Rabu, 24 Mei 2023

Catatan Baitul Muslim 63: Keluarga Adalah Koleksi Memori


Menurut ahli sejarah, perbezaan manusia pada zaman dahulu dan zaman moden adalah kesedaran sejarah. Manusia moden bukan sahaja sejar akan kedudukan dirinya dalam sejarah, malah secara aktif membentuk sejarahnya sendiri. Sebelum sejarah itu pergi kepada skop yang lebih besar seperti masyarakat, negara, dan hubungan antarabangsa, ia dicorak oleh unit-unit yang lebih kecil seperti individu dan keluarga. Bagi saya, sejarah keluarga adalah koleksi memori. Apa yang kita rasakan hari ini, kesukaran mengurus dan membesarkan anak, semuanya akan menjadi memori. Jika memori ini ditulis, ia akan menjadi sebahagian dari sejarah keluarga.

Maka pada tulisan kali ini, saya hanya mahu merekod sebahagian dari memori semalam, agar ia tersimpan dalam arkib memori dan menjadi sebahagian dari sejarah. Beberapa hari sudah, saya merasa kepala saya begitu serabut kerana rambut yang sudah panjang. Rambut yang tebal menyebabkan kepala cepat panas apabila bersukan. Jadi saya mengambil keputusan untuk ke kedai gunting rambut di Taman Arkid, Sungai Petani.

Pada petang tersebut, Amni sedang sibuk menyiapkan kerja sekolahnya ditemanu Ummi-nya. Maryam memang begitu teliti dalam hal kerja sekolah ini. Hampir setiap hari dia akan berperang untuk memastikan Amni siap semua kerja sekolahnya. Amni kini berada di tahun dua kelasnya bernama Abu Hurairah. Maka, hanya Idlan yang mengikutiku ke kedai gunting rambut, aku berjanji akan membelikannya sesuatu di kedai runcit selepas itu, jadi dia setuju.

Sampai di kedai gunting rambut, dia sibuk melihat ikan yang ada dalam akuarium di kedai. Akuarium itu sedikit tinggi, jadi dia perlu menginjat sedikit. Aku hanya menjeling sahaja melihat kelibatnya berbaju kuning dan berseluar pendek. Setelah puas mengetuk-ngetuk akuarium untuk melihat ikan bergerak, dia mula menari sambil membuat gaya berlawan di hadapan cermin. Di kedai gunting rambut banyak cermin, jadi dia dapat melihat dirinya beraksi. Aku hanya menjeling sambil rambutku digunting, tukang gunting rambut pun kelihatan terhibur dengan gelagat Idlan sambil tersengih. Apabila sudah menggunting, tukang gunting itu bergurau dan mengambil patung singa mainan dari tangannya. Idlan tidak menangis. Apabila keluar kedai dia bertanya:

"Kenapa orang tu suka bermain dengan budak kecik?"

Soalan sebegini biasanya tidak perlu dijawab kerana dia kemudian akan menjawabnya sendiri. Melihat telatah Idlan ini kadang membuat aku sayu juga, kerana terfikir sekejap sahaja masa berlalu. Dia bukan bayi yang boleh aku kendong seperti dahulu. Kini sudah menjadi anak kecil yang suka bermain. Sekejap sahaja lagi dia akan menjadi remaja dan kemudian mendewasa. Hanya sedikit sahaja masa lagi yang aku ada untuk bersama dengan anak-anak ketika mereka masih kecil. Tulisan ini aku rakamkan agar nanti apabila mereka dewasa, adalah sedikit koleksi memori yang terkumpul buat mereka bernostalgia dan berkenang-kenangan.

Kerana aku fikir, keluarga akhirnya akan menjadi memori dan kenangan.

Isnin, 22 Mei 2023

Rihlah Jiwa: Siri-2


Mudah kita untuk melihat keburukan-keburukan yang ada pada manusia, kadangkala gerak hati kita memang terarah, sensitif, dan sentiasa mahu melihat sisi keburukan manusia. Dari lensa ini, kita gagal melihat kebaikan yang ada pada diri manusia, kerana kecenderungan kita adalah pada keburukan, maka kita hanya mengumpul, melihat, dan mengingati keburukan.

Ketika saya di Masjid Nabawi di Madinah, saya cuba sedaya upaya lari dari perspektif ini. Lari dari kecenderungan mencari keburukan. Walaupun kadang-kala datang manusia yang pelbagai ragam yang menunjukkan sisi keburukan manusia, saya cuba juga untuk memalingkan muka. Mencari ruang maaf dan berlapang dada. Tetap dalam pencarian kebaikan.

Pada bulan Ramadhan, Masjid Nabawi dipenuhi manusia. Aku suka melihat kepelbagaian wajah manusia ini. Melihat pelbagai rupa bentuk manusia dengan bentuk hidung yang berbeza-beza. Melihat warna-warna mata yang berlainan dari warna mataku, satu permandangan yang menyeronokkan. Aku paling suka melihat anak-anak orang Arab yang comel, berlari dan bermain.

Kadang mereka berlari mengejar burung pipit di masjid, menolak adik mereka di atas stroller sehingga adiknya menangis, main lompat-lompat di tempat duduk batu bahagian wuduk. Begitu banyak kreativiti anak-anak bermain, teringat juga akan anak-anak aku sendiri di Malaysia.

Suasana di Masjid Nabawi ketika Ramadhan banyak menukar persepsiku perihal ibadah dan juga orang Arab itu sendiri. Di dalam media mereka digambarkan sebagai orang yang ganas, selalu berperang, seolah mereka tiada emosi lain selain marah. Namun di sini aku melihat mereka membawa isteri, anak-anak kecil, dan bayi bersama ke masjid. Mereka membentang tikar di perkarangan masjid nabi seperti perkelahan keluarga, makan dan berbuka puasa bersama. Aku melihat sepasang suami isteri berbaring di ruangan solat luar, dengan si isteri mengurut kepala suaminya.

Permandangan ini tidak ada di masjid di negaraku sendiri. Ibadah seperti perkara yang serius untuk lelaki yang serius. Tetapi di sini seolah-olah ibadah ini adalah rihlah keluarga. Ia adalah aktiviti yang dikongsi bersama keluarga. Tiada siapa yang memarahi anak-anak yang bermain dan berjalan di dalam saf ketika orang sedang solat. Anak-anak dibawa untuk membaca Al-Qur'an bersama ayah di masjid. Abang solat bersama adik kecil di dalam saf orang biasa. Ada yang berkejaran di dalam masjid. Masjid bukan hanya milik ayah-ayah yang garang tetapi ia juga dimiliki oleh kanak-kanak yang riang.

Aku juga suka melihat perubahan wajah mereka apabila bertemu kenalan di dalam masjid. Wajah mereka tiba-tiba berubah dan bercahaya dengan senyuman. Mereka saling mencium pipi sahabatnya kegembiraan.

Perjalanan ini juga menyedarkan aku tentang satu perkara. Kadang-kadang kita merasakan kita perlukan rehat, me-time dari anak-anak dan isteri. Bagi aku ia adalah satu yang perlu dan sihat. Kita perlu ada masa untuk kesihatan emosi diri. Perlu ada masa bersendiri. Namun kini aku sedar, perasaan ingin menyendiri ini tidak dapat bertahan lama, sekejap sahaja ia berubah kepada rasa merindui.

Ahad, 21 Mei 2023

Rihlah Jiwa: Siri-1


Manusia sentiasa bergerak dalam kehidupannya. Sentiasa dalam perjalanan. Kita bermusafir ke kampung, melawat bandar dan negara lain, atas pelbagai tujuan kita berjalan. Jika tidak berjalan jauh pun manusia akan bergerak, setiap hari ke tempat kerja, ke sekolah, ke kedai, sentiasa manusia itu dalam satu perjalanan. Jika dia tidak keluar rumah pun dia akan berjalan, ke bilik tidur, dapur, bilik tamu, atau bilik air.

Walaupun manusia itu tidak bergerak sekali pun, jika dia tidak berubah tempat dari sudut ruang, manusia tidak dapat lari dari bergerak dalam peredaran masa. Sedar atau tidak, perjalanan kehidupan manusia yang singkat ini adalah satu permusafiran. Yang sementara, kita hidup dan berjalan menuju kematian.

Dalam permusafiran manusia ini mereka dikurniakan hati. Ada manusia yang sedar akan keberadaan hatinya, sentiasa dia menjaganya. Ada juga yang sedar, namun lama kelamaan mereka hanyut dalam dunia objek, realitinya hanya objek, sehingga dia terlupa akan hati yang dibekalkan padanya.

Aku kira begitulah diriku. Dalam permusafiran hidup yang singkat, kadang kesibukan dengan pelbagai objek menumpulkan perasaan, menghilangkan rasa keberadaan hati. Kadang aku merintih pada Tuhan, agar hatiku dikembalikan.

Tuhan memberiku peluang untuk berjalan, bermusafir, mencari hati yang hilang. Hakikatnya pencarian itu adalah pencarian dalaman, namun aspek luaran juga mempengaruhi kita sedikit sebanyak. Dalam pencarian ini. Perjalananku ini aku panggil sebagai "Rihlah Jiwa", di mana Tuhan membenarkan aku melupakan sebentar objek-objek kehidupan. Dengan ini aku boleh fokus mencari kedalaman jiwa, mencari ketenangan, dan jika aku bernasib baik, ditemukan dengan hati yang baharu.

Aku memerhatikan gugusan awan di luar tingkap, begitu cantik penuh kemegahan. Tinggi tak tercapai oleh kawanan burung. Kadang-kadang awannya bertompok, kadang seperti kabus yang sepi, kadang berkepul. Awan-awan ini umpama dunia yang tersendiri, dengan kerajaan dan sistem yang berbeza dari bumi. Awan ini bercahaya apabila disirami mentari, persis seperti sebuah lukisan. Merenung awan, kadang aku bernasib baik, dapat melihat pesawat kecil di ufuk lain, terbang menjauh, sebelum hilang di balik awan. Dan apabila mentari semakin merendah, seolah ufuk adalah garisan pemisah antara langit biru dan langit merah. Tidak puas rasanya merenung awan, jika diizinkan, aku mahu merenungnya selama-lamanya, sepanjang zaman.

Di bawahnya adalah lautan biru yang tenang terbentang. Di atasnya beberapa buah kapal yang kelihatan kecil, membawa kargo-kargo mereka merentas samudera. Permandangan ini sedikit sebanyak menjentik jiwa, perihal keagungan penciptaan alam. Yang luas dan tertib.

Di mata orang lain, mungkin aku kelihatan biasa sahaja. Mungkin mereka lihat aku tidak teruja, seharusnya aku teruja seperti insan lain. Tetapi aku harus jujur dengan diriku, aku tidak mampu menjadi orang lain. Aku adalah aku, yang mahu berjalan mencari ketenangan. Mencari hati yang hilang.

Dalam mempersiapkan diri aku buat perjalanan ini, aku merenung almariku. Mencari lembaran-lembaran untuk dibuat peneman. Baru aku sedar, banyak lembaran yang aku kumpul berkisar tentang politik. Sejarah politik, ekonomi politik, memoir politik, biografi politik dan bermacam lembaran politik lain. Aku mahu berpisah dari semua ini. Sebaliknya aku ingin membawa lembaran yang dapat menemaniku dalam pencarian ke dalam, bukan ke luar.

Antara yang akhirnya aku putuskan adalah lembaran tulisan Hesham Al-Awadi yang membicarakan perihal bagaimana Nabi Muhammad berinteraksi dengan anak-anak kecil di sekelilingnya. Bagaimana beliau menghormati mereka, meletakkan kepercayaan, mengubah riak wajah agar anak-anak sekelilingnya merasa aman. Dalam perjalanan penuh penantian ini, ini adalah salah satu lembaran yang menemaniku. Aku selak selak dalam Rihlah-ku, mengisi masa dengan kisah sang nabi. Moga nanti aku diberi izin menziarahi tempat-tempat kehidupan beliau.

Jadi ini adalah pengenalanku kepada perjalananku ini. Moga-moga Tuhan pelihara daku di dalamnya. Di beri ketenangan, diberi ruang untuk merintih dan meminta. Ruang untuk merasa bahagia, dengan hati yang baharu. Hati yang segar terpelihara.

(Catatan Rihlah Jiwa ini merupakan catatan renungan semasa mengerjakan umrah bersama ibu pada bulan April 2022).

Koleksi Fikir: Intelektual & Perspektif



Intelektual

Bagi saya intelektual adalah orang yang mendalami ilmu sedalam-dalamnya. Dia menguasai bidang dan permasalahan yang kompleks. Dengan kedalaman ilmunya ini, dia dapat menerangkan sesuatu yang sangat kompleks dengan ayat yang mudah difahami. Dalam kata lain, keilmuannya digunakan untuk mencerakinkan kompleksiti agar ia dapat difahami. Bagi saya, orang yang menulis sesuatu yang mudah, dalam bahasa yang begitu kompleks, penuh dengan jargon, dan sukar difahami, itu bukan intelektual. Dia hanya seorang yang mempunyai banyak kosa kata.

Perspektif

Perspektif mengubah makna sesuatu perkara yang hakikatnya sama. Pekerjaan sebagai contoh, bagi sesetengah manusia adalah perhambaan moden. Pekerjaan dilihat sebagai sesuatu yang mengikat manusia dari bebas menggunakan masanya melakukan perkara yang dia suka dan dirasakan produktif. Pada manusia lain pula, pekerjaan adalah pembebasan. Dengan bekerja dan mendapat pendapatan dia dapat membebaskan dirinya dan keluarganya dari lapar, dahaga, dan kemiskinan. Jadi, perkara yang hakikatnya sama, iaitu sebuah pekerjaan, boleh dimaknai dengan makna yang berbeza, malah bertentangan. Boleh menjadi perhambaan atau pembebasan. Terserah pada perspektif mana yang dipilih.

Rabu, 10 Mei 2023

Yang Berkerlipan Bukan Malam


Yang berkerlipan bukanlah malam,
saat bintang keluar di celah pekatnya,
yang berkerlipan bukanlah laut dalam,
saat surya menyuluh kocak kulitnya.

Yang berkerlipan adalah hati,
saat tenang dan bahagia menyelimutinya.

Menyambut Pagi


Awan mega tumbuh berkuntum,
dan kabus perlahan menarik selimut,
surya mula melukis langit,
dengan warna jingga ceria,
sayap-sayap menghiasi udara,
menyambut pagi baru yang tiba.

Ahad, 7 Mei 2023

Mencari Akar dan Susur Galur: Sejarah Changkat Tin & Anak Keturunan Mat Selan

Masjid Changkat Tin, Tanjung Tualang, Kinta, Perak. Foto bertarikh 02 Januari 1965. Foto dari dalam simpanan Tok Imam, Haji Mohamad Jiplus bin Kulup Md Saman.

Sejak ayah meninggal pada tanggal 29 Februari 2020, keinginan hati saya untuk menjejaki dan memahami keturunan dan susur galur keluarga semakin kuat. Benarlah kata-kata pujangga yang mengatakan kita akan menghargai sesuatu apabila ia hilang. Juga seperti yang ditulis oleh Rumi dalam puisi-puisinya, bahawa manusia itu selalu sahaja mencari ketiadaan. Arwah ayah dahulu sering menerangkan asal usulnya, jika menziarahi saudara-maranya, akan diterangkan ini siapa, dan bagaimana kami bertali darah dengan mereka. Tetapi saya tidak begitu mengambil perhatian, mungkin saya merasakan ayah akan bersama lama lagi dengan kami, juga saya merasakan hiraki dan simpulan keluarga yang berselirat ini terlalu kompleks untuk difahami. Hinggalah ayah tiada, saya tersentak, baru perhatian saya tiba-tiba tersedar.

Sejak dari itu saya mula mengambil perhatian hal-hal pertalian kekeluargaan. Apabila membuka minda, baru saya sedar sebenarnya seliratan pertalian keluarga ini tidaklah begitu sukar difahami. Jika kita perlahan-lahan mendengar dan memberi perhatian, sebenarnya ia boleh dikecapi akal. Saya mulakan projek menulis sejarah keluarga. Walaupun saya tidak pasti ia boleh dilakukan atau ia boleh disiapkan semasa saya hidup. Jika tidak, paling tidak, bahan-bahannya ada dikumpulkan. Saya mula rekodkan temubual dengan nenek, makcik, dan pakcik yang masih hidup. Malah saya menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia untuk membantu saya dalam projek ini walaupun saya sebenarnya berasal dari bidang kejuruteraan, saya memegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan marin dari sebuah universiti di Rusia.

Apabila mengetahui sejarah keluarga, saya semakin seronok apabila balik ke kampung. Dahulu balik kampung nak mencari ikan haruan, sepat, dan puyu, tapi hari ini nak bersembang dengan pakcik dan makcik, nak tahu cerita-cerita lama, nak catat agar ia tidak hilang dari memori zaman. Antara benda yang saya mahu lakukan adalah masuk semula ke dalam rumah pusaka di Changkat Tin, bukan hanya kerana memori, tetapi kerana sering dikatakan masih ada dokumen-dokumen keluarga yang tersimpan di rumah lama tersebut.

Haji Mohamad Jiplus (berserban dan berkain pelikat) bersama Andak Jijah (berbaju kurung) berjalan menuju ke sebuah majlis kenduri. Foto circa 1985.

Pada 23 April 2023, saya maklumkan pada Makchu (Sharifah Salwah) akan perkara ini, saya bagi tahu saya nak singgah dan ambil barang-barang yang masih tersisa. Terus Makchu menalifon Pakyang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Pakyang memberi saya kunci rumah untuk saya masuk. Kami masuk bersama dan menyelamatkan beberapa dokumen, tapi tidak kesemuanya kerana kesuntukan masa pada ketika itu. Antara yang berjaya diselamatkan adalah album-album gambar lama. Albumnya sudah rabak, tetapi gambarnya sebahagiannya masih terpelihara. Saya beli album baharu untuk menjadi rumah baharu gambar-gambar lama tersebut. Sebahagiannya saya scan dan kongsikan bersama keluarga di whatsapp dan facebook.

Teknologi dan media sosial juga membantu menghubungkan saya bersama keluarga terutamanya yang hubungannya sedikit jauh dan berlapis. Apabila saya berkongsi gambar-gambar lama, antara yang dapat saya hubungi adalah Kak Hanie Shaari yang merupakan dua pupu saya yang tinggal di Taman Raia Sentosa, Ipoh. Saya mengambil peluang sempena cuti hari raya untuk berjumpa dengan Kak Hanie. Kemudian dia membawa saya bertemu dengan ayahnya, Shaari bin Pandak Abbas (yang saya panggil Paklang) di Kampung Paya Rengas, Ipoh. Ayahnya adalah anak Opah Mariam. Opah Mariam adalah adik beradik dengan Opah Andak Jijah Mat Selan. Jadi Paklang adalah sepupu kepada arwah ayah.

Banyak juga yang saya sembangkan dengan Paklang Shaari yang pada ketika itu sudah berumur 82 tahun. Juga bersama isterinya, Rokidah binti Alang Ismail (berumur 79 tahun). Menurut Paklang, dia dahulu selalu berkebun bersama Mat Selan yang dahulunya duduk di Bakap, Batu Gajah. Rumah di Bakap tersebut menurutnya sudah roboh. Ibunya, Opah Mariam merupakan anak dari isteri pertama Mat Selan, sama dengan Opah Andak Jijah. Menurut Opah Rokidah, anak pertama Andak Jijah, Jalaluddin kuat menangis semasa kecil, tidak diketahui mengapa, hingga kadang-kala opah perlu membawanya keluar dari rumah supaya atuk dapat tidur. Jalaluddin kemudian berkerja sebagai pensyarah dan meninggal dunia pada usia 40-an. Anak kedua Andak Jijah, Said Nasir, menurut beliau tidak seperti anak pertama, Nasir tidak banyak menangis semasa kecil, Nasir kemudian menyambung pengajian di Kolej Kuala Kangsar. Ditanya perihal Khair, katanya Khair pernah bersekolah di Sekolah Sultan Yusuf. Atuk, Haji Mohamad Jiplus pula menurut mereka pernah mengajar sekolah agama bersama Andak Jijah, namun fakta ini tidak benar-benar dapat dipastikan dan perlu kepada kajian lanjut.

Menurut Syed Azfar (Yop), fakta dari Opah Rokidah berkenaan dengan pendidikan dan pekerjaan anak-anak Andak Jijah ini sedikit berbeza dengan maklumat yang diperolehinya. Menurut Yop, Jalaluddin menyambung pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kemudian berkerja sebagai pengarah MARDI. Manakala Nasir pula bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Perkara ini disahkan oleh anak Jalaluddin sendiri iaitu Kak Jasmin yang menyatakan bahawa ayahnya bukan seorang pensyarah tetapi ibunya yang bertugas sebagai pensyarah di UPM. Semasa di sekolah, Jasmin masih ingat dia menulis pekerjaan ayahnya Jalaluddin sebagai Pegawai Penyelidik MARDI, anak-anaknya memanggil beliau sebagai doktor tanah kerana beliau mempunyai PhD dalam soil science. Ini dipersetujui oleh adiknya Nadia Jalaluddin. Menurut Jasmin lagi, jawatan terakhir ayahnya adalah Pengarah Bahagian Promosi Teknologi MARDI, beliau meninggal dunia pada tarikh 11 November 1992 pada usia 46 tahun.

Bersama Shaari bin Pandak Abbas (Paklang), Rokidah binti Alang Ismail dan Kak Hanie.

Mat Selan merupakan anak ke-4 kepada Ngah Endah (Mat Selan bin Ngah Endah). Antara adik beradiknya yang lain adalah Manan. Manan mempunyai anak yang terkenal, namanya Radhi Manan. Menantu Radhi Manan pernah menjadi menteri besar Perak, namanya Ahmad Faizal Azumu. Antara adik beradik Mat Selan yang lain adalah Opah Wan Puteh dan Andak Jelas. Andak Jelas adalah seorang lelaki yang mempunyai anak bernama Isa namun sudah meninggal dunia, mereka mempunyai sedara mara di Changkat Lalang. Adik Mat Selan yang bongsu bernama Abdul Ghafur, yang sulung bernama Wan Tua. Seorang lagi adik beradik mereka bernama Hitam Ahmad bin Ngah Endah.

Dari perjumpaan ini juga, dapat dikenal pasti anak-anak Haji Mat Selan hasil perkahwinannya dengan isteri pertama yang bernama Fatimah.

1. Halimah
2. Mariam
3. Rokeah
4. Ahmad (meninggal semasa berusia 6 tahun)
5. Andak Jijah
6. Ramli
7. Hamidah, dipanggil sebagai Wan Chor
8. Samsiah

Selepas saya bertemu dengan Paklang Shaari, saya ke rumah pusaka di Changkat Tin. Saya memberi salam kepada penyewa di rumah bawah, tetapi tidak bersahut, saya rasa dia tiada di rumah. Kemudian saya pun naik ke atas, rumah atas berhabuk teruk dan agak panas. Pakyang tidak bagi membuka elektrik, takut terbakar, jadi perlu membuka tingkap agar ada cahaya masuk. Saya membawa dua kotak untuk mengisi dokumen-dokumen dan gambar-gambar lama untuk diselamatkan. Kali ini saya berjumpa 3 album gambar baharu, dan banyak dokumen-dokumen lama termasuk dua diari Hj. Mohamad Jiplus. Banyak juga kertas-kertas yang sudah reput dan menjadi seperti tanah. Dalam kepanasan berkerja menyelamatkan dokumen-dokumen yang ada ini, saya teringat tulisan al-Mas'udi yang merupakan ahli sejarah Islam yang digelar sebagai Herodotus Arab. Dalam kitabnya Muruj al-Dhahab wa-Ma'adin al-Jawhar (Lapangan Emas dan Lombong Permata), beliau menyifatkan usahanya menulis sejarah sebagai "usaha menyelamatkan cebisan-cebisan berharga masa lalu dari kemusnahan". Dalam kepanasan, memeriksa dokumen berhabuk selama dua jam itu, saya merasakan saya mempunyai misi yang sama dengan al-Mas'udi, iaitu memelihara cebisan-cebisan sejarah keluarga yang masih ada dari luput dihancurkan masa. Masa menghancurkan semuanya, tiada siapa yang dapat terlepas darinya, manakala sejarah adalah sisa-sisa kecil yang terselamat dari penghancuran itu.

Opah Andak Jijah bersama cucunya Nadia Jalaluddin di ribanya dalam sebuah majlis perkahwinan. Foto circa 1985. Antara gambar yang berjaya diselamatkan dan didigitalkan pada 06/05/2023.

Selepas dua jam berpeluh dan berhabuk, saya ke Masjid Changkat Tin membersihkan diri sebelum bertandang ke rumah Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) di Kampung Batu 7, Tanjung Tualang. Opah Imah adalah adik kepada Opah Andak Jijah, ibunya bernama Embun. Apabila Mat Selan meninggal dunia, adik beradik mereka pada ketika itu masih kecil, duit yang diterima Embun dari pembahagian faraid tidak banyak, anaknya ramai, 10 beradik. Maka abangnya Ramli Mat Selan mengarahkan adik beradiknya yang merupakan anak Mat Selan hasil perkahwinan dengan Fatimah, masing-masing memelihara adik-adik tiri mereka. Begitulah kisahnya bagaimana Opah Imah duduk di Changkat Tin selama 3 tahun bersama Opah Andak Jijah, semasa itu beliau masih kecil dan bersekolah. Selepas kematian Ramli, mereka adik beradik, duduk semula semuanya bersama ibu mereka, Opah Embun.

Kerana pernah tinggal 3 tahun di Changkat Tin, Opah Imah memang rapat dengan anak-anak Andak Jijah yang pada ketika itu seusia dengannya. Dia masih ingat tidur sekelambu semasa kecil bersama Salwah dan Basri. Juga Karim yang disifatkannya suka bergurau, menurut Opah Imah, Karim suka meniru gaya pengulas bola, dan Karim mempunyai nama panggilan kelakar untuk adik-beradiknya. Semasa Jalaludin pulang dari Kanada, Opah Imah ingat lagi dia dibawa Jalaludin menaiki sport car-nya, dia merasa seronok kerana Jalaluddin menyuruhnya duduk depan bersamanya.

Menurut Opah Imah, Syed Mohd Khair bersekolah rendah di Sekolah Changkat Tin, kemudian di Sekolah Tanjung Tualang dari tingkatan 1 hingga 3 dalam English Medium. Kemudian dia ada fasa peralihan sebelum menyambung dalam bidang sains di Sekolah Sultan Yusuf. Kerana adanya tahun peralihan, Opah Imah sempat bersekolah bersama Khair semasa di tingkatan 5 di Sekolah Sultan Yusuf. Menurut Opah Imah, walaupun ibunya Embun hidup susah, dia tetap memastikan semua anak-anaknya bersekolah hingga habis SPM dengan mengambil upah menoreh getah. Pernah ketikanya rumah mereka putus beras, ibunya Embun ke rumah jiran mahu meminjam beras, namun jiran turut tiada beras, kerana dahulu semuanya hidup susah. Terpaksa mereka berlapar, kadang hanya minum air paip untuk menghilangkan sedikit lapar.

Tidak puas rasanya bersembang bersama Opah Imah, namun hari sudah larut menghampiri maghrib dan saya terpaksa beransur untuk pulang ke Sungai Petani, esok anak-anak mula bersekolah. Saya berfikir saya perlu mengatur satu rakaman temubual bersama Opah Imah, agar sejarah ini dapat direkod dengan lebih sistematik. Moga kesempatan itu nanti akan hadir di masa hadapan.

Gambar kenang-kenangan bersama Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) pada 06 Mei 2023.