Rabu, 27 November 2019
Ahad, 24 November 2019
Kursus Street Dakwah Bersama Firdaus Wong
Definisi dakwah secara umum adalah mengajak atau menjemput manusia menyembah Allah dan menjauhi syirik. Ini adalah tugas setiap muslim, bukan sahaja mengajak kepada ma'ruf, tetapi juga mencegah kemungkaran. Dakwah ini ditugaskan kepada kita mengikut kemampuan kita, kerana Allah tidak akan memberi kita satu tugas yang kita tidak mampu pikul, setiap orang sesuai dengan kepakaran dan kemampuan masing-masing.
Apakah kepentingan dakwah? Kepentingan yang pertama adalah kebaikan untuk diri kita sendiri. Kita berdakwah untuk menyelamatkan diri kita, apabila kita ditanya nanti di hadapan Allah berkenaan dengan tugas kita. Terdapat pelbagai bentuk dakwah, salah satunya adalah street dakwah.
Apakah pula street dakwah? Street dakwah adalah kita mengeluarkan peranan masjid dan surau ke jalanraya, atau dalam kata lain kita membawa program masjid ke luar, kepada masyarakat. Kebanyakan ceramah dan kuliah masjid di dengari oleh orang-orang yang datang ke masjid, orang yang telah soleh dan beriman. Bagaimana pula masyarakat yang tidak datang ke masjid? Bagaimana mereka mahu mendengar mesej Islam? Disinilah ruang yang di isi oleh street dakwah. Program-program masjid dikeluarkan kepada sasaran kita di jalanan, mereka yang belum mendengar seruan Islam.
Adakah street dakwah ini suatu sunnah? Ya, kerana Rasulullah sendiri keluar, berjalan hingga ke Thoif bagi menyampaikan mesej Islam walaupun nabi tidak menggunakan istilah street dakwah, pengisian dan metodologinya adalah sama. Adakah ia effektif? Jika pun ia tidak effektif, ia merupakan satu sarana yang effektif untuk kita meningkatkan kemahiran diri kita, kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Merancang Street Dakwah:
1. Kumpulan ideal adalah sekitar 5-6 orang.
2. Lokasi yang strategik, tempat tumpuan, selamat dan mempunyai pengangkutan awam.
3. Masa yang sesuai sebaiknya 1 pm - 5 pm iaitu masa kebanyakan manusia di luar rumah mereka.
4. Tema-tema semasa dan mudah difahami seperti "Muslim love Jesus".
5. Mempunyai sukarelawan yang terlatih.
Perkara yang perlu dilakukan:
1. Convey not convert, tugas kita adalah menyampaikan dan serahkan tugas memberi hidayah kepada Allah.
2. Berkomunikasi secara objektif
3. Elakkan memakai baju-baju berunsur politik
4. Gunakan bahasa yang mudah difahami.
5. Cuba cari titik persamaan ketika berkomunikasi.
Jangan lakukan:
1. Bersuara dengan suara yang gedik, dan menjaga akhlak dengan bukan mahram.
2. Jangan berbohong atau menokok tambah.
3. Jangan menghukum.
4. Jangan mudah naik angin.
5. Jangan mencelah kecuali jika diminta memberi pandangan atau pendapat.
6. Jangan berkonfrontasi seperti mana street dakwah di Eropah, kita mahu memenangi hati bukan hujah.
Hak-hak mereka yang ingin kita dakwahi adalah ditemui, dijemput dan tidak diremehkan atau dihina. Antara bahagian yang menarik yang dibentangkan adalah bagaimana menjawab persoalan-persoalan dari sahabat ateis. Yang pertama kita perlu membina hujah bahawa Tuhan itu ada, tidak guna kita menjawab persoalan seperti fiqh andai dia tidak mempercayai tuan. Antara soalan yang biasa ditanyakan "Jika Tuhan itu ada mengapa wujud kesangsaraan di dunia ini?". Soalan ini perlu dijawab menggunakan logik. Persoalan ini bukan bertanya adakah tuhan ada, tetapi mengapa kesengsaraan terjadi. Jika kita tidak tahu bagaimana kesengsaraan terjadi, itu bukan membawa maksud tuhan tidak ada. Sama juga dengan soalan matematik tambahan yang sukar dijawab, kerana kita tidak boleh jawab, itu tidak bererti soalan matematik itu tiada jawapan.
Petikan perkongsian Kursus Street Dakwah bersama Brother Firdaus Wong Wai Hung di Sungai Petani pada 23 November 2019.
Isnin, 11 November 2019
Membaca Kubuzine Isu #002 - Majalah Radikal Alternatif
Saya tidak pernah membaza zine, apatah lagi zine indie, jadi
ini merupakan pengalaman pertama membaca zine. Mungkin anda juga seperti saya
tidak tahu apa itu zine, jadi kita mulakan dengan menjawab apa itu zine? Ini
bukan definisi formal atau akademik, tapi definisi saya sendiri, zine adalah
majalah kecil, zine biasanya dibuat sendiri (DIY) dan biasanya tidak mempunyai
ISBN atau ISSN. Kandungan zine boleh diisi dengan apa sahaja menurut kehendak
penulis/editor zine, ada yang berbentuk berita musik indie, ada yang berkenaan
dengan ideologi politik, fesyen, dan seribu satu genre lagi.
Kubuzine ini
ber-genre ideologi politik, sebuah ‘Majalah Radikal Alternatif’, dengan
kepercayaan bahawa perubahan (revolusi) itu bernafas panjang, bukan
perubahan-perubahan ranting berdikit-dikit (reformasi) – atau dalam istilah
mereka revolusi bukan taugeh. Tapi ada juga tema-tema budaya dan lain-lain.
Tema-tema Politik
Kritik-kritik awal dihalakan kepada organisasi Bersih,
mereka menyatakan (dan saya setuju) bahawa Bersih bukanlah satu organ tulen
rakyat tetapi merupakan proksi Pakatan Harapan. Saya secara peribadi
beranggapan mereka sememangnya grassroot movement diperingkat awal – sebelum
ditunggangi ahli politik, saya sendiri telah lama mengkritik Bersih, sejak
sebelum PRU14. Sifat proksi Bersih sebagai organ Pakatan Harapan tidaklah
begitu sukar dinilai, apabila Maria Chin bertanding dibawah bendera Pakatan
Harapan sendiri kita sudah boleh tahu di mana stand mereka. Kubuzine juga
menempelak golongan yang melaungankan slogan anti-kapitalis bersama gerakan
Bersih, kerana hakikatnya dibelakang mereka sendiri ada syarikat-syarikat yang
menyalurkan bantuan.
Meriam Kubuzine kemudian dihalakan kepada Mahathir dan
penyembah-penyembahnya. Sosok-sosok yang menghina Mahathir akhirnya sujud
dijari kakinya, mencium dan menjilat demi kuasa, sosok ini termasuk Hisyamuddin
Rais dan Pak Khalid. Dalam analisanya Kubuzine menafsir kenapa Mahathir meminta
maaf kepada Raja-Raja, tetapi tidak kepada orang lain, bahkan kepada Anwar
sendiri. Mereka menafsir bahawa kemarahan beliau kepada Anwar tidak pernah
padam, kerana Anwarlah masyarakat antarabangsa mengkritik hebat pemerintahan
beliau hingga dilihat begitu bobrok. Sehingga di dalam memoir beliau tiada
gambar Anwar, tetapi ada gambar Najib dan Paklah. Berbaik dengan Raja adalah
langkah strategik Mahathir untuk menjatuhkan Najib, manakala yang lain tiada
keperluan untuk memohon maaf, mereka akan datang dan sujud sendiri.
Selesai menembak Mahathir, majalah radikal alternatif ini
kemudian membicarakan perihal parti politik yang membawa nuansa agama Islam.
Pemecatan Husam, perpecahan PAS-PAN menjadi dalil bahawa Tuhan tidak berpihak
kepada mana-mana parti. Mereka bertanya, sekarang Tuhan berpihak kepada parti
Islam, yang mana, adakah PAS atau PAN? Bagi Kubuzine, ini merupakan masalah
apabila Tuhan diheret kedalam gelanggang politik kepartian. Saya kira ada
benarnya keputusan Zahid Hamidi tidak membenarkan PAN menggunakan nama Islam
dalam gerakan mereka. Membaca analisa ini, saya teringat akan syarahan Howard
Zinn sebelum beliau meninggalkan kita semua, beliau mengkritik George Bush yang
menggunakan Tuhan dalam pilihanraya presiden. Bush berkata beliau bermimpi
Tuhan menyuruhnya bertanding, ditangan Bush dianggarkan 1 juta nyawa terkorban
dalam peperangan keatas Iraq (angka sebenar hampir mustahil untuk diketahui
dengan tepat).
Review Filem & Anime
Selain tema-tema politik, Kubuzine #002 juga memuatkan
penulisan berkenaan dengan review filem dan karya animasi. Pertamanya adalah
review berkenaan dengan filem The D Train tulisan John Bennet. Berdasarkan
ulasan dan spoiler yang ditulis saya merasakan filem ini hambar dan tidak
menarik untuk ditonton (sorry!). Tulisan Kuro Kyoshiro berkenaan dengan ulasan
siri anime Psycho Pass dan juga persamaannya dengan karya 1984 oleh George
Orwell dan novel Brave New World tulisan Aldous Huxley bagi saya lebih menarik,
tidak terlalu cliche, juga memuatkan tema-tema yang lebih filosofikal. Walaupun
ia merupakan karya fiksyen dystopia masa hadapan, ia membawakan tema
filosofikal yang material untuk difikirkan di alam realiti. Pemerintahan
authoritarian dengan kekacauan contohnya, kita boleh kaitkan dengan situasi di Syria dimana
pertumpahan darah adalah minimum walaupun kebebasan terbatas di bawah acuan authoritarian, adakah ia lebih
baik dari revolusi yang menatijahkan perang saudara, huru-hara, kemusnahan
negara, kemusnahan sistem sosial kehidupan, kebuluran, dan kebanjiran pelarian? Tema ini boleh dibahaskan dari kacamata moral, material, atau ideologi,
semuanya akan membawa pada rumusan yang berbeza.
Puisi
Ada satu puisi pendek dimuatkan dalam isu Kubuzine kali ini
tulisan Benz Ali, tajuknya Penjual & Pembeli. Antara bait-bait puisi yang
mungkin enak untuk kita ulang siar adalah “Semua orang boleh dibeli..ratu naga,
bapa naga, kucing kurap, sampah sarap..kerana yang ikhlas telah khalas”. Kerana
puisi itu sifatnya abstrak dan tepulanglah pada pembaca untuk mentafsir, jadi
saya tidak mahu mengulas lanjut.
Budaya & review buku
Segmen budaya ditulis oleh Syazna Fahem, beliau mengkritik
(atau membebel?) berkenaan dengan penyaduran bahasa atau penggunaan bahasa
asing ke dalam bahasa Malaysia. Saya kira guru-guru Bahasa Melayu akan
bersetuju dengan pandangan Syazna. Berbeza dengan Siti Kassim yang nampak
seperti begitu alergik dengan peminjaman kata dari Bahasa Arab, Syazna
mengkritik semua, dari garfu yang berasal dari perkataan Portugis garfo,
sehinggalah kepada perkataan pura-pura yang ditukar kepada munafik dari Bahasa
Arab.
Perbahasan beliau menarik, tetapi tidak bererti kita perlu
bersetuju. Saya teringat syarahan cendiakawan ulung Edward Said dalam
membahaskan soal budaya, beliau berkata budaya itu dicipta oleh manusia. Jadi
terpulanglah kepada kita orang Melayu untuk mencipta apa itu ‘budaya Melayu’,
dan bahasa adalah sebahagian dari budaya. Ya, keseragaman itu memudahkan, lebih
mudah untuk mengajar bahasa pada murid-murid apabila ia seragam dan mempunyai
peraturan. Tetapi kerencamanlah yang menyebabkan dunia itu indah, kerencaman
juga akan menjadikan bahasa kita indah. (sorry kawan-kawan nasionalis pro-DBP).
Saya juga beranggapan istilah yang kita sangka dialih bahasa mempunyai maksud
yang sama. Pura-pura sebagai contoh, tidak 100 peratus sama dengan munafik,
munafik lebih keras bunyi dan maksudnya. Kita boleh cuba untuk menghentikan perubahan,
tetapi kita akan gagal dan penat. Saya juga tidak bersetuju bila dikatakan
“tiang bahasa Melayu di Malaysia tidak seteguh Indonesia” – waduh pasti marah
Ultras Malaya mendengarnya!
Namun ada juga saranan Syazna yang saya kira bernas, bahkan
genius! Iaitu mengutamakan penyaduran perkataan dari suku kaum yang ada di Kepulauan
Melayu seperti suku kaum Senoi, Jakun, Bidayuh, Dusun, Kadazan, bahkan mungkin
dari Tagalog, Minangkabau, Sunda yang semestinya lebih kena dengan kejiwaan
bahasa kita. Cuma saya sedikit terkilan kerana dihujungnya, Syazna mengakhiri
tulisannya dengan memetik lagu John Lennon, terasa ironis, bahkan sedikit
oxymoron.
Ulasan buku di dalam zine ini ditulis oleh Tommy Hatcher
berkenaan buku Terraces Lagends: Terraces Lost it’s souls, but not it’s life
yang merupakan karya Cass Pennant dan Martin King. Namun saya sukar untuk
relate dengan review buku ini yang berkisar tentang hooligan bolasepak. Mungkin
anda boleh relate jika anda mempunyai fetishism terhadap subjek ini.
Penutup
Zine ini tidaklah tebal, hanya 70 mukasurat dengan tulisan
bersaiz agak besar. Ia boleh dibaca sekali harung dalam tempoh tidak lebih 1
jam. Tidak semua isinya bersifat falsafah dan teori berat, ada yang
ringan-ringan sahaja seperti sejarah hooliganism, jadi saya kira ia sesuai
dinikmati oleh setiap lapisan spektrum pemikiran. Sehingga ketemu lagi.
Ahad, 10 November 2019
Catatan Baitul Muslim 22: Buku Parenting (2)
Saya membaca buku Jamie Glowacki, dan saya membacanya
dengan begitu perlahan. Kerana pertama, benar, kita semua ada perasaan untuk
cepat habiskan baca satu buku dan pergi ke pembacaan seterusnya, tapi saya
tiada cita-cita membaca buku 100 naskah setahun. Kedua, saya merasakan buku ini
betul-betul praktikal dalam mengurus anak-anak kecil. Sekiranya anda mempunyai
anak kecil berusia 2-6 tahun, lebih dari seorang anak dalam usia ini, saya
sangat sangat sangat sarankan anda membacanya. Ia akan menyelamatkan anda!
Bahasa yang digunakan mungkin sedikit kasar dan blunt, tapi
yang lebih penting ia make sense. Jika anda pernah membaca buku Faber & Mazlish,
saya kira ada penerbit yang telah terjemahkan ke Bahasa Melayu, asas teori
mereka adalah tawar menawar, memberi pilihan kepada anak-anak berbanding
memaksa. Teori ini ada benarnya, tetapi ia mempunyai limit dan tidak sesuai
untuk semua situasi. Kanak-kanak pada usia ini belum mampu membuat keputusan
yang rasional yang mengambil kira kesan jangka masa panjang. Anda boleh beri
pilihan untuk mereka pilih baju tidur, tetapi anda tidak boleh beri mereka
pilihan sama ada hendak atau tidak memegang tangan anda ketika hendak melintas
jalanraya.
Jamie menekankan perlunya ada peraturan dalam keluarga,
anak-anak perlu memahami sempadan, agar mereka mampu meneroka dalam sempadan
yang selamat - sempadan ini bukan sahaja sempadan fizikal, tetapi sempadan
perilaku dan emosi. Anda tidak boleh membiarkan mereka meneka sempadan mereka
sendiri, mereka belum mampu. Fasa ini memerlukan anda menjadi ibu bapa yang authoritative, tetapi tidak authoritarian.
Antara teknik ibu bapa yang authoritative, ialah
kebolehupayaan mengurus tantrum anak-anak. Jamie memberi contoh situasi di
kaunter supermarket. Ketika beratur, biasanya coklat/mainan kanak-kanak akan
disusun berdekatan kaunter (marketing genius). Ketika kita menunggu dengan
anak-anak, mereka akan lihat, dan mula minta dibelikan coklat. Dalam situasi
ini kita ada dua pilihan.
1. Kita belikan mereka dan kita boleh nikmati ketenangan.
2. Kita tak bagi, dan anak kita akan mula dirasuk keinginan mereka, meraung sambil
keluar hingus dan berguling di atas lantai, dan semua manusia akan melihat
kita.
Dalam situasi ini, jika pilihan kita adalah yang kedua, tapi
kita tahu apabila anak kita mula menjerit, kita akan mengalah. Bagi Jamie,
adalah lebih baik kita terus bagi sahaja, berbanding kita beri setelah mereka
selesai melaksanakan operasi raungan dan gulingan. Ini kerana kita akan lebih
authoritative berbanding kita memberi selepas mereka meraung, dimana mereka
mendapat signal bahawa strategi manipulasi mereka telah berjaya mengalahkan
keputusan kita.
Tetapi mungkin juga anak kita akan dapat signal kita
merestui pembelian coklat, dan esok mereka minta lagi, atau dalam bahasa
Inggeris "once means always". Dalam hal ini kita perlu beritahu
mereka bahawa kita hanya beli sekali sekala bukan sentiasa. Jika kita ke
supermarket lagi, kita perlu beritahu sebelum masuk bahawa kita tak akan beli
coklat hari ini, agar minda mereka telah bersedia dari awal, dan dia tahu
dimana sempadan yang kita letak.
Selasa, 5 November 2019
Pemuda & Cita-Citanya
Sejarah kagum dengan pemuda yang besar cita-citanya. Kadang
cita-cita pemuda dilihat tidak realistik, terlalu ideal, bahkan mungkin mustahil
di mata pe-tua, kerana kurangnya garam yang pernah dimakan mereka. Namun pemuda
dengan dadanya yang menyala terus menggerakkan cita-citanya, menang atau kalah,
lambat atau pantas, praktis atau idealis, biarlah ia ditentukan oleh mutiara
takdir.
Kadang-kadang aku bertanya juga pada diri, masih adakah
padaku cita-cita pemuda. Atau kini aku hanya robot biologikal, yang
berulang-alik dari katil di rumah ke kerusi di pejabat. Hidup sekadar hidup,
mati sekadar mati, tidak ada amal di bumi. Aku juga tahu, cita tanpa amal itu
palsu, cita tanpa peluh lelah akan kalah, cita tanpa usaha adalah sia-sia.
Semalam api cita-cita yang sekian lama terpadam sedikit
menyala, apabila diajak bercerita dengan adik-adik yang hidup mereka disulami
sukar dan derita. Mereka dibela oleh seorang pemuda, seorang pemuda yang begitu
setia pada cita-citanya, seluruh hidupnya dia serahkan pada cita-cita, tanpa
ada baki untuk dirinya.
Anak-anak itu dibawa kemana-mana, seolah itulah
anak-anaknya, meski dia sendiri belum berumahtangga. Pendidikan mereka diurus,
jiwa mereka diisi, dan yang paling penting cita-citanya diwariskan. Ketika
orang lain sibuk mengira syiling, dia asyik dengan cita-citanya, memberi
harapan kepada anak-anak 'generasi terbuang'. Di susun kelas-kelas tidak
formal, dari kelas mengoperasikan mesin kilang, kelas berenang, hinggalah kelas
bahasa Tamil. Baginya anak-anaknya istimewa, tidak mahu dia merasa rendah di
hadapan dunia.
Moga yang Esa memberikan dia syurga, atas lelah dan usaha.
Ketika dunia mengatakan tidak, pemuda tidak langsung berganjak, membawa
cita-citanya lebih tinggi, lebih tinggi dari janji-janji perebut kerusi. Walau
disuruh kalah, dia pantang mengalah, ketika diberi api oleh dunia, dia pergi
menyalakan jiwa-jiwa.
Benarlah cita-cita Umar. Ketika manusia lain mengharapkan
bangunan berisi emas dan permata, dia mengharapkan bangunannya diisi dengan
pemuda-pemuda yang kuat cita-citanya, agar boleh diutus mengubah dunia.
Biar dunia menjadi saksi cita-cita pemuda.
Jumaat, 1 November 2019
Catatan Baitul Muslim 21: Buku Parenting (1)
Kali terakhir saya membaca buku parenting adalah buku
Brainstorm tulisan Daniel Siegel, rasanya sudah sampai masanya untuk membaca
semula buku parenting. Kenapa perlu baca?
Kita belajar matematik, sejarah, pendidikan seni, sains,
thermodinamic, visual basic dan pelbagai matapelajaran lain di sekolah dan
universiti. Kita tidak pernah belajar bagaimana untuk menjadi ayah atau ibu.
Tidak ada subjek yang mengajar kita bagaimana mahu menjadi suami atau isteri.
Jika kita punya penyakit dan perlu dibedah, dan doktor bedah
memberitahu kita bahawa dia tidak pernah belajar cara membedah manusia, kita
akan jerit pada dia "gila! jangan sentuh saya!". Kita tidak
sekali-kali akan memberinya peluang untuk merawat kita. Tapi kita yang tidak pernah
belajar perihal keibubapaan tiba-tiba mahu mendidik anak-anak hingga berjaya?
Magik.
Guru saya berkenaan dengan ilmu kekeluargaan, Tuan Rosdi
Baharom pernah bertanya pada saya. "Fathi, bagaimana jika satu hari nanti
anak-anak bertanya adakah ayah punya sijil atau kelayakan untuk membesarkan
saya?".
Tidak hairan jika masyarakat kita pada hari ini mengabaikan
anak-anak mereka, mereka dididik untuk menjadi robot di kilang dan pejabat oleh
sistem pendidikan, sebab itu hari-hari kita dengar universiti kita mencari
formula "kebolehpasaran graduan", maka lahirlah masyarakat yang hebat di
kilang dan pejabat tetapi anak-anak terbiar tanpa kasih sayang.
Ini adalah satu gap dalam sistem pendidikan kita. Oleh itu kita perlu berusaha mengajari
diri, membaca, berkursus, berdiskusi.
Selasa, 22 Oktober 2019
Sejarah Islam Yang Hilang
Buku Firas Alkhateeb ini sebenarnya telah lama saya intai,
seingat saya sejak saya di bangku universiti lagi, namun takdir menentukan
selepas beranak dua baru sempat menyelak helaian-helaiannya. Menghadam
isi-isinya, serta merenung hikmah-hikmahnya. Tajuk yang beliau pilih adalah Lost Islamic History atau
literal dalam Bahasa Melayu (bahasa yang dituduh Siti Kassim sebagai bahasa
yang suka mencuri) adalah Sejarah Islam Yang Hilang. Saya rasa naskah ini sudah
dialih bahasa oleh teman-teman dari Indonesia. Bahasa Melayu saya tidak pasti.
Pemilihan tajuk ini saya kira adalah kerana beliau mahu
mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh buku teks sejarah di Amerika. Di mana
pelajar-pelajar Muslim beliau hanya belajar sejarah Islam dari satu-dua muka
surat sahaja, natijahnya mereka lebih mengenal pesona-pesona Barat dari pesona,
cendiakawan, dan ahli falsafah Islam.
Namun untuk menulis semula 1400 tahun sejarah Islam ke dalam
274 mukasurat merupakan tugas yang sukar jika tidak mustahil. Oleh itu banyak
yang perlu dipilih, dipermudah, dan dipersingkatkan. Saya teringat perbincangan saya dengan Akif di Chowrasta
Market bagaimana penulisan sejarah tidak dapat lari dari bersifat bias. Kalau
pun tidak bias secara ideologi, pemilihan apa yang 'penting' untuk dimasukkan
dan apa yang dikesampingkan, adalah terdedah kepada pemilihan dan bias penulis.
Apa yang dia rasakan 'penting', bahkan hingga ke tahap apa yang dirasakan
sebagai 'sejarah'.
Dalam sesi-sesi pembelajaran kita berkenaan dengan sejarah
Islam, baik yang formal atau tidak formal, selalunya yang meniadi fokus adalah
kejayaan, kekuasaan, keadilan, kemakmuran kepimpinan dahulu. Fokus ini
bertujuan menaikkan semangat kita, memberi motivasi kepada kita untuk menyusuri
kejayaan mereka.
Kita jarang sekali berbincang berkenaan dengan kelemahan
mereka, kejatuhan mereka, kesilapan mereka, detik-detik hitam, sehingga kadang
kala pandangan kita terhadap sejarah itu menjadi terlalu ideal, romantik,
bahkan tiada ruang diberi kepada kekhilafan manusiawi. Sejarah 1400 tahun ini
penuh dengan jatuh dan bangun, kalah dan menang, namun tema yang sering kali
berulang adalah setiap kali zaman kejatuhan pasti ada tangan yang menyambut
panji, melakukan islah, membina, hingga menang semula.
Perpecahan pertama, yang membawa kepada implikasi yang
besar, bermula dengan pembunuhan Saidina Uthman, yang membahagikan kesatuan
kepada dua, Muawiyah di Syria dan Ali di Kuffah. Muawiyah ternyata lebih
dominan, datang dari golongan bangsawan Quraisy, dan mempunyai pengalaman
sebagai gabenor Syria beliau tidak mahu mengiktiraf pemerintahan Ali sebelum
pembunuhan saudaranya Uthman diberi keadilan, manakala Ali berijtihad menghukum
pembunuh Uthman akan menyemarakkan lagi konflik dan perpecahan. Mereka cuba
berunding namun gagal, sehingga Ali akhirnya dibunuh oleh golongan Khawarij di
Kuffah.
Persoalan peralihan kuasa ternyata merupakan sesuatu yang
boleh menimbulkan konflik dan perpecahan. Pemerintahan Muawiyah menandakan
permulaan pemerintahan Kerajaan Umayyah yang mana tampuk pemerintahan ditukar
menggunakan sistem warisan atau monarki. Monarki mungkin bukan satu
pemerintahan yang ideal dari kacamata moden kita hari ini yang mengagungkan
demokrasi. Tetapi dari segi latar sejarah ia bukan suatu yang asing pada zaman
tersebut, pemerintahan secara monarki mungkin pada pandangan Muawiyah lebih
stabil dan mudah. Namun pemerintahan warisnya Yazid, ternyata tidak disenangi,
dilihat sebagai tidak Islamik ditambah dengan sistem cukai yang dianggap tidak
adil. Ini membawa kepada pemberontakan golongan Abbasid.
Golongan Abbasid berjaya menjatuhkan kepimpinan Umayyah dan
mereka memburu dan membunuh saki baki pemerintah Umayyah. Namun seorang putera
Umayyah berumur 20-an Abdul Rahman Al-Dakhil berjaya melarikan diri ke
semenanjung Iberia dan mengasaskan pemerintahan Umayyah di Cordova. Islam telah
membuka semenanjung Iberia pada tahun 711 sebelum kedatangan Abdul Rahman,
apabila Komander Tariq bin Ziyad mengalahkan kerajaan Visigothic dibawah Raja
Roderic. Gibraltar yang hari ini merupakan kawasan yang dikuasi British berasal
dari nama Jabal Tariq dalam bahasa Arab yang membawa maksud bukit Tariq
(rupa-rupanya Bahasa Inggeris juga suka mencuri nama orang Arab).
Namun selepas itu perebutan kuasa berlaku dalam kerajaan
Umayyah sehinggalah mereka terpecah menjadi negeri-negeri kecil yang dipanggil
'ta'ifah' dan berperang sesama sendiri. Perpecahan ini membuka peluang bagi
Castille dibawah Alfonso VI untuk menakluk semula Al-Andalus. Apabila ancaman
ini sampai ke Seville, tentera dari Afrika Utara datang membantu atas dasar persaudaraan
Islam, mereka dipanggil Al-Murabitun yang merupakan etnik Berber - etnik Berber
yang terkenal hari ini adalah Zinedine Zidane - pemain bola Perancis. Tentera
Murabitun dipimpin Yusuf Tashfin menyeberangi selat Gibraltar dan berjaya
menewaskan Alfonso.
Tidak berminat dengan perpecahan politik Andalus, Yusuf
Tashfin kembali semula ke Afrika Utara. Tidak lama selepas itu beliau dipanggil
semula untuk membantu, namun kali kedua perpecahan antara raja-raja ta'ifah
Andalus semakin meruncing menyebabkan kempen itu gagal, Murabitun pulang sekali
lagi dan tidak mahu masuk campur lagi. Kali ketiga dipanggil membantu, Ibnu
Tashfin datang dan merampas kuasa dari tai'fah-tai'fah ini serta menyatukan
kembali mereka. Begitulah sejarah berputar, namun akhirnya Islam terpadam dari
semenanjung Iberia dengan kejatuhan Granada.
Pergaduhan dan perpecahan ini adalah sebahagian dari sejarah
Islam yang perlu dikaji dan direnungi. Agar perspektif kita terhadap sejarah
tidak terlalu idealistik malah mungkin beredar di laman emosi nostalgia
berbanding dengan kebenaran yang objektif. Pada tahun 900-an misalnya kerajaan
Islam terpisah kepada tiga Abasiyyah, Fatimiyah, dan Umayyah.
Firas Alkhateeb menutup makalahnya dengan kebangkitan idea
negara bangsa yang memecahkan tanah-tanah Islam dengan sempadan yang dilukis
oleh tangan-tangan kolonialis. Di era moden ini ummat Islam berada dalam
persimpangan dan dilemma. Dalam merasionalkan kejatuhan sejarah yang panjang
ini, mereka kini menimbang idea baru dan lama. Satu pihak muncul dengan
mengatakan untuk mengembalikan kegemilangan, ummat ini perlu kembali kepada
nilai-nilai agamanya yang sejati. Pihak kedua pula mengatakan untuk maju ke
depan ummat ini perlu menanggalkan idea-idea agama, dan menerima falsafah
liberal, moden, dan sekular seperti negara-negara Barat. Buat masa kini, idea
ini masih bertarung dan belum mencapai konsensus dalam kalangan ummat ini.
Selasa, 15 Oktober 2019
Wacana Demokrasi Fareed Zakaria
Akhirnya selesai menghabiskan pembacaan berkenaan dengan
wacana demokrasi karya penganalisis politik CNN, Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom: Illiberal Democracy at Home and Abroad. Buku ini nipis sahaja, tidak sampai 300 muka surat pun, tapi
saya terpaksa membacanya dengan perlahan kerana banyak idea, dan permasalahan
yang di ketengahkan perlu di renungi dan difikirkan.
Saya masih ingat ada rakan saya yang bercita-cita membaca
100 buku setahun, saya bertanya mengapa? Katanya umur manusia singkat, dia mahu
membaca sebanyak mungkin sebelum tirai nyawanya ditutup. Saya tidak bersetuju,
saya lebih cenderung dengan nasihat Chomsky, tidak guna membaca tanpa renungan,
dan dilupakan setelah lima saat.
Sejak dari itu, saya tidak hanya membaca. Saya memilih
bacaan, menulis semula idea-idea yang saya jumpa sepanjang pembacaan, merenung,
menilai, sudah tentu pembacaan lebih lambat, tetapi ia lebih mengayakan jiwa.
Jika sebelum ini saya membaca sekitar 20 buku setahun, sekarang hanya sekitar
10 buku setahun.
Buku ini saya kira boleh di lihat dari dua sudut, satu sudut
ideologi, dan yang kedua sudut perbahasan intelektual.
Buku ini mendapat pujian dari arkitek perang Vietnam, Henry
Kissinger, pengasas teori 'Clash of Civilisation' yang merupakan teori penting
permulaan siri perang baru oleh Amerika selepas Perang Dingin, Samuel Huntington,
juga orientalis Barat, Bernard Lewis. Jadi kita sudah dapat tahu apa naratif
ideologi Fareed Zakaria, iaitu American Exceptionalism. Walaupun kita tidak bersetuju dengan naratif ideologinya,
tidak semestinya perbahasan intelektualnya patut kita buang terus ke dalam tong
sampah. Saya sendiri membaca karya-karya Kissinger, Huntington, malah penyokong
tegar kapitalis seperti Thomas Friedman.
Fareed Zakaria saya kira sangat tepat dalam analisanya yang
menggariskan garisan pemisah antara demokrasi dan liberalisma. Dalam kata lain
demokrasi boleh wujud dalam kerangka non-liberal. Sementara pemerintahan
liberal demokrasi di kebanyakan negara barat adalah dari tradisi lama mereka
yang membina konsep constitutional liberalism. Tradisi ini bermula apabila Constantine
memindahkan pusat pemerintahan ke Byzantium yang mengukuhkan Gereja Rom dan
membolehkannya menjadi pengimbang kuasa. Asas kepada teori kebebasan atau
liberalisma adalah pengimbangan kuasa, iaitu kuasa tidak berpusat pada
mana-mana individu secara mutlak. Tradisi ini diteruskan dengan pemberontakan
baron-baron Inggeris yang melahirkan Magna Carta, Triti Wesphalian, hinggalah ke
liberalisma yang kita ada hari ini.
Dari sudut pensejarahan, walaupun demokrasi bermula dari
Yunani Kuno, tradisi liberal tidak, contohnya pembunuhan Socrates yang
dilakukan dengan aksi demokratik, tetapi ia bukan aksi liberal.
Dalam bab-bab kesimpulan beliau, Fareed Zakaria menyimpulkan
perlunya pengurangan demokrasi dalam menyelesaikan permasalahan demokrasi.
Beliau membawa contoh institusi mahkamah yang lebih dihormati rakyat berbanding
badan eksekutif dan legislatif. Kerana pembukaan institusi kepada sistem
demokrasi membawa kepada tekanan politik, yang menyebabkan institusi itu gagal
merangka polisi jangka panjang. Sebaliknya terikat dengan kuasa pelobi malah
majoriti yang tidak selalunya rasional. Majoriti tidak selalunya betul ini dapat kita lihat dengan
pemilihan Hitler yang dibuat secara demokratik, namun natijahnya adalah kepimpinan authoritarian, peperangan, dan pembunuhan beramai-ramai.
Ahad, 6 Oktober 2019
Hari Lahir 20-an Yang Terakhir
Saya bergegas ke pejabat pagi itu, hasratnya mahu bertolak jam 5 pagi, supaya boleh keluar sedikit awal petang nanti untuk mengambil Amni dari tadikanya. Tapi nampaknya tidak sempat kerana terlebih tidur. Semasa bergegas masuk ke dalam kereta dan mahu memulakan perjalanan sekitar jam 6 pagi, ada kotak hadiah bersama kad ucapan ditinggalkan di tempat duduk kiri oleh isteri tercinta. Oh, hari ini hari lahir 20-an saya yang terakhir.
Bukankah hari ini dibenarkan untuk ber-nostalgia?
Kehidupan - Perjalanan mencari diri
Glowacki menulis didalam bukunya bagaimana kanak-kanak melalui proses 'pengindividuan' apabila dia mula sedar bahawa dia merupakan makhluk unik dan mempunyai diri sendiri. Anak-anak mula membuat keputusan sendiri, walaupun dari kaca mata ibubapa ia adalah sesuatu yang remeh-temeh. Contohnya mahu makan nasi di tengah malam ketika semua orang sudah mahu tidur, atau mahu pakai baju tidur bercorak dinosaur untuk pergi ke kenduri-kendara.
Merenung ke belakang, saya tidak ingat apa-apa secara jelas usia awal saya membesar. Tetapi kadang-kala ketika menyelak album lama, melihat gambar kecil saya makan aiskrim dengan comot di tepi kolam Masjid Negara, saya boleh mengimbas sedikit, meski pun tidak begitu jelas.
Saya masih ingat arwah Opah bercerita tentang pengalamannya hidup di zaman penjajahan Jepun, bagaimana beliau menceritakan beliau bersama keluarga masuk menyorok di dalam parit ketika pesawat Jepun mengebom Malaya. Opah banyak menyimpan duit lama, pada suatu hari raya Opah mengeluarkan plastik berisi duit 50 sen lama, setiap cucu diberi dua keping sebagai duit raya. Pada ketika itu di Changkat Tin masih terdapat nasi lemak yang berharga 30 sen, tetapi perlu dibeli pada awal pagi.
Saya membesar di Kuala Lumpur dimana 12 tahun awal kehidupan saya dihabiskan di Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara, Taman Tasik Titiwangsa, merupakan tempat-tempat biasa yang ibu bawa kami lawati. Walaupun tidak ber-ideologi politik ketika kecil saya duduk berdekatan dengan Markas PAS Taman Melewar dan selalu membeli belah di kedai-kedai yang dibuka bersempena dengan acara atau ceramah yang diadakan. Ketika mereka membuat rumah terbuka, saya juga sering beratur bersama anak-anak lain bersalaman dengan ustaz-ustaz PAS, seingat saya, saya pernah bersalaman dengan Ustaz Fadzil Noor. Saya juga selalu melihat perkataan 'ABU' di-spray dimerata tempat di sekitar KL, namun saya tidak tahu maksudnya, hinggalah saya dewasa, baru saya ketahui ia adalah acronym untuk Asalkan-Bukan-UMNO.
Hidup dalam perjalanan
Apabila saya melangkah ke tingkatan satu, ia merupakan satu anjakan besar, ia adalah titik masa yang menandakan bahawa saya tidak lagi hidup di rumah, tetapi hidup dalam perjalanan. Saya masih ingat ketika kali pertama dihantar oleh ibu dan ayah ke asrama di Perlis, saya duduk di kantin - tidak menangis - merenung jauh ke tanah di bawah, permandangan padang, dewan makan, blok aspura dan aspuri, rumah sampah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, hari pertama saya memulakan persekolahan di asrama MATRI.
Selepas itu hidup saya bersama rakan-rakan, yang kebanyakannya menjadi sahamat akrab hingga ke hari ini. Cuti-cuti singkat biasanya saya habiskan di rumah sahabat-sahabat di Sungai Petani, Alor Setar, Perlis, cuma cuti panjang saya menaiki bas Transnasional balik ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat kali pertama menaiki bas pulang, saya tidak dapat tidur, dari malam itu di Kangar sehinggalah sampai di Hentian Pudu. Balik ke KL pun saya akan keluar bersama kawan-kawan, atau ke program dan perkhemahan bersama sahabat-sahabat.
Kali terakhir pulang ke Kuala Lumpur dari Arau setelah tamat SPM , saya menaiki kereta api, walaupun kereta api memakan masa yang lebih lama, 12 jam berbanding 8 jam menaiki bas, tetapi kereta apai mempunyai nostalgianya sendiri. Saya masih ingat antara gerabak terdapat ruang kecil yang mempunyai pintu, perjalanan pulang kali terakhir, saya duduk di tepi pintu yang kami buka, bersama sahabat karibku Abu Asri. Di kala kereta api bergerak, kami menikmati permandangan sawah padi dari Perlis hingga ke Kedah. Kadang kala perasaan rindu hinggap di hujung hati ku, Abu kini sudah tiada, sudah dipanggil Tuhan.
Merenung tingkap bersalji
Tingkap asrama Stachek 111 merupakan tempat kegemaran saya merenung salji yang menyimbah bumi Leningrad. Tidak pernah ke sekolah kebangsaan atau asrama elit, saya merupakan antara pelajar yang bertuah diterima melanjutkan pelajaran dengan biasiswa di bumi revolusi Russia. Saya selalu menaiki keretapi ke Moscow setiap bulan bagi menghadiri program pelajar, program persatuan, dan program kedutaan. Pernah satu ketika saya menulis "terasa seluruh hidupku dihabiskan diatas kereta api".
Tingkap di dalam kereta api di Russia juga cantik dan menggamit jiwa, ketika musim salji kita boleh melihat kawasan perdalaman yang dipanggil Dacha, dengan rumah-rumah kampung yang dilitupi salji. Russia nampak bersih ketika musim sejuk, dengan semua manusia menutup aurat. Apabila salji mula cair, puntung-puntung rokok yang menyorok dibawah timbunan salji mula keluar.
Sehingga ke hari ini
Mungkin disebabkan jiwaku yang suka merenung tingkap dari kecil, sehingga hari ini aku masih berharian menaiki bas. Dahulu untuk belajar, hari ini untuk bekerja. Namun sekarang perenungan aku lebih cantik, hendak ke Pulau Pinang perlu menyeberangi laut, jadi setiap hari Tuhan memberi aku peluang untuk termenung melihat ombak, burung, juga kapal-kapal berlabuh.
Hari ini aku sudah tiada lagi Opah dan Abu, tapi aku masih punya ayah dan ibu, kini aku punya isteri dan dua anak kecil. Pastinya merenung nostalgia merupakan sesuatu yang manis, sepedih mana pun memori lalu kita boleh melihatnya semula dan tersenyum. Tiba masa untuk kita tinggalkan nostalgia dan memori, untuk hidup pada hari ini. Menyayangi orang yang kita masih ada, menikmati kurnia Tuhan Maha Mulia.
Walaupun aku bakal meninggalkan hidupku di zaman 20-an, aku gamit nostalgia dan kenangannya. Atas kehidupan, aku bersyukur, oh Tuhan.
Sabtu, 28 September 2019
Ikan Paus Berbillion Dollar
Langit pada hari Khamis 19 September 2019 masih kabur diselubungi jerebu. Dari terminal Raja Tun Uda tanah besar semenanjung hilang dalam samar penglihatan yang terbatas, ternyata jerebu kali ini sehebat jerebu tahun 90-an. Kerana keadaan atmosfera yang tidak sihat, aku mengambil keputusan untuk tidak bermain futsal pada hari tersebut, namun hatiku tidak begitu tenang hari itu kerana ia mungkin merupakan hari terakhir futsal bersama Mickey, beliau bakal berpindah ke Carolina Utara, sebuah negeri selatan dari Washington, dan disebelah timurnya terbentang Lautan Atlantik.
Aku pun menghantar mesej pada beliau mengucap selamat jalan, dan bertanya bila pesawatnya bakal berlepas, ternyata dia mempunyai beberapa lagi hari berbaki. Aku hadiahkan kepada beliau naskah buku Tuesday with Morrie, buku yang bagi aku secara personal sangat mendalam nasihat dan renungannya berkenaan dengan persoalan kehidupan. Seingat aku, kali pertama aku membacanya adalah selepas dipengaruhi Seetal, yang bercerita dengan penuh semangat bertapa berharganya buku tersebut dan memberi aku naskah untuk dipinjam dan dibaca.
Mickey memberiku buku Billion Dollar Whale tulisan Tom Wright & Bradley Hope, katanya elok kita bertukar buku. Buku ini bukanlah buku yang asing bagiku, apatah lagi di Malaysia. Kali terakhir aku ke kedai buku, harganya sekitar RM80 seingat aku. Secara purata ia adalah buku yang mahal, kebiasaannya aku hanya membeli buku sekitar harga RM30-RM40 senaskah. Lebih dari RM40 bagiku agak mahal. Tetapi bukan sebab harga aku tidak membeli buku ini, seingat aku terdapat beberapa buku mahal yang aku beli seperti tulisan Noam Chomsky dan Howard Zinn.
Mungkin aku tidak membelinya atas faktor ideologi politik. Aku masih ingat perbualanku bersama seorang teman rapat yang bekerja di sebuah akhbar, akhbar yang melaporkan secara extensive berkenaan dengan 1MDB. Temanku tersebut merupakan penyokong pembangkang satu ketika dahulu, blog peribadinya antara lain pernah menulis perihal buku Tony Pua, The Tiger That Lost Its Roar. Namun seperti banyak anak muda yang lain, euphoria reformasi telah hilang apabila pembangkang mengambil alih kerajaan, ceramah-ceramah indah terbukti tidak mudah untuk ditukar menjadi polisi. Katanya baginya buku tersebut 'populis', mengambil keuntungan dari skandal ini. Kami meneroka kedai buku Kinokuniya bersama hari itu, beliau melabel buku-buku populis lain, antaranya buku I am Malala.
Mungkin juga aku tidak membelinya kerana aku boleh membaca berita sahaja. Selepas skandal 1MDB meletup, ia dilapor dan diulas secara meluas, baik oleh media antarabangsa, akhbar tempatan, blog, hatta propaganda-propaganda di Facebook. Ia boleh dibaca dari pelbagai sudut, pembangkang atau kerajaan, jadi mengapa perlu beli buku? Atau mungkin disebabkan diet buku aku yang lebih berat kepada teori dan falsafah dalam politik dan ekonomi, aku melihat buku ini lebih kepada berunsur sensasi.
"We will discuss it in a week" kata Mickey menyerahkan kepadaku naskah buku yang dikeluarkan dari almari pejabat. Aku suka membaca perlahan-lahan jadi aku non-committal.
Tetapi ketika aku mula menyelak naskah ini di dalam bas Rapid Penang ternyata ia sangat mengasyikkan, mataku seolah digam pada helaian-helaiannya. Hari pertama sahaja aku menghabiskan lebih dari 50 mukasurat. Ia ditulis ala-ala novel, dengan cliff-hanger di setiap penghujung bab. Buku ini fokusnya bukan Najib atau 1MDB, tetapi Jho Low (JL).
Ia dimulakan dengan kisah bagaimana JL dibesarkan, bagaimana bapanya, Larry mempunyai harapan besar untuk anaknya lalu menghantarnya ke sekolah elit di Wharton, di mana beliau mula memasuki orbit golongan elit dan bangsawan, bersosial dan berkenalan dengan golongan kaya dan raja. Bermula dengan kenalan ini JL memulakan skimnya untuk menjadi kaya tanpa perlu bekerja keras. Dari seorang nobody dari Pulau Pinang beliau menjadi billionaire yang sibuk ber-party mewah bersama bintang-bintang Hollywood.
Namun ada sesuatu isu besar yang boleh dilihat dari kejayaan JL menipu dan meng-kayakan dirinya, iaitu kegagalan institusi keewangan antarabangsa, terutamanya bank dalam membolehkan ia semua berlaku, menutup mata bagi mengalihkan wang berjumlah berbillion dollar. Membaca buku ini mengingatkan aku kepada buku The Big Short yang memaparkan ketamakan golongan banker yang rakus mengaut keuntungan di atas angin menjual sub-prime mortgage yang akhirnya menarik runtuh sistem keewangan, cuma kali ini ia mempunyai mastermind.
Dalam siri konspirasinya JL berjaya menggunakan, menipu, dan memanipulasi pelbagai pihak termasuk kerajaan, bank-bank seperti BSI, Falcon, Goldman Sachs, juga pemain korporat seperti 1MDB, IPIC, Aabar, juga pelbagai industri hiburan termasuklah artis-artis Hollywood. Namun seperti mana skim-skim penipuan sepanjang sejarah, ia memerlukan terlalu ramai konspirator, akhirnya JL sendiri tidak dapat mengawal apa yang dia mulakan. Kejatuhan skim JL menarik bersamanya konspirator-konspiratornya, dan Malaysia juga mencatat sejarah apabila kerajaan bertukar buat kali pertama.
Hari ini prosiding mahkamah telah dimulakan, dan banyak perkara yang parallel dengan apa yang ditulis oleh Wright & Hope dengan keterangan-keterangan saksi di mahkamah. Setiap rakyat yang ikhlas berharap ia akan membawa keadilan, dan pesalah di beri hukuman setimpal. Ia adalah penting agar pemimpin masa akan datang sentiasa berwaspada dengan tingkah laku mereka, berhati-hati dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan, dan yang paling penting sentiasa berlaku amanah dengan tanggungjawab mereka mengurus harta negara. Ia adalah pengajaran kepada ahli politik bahawa mereka tidak duduk diatas undang-undang.
Buku ini sememangnya ditulis dengan komposisi yang menarik, seperti sebuah novel. Kerana ia membabitkan isu politik tempatan, ia harus cuba dibaca dengan meletakkan ideologi politik di luar, dan disudut lain, agar ia boleh di hadam secara objektif. Keabsahan perincian laporan ini diharap akan kita ketahui dengan berlangsungnya prosiding di mahkamah. Suka atau tidak suka, skandal ini akan kekal dalam sejarah negara.
Berjalan-jalan di Laman Filosofi
Kegelapan malam, tatkala jam menghampiri jam dua pagi adalah
masa yang baik untuk merenung, berjalan-jalan di laman filosofi, memikir apa
yang salah pada hari ini supaya tidak diulangi esok, dan apa yang kita terlepas
pandang dan perlu hargai. Melihat semula hari ini, begitu banyak kekurangan
yang berlaku. Abaikan lapan jam masa kehidupan yang dibuang menjadi robot untuk
memproses data.
“Kenapa abi angry?” soal si kecil cilik kepada umminya.
Soalan itu pantas meruntuhkan ego seorang bapa, menyentak jiwa paling dalam, begitu
rupanya pandangan seorang anak yang belum pandai menipu. Amarahku terpadam
disimbah pertanyaan keanak-anakan. Rupanya aku terlupa sebentar menjadi seorang
yang penyayang, aku berubah menjadi pemarah.
Bukan marah itu tidak perlu, tetapi ia tidak boleh diguna
selalu. Ia tidak boleh menggantikan sayang, meski ia mudah digunakan. Aku masih
belum sempat membaca Glowacki, tetapi aku sempat membelek helaian-helaian awal
makalahnya. Anak-anakku kini dalam proses ‘pengindividuan’ – mereka sedang memisahkan
diri untuk menjadi individu yang berbeza, mereka mula sedar bahawa mereka bukan
ibubapa mereka, dan mereka mula belajar membuat pilihan, menolak pilihan yang
diberi. Situasi ini acap kali menimbulkan konflik, jika ia tidak difahami dan
diurus. Esok aku akan bermula semula.
Malam ini kisah Will begitu filosofikal, bagaimana seorang
pemuda genius mencari diri dan arah kehidupan. Falsafahnya sangat dalam
berkisar tentang keberanian untuk berterus terang pada diri sendiri, membuka
peluang untuk membenarkan orang lain masuk ke dalam hidup kita, perbezaan
antara mengetahui dan merasai, juga pengorbanan dan bantuan orang di sekeliling
kita.
Will bernasib baik kerana dia ‘ditemui’ oleh seorang guru
bernama Sean yang mencabarnya dengan soalan yang paling mudah “Apa yang engkau
mahukan?”. Sean tahu anak muda ini masih belum mengetahui apa yang berharga
dalam hidup, dan dia mengambil keputusan untuk bersabar dalam mendidik.
Akhirnya pemuda itu sedar, bahawa sekadar pandai tidak cukup, sekadar tahu
belum benar. Hidup adalah perasaan yang perlu dirasai, dan ia tidak mungkin
kita rasai jika kita tidak mengambil risiko sebagai peluang.
Kita boleh menghafal novel dari kulit ke kulit, tetapi ia
tidak mungkin sama dengan pengalaman sendiri mengendong anak yang masih merah dan
bertali pusat, bangun ditengah malam memberinya susu, melihat dia belajar
berdiri dan berlari, mendengar dia menyebut perkataan pertama. Itulah
kehidupan, ia perlu dirasai, hidup bukan novel.
Ah, Idlan menangis lagi, lampinnya perlu ditukar, dia perlu
disusukan.
Ahad, 15 September 2019
Memaknai Rumi: Siri 7
Ignorance is God’s prison.
Knowing is God’s palace.
When you are with everyone but me,
you’re with no one.
When you are with no one but me,
you’re with everyone. (28)
Kita suka tinggal di kampung kita,
makan makanan kita, minum minuman kita, bercakap dengan masyarakat kita, dalam
bahasa kita, di negara kita. Kita selesa dengan ke-kita-an, tak mampu keluar
dari kampung halaman. Biar kita dilontar di cerok dunia manapun, baik di teluk
Finland, atau di seberang Atlantik, kita kembali mencari ke-kita-an.
“Ah! Adakah kau benci dirimu
sendiri?”
Bukan teman, ilmu adalah keluasan.
Alam adalah buku kurniaan tuhan, buatmu kembara dalam mukasuratnya. Lalu kau
akan temui teluk-teluk baru, rasa-rasa baru, warna-warna baru, suara-suara
baru, mereka bukan bermaksud membunuhmu teman, mereka adalah kitab yang terbuka
bagi kita belajar dan kenal-kenalan.
Kita takut akan kegelapan, namun
bagaimana mahu berjumpa emas yang tertanam di pelusuk dunia? Bukankah kita
perlu menggalinya? Menyusur lombong-lombong gelap agar beroleh butir emas dan
permata yang tersimpan. Jangan cemuh mereka yang berani menempuh kegelapan,
engkau sendiri harus belajar menjadi berani. Tidakkah engkau bosan hai teman
dengan keterangan, walaupun idea-ideanya telah basi dengan beredarnya gerabak
zaman.
Tatkala menyusur gelap peganglah
tali Tuhanmu, biarkan air mata itu tumpah di helaian sejadah, dukamu luruskan
dengan keheningan subuh, dalam sujud dan ibadah. Jika Tuhan bersamamu apakah
lagi yang perlu kau takutkan teman? Bisa ular? Gigitan harimau? Semuanya
dibawah telapak kakinya. Maka merebahlah sujud, peganglah tali itu, kau akan
banyak dikala sedikit, kuat dikala lemah, teguh dikala runtuh.
Jangan sengketa lagi, jangan ragui
hati. Tebarlah mencari ilmu, kemanapun teluknya, sedalam manapun gelapnya.
Asalkan kau berpegang akan tali Nya, masakan kau kan binasa.
Memaknai Rumi: Siri 6
This is not a day for asking
questions,
not a day on any calendar.
This day is conscious of itself.
This day is a lover, bread, and
gentleness,
more manifest than saying can say. (41)
Ada satu perkara menarik pada
‘minda’ manusia. Ia sering bertanya soalan, berfikir, sehingga manusia itu
penat dengan berfikir sahaja! Hari ini bukan lagi hari berfikir, kita harus
tutup minda, berhenti berfikir. Hari ini kita perlu merasa hidup dan bertemu
dengan jiwa. Tinggalkan minda dan soalan-soalannya yang tidak kunjung putus.
Hiduplah dengan jiwa!
Hiduplah sekarang, jangan biar
mindamu melayang tetapi hayatilah angin yang bertiup. Sedarkan jiwa dan
nikmatilah makanan dengan sebenar-benar nikmat, setiap kunyahan, setiap rasa di
lidah, setiap gumpalan yang melepasi kerongkong, jangan berfikir sekarang,
sekarang masa makan.
Hari ini hari untuk kita mencintai,
rasailah kebahagiaan mencintai manusia lain, baik yang besar mahupun kecil,
yang kita gelar kawan, atau yang kita bisikkan sayang. Bercintalah tanpa
berfikiran, kerana berfikiran akan membuatkan kau lelah lagi, hingga percintaan
itu tidak dapat dinikmati. Jadikan mindamu seperti mesin, ia alat buat kau
berfikir, namun setelah kau berfikir berkenaan dengan kerja atau pelajaran atau
apa pun, tutuplah ia, tekan butang kuasa, biarkan ia rehat. Tidak perlu
berfikir sepanjang masa, hanya ketika perlu sahaja.
Dengan ini, kau bisa nikmati
bahagia.
Memaknai Rumi: Siri 5
But don’t be satisfied with stories,
how things
have gone with others. Unfold
your own myth, without complicated
explanation,
so everyone will understand the
passage,
We have opened you. (41)
Kita sering hidup dalam angan-angan,
kita membaca kisah-kisah manusia lain yang ‘berjaya’, mengagumi mereka,
mengulang-ulang kisah, bahkan kita menghafal kisah-kisah mereka. Tetapi sekadar
kenangan untuk motivasi itu tidak cukup.
Kita perlu menyentuh mentari dengan
jari sendiri untuk merasai kesejukan. Kita harus tidur di dalam ribut salji
sendiri bagi mengetahui maksud kepanasan. Kisah-kisah itu tidak cukup, kita
perlu mengorak langkah sendiri, melukis sendiri lukisan kisah hidup, merasa
sakit, merasa kalah, merasa pedih, untuk memahami makna hidup, makna bahagia,
dan makna berjaya.
Jika kita hanya termenung dengan
kisah orang lain, sehingga lupa menulis kisah sendiri, kita menjadi seperti
ayam dan lembu sahaja, sepanjang sejarah peradaban tidak pernah dikenang,
sekadar hidup dan mati sahaja dalam sejarah yang panjang. Sepatutnya ada kisah
yang kita tulis bagi mencubit jiwa-jiwa generasi mendatang, agar mereka
mempunyai kisah-kisah baru, jika tidak mereka hanya mengulang hafal kisah yang
sama yang kita hafal, keilmuan tidak berkembang, kemanusiaan tidak bertambah
kemajuan budayanya.
Namun tika kita menulis itu tidak
perlulah kita hebahkan pada manusia, cukup kejayaan kita menjadi penyampai
berita. Mereka bertanya “mengapa usahamu begini tidak begitu?”, maka janganlah
kau sibuk menjawab dan memberi penerangan, kelak kau lelah, sementara tulisan
kisahmu tak sudah! Biar kisah itu siap dahulu, dan mereka tidak akan bertanya
lagi selepas itu. Kerana soalan itu enggak lagi pantas, apabila engkau sudah
berjaya diatas pentas!
Jumaat, 13 September 2019
Bagi semua, tidak aku tembak!
Pagi itu seperti pagi-pagi biasa, tiada apa yang mencurigakan jiwa. Aku bangun jam 5.30 pagi seperti biasa dan bersiap-siap. Setelah siap, aku pun berjalan kaki ke masjid yang jaraknya lebih kurang 200 meter sahaja dari rumah. Subuh pada pagi itu jam 5.53 pagi, selepas azan sahaja aku terus menunaikan solat Subuh. Selesai solat ada pakcik kampung menegur.
"Anak sapa tak tau?" soalnya. Saya beritahu nama mak dan arwah bapa mertua padanya.
"Ooo, duk rumah mana satu tak tau?" soalnya lagi. Saya beritahu rumah yang sebelah rumah Pakwan.
"Ooo, Pakwan sakit noh la nih, sakit cam tu payoh nak elok" tambah pakcik tersebut. Saya mengiyakan, kemudian pakcik tersebut beredar masuk ke dewan solat utama. Aku pun keluar mendapatkan kasut untuk pergi menunggu bas.
Kelihatan makcik pakcik kampung mula tiba ke masjid. Ada yang menaiki motor, ada yang menaiki kereta, dan banyak juga yang menaiki basikal. "Mereka ini pemburu Subuh" gumam hati ku. Di awal pagi mereka telah bangun mencari tuhan, menceritakan masalah mereka di dunia pada Sang Pencipta. Melihat mereka asyik dengan ibadah dan solat mereka, hati ku sedikit sebanyak diruntun tenang.
Aku pun menyeberang jalan, menunggu bas sambil membelek telefon bimbit. Ada berita seorang wanita mati dibunuh dan dibalut di dalam selimut di Damansara pagi itu, aku menekan link tersebut namun berita itu tidak dapat dibaca kerana data Celcom aku telah habis. Mungkin disebabkan hanya satu cahaya telefon bimbit yang bersinar di dalam gelap pagi di depan hentian bas tersebut, menarik perhatian sebuah motor yang ditunggangi dua lelaki Melayu. Mereka berhenti di depanku.
Pembonceng motor itu turun dan mula menjerit kepadaku "Bagi handphone tidak aku tembak!". Belum sempat aku ingin mengatur strategi dia telah mara dan merampas telefon bimbit di tanganku. Aku tersentak dan baru sedar sekarang aku sedang dirompak. "Bagi dompet tidak aku tembak!" jeritnya sekali lagi sambil tangan kanannya dimasukkan ke dalam sebuah beg seolah-olah ada senjata di dalamnya.
Aku terfikir banyak urusan yang aku perlu lakukan jika aku serahkan dompet. Kena ke JPN, JPJ, dan telefon setiap bank-bank yang aku punyai kad debit dan kredit. Itu belum kira IC anak-anak yang ada di dalam dompet. "Kalau bagi duit je boleh?" soal ku pada perompak. Bila difikirkan balik, rasa kelakar pula mahu cuba nego dengan perompak. "Bagi semua tidak aku tembak!" jeritnya berulang kali sambil menggagau beg seperti ada pistol atau senjata di dalam. Oleh kerana dia masih tidak keluarkan apa-apa senjata, aku nekad, dan terus lari. Melihat aku lari, pembonceng tadi bergegas semula mendapatkan motor dan mereka memecut laju. Aku pun kembali ke hentian bas, menunggu.
Kali ini sebuah kereta Kelisa pula berhenti, seorang lelaki keluar dan cuba menghampiriku dalam keadaan yang mencurigakan. "Masih belum habis rupanya" gumam hatiku. Ketika itu juga bas tiba, aku terus pantas menaiki bas. Melihat aku sudah menaiki bas lelaki tersebut bergegas masuk semula ke dalam kereta.
"Sapa tu, diorang nak apa" tanya abang bas kepadaku, dia juga curiga. Entah, jawabku sambil terus masuk dan mencari tempat duduk.
Petang itu, selepas kerja, baru aku sempat ke IPD Kuala Muda untuk membuat laporan polis. Lama juga aku disoal siasat oleh inspektor bertugas. Sekitar jam 9.30 malam baru selesai semuanya.
Langgan:
Catatan (Atom)