Jumaat, 23 September 2022

Catatan Baitul Muslim 58: Menjadi Cendol di Terik Tengahari


Kita sering mendengar bahawa mood suami bergantung pada mood isteri. Jika mood isteri baik, ceria, dan gembira, si suami pun akan menjadi cermin dan memantulkan mood yang sama. Dalam bahasa Inggeris disebut "happy wife happy life". Sebaliknya jika isteri moodnya tidak baik, si suami juga akan memancarkan mood yang sama pada sekelilingnya. Kadangkala, disebabkan kita sering mendengar perkara seperti ini, kita seolah-olah berserah kepada keadaan, dan kita pun hanya mengikut tanpa berfikir bahawa mungkin kita boleh memberi tindak balas yang berbeza.

Hakikatnya yang mengawal mood dan perasaan kita bukanlah pasangan kita. Ya, mereka akan mempengaruhi kita. tetapi jika kita segera sedar diri, kita boleh memilih dan bertindak untuk tidak terpengaruh. Jika kita sedar, bahawa kita bukanlah emosi kita, kita akan dapat mengawal emosi tersebut. Sebaliknya jika kita merasakan kita adalah sama dengan emosi yang hadir, kita akan hanyut dengan emosi.

Sebenarnya suami boleh memilih untuk gembira dan berada dalam mood yang tenang meski pun ketika mood isteri berada dalam keadaan gundah gulana seperti berada dalam ribut taufan. Dengan syarat dia mestilah sedar bahawa dia boleh mengawal emosinya. Saat-saat yang cemas dan kucar-kacir sebenarnya lebih mudah diurus jika salah seorang bertindak menjadi penenang. Jika kedua-duanya hanyut, suasana kalut akan mudah berubah menjadi ribut.

Maka suami perlulah belajar jurus menenangkan minda di saat-saat getir. Dengan ini mereka dapat menjadi seperti cendol yang sejuk dan dingin, segera mengamankan tekak tatkala matahari menggigit dunia dengan kepanasannya dalam terik tengahari. Tugas pasangan mestilah menjadi pengimbang. Saat seorang jatuh, seorang lagi perlulah menjadi kukuh, agar yang jatuh punya tempat berpaut. Mood suami tidak perlu bergantung pada mood isteri. Sebaliknya suami perlu sentiasa bijak mengawal moodnya, tidak terikut-ikut dan sentiasa menjadi tiang yang boleh diharapkan untuk berpaut.

Jika tidak keluarga mudah sahaja kucar-kacir, tidak ada pengimbang. Jika salah seorang jatuh, seorang lagi ikut jatuh, maka keluarga akan runtuh. Jika suami isteri tidak pandai mengurus mood dan emosi, apakah boleh diharap anak-anak untuk menjadi pengimbang? Merka pasti menjadi magsa keadaan, atau lebih buruk, mereka akan menyerap apa yang mereka lihat, dan menganggap kegagalan keluarga adalah sesuatu yang normal. Maka apabila mereka pula berkeluarga, mereka akan mengulanginya.

Jadi, kita seharusnya bijak mengurus mood dan emosi. Jangan terikut dengan common wisdom popular yang tidak benar. Sebaliknya berusahalah untuk menjadi penawar saat pasangan berada dalam kegelisahan. Ketika tengahari meremang, dan terik mentari mencekik, kita seharusnya menjadi cendol yang dingin dan mengamankan.

Khamis, 22 September 2022

Muzika


Muzik yang indah,
apabila ia melembah,
masuk menyergah,
ke dalam telinga.

Ia umpama,
pembebasan jiwa,
dari sangkarnya.

Bebas ia terbang,
mencapai gembira,
mencapai tenang.

Walau sebentar cuma umurnya,
akhirnya hilang,
habis dalam hamparan,
ombak takdir yang datang.

Tika muzika,
memenuhi ruang udara,
seketika,
hati pun berbunga.

Dingin Hujan Pagi


Dingin.

Hujan pagi
meremangkan jiwa.
Seketika
terasa bernyawa.

Rimbunan awan,
mendung,
berarak sepi.
Seketika,
meremangkan rindu,
yang terbuku
di dalam kalbu.

Pagi yang nyaman ini,
ditemani hujan dan awan,
membuahkan
pelbagai rasa
dalam kedinginannya.

Jumaat, 16 September 2022

Di situ terhenti batas usaha


Dalam hidup ini, kita hanya mampu membuat keputusan. Untuk menentukan keputusan kita itu betul atau salah, itu adalah di luar batasan usaha. Itu sudah masuk ke dalam ruangan lain, ruang rasa, yang tidak mampu lagi kita bendung dengan usaha.

Sebaik mana pun niat dan usaha kita, ada kalanya natijahnya tidak berpihak kepada kita. Bukan tugas kita untuk menangisinya, tugas kita adalah menerima bahawa kuasa manusia itu terbatas. Terlalu banyak faktor luar yang tidak dapat dikawal oleh upaya tangan manusia. Cubaan untuk mengawal semuanya akan membuatkan kita penat, kecewa dan berputus asa.

Betul atau tidak keputusan yang kita lakukan sukar untuk dipastikan. Kadang ia bergantung pada perasaan orang lain. Jika sesuatu keputusan itu mengamankan semua orang disekeliling kita, kita mungkin merasakan ia keputusan yang betul. Meski hati kita sendiri tidak merasa aman. Hati sendiri pun ada ketikanya tidak dapat kita kawal, apatah lagi hati orang lain.

Kita mampu berhati-hati tapi kita tak akan mampu mengawal hati. Dalam jalan yang panjang dan berselerakan ini pasti sahaja keputusan kita akan menyebabkan hati orang lain terkesan. Itu adalah di luar kawalan kita. Pilihan yang ada adalah kita berhenti bergerak, jika kita tidak bergerak tiada siapa pun yang akan tersentuh.

Tetapi adakah kita boleh katakan sesuatu yang tidak bergerak itu hidup?

Maka resamnya begitu. Setiap hari akan ada pilihan dan keputusan yang perlu kita lakukan. Kecil dan besar. Yang akan mengesani orang lain. Kita tidak pasti yang mana yang betul. Kita hanya mampu berbekal niat yang baik dan usaha yang berhati-hati. Selepas itu kita hanya mampu memejam mata dan menerima, kerana apabila panah sudah keluar dari busurnya, disitu terhenti batasan usaha.

Seronok ke menulis?


Ada orang tanya, apa yang seronoknya menulis buku?

Sebenarnya bagi aku, menulis dan menerbitkan buku itu dua perkara yang berbeza. Tak semua penulisan akan berakhir dalam helaian buku. Buku bagi aku adalah sejenis rumah kepada penulisan, tetapi ia bukan satu-satunya rumah yang ada. Ia adalah rumah yang perlu dicari. Tetapi jika tidak jumpa, tak bererti ia tidak boleh mendiami rumah-rumah jenis yang lain.

Kalau penerbit besar tak mahu terbit, aku akan cari penerbit kecil. Kalau penerbit kecil tak mahu aku akan cari penerbit halus dan mikroskopik. Kalau tiada juga aku akan terbitkan sendiri. Kalau aku sendiri rasa tak yakin aku akan tulis di blog sahaja. Kalau aku mahukan pendapatku diketahui mungkin aku akan menulis di media sosial. Jika aku mahu mencatat sesuatu yang aku rasa tidak sesuai disingkap oleh orang lain, aku akan tulis di blog rahsia. Jika tidak, aku akan garap dalam diari sahaja. Jika tiada satu pun tempat yang sesuai, aku tetap akan tuliskannya di dalam hati.

Mungkin orang melihat penulisan itu sesuatu yang ingin aku zahirkan. Tetapi bagiku menulis adalah sesuatu yang peribadi. Menulis membuatkan aku gembira dan bahagia. Dengan menulis aku mampu berjumpa semula dengan perasaan-perasaan yang lalu, yang aku sendiri sudah lupa. Kalau boleh aku ingin menulis tentang semua perkara, tapi masa tidak menyebelahiku. Kadang hidup memaksa aku berjauhan dari pena. Ada yang sempat ditu;is lengkap, ada yang tercarik-carik disini sana.

Aku pernah juga berfikir mahu mengumpulkan semua penulisanku yang bertaburan di pelbagai rumah, untuk duduk bersama di dalam satu manuskrip. Tapi kini aku rasa perkara itu terlalu besar untuk aku lakukan sendirian. Aku rasa, jika ada benda yang menarik dalam penulisanku, mungkin satu hari nanti ada orang yang terlebih rajin untuk mengumpulkannya. Atau mungkin ada anak dan cucu yang ada masa untuk melakukannya.

Aku akan terus menulis. Tetaplah menulis biar pun tiada siapa yang membaca. Bagi aku penulisan adalah hal peribadi yang menyeronokkan dan menggembirakan. Kalau ada yang rasa menarik, bagus, jika tidak, aku bahagia dengan tulisanku sendiri. Syok sendiri kata orang. Menulis tak semestinya besar dan panjang. Tulisan dan anekdot kecil kadang lebih berharga bagiku, serangkap puisi juga kadang lebih dalam ertinya dari penulisan panjang penuh jargon yang berpusing-pusing mendewa tinggi di langit. Bagiku biarlah penulisan itu kecil dan sederhana, asal ia membekas pada diri kita.

Jumaat, 9 September 2022

Mencari Makna di Hujung Kehidupan


Seperti orang lain, aku juga hidup. Akiu belajar, merantau, berkahwin, berkerja, sama, seperti orang-orang lain. Aku fikir, ada sesuatu yang lain pada manusia. Manusia bukan sekadar makhluk yang puas dengan keperluan asas. Dia sentiasa mencari makna. Aku rasa kemahuan untuk mencari makna inilah yang menyebabkan orang dahulu cuba menafsir alam. Apabila terlihat kucing hitam contohnya, ditafsirkan malang bakal berlaku, kerana manusia cuba mencari makna dari apa yang dilaluinya. Dari apa yang dilihat dan dirasai.

Seperti kisah Hayy Ibnu Yaqzan yang ditulis oleh cendiakawan Andalusia, Ibnu Tufail. Apabila ibu rusa yang membesarkan Hayy mati, dia berasa sangat sedih. Dia cuba mencari apa makna yang menyebabkan makhluk hidup. Apa maknanya mati? Dan apa maknanya hidup? Dengan harapan jika dia dapat menyingkap maknanya, dia dapat membantu ibu rusanya untuk hidup kembali. Memperbaiki mati agar syarat-syarat hidup dapat kembali dipenuhi.

Aku merasakan mati itu yang memberi makna pada hidup. kerana jika kita hidup selama-lamanya, kita tidak akan tahu apa maknanya mati, dan tanpa pengetahuan perihal makna kematian, kita tak dapat mengetahui apa itu hidup. Dua benda yang saling bertentangan itu saling memberi definisi. Ibarat siang, didefinisikan sebagai cerah tidak gelap seperti malam. Sejuk didefinisikan dengan ketiadaan kepanasan. Begitu juga hidup, dimaknakan dengan tiadanya kematian. Dengan merenungi kematian kita menjumpai makna kehidupan.

Begitu jugalah aku, yang berbaki 28 tahun untuk hidup di dunia ini (jika bernasib baik). Aku juga makhluk yang mencari makna. Dan aku merasakan bahawa aku tidak boleh berhenti dalam pencarianku. Jika tidak, kekosongan akan menyusup. Mencari makna itu menghidupkan, dicari melalui pemerhatian, pengamatan, berfikir, dan mencari ilmu.

Kita melakukan perkara dalam hidup yang kita rasakan punya makna. Cuma kadangkala apabila ia menjadi rutin, kadang makna itu pudar dari nurani kita. Ia menjadi aktiviti tawar, dan kita menjadi seperti robot bio-mekanikal, yang bergerak melakukan perkara itu dan ini tetapi didalamnya kosong. Tawar dari sebarang makna dan rasa.

Maka beruntunglah manusia yang sudah menjumpai makna hidup atau merasakan mereka telah menjumpai makna hidup. Kerana selepas itu segala bunyi dan bising dunia tidak lagi menganggunya. Dia dapat fokus pada makna kehidupannya dan melakukan perkara-perkara yang bermakna.

Cuma kadang kita sudah menjumpai makna hidup kita dan berusaha sehabis baik untuk makna itu. Kita berusaha setiap hari dan setiap ketika. Hingga makna itu menjadi biasa dan hilang bisanya pada jiwa. Ketika sendiri kita merasakan makna hidup adalah dengan berkawan dan berkasih. Tetapi apabila ketika bersama, kita merasakan makna hidup adalah apabila dapat bersendiri dan merenung jiwa. Maka adakalanya kita perlu mengambil masa, untuk berpisah seketika dengan makna itu, agar kesegarannya sentiasa terjaga.

