Jumaat, 17 Jun 2022

Catatan Baitul Muslim 54: Aku Telah Memaafkanmu Selamanya


Petang itu aku bermain-main dengan Idlan yang ketika itu berumur 4 tahun di ruang tamu. Kakaknya Amni juga di ruang tamu, sedang menyiapkan kerja sekolahnya. Entah apa yang aku sembangkan dengan Idlan akhirnya sampai ke topik kematian.

"Nanti Abi pun mati, Umi pun mati, Adik dengan Kakak pun mati, semua orang akan mati" aku memberitahunya.

Amni yang sedang membuat kerja sekolah melihat, dia senyum dan mengangguk kepala. Idlan pula berubah mukanya. Dari riak wajahnya aku nampak ketakutan dan kesedihan. Ketakutan dan kesedihan dari wajahnya meresap masuk ke dalam hatiku. Mungkin belum masanya bercakap tentang kematian bagi kanak-kanak yang baru hendak memulakan kehidupan. Namun dalam masa yang sama, kematian itu satu kepastian yang tidak mengira sesiapa pun tua atau muda. Idlan menyorok dan mengatakan "Tak nak".

Aku cuba memujuk "Sebab itu kita kena taat pada Allah, dengar cakap Umi Abi, solat, berkelakuan soleh. Nanti kalau kita soleh kita boleh jumpa semula selepas mati di dalam syurga". Selepas itu wajah Idlan kelihatan ceria semula. Alhamdulillah.

Sebenarnya persoalan kematian ini selalu sahaja mengekori fikiranku. Aku terfikir juga bagaimana keluarga kecilku nanti speninggalan aku dari dunia yang fana dan sementara ini. Aku tidak berapa risau perihal harta, kerana pada fikirku, Tuhan akan memberi rezeki kepada hamba-hambanya. Tapi aku lebih memikirkan soal perasaan, soal emosi, soal kerinduan. Aku sendiri merasakan kekosongan yang begitu mendalam apabila ayah meninggalkan kami beberapa tahun yang lalu. Kerinduan itu begitu dalam menusuk dan membekas.

Kadang-kadang ruang kerinduan itu mendalam bukan kerana ada kata-kata yang belum kita ucapkan, tetapi kerana kita ingin tahu, adakah orang yang kita sayang yang telah pergi itu sudah meredhai kita, berpisah dengan kita dengan aman tanpa ada sebarang rasa-rasa yang belum selesai. Lumrah dalam keluarga dan dalam rumah tangga akan ada perselisihan. Dua manusia yang berbeza pasti punya rasa yang berbeza. Oleh sebab itu, aku akan sentiasa berpesan pada isteriku, tiap kali kami berdamai semula selepas adanya apa-apa konflik bahawa aku telah memaafkannya selama-lamanya. Pasti ada masa dan ketika aku terguris dan terasa hati, begitu juga isteriku terguris dengan sikapku, tetapi aku tidak akan menyimpan rasa marah itu. Aku tidak akan pendamnya hingga ia membarah menjadi dendam. Aku mahu isteriku tahu aku sudah memaafkan segala-galanya selama-lamanya. Andai nyawaku ditarik sebelum kami sempat bermaafan pun, aku telah memaafkannya. Itulah yang aku pegang, selamanya.

Begitu juga dengan anak-anakku. Yang kadang membahagiakan kadang meresahkan. Aku juga telah memaafkan mereka tanpa apa-apa syarat. Marahku untuk anak-anakku adalah bagi mendidik dan mendewasakan mereka. Agar mereka bersedia untuk berenang di dunia sebenar nanti, tanpa papahan dan bantuan kami Umi dan Abi. Marah dan geramku pada mereka tidak berbuah dendam, ia hanya alatan untuk mendidik sahaja, yang tidak aku simpan di dalam hati. Jika aku mati, mereka sudah pun aku maafkan, aku ampuni dan redhai.

Memikirkan kematian juga, aku punya polisi dan keluarga dan rumahtangga. Setiap kali aku berpisah dengan mereka mestilah dalam keadaan baik. Tidak dalam keadaan marah-memarahi atau dalam keadaan terasa hati. Jika ada terasa hati, itu perlu dirungkai dahulu sebelum berpisah atas urusan hidup. Kerana tiada siapa yang dapat menjamin perpisahan itu adalah perpisahan sementara atau selamanya. Pada setiap perpisahan perlu pada persalaman, ciuman dan pelukan. Tidak kira jika perpisahan itu sekejap atau lama. Kerana sekali lagi, tiada siapa yang dapat memberi jaminan. 

Aku telah memaafkan kalian selama-selamanya, harap aku juga nanti, dimaafkan.

Tiada ulasan: