Sabtu, 8 Julai 2023

Menyimpan Ikan-Ikan Dari Senaskah Buku


Banyak perkara yang saya belajar dari membaca sebuah buku. Apabila membaca, sering kali banyak idea-idea yang saya temui yang tidak saya setujui. Juga sering kali, dalam membaca, banyak perbahasan-perbahasan yang langsung saya tak faham. Hal ini mungkin kerana penulis banyak mencedok idea dan terma dari hasil tulisan orang lain, dan saya yang tidak membaca tulisan orang lain tersebut, jadi saya tidak dapat menangkap maksud lengkap perbahasannya.

Namun saya kira begitulah pembacaan. Membaca bukan bererti kita akan faham semuanya sekali baca. Bak kata Chomsky, proses membaca sebenarnya selalu perlu kepada ulangan. Kita mungkin tidak faham sesuatu hari ini, tetapi 10 tahun lagi, apabila kita meneruskan pengembaraan membaca kita, kita mungkin akan mula memahaminya. Di sini akan lahir, seperti kata Chomsky, keperluan untuk kita menziarahi semula buku-buku lama yang kita baca.

Memahami sesuatu bukan seperti menunggu mee meggi kembang, ia memerlukan iltizam kepada usaha yang panjang dan bertahan lama. Masa adalah sebahagian dari bahan bagi melengkapkan resepi kefahaman. Jadi janganlah kita berhenti membaca jika tidak faham akan sesuatu, sebaliknya cuba simpan "ketidak-fahaman" kita itu. Rekod dan kumpulkan, besar kemungkinan kita akan memahaminya di masa hadapan.

Membaca juga tidak semestinya memberikan kita keselesaan. Pasti ada benda yang tidak kita setujui apabila kita membaca. Itu normal dan sebenarnya bagus. Ia menandakan bahawa kita bukan membaca sekadar untuk menguatkan lagi apa yang sebelum ini kita anuti. Pemikiran hendaklah sentiasa diuji, baru ia menjadi pemikiran yang kental. Seperti juga iman di dada, perlu pada ujian untuk menguatkannya. Membaca makalah yang tidak kita persetujui adalah metod menguji kekuatan fikir kita. Kita memahami hujah yang berbeza dan berfikir bagaimana kefahaman kita dapat respon kepada hujah tersebut. Hal inilah yang sebenarnya mengembangkan fikir. Jika kita sekadar ulang baca benda-benda yang sekadar bersetuju dengan apa yang sedia ada kita pegang, pemikiran kita tidak akan menjadi semakin tajam.

Akhir sekali, membaca juga perlu mempunyai dapatan. Seperti yang saya sebut, banyak yang saya belajar dari membaca. Selalunya proses membaca saya akan selesai dahulu, tetapi proses mencerna dan menghadam dapatan saya akan mengambil masa yang lebih lama. Ia berlarutan selepas saya selesai membaca. Banyak muka surat yang biasanya saya dog-ear, jadi perlahan-lahan saya akan revisit poin-poin yang menarik untuk dinotakan. Proses ini pastilah memakan masa yang lebih dari sekadar membaca. Namun jika proses ini tidak dibuat, saya tidak akan merasa puas membaca. Seolah-olah saya pergi menjala ikan di tengah lautan, kemudian saya melepaskan semula semua ikan-ikan yang saya tangkap. Merekod nota, adalah cara untuk saya menyimpan "ikan-ikan" yang dapat saya tangkap dari senaskah buku.

Jumaat, 7 Julai 2023

Di Ruang Tanpa Dasar


Setiap hari
apabila aku membuka hati
aku terjatuh
semakin hari
semakin dalam
dalam lagi
dan lagi.
Sepertinya ruang hati ini
tiada dasarnya
tenggelam aku tak terhingga
meninggalkan cahaya
yang saban masa
pudar dari mata.
Aku mahu
semahu-mahunya
hanya ingin menutup mata.
Biarlah ruang ini
menelanku selama-lamanya.

Selasa, 4 Julai 2023

Aku Telah Berjanji


Aku telah berjanji pada hujan
untuk setia, tidak membuka payung
ketika bersamanya.

Maka janganlah engkau marah,
atau berasa gundah,
jika aku pulang ke rumah,
dengan badan yang basah.

Aku telah berjanji pada bintang
untuk setia, mendongak untuk merenung
ketika malam gelapnya.

Maka janganlah engkau bersangka,
aku mendongak
bukan kerana bongkak,
atau berlagak.

Aku telah berjanji pada mimpi
untuk setia, dalam lelapnya.

Lelapku bukan mengantuk kepenatan,
sekadar mahu melupakan kesakitan,
juga melenyapkan fikiran-fikiran,
yang sering saja membuatkan,
hati kecilku rawan.

Isnin, 3 Julai 2023

Kisah Aidiladha 2023 & Cubaan Belajar Bahasa Kampar


Alkisahnya, raya Aidiladha pada tahun 2023, saya berpeluang balik ke Bagan Datuk. Kami menginap di Homestay Desa Muara. Awal saya bangun dan buka lampu homestay, supaya anak-anak pun bangun dan bersiap awal. Seawal jam 7.15 kami sudah bersiap semuanya dan terus pergi ke rumah Wo (saya panggil nenek saya Wo). Sebab tak tahu solat raya jam berapa, kami pun makan  ketupat palas, rendang ayam, dan teh-o ala kadar sebelum bergerak ke masjid baru di atas air di pekan. Saya check di page Bagan Datuk Kini, tak ada pula makluman waktu solat raya.

Lebih kurang jam 8, kami pun tiba di masjid baharu atas air. Saya mahu masuk ke perkarangan masjid sebab Wo tak larat berjalan jauh. Namun banyak pula abang polis yang menunggu di depan bersama kereta-kereta besar berwarna hitam ber-tinted gelap. Nak masuk ke perkarangan masjid saya ditahan abang Polis.

"Nak ke mana?" tanya Abang Polis.

"Saya nak masuk kejap, drop-off nenek".

"Nenek siapa?" tanya Abang Polis.

"Nenek saya lah" jawab saya pelik.

Abang Polis kelihatan hairan dengan jawapan saya, dia tanya lagi.

"Nenek ni siapa?"

Saya pun mengulang sekali lagi dengan selamber "Nenek ni nenek saya".

Abang Polis masih hairan, dia pun tanya lagi.

"Ya, tapi siapa nenek ni?"

Saya pun semakin blur, dan ulang lagi jawapan disertakan dengan sedikit huraian ringkas.

"Ini nenek saya, tak larat jalan jauh, nak drop-off dekat dalam".

Abang Polis yang melihat saya yang tak faham-faham pun bertanya dengan berterus terang.

"Siapa nenek ni? Ada kaitan dengan Datok ke?"

Ooo itu rupa maksud soalannya. "Takde" jawab saya.

"Kalau macam tu tak boleh masuk, dalam dah penuh dengan body-guard semua, kena turunkan di sini je".

Terdetik juga dalam hati nak memulakan revolusi proletariat dekat masjid baru ni. Tapi, selaku warganegara yang bertatasusila, bertatakelola dan berhati mulia, kami pun patuh dan saya drop-off Wo di situ sahaja sambil beliau dipapah ibu. 

Dalam hati saya berkata "Aduh, silap jawapan rupanya, patut cakap aje sedara. Ye lah, kita kan semua sedara se-Islam". Jemaah di masjid baru ni tidaklah ramai mana, ruang solat dalam tidak penuh pun. Habis solat dan dengar khutbah, ketika acara bersalaman saya dan anak pun bersalamlah dengan datok. Hmmm lain juga rupa beliau berbanding muka yang selalu keluar dekat TV. Nampak mukanya seperti bengkak seperti digigit tebuan.

Gambar Aidiladha 2023 di Masjid Tuminah Hamidi.

Antara hasrat saya pulang ke kampung kali ini adalah untuk belajar Bahasa Kampar. Jadi saya bertanya kepada Wo, sekiranya saya ingin merantau ke Kuok, Bangkinang, adakah masih ada sedara-mara yang saya boleh temui. Kata Wo, di sana ada abang kepada Tok Abu bernama Sahril. Beliau bekerja sebagai pekebun dan menetap di Pekan Baru. Ketika saya bertanya akan ayat-ayat dalam Bahasa Kampar, Wo banyak menyatakan persamaan dengan Bahasa Melayu, hanya beberapa perkataan sahaja yang berbeza.

"Anak sapo wok-ang?"

Maksudnya "kamu anak siapa". Wok-ang bermaksud kamu (untuk lelaki).

"Wak-dan anak Norizan, Norizan anak Po-sah. Wak-dan duduk di Kodah. Dah menikah, anak dan dua orang. Tok Sahril sihat ke?".

Dalam ayat ini kita dapati hampir semua perkataannya sama dengan Bahasa Melayu. Cuma "Wak-dan" adalah Bahasa Kampar bermaksud "saya". Dalam pertuturan, kadang ia hanya disebut sebagai "dan". Manakala Po-sah adalah nama nenek saya yang dipanggil oleh Tok Sahril.

Jika "Wok-ang" bermaksud kamu untuk lelaki, bagi perempuan, kamu adalah "Wok-ang".

Baik, sekian sahaja kelas Bahasa Kampar untuk kali ini.

Sabtu, 24 Jun 2023

Membaca Hingga Lewat Malam


Pada usia yang kini sudah mula memasuki pertengahan 30-an ini, saya ada cuba test kemampuan membaca berseorangan ke dalam kegelapan malam. Ternyata sudah tidak berstamina seperti semasa zaman muda. Dahulu sampai jam 2 pagi masih steady, kini jam 12 mata sudah kuyu. Bila tengok cermin, memang sudah ada rambut putih mula muncul, tandanya sudah tua. Cubaan untuk membancuh kopi pun tak berjaya membuka mata yang kuyu. Ternyata faktor usia memang kuat dalam memakan stamina membaca. Betullah kata pujangga yang mengatakan bahawa "masa menghancurkan semuanya".

Tapi membaca tak boleh berhenti, meski stamina sudah tak sama. Perlu digunakan strategi berbeza. Tak boleh duduk baca lama, kena baca sekejap-sekejap antara celah-celah masa yang ada dalam hidup. Biar lambat sedikit, tetapi tetap kita mengutip bait-bait. Hendak mengais sedikit ilmu memang seharusnya kita mencurah segunung usaha.


Koleksi Fikir: Kesibukan dan Konsep Malaysia


Kesibukan

Saya kadangkala merasakan hidup ini sangat sibuk dan sesak. Tapi hendak mengeluh pun tidak boleh juga, sebab itu jalan yang saya pilih. Saya merasakan, masalah bila kita ke depan dan buat kerja, adalah orang akan nampak kita. Mereka akan rasa bahawa kita boleh buat kerja, jadi mereka akan beri kita lagi banyak kerja. Saya pula jenis susah nak tolak.

Kadang isteri ada cakap "abang kalau penat, tak boleh, bagi tau la diorang kata tak boleh".

Biasa saya pula berfikiran "ish, orang minta tolong maksudnya dia percaya pada kita, takkan kita nak tolak".

Tapi itu lah, makin banyak kerja yang kita harus pikul makin kita penat. Perkara yang sama berlaku di kehidupan sosial, di tempat kerja, di dunia penulisan, semuanya merebut masa dan tenaga.Tapi saya berfikir kalau tiada apa-apa program, rasa bosan pula hidup. Jadi, dalam masa yang sama perlu rasa syukur dapat berkerja dan berkhidmat.

Konsep Malaysia

Saya balik kerja pada suatu hari di bulan Jun, sambil menunggu trafik yang bergerak perlahan, saya ternampak slogan "Mambangun Malaysia Madani" di papan tanda digital jalanraya. Saya faham setiap pemimpin mahu meninggalkan satu legasi visi pentadbiran mereka. Kita pernah ada  Malaysia Hadari, Malaysia Baru dll. Saya berfikir, seolah konsep Malaysia itu tidak pernah lengkap. Perlu sentiasa ada penambahan. Konsep Malaysia masih tidak selesai. Ia sentiasa memerlukan "benda" lain untuk bergerak ke hadapan. Namun, ini hanya sebuah fikiran.


Jumaat, 23 Jun 2023

Apakah Makna Pesta Buku Buat Seorang Penulis?


Pesta buku yang terbesar di Malaysia adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dalam ingatan saya, pertama kali saya menghadirinya adalah ketika usia saya 15 tahun, sewaktu itu ia diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC). Pada saya berusia 16 tahun, tempatnya ditukar ke MAEPS, Serdang. Ini adalah memori awal saya perihal pesta buku. Namun menurut ibu saya, sebenarnya saya pernah ke pesta buku lebih awal. Kata ibu saya pernah ke PBAKL bersamanya semasa berumur 2 tahun dan hilang dari pantauan beliau, namun selepas itu ibu berjaya menjumpai saya yang hilang apabila urusetia membuat pengumuman ada anak hilang di kaunter. Namun memori ini terlalu awal, hanya ibu saya yang mengingatinya, saya sendiri tidak dapat menemukan memori ini dalam ingatan.

