Khamis, 10 Oktober 2024

Koleksi Fikir: Semangat Kenegerian


Apabila kerajaan persekutuan nafikan royalti negeri dan salur dana berdasarkan faktor politik, setiap negeri akan mula atur syarikat untuk kuasai ekonomi negeri. Seperti Sarawak yang tubuhkan Petros dan sedikit demi sedikit halau keluar Petronas. Negeri-negeri lain juga akan lama kelamaan ikut trend ini. Penafian hak negeri akan menebalkan semangat kenegerian dan melemahkan federalisme. Mungkin untung politik sekejap, tapi long-term akan rugi dan terus berpecah.

Kunjungan Ke Areca Books

 

Pada 03 September 2024, saya sempat berkunjung ke Areca Books walau pun kunjungan yang singkat. Satu kedai buku yang sangat menarik kerana buku-bukunya curated, maka pilihannya lebih berfokus terutamanya kepada buku-buku sejarah tempatan. Banyak buku-buku rare yang jarang boleh dijumpai di kedai-kedai buku ortodoks lain. Selain buku-buku unik, penjualnya juga merupakan pembaca yang menjadikan kedai ini lebih menarik. Bukan sahaja boleh dapatkan suggestion, tetapi boleh bergosip dan bersembang perihal kandungan buku-buku yang ada. Terima kasih Fahmi Mustaffa yang gigih melayan dan mencadangkan bahan bacaan yang rare dan menarik.

Artikel Terbaharu di Jurnal Kajian Ketamadunan (JAWHAR)

 


Artikel saya yang bertajuk "Meneliti Karya-Karya Persuratan Bibliofil di Malaysia" telah diterbitkan di dalam Jurnal Kajian Ketamadunan (JAWHAR) oleh Akademi Kajian Ketamadunan - AKK . Artikel saya ini antara lain membincangkan dua buah buku terkini yang telah terbit perihal pengalaman bibliofil di Malaysia iaitu karangan Emmy Hermina Nathasia dan Najibah A. Bakar . Siapa berminat hendak membaca perlu membeli jurnal ini kerana ia tidak terdapat dalam versi elektronik. Saya masih menyimpan satu naskah jika ada yang berminat.

Intelektual Yang Membosankan Memasuki Cetakan Ke-2

 

Saya difahamkan oleh pihak penerbit The Biblio Press bahawa buku Intelektual Yang Membosankan kini sudah menghampiri fasa kehabisan stok dan akan memasuki cetakan kedua. Saya sendiri tidak menjangkakan buku ini akan mendapat sambutan yang baik dan tersebar dengan luas. Hasrat saya hanya mahu menulis dan menukil sedikit pandangan dan pemerhatian. Saya juga berpuas hati kerana buku ini banyak mendapat kritikan, tandanya ia mempunyai isi yang membuatkan orang berfikir. Tidak kiralah fikiran menyokong atau menolak. Terima kasih semua pembeli, pembaca, pengkritik, penjual, pempengaruh, dan semua yang membantu secara langsung dan tidak langsung!

Diaspora Podcast Episod-36: Buku Apa Yang Sedang Kalian Baca?

 

Podcast terbaharu bersama Muhammad Nazreen dalam Diaspora Podcast dimana kami bersembang perihal beberapa buku yang sedang dibaca. Antaranya adalah kisah benar berunsur thriller tentang bagaimana anak kepada Stalin yang melarikan diri ke Amerika Syarikat. Kami juga menyelit-nyelit perihal genocide yang sedang berlaku di Gaza. Nak tahu buku apa yang saya sedang baca? Klik link Spotify ini.

Getusan Hari Kelahiran Pada 01 Oktober 2024

Gambar bersama ibu dan kakak circa 1992.

Terima kasih ibu yang melahirkan saya hari ini 34 tahun yang lalu. Terima kasih arwah ayah yang membesarkan saya, adik beradik dan ahli keluarga yang banyak mewarnai latar awal kehidupan. Terima kasih guru-guru yang mengajar saya sepanjang hidup. Terima kasih teman-teman yang sudi bersahabat menjadikan hidup kurang sunyi. Terima kasih isteri yang sudi berkongsi hidup, anak-anak yang menghiasi perkahwinan. Terima kasih Allah, tuhan sekalian alam atas segala nikmat kehidupan yang sebentar.

Harap, kehadiran sekejap saya di dunia memberi sedikit kebaikan, sebelum esok saya pergi meninggalkannya.

Analisa Perang di Gaza dan Lubnan

 


Mulai hari 02 Oktober 2024, saya berazam untuk menulis analisa saya terhadap perang yang sudah bermula di Lubnan setiap hari. Oleh kerana Facebook sangat kuat censorshipnya, penulisan-penulisan ini saya terbitkan di Substack. Saya akan cuba memberi analisa yang tidak ditekankan terutamanya oleh media arus perdana. Penulisan ini boleh dibaca secara percuma bagi yang berminat. Ia juga boleh di-copy-paste dan diterbitkan semula oleh sesiapa sahaja tanpa perlu memohon izin dari saya di mana-mana media dan medium termasuklah blog, web, portal, page Facebook, majalah, akhbar, zine, dan lain-lain dengan syarat ia dikreditkan semula kepada saya. Analisa ini akan cuba dihasilkan setiap hari, sampai perang tamat, perang mendatar (frozen conflict), atau saya meninggal dunia atau jika keadaan tidak mengizinkan. Setakat ini, sudah 5 analisa dihasilkan, semua analisa ini akan dikumpulkan pada satu hari dan dibukukan.

Kejatuhan Politik Melayu oleh Firdaus Zainal

Alhamdulillah akhirnya saya selesai membaca buku hebat ini. Ini adalah antara 4 buah buku yang saya beli di PBAKL2024, dengan habisnya bacaan ini, maka saya sudah habis membaca semua buku yang dibeli di PBAKL. Tidakah rasa bersalah sangat beli buku tapi tak baca.

Pada mulanya saya agak skeptik dengan kebolehan buku ini untuk mempertahankan tesis utamanya, iaitu kejatuhan kuasa politik orang Melayu, namun, semakin banyak muka surat yang saya selak, saya merasakan penulis mempunyai kekuatan dalam hujahnya, ia diikat dengan argumen dan fakta yang baik. Walaupun mungkin ada tafsiran yang saya tidak persetujui kerana saya mempunyai pegangan ideologi politik yang berbeza. Perbezaan ideologi ini ada saya sembangkan dengan penulis secara langsung dalam pertemuan di kedai makan.

Antara perkara yang saya suka pada buku ini adalah kekuatan fakta sejarahnya, kerana sebagai pelajar sejarah, aspek pemaparan sejarah ini tentulah paling menarik minat. Kita boleh berbeza dalam hal tafsiran sejarah, namun dari segi fakta dan data sejarah, ia mesti diisi, jika tidak, ia hanya akan menjadi medan perbahasan abstrak.

Saya juga suka dengan bahagian perzamanan di mana penulis membezakan fasa kejatuhan kuasa politik Melayu itu menggunakan beberapa peristiwa penting untuk menandakan sempadan zaman kejatuhan ini. Bermula dengan kejatuhan Kota Melaka, campur tangan British secara langsung dalam negeri Melayu, dan akhir sekali kejatuhan parti politik Melayu iaitu UMNO dalam pilihanraya. Cuma mungkin lebih baik jika aspek perzamanan ini disusun secara chronological supaya nampak lebih kemas dan mudah difahami.

Komen terakhir saya adalah aspek penyuntingan. Saya kira kesalahan ayat masih banyak dan signifikan. Harap cetakan seterusnya, pihak editor buku dapat perbaiki hal ini.

Mengenang Sayyid Qutb: Sasterawan dan Pemikir Ulung Islam


Saya ada membaca sebuah buku yang mengkritik pemikiran Sayyid Qutb. Buku tersebut menuduh kononnya Sayyid Qutb merupakan pembawa idea keganasan. Namun saya berasa tidak puas, kerana hujahnya tidak begitu mendalam dan menyeluruh. Jadi lebih puas saya selami sendiri tulisannya dan juga membaca secara teratur kisah hidupnya. Kritikan tersebut telah membawa saya bertemu dengan buku yang sangat hebat menurut saya.

Buku tersebut bertajuk Asy-Syahid Sayyid Qutb: Dari Kelahiran Sehingga Kewafatan terjemahan Ustaz Darus Senawi. Buku tulisan dan terjemahan Ustaz Darus Senawi tidak pernah mengecewakan. Buku memoir beliau bertajuk Kembara Darus Senawi 1963 bagi saya antara buku memoir terbaik dalam Bahasa Melayu yang saya baca. Buku terjemahan ini, yang merupakan penulisan Dr. Solah Abdel Fattah Al-Khalidi perihal biografi Sayyid Qutb yang diterjemahkan beliau juga sangat mempersonakan. Nampak jelas kesarjanaan Ustaz Darus dalam sastera Arab, bukunya bermutu, dengan fikiran yang tajam dan lenggok bahasa yang indah. Bagi saya beliau adalah karyawan under-rated, jika beliau dilahirkan di negara lain, mungkin sudah dapat pelbagai anugerah sastera dan dinobat sebagai tokoh sasterawan. Saya kongsikan beberapa petikan menarik

"Badan Sayyid Qutb yang kecil dan kurus itu membawa jiwa revolusioner, darinya tercetus karya menggegar singahsana taghut."

Petikan ini saya kira antara yang paling menggugah jiwa dalam naskah ini. Perihal bagaimana seorang budak yang berasal dari kampung dan bertubuh kecil tetapi mempunyai daya fikir yang hebat yang menakutkan pemerintah pada ketika itu. Bagi saya, Sayyid Qutb ini merupakan pemikir yang berani berfikir dan mencabar sistem sedia ada yang dianggapnya rosak dan merosakkan, bahkan beliau setia dengan ideanya hingga ke hujung nyawa.

"Sayyid Qutb adalah sasterawan dunia Arab yang luar biasa, juga pemikir setanding Muhammad Iqbal."

Aspek Sayyid Qutb sebagai sasterawan ini merupakan aspek yang jarang diberi penekanan oleh pengkritik-pengkritiknya. Ini kerana mereka membaca tulisan Sayyid Qutb dan mengadilinya hanya secara literal mengikut lensa fiqh. Walhal tulisan beliau merupakan tulisan dengan kekuatan sastera, dalam arena pemikiran dakwah dan pembaharuan. Maka penafsiran tulisannya yang sebenar perlu dilihat dari sudut ini.