Oleh itu, kemaskanlah segala mimpi, masukkan segala impian ke dalam beg galas dan berjalanlah melihat dunia. Melihat makhluk-makhluk berserta ragamnya. Renungan sendiri biasanya menyegarkan kembali jiwa, Menghadirkan semula makna. Dengan menjauh kita dapat melihat sesuatu dengan lebih sempurna. Ibarat jika kita berada di dalam rumah, kita merasakan rumah itu adalah empat dinding di sekeliling kita. Tetapi jika kita keluar, melihat rumah dari jauh. Kita dapat lihat tingkap pintunya, bumbung dan bunga-bunga di  lamannya, pandangan kita lebih sempurna. Itulah makna menjauh, bukan untuk berpisah tapi untuk melihat hidup dengan lebih sempurna dan memahami makna. 

Bagiku hidup ini adalah permusafiran sementara untuk mencari makna.

Khamis, 8 September 2022

Catatan Baitul Muslim 57: Paling Bahaya Adalah Prasangka


Yang paling bahaya dalam rumahtangga adalah prasangka. Manusia itu diciptakan berpasangan, tetapi setiap pasangan diciptakan secara tersendiri. Masing-masing punyai pemikiran, perasaan, emosi yang berlainan, terpisah dan tersendiri. Di seminar-seminar, ceramah, kelas dan sebagainya kadang kita sering didendangkan bahawa jika kita sudah berkahwin lama, kita boleh membaca fikiran pasangan kita. Bak kata pepatah, "sekilas ikan di air, sudah tahu haruan atau ikan puyu". Apabila sudah hidup lama bersama, melihat riak wajah sahaja kita sudah tahu apa yang difikirkan pasangan.

Walaupun perkara ini sudah menjadi common wisdom, namun, ia bukanlah perkara yang benar. Ramai yang mempercayainya, hingga mereka merasakan pasangan mereka mestilah faham perasaan mereka. "Kita dah 10 tahun kahwin, takkan tak faham lagi?" kata mereka. Oleh kerana itu, ramai yang kecewa apabila pasangan tidak memahami mereka, mereka beranggapan pasangan pasti sudah boleh faham minda dan fikiran mereka tanpa mereka ceritakan apa yang mereka fikirkan kerana mereka telah lama bersama.

Hal ini sebenarnya adalah fantasi, ia adalah fantasi yang berbahaya. Kehidupan kita bukan seperti cerita cinta Bollywood atau Hollywood. Bukan juga seperti yang dilakonkan dalam kisah-kisah drama romantis. Hakikatnya minda dan fikiran manusia itu sentiasa terpisah. Ia adalah ruang peribadi yang tak dapat disingkapi oleh insan lain, meski pun insan itu adalah kawan karib, ibu bapa mahu pun pasangan. Apa yang mereka boleh buat hanya meneka fikiran berdasarkan pengalaman bersama di waktu yang lalu, namun meneka tidak sama dengan mengetahui secara benar apa sebenarnya yang difikirkan. Manusia berubah, pengalaman baru berlaku, fikiran dan perasaan juga akan berubah seiring dengan berubahnya perkara-perkara lain dalam kehidupan.

Tuhan menciptakan ruang fikiran sebagai ruang peribadi manusia. Tidak dapat dibaca melainkan jika pemilik pemikiran memilih untuk menzahirkannya melalui percakapan, tulisan atau tindakan. Jangan terpedaya dengan common wisdom bahawa kita boleh membaca fikiran pasangan, tidak kira berapa lama kita sudah berkahwin, hatta jika kita sudah bersama 1000 tahun pun, kita tetap perlu bertanya apa yang difikirkannya. Agak-agak dan tekaan sering kali silap dan membahayakan. Kita akan memberikan solusi pada masalah yang tidak ada, atau lebih buruk, membuat sesuatu yang memburukkan lagi keadaan sedia ada.

Jika kita mahu pasangan kita memahami fikiran kita, ini perlu dinyatakan dengan jelas tanpa menggunakan kiasan dengan harapan mereka dapat meneka dengan tepat. Menyatakan tidak semestinya melalui percakapan, ada tikanya kita tak mampu mengungkapkan sesuatu. Gunakan medium lain yang ada seperti tulisan (surat) atau mesej (digital). 

Jika sedang marah, kita perlu nyatakan "saya sedang marah dengan awak".

Jika perlukan masa, perlu diberi tahu "saya mahu keluar ambil angin sendirian".

Jika lapar beritahu makanan apa yang perlu dibelikan "saya mahu makan pisang goreng cheese".

Ingat, tiada siapa yang dapat membaca fikiran kita, dan kita juga tak mampu membaca fikiran orang lain. Oleh itu, untuk selamat, dalam rumah tangga perlu sentiasa berbincang dan bersembang, bukan meneka dan berprasangka. Jika kita tak dapat membaca fikiran pasangan kita, bukan bermakna kita tidak mencintainya, atau cinta kita tidak cukup dalam geloranya, tetapi bermaksud kita adalah insan biasa yang hidup dalam realiti penuh keterbatasan. Dalam keterbatasan yang Tuhan tetapkan. Keterbatasan ini bukan suatu kecacatan atau kekurangan. Jika kita memahaminya, kita mampu bahagia dalam keterbatasan ini.

Ahad, 4 September 2022

Seputar Kegagalan


Manusia itu memang fitrahnya lemah. dia diciptakan dengan jasad yang mudah gagal. Kematian begitu mudah menjemputnya. Jatuh dari tempat tinggi, mati. Jatuh dalam laut, mati. Dihimpap pokok, mati. Kena gigit ular, mati. Ada beribu-ribu sebab yang dengan mudah boleh menyebabkan manusia mati.

Namun manusia juga diberi kelebihan. Antaranya kemampuan mewariskan "memori kolektif" kepada generasi baharu. Jika dahulu, manusia sering mati kelaparan, ini diajarkan kepada generasi baru, manusia pun mula menghasilkan makanan dalam skala industri. Jika dahulu ada nenek moyang dibaham harimau, ia diceritakan dan diwariskan pada anak-anak, agar mereka dapat bersedia dan mempunyai peluang lebih cerah agar tidak dibaham harimau.

Dalam kata lain, kemampuan mewariskan pengalaman kolektif kepada generasi baru membantu manusia menguasai persekitarannya. Semakin lama semakin banyak risiko dapat dielakkan dan manusia mampu hidup lebih lama. Tetapi tetap manusia tidak dapat menguasai mati.

Tetapi sebenarnya mati bukanlah kegagalan, ia sekadar kitaran alam. Dalam hidup, banyak perkara yang ditafsirkan sebagai kegagalan. Walaupun jika dipandang dari sudut lain, ia biasa sahaja, ia adalah kitaran alam. Kegagalan ditafsirkan sebagai keadaan di mana manusia tidak mencapai apa yang diinginkannya. Jadi sebenarnya kegagalan boleh dikurangkan dengan mengurangkan keinginan. Gagal peperiksaan misalnya. dari sudut fisiologi, ia tidak ada kesan apa-apa, darah tetap mengalir dan manusia tetap mampu bernafas. Ia langsung tidak memberi kesan kepada kemampuan hidupnya. tapi ia menyebabkan manusia begitu sedih hingga merasakan hidupnya tiada erti. Walhal tubuh badan, akal dan ruhnya masih berfungsi!

Begitu jugalah kegagalan kegagalan lain yang lahir dari keinginan manusia. dipandang sebagai kegagalan, hakikatnya hanya episod biasa dalam kitaran alam yang fana. Contoh lain adalah kegagalan dalam percintaan atau perkahwinan, kesedihannya kadang kala merenggut habis jiwa manusia, hingga tiada lagi perasaan untuk hidup yang tersisa. Namun dari kaca mata luaran, tiada apa yang berlaku. Fungsi-fungsi fizikal dan biologinya tetap tidak terjejas. Bagitulah perspektif mengubah apa yang ditafsirkan sebagai kegagalan. Sedalam mana pun kita jatuh dalam kegagalan, usah bersedih terlalu lama, carilah perspektif baharu, dan kita akan melihat bahawa ia hanya satu episod kecil dalam kehidupan. Ibarat debu yang hinggap, yang bisa dihilangkan dengan hanya satu hembusan.