Sabtu, 18 Jun 2022

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022


Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis perihal PBAKL 2022, namun jadual hidup tidak membenarkan. Saya perlu duduk lama untuk menulis akan hal ini kerana banyak yang saya ingin luahkan. Jadi masa-masa singkat secara curi-curi tidak dapat melunaskan perkara ini, ia memerlukan pertapaan yang panjang. Saya sempat berada di PBAKL selama 4 hari, dari 3 hingga 6 Jun, dan PBAKL selamat melabuhkan tirainya pada 12 Jun 2022.

Hampir setiap hari saya post gambar saya di PBAKL di laman mukabuku. Mungkin nampak annoying tapi sebenarnya ia adalah manifestasi kegembiraan saya untuk berada di pesta buku selepas 2 tahun. Kalau perasan, saya jarang post muka sendiri di mukabuku, untuk pesta buku kali ini sahaja saya buat pengecualian. Jangan risau, setelah saya balik, saya sudah tidak lagi akan upload gambar di PBAKL tapi kembali upload gambar jalan jem di Pulau Pinang.

Orang India ada Deepavali, orang Cina ada tahun baru cina, orang Melayu ada Aidilfitri, tentulah orang buku pun ada hari perayaan mereka. Bagi saya PBAKL adalah perayaan utama, walaupun sebenarnya, bagi mereka yang teliti dan memerhatikan industri buku, ada sahaja pesta-pesta buku peringkat negeri di pelbagai negeri, cuma mungkin coverage-nya tidak begitu besar, ceritanya tidak menjadi nasional, sebab itu timbul persoalan "Kenapa kena buat pesta  buku di Kuala Lumpur sahaja?"

Saya sendiri telah banyak kali ke pesta buku KL semasa kecil, dibawa oleh ibu, saya pun sudah lupa mana yang pertama kali saya pergi. Menurut ibu, saya pernah terlepas dari kawalan di pesta buku sewaktu berumur 2 tahun (ini adalah rekod paling awal saya ke pesta buku, iaitu pada tahun 1992). Ibu pada ketika itu merasakan macam tidak dapat mencari semula saya kerana orang yang terlalu ramai. Ketika ibu sedang ke hulu ke hilir mencari, tiba-tiba terdengar announcement

"Puan Norizan sila ke kaunter untuk mengambil anak"

Ibu terus ke kaunter dan melihat saya sedang didukung oleh seorang staf dan sedang makan lolipop. Ibu bersyukur kerana di usia 2 tahun saya sudah petah bercakap seperti budak umur yang berumur 5-6 tahun. Saya boleh memberi tahu nama ibu apabila ditanya. Ibu berharap saya meneruskan usaha untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.

Sebelum ini, jejak saya ke pesta buku adalah sebagai pembaca, cuma bermula dari tahun 2019, saya pergi sebagai penulis. Saya pernah membaca satu penulisan, bahawa penulis ini kadang ada egonya, mahu nampak bijaksana, mereka ada martabat, jadi mereka hanya menulis tetapi tidak menjual buku mereka. Mereka sentiasa kena duduk di martabat "penulis" bukan turun ke bawah sebagai "penjual". Tahun 2019 saya turun sendiri, belajar bersembang dengan manusia sebenar dan mempromosikan buku. Bagi saya penulis bukan sekadar harus berintelektual dengan manusia di dalam kertas, dia perlu turun jumpa manusia sebenar. Itulah sahaja caranya penulisannya akan membumi. Jika tidak, dia akan menulis perkara-perkara langit yang tidak relevan untuk manusia di bumi.

Pesta buku KL ini pasti ada kurangnya. Saya sebenarnya dari dahulu lagi, mungkin sejak 2016, mengkritik perkataan "antarabangsa" yang ada dalam PBAKL. Kerana dahulu saya suka membaca buku non-fiksyen luar negara, tapi buku seperti ini hampir tidak ada di PBAKL. Jika ada pun hanya buku-buku mainstream dan akademik. Tapi makin lama saya makin faham. Walaupun saya bukan penganjur. Pesta buku KL ini adalah wadah untuk pemain tempatan untuk terus hidup. Jika kita utamakan semua penerbit luar pasti akan ada suara yang mengatakan "kenapa utamakan industri buku luar sedang industri tempatan mati?". Jadi penganjur tidak akan pernah menang, buatlah apa pun pasti akan ada sisi kritikan. Saya faham, perkataan "antarabangsa" itu dikekalkan kerana walaupun bukunya banyak tempatan, masih ada hasrat untuk membuka pintu pada karya-karya luar.

Saya sebenarnya orang yang tidak sukakan benda yang mainstream. Dahulu kalau mencari lagu semasa muda, pasti cari lagu yang kawan-kawan tidak dengar. Jika lagu yang saya suka menjadi mainstream, saya akan kurang suka lagu tersebut. Perkara yang sama sebenarnya berlaku dalam cara saya memilih bahan bacaan. Bagi saya kita kena membaca buku yang orang lain tidak baca, barulah boleh ada pemikiran "di-luar-kotak". Jika tidak, berfikir luar kotak itu hanya menjadi retorik kerana semua hanya mengikut dan membaca benda yang sama.

Ada yang mengkritik dan mengatakan pesta buku KL ini banyak jual buku-buku Islamik. Bagi saya yang tidak suka buku mainstream ini, saya nasihatkan anda jadi seperti saya. Jangan pergi ke pesta buku dan masuk dalam reruai yang meriah sahaja. Masuk ke dalam reruai yang terpencil, yang lengang, yang tersembunyi. Nescaya anda akan jumpa buku-buku yang orang lain tak baca, yang tidak arus perdana. Jangan jadi orang yang liar dan angkuh, tapi jadilah orang yang mencari dan bijak, sabar dan teliti dalam menggali khazanah ilmu yang ada. Perlahan-lahan, berlama-lamaan, beleklah buku-buku yang orang lain tak belek, sembang dengan penulis yang anda tak kenal, yang anda tak follow, barulah saujana kita akan meluas. Tidak jumud dalam pemikiran dan pembacaan. Melihat dunia dengan warnanya, bukan taksub dan hanya mahu lihat semuanya putih sahaja.

Bagi saya, pesta buku kali ini merupakan satu tempat di mana kita boleh bertemu dengan pelbagai manusia di sebalik industri buku. Bukan berjumpa buku sahaja tetapi juga orang-orang buku. Ia adalah medan yang subur untuk membina jaringan baik sesama penulis, penerbit, pemuisi, kedai buku, pencetak buku dan banyak lagi. Pada pesta kali ini saya dapat bertemu dengan pelbagai manusia, ada yang selama ini telah saya berkenalan melalui media sosial, ada juga yang pertama kali bertemu dan berkenalan. Antaranya Dr. Huda (UiTM), Pak Nasir Jani (penulis dan pengarah filem), Hanafi Munshi (pemilik kedai buku Mangosteen), Hadri Shah (penulis), Izzat Amir (penerbitan Rabak-Lit), Saufi Tahir (penyajak), Petak Daud (pemuisi), Usaid Asmadi (penulis dan penerbit), Sue Emoqwin (pemilik kedai buku), Sadiq Salihoddin (penulis), Raja Ahmad Aminullah (penulis), Syukri Rosli (penerbit dan penulis), Nazirul Mubin (pemilik kedai buku langka), Afiq Rostam (penterjemah), Malis (penyajak), Emmy Hermina (penulis), dan banyak lagi nama-nama yang mungkin saya terlepas untuk dituliskan.

Kak Emmy Hermina misalnya, merupakan aktivis buku yang memberi kepercayaan kepada saya dan sudi memberi kata pengantar dalam buku Berfikir Tentang Pemikiran terbitan The Bibliophile walaupun kami tidak pernah bertemu sebelum ini. Sumbangan beliau pada saya sebagai penulis baru sangat besar dan saya hargai, terutamanya dalam mempromosikan buku dan mengetengahkannya kepada masyarakat. Jasa ini pasti tidak akan terpadam, aksaranya telah tertulis dan dakwatnya telah kering. 

