Akhirnya saya berjaya juga melunaskan bacaan saya bagi makalah ini, makalah ini bagi saya agak serupa dengan makalah “Kembara Darus Senawi 1963” yang juga berjaya saya hadamkan tahun ini. Kedua-duanya merupakan mini-memoir, cebisan kisah kehidupan perihal kelana mencari ilmu. Naratif Ustaz Darus Senawi lebih kepada penceritaan pengalaman, manakala naratif Dr. Daud Bakar lebih kepada nasihat dan motivasi. Buku tulisan Dr. Daud Bakar ini saya kira sesuai dibaca oleh golongan pelajar, baik pelajar sekolah rendah, menengah, hinggalah kepada pelajar universiti dan calon PhD. Satu bacaan yang sangat baik, membuatkan kita ingin kembali menuntut ilmu juga menulis mengembaraan kita sendiri pula. Cuma mungkin sedikit kritik saya, buku ini mempunyai banyak ayat yang kedengaran seperti “self-congratulation”, atau dalam bahasa Jawa, memuji diri sendiri. Namun saya kira ia adalah gaya penulisan, bagi membuat pembaca terhibur.
Buku ini sebenarnya sudah agak lama berada di dalam almari buku saya, maklumlah saya punya sedikit perasaan insekuriti kalau-kalau bahan bacaan dalam almari habis, jadi biasanya jumlah buku akan sentiasa lebih dari masa yang ada untuk dibaca agar saya berada di paras yang selamat. Mengenangkan saya ada sesi bersama Dr. Daud tidak lama lagi bersama 5pages1day, saya kira elok saya habiskan buku ini sebelum sesi tersebut, paling kurang adalah sedikit modal perbincangan.
Dalam prakata beliau, beliau memaklumkan bahawa buku ini ditulis dalam masa 14 hari. Bagaimana buku boleh ditulis dalam masa 14 hari? Saya ada juga menulis sedikit buku, satu pun tidak pernah ditulis dalam masa 14 hari, kebiasaannya ia mengambil masa 1 hingga ke 4 tahun untuk satu buku. Jadi kemampuan ini saya kira luar biasa. (xiii)
Dr. Daud memulakan kisahnya dengan latar keluarga, bagaimana ibunya diceraikan ketika beliau masih berumur 10 bulan. Situasi ini mengubah sepenuhnya kehidupan awal beliau. Masyarakat pada ketika itu sangat memandang buruk pada mereka yang berstatus janda, hingga keluarganya perlu berpindah dari Alor Setar ke Bedong untuk lari dari stigma dan kekejaman masyarakat. Kecekalan bondanya bertarung dengan nasib, takdir juga stigma masyarakat menjadi inspirasi buat dirinya. Kemiskinan yang dialami beliau ini merupakan sekolahnya, sekolah yang beliau sebut sebagai “Sekolah Kehidupan & Kesusahan”. (3) Sekolah kehidupan memberikan pelajaran secara percuma kepada siapa-siapa yang sudi untuk belajar daripadanya. (10)
Beliau melontarkan pemikiran bahawa tiada yang sempurna dalam dunia ini, kitalah yang patut menggunakan semua ketidaksempurnaan ini untuk menghasilkan perkara yang paling baik yang boleh dicapai. Begitu juga di sudut negara, tidak kira sebaik atau sebagus mana polisi dan sistem pemerintahan yang ada, ia hanya boleh menjadi sebaik “pengguna” yang menggerakkan dan mengamalkan sistem tersebut. Jika kita punya kereta yang sempurna tetapi pemandu yang mabuk, maka kereta yang sempurna itu tidak akan dapat mengelakkan tragedi. Kita sering menyalahkan ahli politik atas segala masalah, namun kita tidak sedar bahawa ahli politik itu lahir dalam keluarga di negara kita, disekolahkan di sekolah kita, dan diundi untuk berkuasa oleh masyarakat kita. Ahli politik yang ada adalah hasil keluaran masyarakat kita. Oleh itu penting kita menyedari segala kelemahan dan kekurangan yang ada di dunia ini, menggunakannya untuk membina kejayaan bukan untuk membina alasan. (12-13)
Ketika belajar kita sering ingin segera habis, segera bebas dan menjadi ahli masyarakat yang dewasa. Malah ada yang merayakan penghabisan peperiksaan dengan membakar buku teks juga menconteng baju sekolah dengan kata-kata kesat. Namun apabila kita memasuki alam pekerjaan barulah kita sedar bertapa manisnya zaman pengajian. Kita tidak punya apa-apa tanggungjawab selain dari belajar. Kita diberi makan dan pakai untuk belajar. Dr. Daud Bakar dalam mengelamuni zaman pengajian ini melontarkan kerinduannya untuk “menikmati” semula zaman pengajian andai waktu bisa diputar. Saya sangat bersetuju dengan lamunan ini, belajar adalah satu kenikmatan, namun sering kali kita menganggapnya sebagai bebanan. Oleh itu bagi mereka yang sedang dalam zaman pengajian, baik di sekolah atau universiti, ketahuilah bahawa anda berada di fasa kenikmatan, nikmatilah ia sebaik mungkin! Sebelum ia terlepas dari genggaman masa. (37)
Antara kisah yang beliau kenangkan dalam makalah ini adalah bagaimana abahya (ayah tiri) yang mengambil SPM lewat, ketika bekerja. Beliau perlu menghabiskan SPM bagi kenaikan tangga gaji, dan beliau telah mendudukinya lebih dari 10 kali sebelum berjaya. Bagi Dr. Daud kekentalan abahnya ini merupakan antara motivasi beliau untuk berjaya. (40)
Apabila memasuki sekolah, ada sesuatu yang mengujakan beliau, yang membuatkan beliau histeria dengan keseronokan yang melampau, iaitu apabila beliau memasuki perpustakaan sekolah. Bagi anak kampung yang selama ini hanya terpukau dengan sawah padi, pengalaman dikelilingi buku sangat mengujakan beliau sehingga beliau memilih untuk menjadi pengawas perpustakaan. Perkara ini membuatkan saya berfikir tentang kajian yang menyatakan bahawa anak-anak yang membesar di rumah yang penuh dengan buku mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berjaya. Dr. Daud nampaknya membuktikan kajian ini tidaklah begitu tepat, anak yang membesar dikelilingi sawah juga boleh berjaya. (58)
Sebagai seorang ayah kepada dua anak, ada satu momen ketika membaca buku ini yang membuatkan saya tersentuh, terkesima, dan mungkin terpana. Iaitu ketika beliau menceritakan perihal “2 minit yang paling hebat”. Bagaimana ibunya akan menyiapkan beliau ke sekolah setiap pagi, setiap pagi ketika menyikat rambutnya, emaknya akan mengambil masa dua minit untuk memberinya nasihat agar rajin belajar dan menaruhkan harapan kepada beliau. 2 minit ini adalah motivasi yang lebih berharga dari semua sesi pakar motivasi menurut beliau, ia masih beliau ingati hingga ke hari ini, walaupun kini ibunya telah tiada. Saya juga sering menyiapkan anak-anak ke tadika di pagi hari (sebelum pandemik). Di pagi hari, saya biasanya bersalaman dan mencium pipi mereka sahaja di pintu tadika. Tidak pernah saya luangkan masa untuk memberi nasihat dan motivasi kepada anak bagi menghantarkan mereka belajar. Kini mereka semakin membesar, saya kira saya juga perlu memberikan mereka 2 minit motivasi. (60)
Bagi Datuk Daud Bakar, tanda pendidikan itu berjaya adalah ia menghiburkan hati dan minda, pelajar berasa seronok melayari fakta ilmu yang dikaitkan dengan fakta kehidupan semasa. Jika kita membaca buku ini, kita akan ketahui bahawa pendidikan itu merupakan satu kenikmatan. Ia adalah hiburan intelektual buat minda dan hati kita. Saya setuju dengan pandangan beliau ini, bahawa pendidikan yang berjaya adalah pendidikan yang berjaya menjadikan seorang murid itu seronok belajar, bukannya menjadikan mereka merasa pendidikan sebagai bebanan hidup hingga mereka merasa ingin membunuh diri. (73)
Ketika menyampung pengajian di Kuwait beliau menceritakan bagaimana beliau banyak membaca buku di luar bilik kuliah, antaranya buku perihal sirah, dakwah, sejarah, sastera Arab, politik, tafsir, dan hadis. (125) Antara buku yang diminati beliau adalah buku genre penyiasatan seperti Shelock Holmes. Perkara ini berbeza dengan saya yang kadangkala merasakan membaca karya fiksyen ini membuang masa. Sekadar melayan emosi terhadap perkara yang tidak ada. Namun tidaklah saya memusuhi semua novel, ada juga novel yang saya minati seperti novel historical fiction, yang bercerita dengan latar sejarah yang sebenar, antara novelis kegemaran saya adalah Khaled Hosseini. (158)
Dr. Daud Bakar berjaya menghabiskan PhD beliau di St. Andrew, Scotland. Antara nasihat beliau untuk pelajar PhD adalah memilih tajuk yang paling mudah, bukan tajuk yang paling mencabar, selepas dapat PhD barulah meneroka tajuk-tajuk yang lebih mencabar. Kerana misi PhD bukan untuk mencari “wow”, sebaliknya untuk membuat kajian dengan selesa dengan data dan bahan yang mudah diperolehi. Bagi beliau cukuplah ia sebagai satu latihan menulis tesis PhD yang bermutu dari sudut metodologi. Ini merupakan nasihat yang bagus pada kira saya, saya juga ada menyimpan niat untuk sambung belajar hingga ke peringkat PhD. (147)
Beliau juga menyatakan bahawa hobi “gila” beliau sekarang adalah menulis. (163) Dalam sesi temubual saya bersama beliau, beliau menyatakan bahawa beliau sudah sampai ke satu tahap dimana beliau tidak boleh lagi membaca secara intensif. Setiap kali beliau membaca, ada perkataan dan idea yang membuatkan beliau berhenti kerana mendapat “spark” untuk menulis. Jadi pembacaannya akan tergendala kerana idea menulis datang. Beliau juga ada menyatakan bahawa beliau minat membaca dan mengumpul majalah, antaranya majalah National Geographic, Readers Digest, Time dan The Economist. Beliau bukan sahaja membaca tetapi mencatat nota dengan kemas bagi setiap bacaannya. (183) Bagi Dr. Daud Bakar, membaca bukan sekadar membantu kita mengumpul fakta, ia juga membantu kita berfikir serta menguasai sesuatu bahasa. (178)
Menutup buku ini setelah menelitinya hingga ke helaian yang terakhir sememangnya membawa satu emosi semacam sedih, kerana kita sudah berada dihujung kembara. Sebuah kembara ilmu yang sebenar, kembara ilmu yang hidup. Bagi saya secara peribadi, selain hikmah-hikmah yang saya dapat yang telah saya coretkan, apa yang perlu adalah saya pula menyambung kembara saya. Mencari ilmu hingga ke peringkat yang paling tinggi. Sesudah itu, sampai giliran kita untuk menintanya, untuk generasi akan datang pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan