Membaca memoir Tara Westover, Educated merupakan pembacaan selingan saya ketika membaca dengan perlahan tulisan klasik Jean-Jacques Rousseau, The Social Contract. Memoir ini lebih ringan dibaca berbanding tulisan Rousseau, setiap buku tidak sama, ada yang memperkatakan perihal falsafah dan pemikiran, perlu dibaca dan ditekuni dengan perlahan, ada juga buku berbentuk penceritaan yang boleh dibaca dengan lebih laju. Sebab itu saya tidak percaya akan pembacaan laju hanya untuk mengumpul berapa banyak buku yang dibaca setiap bulan. Laju atau perlahan bergantung kepada jenis pembacaan, dan apa yang kita hajati dari pembacaan.
Memoir Westover ini merupakan kisah hidup beliau. Bagaimana beliau dibesarkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan agama Kristian Mormon, namun di awal memoirnya beliau membuat disclaimer bahawa ia bukan buku perihal Kristian Mormon, kerana tidak semua Kristian Mormon berpegang dengan agama mereka seperti keluarga mereka. Bab-bab awal bukunya berkisar tentang ayahnya yang tidak mempercayai kerajaan, tidak percaya akan institusi pendidikan negara dan juga institusi kesihatan awam. Bagi ayahnya sekolah kerajaan adalah usaha kerajaan untuk menjauhkan anak-anak dari Tuhan, ayahnya mengeluarkan abang-abangnya dari sekolah, manakala adik-adiknya dan Tara sendiri tidak bersekolah.
Malah kelahiran mereka juga tidak didaftarkan, oleh kerana ketiadaan sijil lahir, empat orang adik-beradiknya termasuk beliau tidak wujud di sisi kerajaan, mereka ada secara fizikal tanpa punya identiti rasmi. Ibunya mula memfailkan permohonan untuk mendaftar apabila abangnya Luke memerlukan lesen memandu, namun ia merupakan proses yang panjang kerana ibunya, neneknya, ayahnya semua mempunyai tarikh yang berbeza tentang bila dia dilahirkan.
Bagi ayahnya mendapatkan rawatan di hospital dan berjumpa dengan doktor adalah berkerjasama dengan perancangan syaitan dan Illuminati. Saya merupakan seorang yang tidak berapa selesa dengan luka, darah, (sebab itu saya tidak masuk ke dalam bidang perubatan) jadi penulisan beliau berkenaan dengan hal-hal ini sedikit mengerikan saya, ia sangat grafik bagi saya, mungkin tidak grafik bagi orang yang mempunyai tolerance yang lebih tinggi. Bagaimana mereka adik beradik terluka, terbakar kaki, kemalangan kereta, semuanya diubat sendiri menggunakan rawatan homeopathic dan herbalism yang dibuat oleh ibunya tanpa ke klinik atau hospital.
Namun ini tidak bermakna mereka tidak mendapat pendidikan langsung. Pada mulanya ibunya melakukan home-schooling kepada mereka, namun selepas beberapa ketika ibunya berhenti. Tetapi ini tidak mematikan minat anak-anaknya dalam mencari ilmu. Proses pembelajaran dalam keluarganya menurut Tara seluruhnya merupakan usaha sendiri. Mereka boleh belajar apa sahaja yang mereka boleh ajarkan pada diri sendiri. Beliau sendiri melihat kesungguhan adik beradiknya yang lain belajar dan membaca. Abangnya Tyler meminta untuk bersekolah semula ketika dia berumur 13 tahun, dia bersekolah semula, kemudian ayahnya mengeluarkannya sekali lagi. Tetapi imaginasi Tyler telah ditangkap, beliau berazam untuk belajar sendiri, abangnya Tyler mengumpul duit untuk membeli buku trigonometri, dia meminjam buku kalkulus dari gurunya kerana tidak mampu membeli sendiri, dan gurunya mengatakan mustahil untuknya menguasai kalkulus sendiri, Tyler menjawab "berikan saya buku itu, saya fikir saya boleh!". Apabila Tyler punya kereta sendiri, Tara melihat bagaimana Tyler meninggalkan keluarga mereka.
Melihat Tyler meninggalkan keluarga, memilih kecintaan kepada pendidikan lebih dari cintanya kepada keluarga menanam satu biji benih dalam diri Tara, benih "ingin tahu", benih ini tidak memerlukan apa-apa, hanya masa dan kebosanan yang diperlukan untuk ia tumbuh sendiri. Selepas pemergian Tyler, Tara cuba untuk meniru gaya Tyler belajar, dia mula membaca buku-buku yang ada di rumahnya, kebanyakannya berkenaan dengan agama Kristian Mormon, ada kalanya dia tidak begitu memahami apa yang dibaca, tetapi bagi beliau ini adalah skil yang sangat penting, iaitu kesabaran membaca teks yang kita belum boleh fahami.
Ayahnya begitu mengimani bahawa hari pengakhiran bakal tiba tidak lama lagi, ketika mereka masih kecil, ketika keluarga lain juga percaya akan teologi yang sama, keluarga mereka bukan sekadar percaya, tetapi mereka membuat persediaan. Setiap hari mereka membotolkan makanan, mereka menyimpan minyak di tangki rahsia di bawah tanah, menyimpan emas, semuanya dilakukan untuk bersedia menghadapi hari akhir yang bapanya percaya akan tiba tidak lama lagi. Namun akhirnya ayahnya sedar bahawa hari akhir yang ditiliknya tidak datang.
Abangnya Tyler meyakinkan Tara bahawa dia harus keluar dari rumahnya dan bersekolah, Tyler mencadangkan bahawa dia memulakan pelajaran di Bringham Young University (BYU) yang menerima pelajar yang tidak bersekolah, asalkan mereka berjaya melepasi ujian ACT. Tara belajar sendirian, cuba mencari masa disamping berkerja dengan ayahnya sehinggalah dia berjaya dan diterima masuk ke BYU. Di BYU beliau mula melihat dunia sebenar, bukan lagi dunia sekecil kehidupan lamanya, beliau mula membuat perbandingan antara kepercayaannya dengan realiti sebenar. Walaupun ayahnya pada mulanya tidak percaya akan pendidikan formal dan tidak mahu Tara menyambung pengajian, Tara masih merekodkan ada ketikanya ayahnya membantunya, memberi kata-kata semangat, dan memberi sedikit wang. Belajar pada ketika itu bukan merupakan perkara yang mudah kerana beliau turut bekerja untuk membayar yuran, sewa, dan menanggung kos sara hidup. Ketika itu beliau sedar akan kuasa wang terhadap pendidikan, adanya wang membuatkan seseorang boleh berfikir tentang perkara lain selain wang. Dengan wang seseorang itu dapat fokus pada pelajaran tanpa perlu berfikir akan komitmen-komitmen kewangan lain. "Curiosity is a luxury reserved for the financially secure" tulis beliau.
Antara watak yang penting dalam memoir Tara adalah abangnya Shawn. Beliau muncul dipertengahan memoir ini, Shawn pada mulanya merupakan abang yang baik, yang rapat dengat Tara. Namun dia juga merupakan seorang yang ganas yang selalu membuli (atau mungkin menderanya) secara fizikal. Shawn bukan sahaja memberi kecederaan fizikal pada adiknya (dan kemudian isterinya sendiri) dia juga meninggalkan kesan psikologi terhadap Tara dengan bahasa-bahasa kasar yang beliau ungkapkan kepadanya. Shawn merupakan antara sebab berlakunya perpisahan antara Tara dan keluarganya. Namun ada juga ketikanya Shawn menjadi penyelamat buat Tara, memastikan keselamatannya semasa bekerja di kilang besi juga memberikannya wang untuk belajar.
Melihat keadaan Tara, rakannya Robin membantu beliau untuk mendapatkan pertolongan, dia memastikan Tara mendapat kaunseling dari seorang Bishop yang meyakinkannya untuk mendapatkan bantuan keewangan. Tetapi beliau menolak, kerana dia belum boleh melepaskan keyakinan-keyakinannya, ketidakpercayaannya kepada kerajaan. Namun akhirnya dengan bantuan Robin dan Bishop tersebut, Tara mendapat geran untuk belajar, kini dia tidak perlu lagi bergantung kepada keluarganya atau berkerja, mindanya kini bebas untuk berfikir dan belajar.
Kesan pendidikan dan pembesaran mereka sekeluarga dirasai sehingga mereka dewasa, abangnya Tyler sebagai contoh, walaupun sudah keluar dari kepompong keluarga mereka, menyambung pelajaran hingga ke peringkat PhD dan menjadi saintis, masih melihat dunia melalui paranoia ayahnya, tidak mengimunisasikan anaknya sehinggalah dipujuk oleh isterinya bertahun-tahun sebelum berjaya. Paranoia ayahnya bukanlah tidak mempunyai sandaran langsung, ketidakpercayaan ayahnya kepada kerajaan sebagai contoh berpunca dari kisah benar seperti pembunuhan keluarga Weaver di Ruby Ridge, juga insiden pembunuhan di Waco oleh pihak kerajaan.
Ketika ayah dan ibunya datang ke Cambridge semasa beliau
menyambung pengajian PhD, beliau diberi pilihan sama ada untuk menerima “pengampunan”
dari ayahnya dan “disucikan” dari dosa-dosanya. Tetapi beliau akhirnya menolak,
kerana penyerahan itu membawa makna dia akan mengkhianati pendidikannya.
Usahanya selama ini untuk melihat dan merasai kebenaran lebih dari “kebenaran”
yang dikatakan oleh ayahnya, dan menggunakan kebenaran itu untuk membina pemikirannya
sendiri.
Tara berpendapat kebolehan menganalisa pelbagai idea,
pelbagai sejarah, pelbagai perspektif hidup, pelbagai pendapat, adalah paksi
utama dalam proses pembinaan diri. Pelajaran, pembacaan, pemikiran, dan
pengembaraan telah mentransformasikan dirinya menjadi individu baru. Tara kini
tidak lagi pasti sama ada dia masih lagi sebahagian dari keluarganya. Pada
penghujung memoir beliau, Tara menceritakan bagaimana transformasi pendidikan
menyebabkan beliau terputus hubungan dengan keluarganya. Dia tidak dapat lagi
menyerahkan pemikirannya untuk dikawal dan ditentukan oleh ayahnya. Hanya
beberapa orang abangnya dan makciknya masih berhubung dengan beliau.
Membaca memoir ini memberi kesan yang kuat berkenaan dengan
kuasa ilmu terhadap pemikiran seseorang. Bagaimana Tara, seorang anak perempuan
yang miskin dan berfikir mengikut apa yang ditentukan oleh ayahnya berubah
dengan bantuan pendidikan. Menjadi individu tersendiri, yang mempunyai fikiran
sendiri, mampu dan berani membuat keputusan sendiri. Ia adalah satu pengalaman
perjalanan pendidikan yang begitu mencabar, ia memberi kita gambaran tentang
nilai harga sebuah pendidikan, dan dalam kes ini, harganya adalah keluarganya
sendiri.
Proses pendidikan adalah proses menjadi individu sendiri, ia
boleh dinamakan dengan pelbagai nama seperti transformasi, metamorfosis, kesilapan atau
pengkhianatan. Tetapi bagi Tara ia adalah pendidikan. “You could call this
selfhood many things. Transformation. Metamorphosis. Falsity. Betrayal. I call
it an education” tulis beliau.