Antara buku yang saya beli pada pesta buku kali ini adalah:

1. Untuk Perempuan yang Bernama
2. Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah oleh Sadiq Salihoddin
3. Surat Dari Semesta oleh Sofia Roses
4. Pemberontak Filem oleh Nasir Jani
5. Kelab Rancu Puisi
6. Nirnama oleh Hilal Asyraf
7. Tok Ketua oleh Norazali1983
8. Nabi Juga Seorang Manusia oleh Khubaib Akhi
9. Wacana Pemikiran Islam oleh Syed Shahriman Syed Ali
10. Tradisi Ke'ilmuan Bahasa Jawi oleh Muhammad Syukri Rosli dan Ahnaf Wafi Alias
11. Genta Telah Berbunyi oleh Raja Ahmad Aminullah
12. Api Kemarahan: Anarkis Pulau Buangan oleh Clement Duval (Terjemahan Afiq Rostam)

Selepas hampir seminggu PBAKL berlalu, saya hanya berjaya menghabiskan satu naskah bacaan sahaja dari 12 tajuk yang dibeli. Tapi tidak mengapa, membaca bagi saya perlu perlahan-perlahan, perlu dihayati dan diresapi seperti menghirup secawan kopi.

Antara orang lain yang saya temui adalah Ashi, saya pertam kali bertemu beliau semasa PBAKL 2019. Di bawah mata kanan beliau masih ada tatoo "mercy". Dia memberi tahu bahawa namanya KoLo, tapi saya masih ingat dahulu namanya Ashi. Kami pergi makan malam bersama di Kafe Sarawak Johor di tepi sungai. Dia menceritakan bahawa dia tidak lagi menjual t-shirt, tetapi sekarang bekerja sebagai tatoo artist. Perihal keluarganya, kakak dan anak sedara. Saya tanya perancangan hidupnya selepas ini, dia kata dia tak ada apa-apa perancangan, hanya mahu menikmati kehidupan. Ashi nak makan sate, malangnya sate tiada, Saya pula order mee kolok. Saya nak bayar tapi Ashi dah bayar dahulu. Kedai itu jauh juga dari PWTC, saya sukat menggunakan applikasi Strava kira-kira 900 meter jalan kaki.

Pada hari-hari awal saya berulang alik dari rumah di Taman Berjaya, Greenwood ke PWTC menggunakan Grab. Tambangnya agak mahal, RM26 sehala. Manakala sebelah malam pula RM36 sehala. Tapi bagus juga, tidak perlu pening mencari parking dan dapat bersembang dengan pemandu Grab. Hari-hari akhir saya ke sana menaiki kereta dan parking di Sunway Putra Mall. Ada satu perkara yang saya sedari apabila memandu di Kuala Lumpur yang begitu menyakitkan hati. Sekarang sudah banyak jalan-jalan baharu yang bersimpang siur, tidak sama seperti dahulu dan mengelirukan. Jika di Sungai Petani, jika kita salah masuk simpang, kita boleh berpatah balik dan membuah u-turn. Tetapi di Kuala Lumpur, jika salah masuk jalan anda perlu membayar tol! 

Antara pelajaran yang saya dapat pada PBAKL ini adalah meyakini kekuatan karya sendiri. Pada mulanya, saya gayat juga dengan harga tinggi yang diletakkan penerbit pada buku saya. Tapi alhamdulillah, selepas pesta buku bermula, ramai yang datang beli. Dari ahli politik sampai rakyat marhaen. Dari mahasiswa hinggalah ke bangsa pekerja. Dari Sabah hingga ke Terengganu. Saya sangat hargai semua yang datang membeli. Memetik kata-kata Carl Sagan, ia adalah "a humbling experience" untuk saya.

Semasa pesta, Tokosue ada menambah 20 naskah buku saya Lalang di Lautan Ideologi di reruai mereka. Saya datang dan bertanya pada Sue Emoqwin, ada ke orang beli buku mahal ni? 

"Eh, dah banyak dah I jual buku you" jawab beliau sambil membuka apps Shopee dan menunjukkan naskah-naskah yang telah terjual. 

Saya juga menziarahi reruai Toko Buku Rakyat semasa PBAKL. Selain memenuhi jemputan ber-KUBU dan membeli buku, saya bertanya kepada Kia Syakira dan Benz Ali ada orang beli ke buku mahal ni? Mereka meyakinkan saya "Buku kau jalan ni Fathi, orang beli sebab isi bukan harga". Saya lega, ada juga orang beli buku penulis yang tak ada nama.

Banyak lagi yang ingin saya tuliskan, jika ingat nanti akan saya tambah dan kemaskini lagi tulisan ini.

Tiada ulasan: