan pihak disebelah sana bersetuju tanpa bertanya, ia adalah sebuah persetujuan tanpa kata-kata, atau sering disebut sebagai silent agreement. Walaupun sebenarnya mungkin sebelah pihak tidaklah seratus peratus bersetuju, tetapi perbincangan itu tidak berlaku kerana masing-masing merasakan ianya tidak penting, yang lebih penting adalah memastikan urusan anak-anak terurus. Hal ini akan membuatkan sebelah pihak merasakan emosinya terabai, atau kesukarannya tidak ditangani bersama. Bak kata seorang guru saya, semua masalah, kegelisahan, tidak puas hati ini dikumpul. Setiap hari ia dimasukkan ke dalam botol dan ditutup. Sehinggalah botol itu penuh, pecah dan meletup.
Jika letupan itu ditangani dengan perbincangan, maka ia adalah satu perkara yang baik. Ia masih lagi boleh dibincangkan dan ditangani bersama. Namun adalah lebih baik ia sentiasa dibincangkan dan tidak dikumpul. Kerana boleh jadi letupan itu tidak menatijahkan perbincangan, ia mungkin boleh menghasilkan perbuatan yang berdasarkan emosi yang merosakkan rumahtangga sehingga ia tidak lagi dapat diperbaiki.
Antara perkara yang penting pada fikiran saya untuk dibincangkan adalah hal ehwal perbelanjaan keluarga. Ia tidak boleh hanya diketepikan atas dasar cinta dan percaya. "Aku kahwin ini kerana cinta, ikhlas mencintai, jadi hal duit ini biarlah aku terima sahaja apa adanya". Ini merupakan mentaliti yang salah dan tidak sihat. Perancangan keewangan bersama bukan bermakna tiadanya "cinta dan percaya", tetapi ia melahirkan suasana yang saling memahami. Tiada pihak yang merasakan terbeban, dan masing-masing faham akan komitmen yang perlu diberikan untuk menjayakan keluarga tanpa ada lagi sangkaan-sangkaan. Jika tidak dibincangkan dan diperhalusi, mungkin satu pihak menyangkakan pihak lain tidak memberi dengan cukup, sedangkan pihak satu lagi merasakan dia sudah memberi lebih. Oleh itu perlu ada jalur perbincangan perihal ehwal kewangan keluarga.
Hari ini wanita kebanyakannya bekerja, pekerjaan dianggap simbol bahawa wanita mempunyai potensi yang sama dengan lelaki dan mempunyai autonomi ekonomi. Saya bersetuju dengan perkara ini, bagi saya wanita sememangnya harus bekerja, kerana tanpa kuasa ekonomi wanita tidak punya pengaruh yang kuat dalam mempengaruhi keputusan dalam keluarga. Dengan kuasa ekonomi, balance of power dalam keluarga lebih stabil dan tidak berat sebelah. Namun dalam hal ini, bagi saya kesaksamaan dalam hak bekerja perlu diikuti dengan kesaksamaan dalam memberi sumbangan kepada ekonomi keluarga. Jika isteri bekerja, saya tidak bersetuju dengan pernyataan yang mengatakan "duit suami adalah duit isteri, tetapi duit isteri adalah duitnya". Jika hak yang sama diberikan dalam pekerjaan, perlu ada tangungjawab yang sama dalam perbelanjaan keluarga.
Namun janganlah soal ini dilihat sebagai perlawanan antara lelaki dan wanita. Ia seharusnya menjadi perbincangan bersama dalam keluarga. Perbincangan yang melahirkan persetujuan yang membolehkan kedua-dua pihak berlapang dada. Bagi saya berlapang dada dan tidak berkira dalam keluarga itu satu perkara yang baik dan akan menatijahkan keluarga yang lebih harmoni, namun biarlah kita berlapang dada setelah kita berbincang dan jelas perihal hak dan tanggungjawab masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan