Khamis, 10 Oktober 2024

Mengenang Sayyid Qutb: Sasterawan dan Pemikir Ulung Islam


Saya ada membaca sebuah buku yang mengkritik pemikiran Sayyid Qutb. Buku tersebut menuduh kononnya Sayyid Qutb merupakan pembawa idea keganasan. Namun saya berasa tidak puas, kerana hujahnya tidak begitu mendalam dan menyeluruh. Jadi lebih puas saya selami sendiri tulisannya dan juga membaca secara teratur kisah hidupnya. Kritikan tersebut telah membawa saya bertemu dengan buku yang sangat hebat menurut saya.

Buku tersebut bertajuk Asy-Syahid Sayyid Qutb: Dari Kelahiran Sehingga Kewafatan terjemahan Ustaz Darus Senawi. Buku tulisan dan terjemahan Ustaz Darus Senawi tidak pernah mengecewakan. Buku memoir beliau bertajuk Kembara Darus Senawi 1963 bagi saya antara buku memoir terbaik dalam Bahasa Melayu yang saya baca. Buku terjemahan ini, yang merupakan penulisan Dr. Solah Abdel Fattah Al-Khalidi perihal biografi Sayyid Qutb yang diterjemahkan beliau juga sangat mempersonakan. Nampak jelas kesarjanaan Ustaz Darus dalam sastera Arab, bukunya bermutu, dengan fikiran yang tajam dan lenggok bahasa yang indah. Bagi saya beliau adalah karyawan under-rated, jika beliau dilahirkan di negara lain, mungkin sudah dapat pelbagai anugerah sastera dan dinobat sebagai tokoh sasterawan. Saya kongsikan beberapa petikan menarik

"Badan Sayyid Qutb yang kecil dan kurus itu membawa jiwa revolusioner, darinya tercetus karya menggegar singahsana taghut."

Petikan ini saya kira antara yang paling menggugah jiwa dalam naskah ini. Perihal bagaimana seorang budak yang berasal dari kampung dan bertubuh kecil tetapi mempunyai daya fikir yang hebat yang menakutkan pemerintah pada ketika itu. Bagi saya, Sayyid Qutb ini merupakan pemikir yang berani berfikir dan mencabar sistem sedia ada yang dianggapnya rosak dan merosakkan, bahkan beliau setia dengan ideanya hingga ke hujung nyawa.

"Sayyid Qutb adalah sasterawan dunia Arab yang luar biasa, juga pemikir setanding Muhammad Iqbal."

Aspek Sayyid Qutb sebagai sasterawan ini merupakan aspek yang jarang diberi penekanan oleh pengkritik-pengkritiknya. Ini kerana mereka membaca tulisan Sayyid Qutb dan mengadilinya hanya secara literal mengikut lensa fiqh. Walhal tulisan beliau merupakan tulisan dengan kekuatan sastera, dalam arena pemikiran dakwah dan pembaharuan. Maka penafsiran tulisannya yang sebenar perlu dilihat dari sudut ini.

Tiada ulasan: