Isnin, 1 Ogos 2022

Manusia Malam


Benar,
Siang memang indah,
apabila cahaya mencurah,
kita melihat sungai dan lembah.

Siang dan cahayanya,
indah dengan pelbagai bunga,
cantik dengan pelbagai warna.

Namun,
Malam tidaklah buruk.
Malam bukan lawannya siang,
tetapi mereka berpasang.
Tanpa malam,
kita tidak dapat menikmati
keindahan bintang.

Jika siang indah dengan bunga-bunganya,
malam indah dengan mimpi dan puisinya.
Siang merupakan masa melihat ke luar,
malam adalah masa kita merenung ke dalam.

Malah malam lebih indah,
bukan hanya tika bulan cerah,
ketika dipeluk kegelapan,
jiwa terasa dalam perlindungan.
Punya tempat untuk bersendiri,
bermonolog dan mencari diri. 

Jika siang adalah masa,
untuk manusia mencari ilham karya,
malam adalah masa untuk menulisnya,

Malam adalah masa perasaan
berkuntum menjadi puisi,
dalam keindahan,
ia cerah mengisi hati.