Buku ini merupakan buku yang pertama saya habiskan bacaan
pada tahun 2020, saya mula membaca pada bulan Oktober 2019, jadi agak lama bagi
buku yang hanya bermuka surat sebanyak 300 mukasurat. Sebenarnya ia bukanlah
buku yang pertama, buku pertama adalah buku teks ICS. Sahaja saya baca dengan
perlahan kerana saya bukan mahu sekadar membaca, saya juga ingin merenung nilai
dan idea yang dibawa, juga cuba mengaplikasikannya ke dalam sistem parenting
saya pula.
Buku ini saya kira realis – bukan lagi berlegar di medan
teori atau retorika, Jamie sendiri sering mengulang, jika sesuatu itu tidak
dapat mencapai objektif, ia perlu ditukar. Kita kadang-kadang terlalu takut
dalam membesarkan anak-anak, kerana menanggap kesilapan mendidik anak-anak
tidak dapat dibaiki semula di kemudian hari. Tapi kata Jamie, tiada siapa yang
lebih mengenali anak kamu melainkan kamu sendiri, jadi kamu adalah ‘pakar’
dalam menjaga anak kamu.
Bahasa yang digunakan ada ketikanya sedikit kasar, sedikit
pasar, tetapi apa yang penting adalah praktikalitinya. Saya faham, buku parenting
sering bercanggah antara satu sama lain, buku ini kata ini, buku itu kata itu,
tetapi saya kira kita tetap perlu banyak membaca buku parenting kerana ia
adalah reminder dan peringatan tentang fasa kehidupan yang sedang kita lalui,
ia sedikit sebanyak dapat mengubati diri kita dari menjadi ‘gila’.
Jika kita membaca buku Faber & Mazlish mungkin
pendekatannya adalah bercakap dengan kanak-kanak dan memberi mereka pilihan,
tetapi Jamie mencabar idea ini, bukan semua perkara kita boleh beri pilihan
pada anak-anak, kerana mereka belum mencapai pemikiran rasional dan berjangka
panjang. Ketika masa yang kritikal seperti melintas jalan, kita tak boleh beri
pilihan kepada anak untuk pegang tangan atau jalan sendiri. Jamie menekankan
tentang pentingnya ibu bapa bersifat autoritatif tetapi tidak authoritarian.
Banyak konsep yang menarik seperti konsep anak yang baru
belajar mengenal dunia, mengenal tubuh badan, mengenal peraturan kehidupan,
yang kita kadang-kadang lupa bahawa mereka baru berada di bumi beberapa tahun,
tentu sahaja banyak perkara baru yang mereka ingin cuba. Juga perihal aktiviti
dan kreativiti. Kita sering menyusun masa anak-anak kita dengan padat sehingga
tiada ruang untuk mereka berfikir sendiri aktiviti yang mereka boleh lakukan,
menurut Jamie kebosanan adalah pintu kepada kreativiti, dan kreativiti itu
merangkumi maksud yang luas. Berenang dalam lautan bedak juga satu kreativiti!
Saya juga mengagumi konsep parenting Jamie kerana beliau
bukan sahaja memfokus pada anak-anak. Tetapi fokus juga harus diberi pada diri
sendiri, pasangan dan hubungan suami-isteri. Kerana tanpa hubungan suami isteri
yang baik, ia tidak dapat memayungi institusi yang dinamakan keluarga. Kita
perlu menjaga diri kita sendiri sebelum kita mampu menjaga anak-anak. Teknik
mengurus tantrum beliau juga saya kira sangat praktikal dan real.
Membesarkan anak-anak sememangnya bukan tugas mudah, tetapi
Jamie mengingatkan tiada siapa yang lebih pakar berkenaan dengan anak kita
melainkan kita, kita bersama mereka sejak lahir kitalah yang paling mengenal
mereka, segila manapun tugas membesarkan anak-anak, Jamie menutup buku ini
dengan nota optimis “you got this!”.