Buku bertajuk The Retreat of Western Liberalism tulisan Edward Luce ini pertama kalinya diterbitkan pada tahun 2017, sejurus selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat. Sebahagian besar dalam permulaan buku ini apabila dibaca kedengaran seperti Luce sedang membebel perihal kemerosotan ekonomi Eropah. Namun banyak juga apa yang diperkatakan oleh Luce bagi saya merupakan perkara yang elok direnungi dan difikirkan.
Buku ini merupakan analisa beliau perihal fenomena kemerosotan kepercayaan Eropah terhadap sistem Demokrasi Liberal sedia ada, buku ini ditulis sebagai amaran kepada mereka yang mempercayai sistem ini agar berbuat sesuatu supaya sistem ini dapat bertahan dan berterusan. Analisa beliau dalam satu aspek, seperti ingin melihat kembali thesis Francis Fukuyama yang menyatakan Demokrasi Liberal berupakan sistem terakhir dalam dialektik falsafah politik manusia. (5) Antara contoh besar yang beliau bawakan adalah kemenangan Donald Trump dan juga Brexit sebagai bukti bahawa Politik Populism kini semakin mendapat tempat untuk menggantikan Demokrasi Liberal di dunia.
Hari ini pelbagai negara merasakan mereka tidak perlu berkiblatkan Eropah untuk maju. Bagi mereka, sejarah kegemilangan mereka kini sudah kembali, dan Demokrasi Liberal pula yang bakal menjadi sejarah. (8) Bagi Luce, sejarah belum lagi berakhir. Sejarah adalah pengulangan peristiwa kejayaan dan kegagalan manusia, tidak ada satu cara untuk menyusun bagaimana masyarakat perlu disusun dalam sesebuah negara. “Hanya terdapat satu cara” untuk menyusun masyarakat menurut Luce adalah ideologi agama. (11) Ditambah dengan kegagalan Arab Spring untuk membuahkan demokrasi, “adakah Tuhan Eropah iaitu Demokrasi Liberal telah gagal?” tanya Luce. (12)
Menurut beliau, apa yang menyebabkan sistem Demokrasi Liberal kekal relevan adalah kemampuannya memberikan perkembangan ekonomi. Apabila buah-buah perkembangan ekonomi ini hilang, sistem ini akan mula roboh. (13) Seperti kata-kata terkenal Barrington Moore Jr. "no bourgeois, no democracy”. Dalam sejarah, eksploitasi kolonial Eropah memberikannya kelebihan dari sudut ekonomi. Syarikat India Timur British sebagai contoh memusnahkan industri textile India bagi memberi ruang kepada industri sama di Lancashire. Industri porcelain China diganti dengan syarikat-syarikat Eropah. (22) Pada pandangan Luce, walaupun beliau mengiktiraf rompakan Eropah ke atas Asia melalui projek kolonial, apa yang menyebabkan Eropah berjaya dari sudut ekonomi menurut beliau adalah kehebatan teknologi mereka. (23) Beliau juga menyentuh bagaimana projek kolonial Eropah membawa century of humiliation kepada China, tema yang dibahaskan dengan panjang oleh Robert D. Kaplan dalam bukunya. (23)
Namun untuk melihat masa depan, kita tidak boleh bergantung kepada ahli ekonomi. Ahli ekonomi sering kali meramalkan pertumbuhan ekonomi yang akhirnya tidak terjadi. (27) Cara kita membaca nombor ekonomi juga sering kali membawa kepada kesimpulan yang salah. Penggunaan purata sebagai contoh, sering kali membawa kepada bacaan yang tidak bermakna. Secara puratanya manusia mempunyai 1.9 kaki setiap orang kerana terdapat manusia yang hanya mempunyai satu kaki. Contoh lain adalah jika Mark Zuckerberg memilih untuk tinggal di kampung kita, kita boleh katakan secara purata, ahli kampung kita adalah jutawan. (30)
Menurut Adam Smith dalam The Theory of Moral Sentiments, sistem kapitalisma hanya boleh berfungsi dengan berkesan apabila adanya kepercayaan pada satu sama lain. Tanpa kepercayaan dalam masyarakat, kos untuk berniaga akan meningkat. (38) Sifat skeptik oleh Amerika yang memimpin dunia terutamanya dibawah Trump menjadikan sistem kapitalisma tidak lagi efisien.
Luce juga mengutarakan kebimbangannya perihal sistem meritokrasi Amerika Syarikat yang kini bergantung pada keturunan. Kejayaan anak-anak, juga kebolehan mereka untuk menjadi kaya bergantung kepada siapa ibubapa mereka. Bidalan moden kini berbunyi “jika anda ingin menjadi bijak dan energetik, langkah paling penting adalah memilih ibubapa yang betul”. (44)
Luce juga mengkritik kelab elit antarabangsa seperti Forum Ekonomi Davos yang baginya sudah tidak lagi memahami denyut nadi masyarakat biasa. Forum ini hanya mengeluarkan buzz words seperti thought leadership dan disruptive thinking tanpa memaknainya. Bagi Luce, demokrasi bukanlah penyelesaian untuk semua masalah. (69) Sama ada kita suka atau tidak, masyarakat hari ini merasakan identiti mereka lebih dekat pada negara berbanding identiti global. Globalisasi tidak serasi dengan demokrasi. Kita tidak boleh dalam masa yang sama mahukan demokrasi, determinasi nasional dan globalisasi ekonomi, satu daripadanya harus digugurkan. (72)
Selepas membahaskan bagaimana ekonomi dan globalisasi merencatkan demokrasi. Edward Luce kemudian melihat kesan projek demokrasi di seluruh dunia. Penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah antara isu yang mencalarkan imej liberal demokrasi. Demokrasi tidak boleh dipaksakan menggunakan senapang menurut beliau. (81) China, walaupun bersifat autokratik, tidak mempunyai niat dan usaha untuk menyebarkan model politik mereka ke seluruh dunia, malah misi Beijing sekarang adalah counter-revolution. China pada sudut pandang dunia lebih menghormati diversiti tamadun yang ada di dunia. (85)
Dengan kemenangan Trump melalui peti undi, penyokong liberal demokrasi di China berada dalam keadaan dilema. Walaupun mereka membenci Trump, mereka tidak boleh mengatakan rakyat mengundi presiden yang salah. Pengakuan ini akan menyebabkan mesej mereka untuk menjual demokrasi ala Barat di tanah air mereka semakin kedengaran kelakar. Jika undi rakyat silap mengapa harus mereka diberikan hak mengundi? (86) Bagi Luce, konsep “rakyat” adalah satu ilusi, fiksyen yang kita reka sendiri. Jika kuasa itu benar-benar ada pada rakyat, ke mana kuasa itu pergi? (87)
Ketidakpercayaan kepada sistem liberal Barat bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat antarabangsa, ia turut berlaku dalam masyarakat Eropah sendiri. Terutamanya apabila blok politik kiri mereka yang memperjuangkan “multiculturism” lebih dari perjuangan mengangkat ekonomi golongan proletariat. Melabelkan mereka yang tidak menyokong blok kiri sebagai rasis adalah mudah, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah, kerana masalah utama, iaitu masalah ekonomi, tidak diselesaikan. (99)
Golongan elit yang memimpin blok politik kiri Eropah pada hari ini sebenarnya sudah terpisah dengan semangat golongan proletariat. Golongan elit yang dahulunya disebut Marx sebagai “vanguard” – golongan borjuis yang mempunyai kesedaran, mereka menurut Marx akan mengetuai revolusi. Tetapi malangnya, blok kiri hari ini tidak berminat untuk memperjuangkan ekonomi kelas pekerja, jika Lenin lahir dalam kelas elit kiri Eropah hari ini menurut Luce, beliau akan mengajar cultural studies di universiti elit Sorbonne. (110) Krisis demokrasi liberal hari ini juga merupakan perlawanan yang disebabkan oleh percanggahan antara teori demokrasi asas dan idea liberal yang kompleks. Percanggahan antara kuasa majoriti rakyat melawan kelab elit terpelajar (rule of the expert). Rakyat Eropah sebagai contoh tidak mahu menerima makanan yang diubah genetik (GMO), namun keputusan mereka ini tidak dihormati. Mereka tetap perlu menerima GMO hasil keputusan golongan-golongan pakar dalam organisasi perdagangan dunia (WTO). Suara golongan pakar (expert) mengatasi suara rakyat. Ini bercanggah dengan teori demokrasi asas dimana rakyat majoriti boleh menentukan keputusan bukan golongan pakar. (120)
Walaupun kemenangan sosok populis seperti Trump memberi tamparan kepada sistem liberal barat, apa yang menyebabkan sistem ini masih bertahan (bagi Luce sistem ini hanya berundur tidak roboh) adalah karakter-karakter yang ada dalam sistem, mereka yang percaya kepada nilai demokrasi liberal dan terus mempertahankannya walaupun diancam kehilangan jawatan. Dari pemerhatian ini, bagi Luce apa yang mempertahankan sesuatu sistem adalah karakter manusia di dalamnya bukan undang-undang atau peraturan. (133)
Bagi Luce, golongan intelektual telah berbincang dengan begitu lama perihal limitasi yang ada dalam sistem yang mengutamakan suara popular. Malah kebanyakan perbincangan ini tidak membawa hujah-hujah yang baru sejak ia diperdebatkan oleh ahli falsafah Yunani Kuno. Bagi Plato, demokrasi akan diperintah golongan samseng (mob) jika pengundi kebanyakannya tidak dapat membezakan antara ilmu dan pandangan (opinion). Bagi Aristotle golongan ilmuan perlu memimpin dengan keizinan golongan majoriti. (137-138)
Buku tulisan Luce ini, walaupun mempunyai banyak pemikiran yang menarik, terdapat juga fakta yang saya kira meragukan. Contohnya beliau mengisahkan bagaimana sekitar tahun 2019, tentera China melancarkan torpedo ke atas kapal perang Amerika USS John McCain. Peristiwa ini tidak terdapat dalam public domain. Sama ada ia tidak pernah berlaku atau Luce mempunyai sumber perisikan rahsia yang tidak diketahui umum. Beliau juga tidak mengemukakan apa-apa referens terhadap dakwaan yang meragukan ini. (152)
Antara buku yang sangat meninggalkan kesan terhadap pemikiran saya adalah Orientalism tulisan Edward Said, sehingga hari ini ia masih saya selaki dan analisa perlahan-lahan. Apabila saya melihat analisa Barat terhadap Timur, Orientalism akan muncul dan menjadi kaca mata saya. Kaca mata ini sekali lagi muncul apabila Luce membahaskan bagaimana sarjana Eropah melihat China. Hegel dan Marx melihat China sebagai “oriental despotism”, social darwinism mengklasifikasikan China sebagai bangsa kasta rendah, bagi Mill China adalah tamadun yang cacat, dan menurut Max Weber China tidak mampu mengembangkan ekonomi kapitalis. Semua pemikir ini mempunyai prejudis walaupun seorang pun tidak pernah menjejakkan kaki ke China. Pemikir baharu, seperti Henry Kissinger lebih berhati-hati dari mengikuti jejak langkah keangkuhan kolonial Eropah, beliau lebih berhati-hati dalam memaksa dunia menerima nilai Barat. Namun ada juga pemikir kontemporari yang masih berfikiran prejudis. Ahli ekonomi, Paul Krugman contohnya, memperlekeh perkembangan ekonomi Asia sebagai fatamorgana, beliau menjangkakan ekonomi Asia akan tersungkur dan hilang seperti mana model yang dibawakan oleh Stalin. Semua ini merupakan pemikiran yang berakar dari idea bahawa Barat mempunyai kehebatan moral yang lebih tinggi berbanding peradaban lain. (162)
Mungkin teori Francis Fukuyama tidak tepat kerana hari ini kita melihat kebangkitan golongan populis yang mempergunakan nasionalisma untuk merebut kuasa. Mereka berjaya naik ke puncak kuasa menggunakan platform demokrasi mengalahkan seteru liberal mereka. Sesuatu keputusan yang baik, terutamanya perihal hubungan antarabangsa memerlukan masa untuk difikirkan. Namun teknologi hari ini memaksa keputusan dilakukan dengan pantas. Ini memberi kelebihan kepada pemimpin populis, kerana mereka tidak perlu berfikir panjang untuk merangka polisi, mereka hanya perlu mengikuti sentimen yang akan membawa mereka naik, bukan kajian atau fakta. Teknologi dalam hal ini meruntuhkan demokrasi. (170) Bagi pemimpin populis, fakta itu adalah rakan mereka jika menguntungkan, jika tidak, fakta adalah musuh. (179)
Edward Luce tidak banyak membicarakan perihal penawar kepada penyakit-penyakit yang menjangkiti demokrasi liberal pada hari ini. Bagi beliau, tugas bukunya adalah untuk membuat masyarakat risau perihal perkembangan yang berlaku, agar mereka sedar akan perubahan ini dan mula menanganinya dengan bijaksana. Antara saranan beliau adalah supaya kita berhenti memburukkan mereka yang mengundi calon populis, jika dari awal kita telah menolak dan melabel mereka dengan buruk, kita tidak dapat memenangi mereka semula. (191) Untuk mengembalikan masyarakat ke pangkuan demokrasi liberal hari ini menurut Luce adalah tidak mengetepikan sebahagian besar mereka. Beliau memberi contoh bagaimana perjuangan membela minoriti mengetepikan majoriti, contohnya polisi yang mengutamakan wanita, etnik minoriti, dan golongan muda yang dalam masa yang sama mengetepikan golongan lelaki kulit putih kelas pekerja. (189) Walaupun tidak banyak idea penyelesaian yang dibawakan, buku ini amat baik dalam menganalisa masalah dan krisis yang ada walaupun ada ketikanya tona penulisannya kedengaran seperti membebel dan sedikit membosankan.