Semasa saya menghadiri PBAKL pada usia belasan tahun itu, antara yang saya perhatikan dan ia kemudian menjadi titik kritikan saya adalah perkataan “antarabangsa” dalam PBAKL yang tidak diterjemahkan dalam senarai pempamer. Kerana pada ketika itu, minat membaca saya adalah pada buku-buku dari luar negara terutamanya buku berbahasa Inggeris. Pada masa ini, saya ke pesta buku sebagai pembaca, pembaca kepada buku-buku berbahasa Inggeris. Juga mungkin saya boleh tambah, pembaca yang naif.

Pandangan saya tentang pesta buku berubah pada tahun 2019. Kerana pada tahun tersebut, saya tidak lagi hadir ke pesta buku sebagai pembaca, tetapi sebagai seorang pembaca dan juga penulis. Pada tahun 2018, saya menerbitkan buku Berfikir Tentang Pemikiran secara swaterbit, dan teman saya, Izzat Ibrahim mengajak saya menjual buku bersamanya di reruai mandiri semasa PBAKL 2019. Pada ketika itu saya mula belajar perihal industri buku, bukan lagi sebagai pembaca yang naif, tetapi sebagai pembaca, penulis, dan juga penjual buku. Saya bertemu ramai orang pada ketika itu dan jaringan saya bersama “orang-orang buku” bermula. Saya tiba-tiba disedut masuk ke dalam dunia buku, di dalamnya ada penjual buku, aktivis buku, kolektor buku, penganjur wacana buku, pengkritik buku, pengossip buku, penerbit buku, editor buku, penulis buku, penganjur acara buku, pencetak buku, dan lain-lain. Baru saya sedar bahawa buku itu ada dunianya yang tersendiri, dan pesta buku merupakan sarang mereka bertemu.

Sejak dari itu saya mula melihat pesta buku ini dari kacamata tempatan, kacamata ekosistem buku, kacamata penulis, bukan lagi sebagai seorang pembaca buku-buku Inggeris. Saya masih kekal membaca buku-buku Inggeris, tetapi saya kini sedar bahawa PBAKL bukanlah tempatnya. Buku-buku Inggeris saya biasanya akan datang dari kedai buku internasional dalam talian seperti Book Depository (sudah di tutup), Abe Books dan Bookfinder. Juga kedai buku dan acara buku di luar talian seperti Kinokuniya dan Big Bad Wolf. Ada kalanya saya mencari buku terpakai di Chowrasta Market, Pulau Pinang, juga dari dalam talian di portal seperti Books n Bobs dan Bookaholics Anonymous. Saya tidak lagi mempunyai jangkaan naif bahawa banyak buku-buku Inggeris boleh didapatkan di pesta buku di Kuala Lumpur.

Selepas 2019, saya mula ke PBAKL sebagai penulis. Dari sudut penerbit dan kedai buku yang menjadi pempamer, persoalan utama pastilah tentang pemasaran dan jualan buku. Mereka masuk dengan modal yang besar, jadi untung dan rugi menjadi kriteria utama. Analisis perihal trend pembaca, trafik pengunjung, dan juga statistik perbelanjaan pengunjung, merupakan perkara-perkara yang akan diperhalusi pasca-PBAKL. Namun, saya ingin membawakan sudut yang lain, iaitu sudut penulis. Apa yang diharapkan oleh penulis dari sebuah pesta buku?

Bagi saya, yang pertama adalah penulis mahu berjumpa dengan pembacanya secara bersemuka. Dengan ini penulis dapat mengambil maklum balas secara primer dari pembaca. Tidak semua pembaca selesa menyuarakan pandangan mereka tentang sesuatu buku secara terbuka. Jadi pesta buku merupakan tempat yang sesuai bagi mereka bertemu dengan penulis dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka tidak semestinya bersetuju dengan semua yang ditulis oleh penulis. Mereka juga boleh memberi kritikan, pandangan balas, juga cadangan tentang bagaimana untuk menambah baik lagi mutu dan juga kandungan penulisan.

Apabila penulis dapat bertemu dengan pembaca, mereka dapat memahami bagaimana selera dan juga bentuk khalayak yang membaca buku mereka. Oleh itu, mereka dapat memahami bentuk penulisan yang sesuai untuk diketengahkan dalam penulisan seterusnya. Bagi saya, penulis yang baik bukan sahaja menulis berdasarkan pengalaman, pemikiran, dan kefahamannya, tetapi dia mestilah mengenali latar pembacanya dan dapat memberikan sesuatu yang sesuai buat mereka. Tentulah dia tidak dapat memahami satu bentuk pola pembaca sahaja apabila bertemu dengan pembaca, tetapi, semakin ramai pembaca yang ditemuinya, dia akan mendapat gambaran yang lebih jelas perihal pola dan latar pembaca. Dari pembaca yang datang bertemu dengannya, dia dapat menjangka demografi pembacanya, juga menyesuaikan laras penulisannya.

Kedua, selain menemui pembaca, pesta buku merupakan laman yang mekar bagi penulis untuk bertemu dengan para penerbit. Para penerbit sedia ada, dan juga penerbit-penerbit lain yang bakal menjadi penerbitnya. Setiap penerbit mempunyai niche dan kecenderungan masing-masing. Oleh itu, penulis hendaklah mempunyai pengetahuan perihal syarikat penerbitan. Pemahaman perihal syarikat penerbitan ini bukan sahaja perihal niche penerbitan mereka, malah perihal tatakelola dan juga bagaimana mereka beroperasi. Tidak semua penerbit yang ada adalah penerbit yang baik, ada juga penerbit yang bersifat pemangsa, yang mempergunakan penulis bagi membuat keuntungan tanpa memberi mereka pampasan yang sewajarnya. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis bukan sahaja perlu memahami penerbit secara luaran, tetapi dia juga harus peka dengan nadi dan denyut dunia penerbitan, memasang telinga dan mendengar suara-suara yang berbisik-bisik di celah-celah reruai pempamer.

Seorang penulis bagi saya tidak perlu setia kepada hanya satu penerbit. Jika dia menulis karya dalam pelbagai genre, dia wajar mempunyai lebih dari satu penerbit. Setiap penerbit mempunyai tribe dan pengikut yang berbeza, dengan menerbitkan karya dengan penerbit yang memfokuskan penerbitan dalam genre yang bersesuaian, sesuatu karya itu akan mudah mendapat liputan yang meluas dalam kalangan pembaca. Penulis akan menikmati readership yang lebih luas, berpatutan dengan genre penulisannya.

Saya teringat perbualan saya di atas talian bersama Zahiruddin Zabidi, seorang penulis yang banyak menulis buku keagamaan. Beliau berpandangan bahawa sebagai penulis “kita mahu karya kita malar hijau. Menjadi rujukan bidang dan ada sumbangan signifikan dalam dunia intelektual”. Beliau juga berpandangan bahawa karya berbentuk himpunan rencana dan artikel pendek akan deras ditelan zaman sekali pun penulisnya mapan. Beliau mencadangkan agar saya menulis buku berbentuk monograf yang mempunyai satu tema dan berstruktur. Buku berbentuk tematik ini bagi beliau lebih berdaya tahan apabila berlalunya edaran masa. Saya bersetuju dengan pandangannya, dan ada juga menyimpan niat untuk menulis penulisan berbentuk seperti ini. Namun masalah terbesar saya adalah kekangan masa, saya bukan penulis sepenuh masa, saya punya kerja hakiki yang lain. Jadi untuk duduk dalam masa yang lama menulis perihal hanya satu tema merupakan satu cabaran yang sukar. Mungkin nanti jika saya berpeluang mengambil sabatikal, saya akan berusaha ke arah ini.

Saya juga teringat akan perbincangan saya bersama seorang penerbit di Taman Kosas, Ampang tidak lama dahulu. Beliau berpandangan bahawa penerbit yang baik bukan merupakan penerbit yang paling banyak menerbitkan judul. Tetapi penerbit yang berjaya membangunkan penulis. Karya yang dihasilkan penulis diulang cetak, dikemaskini, diperbaiki dengan susun atur dan reka sampul baharu, diberi kata aluan baharu, dalam kata lain, penerbit itu memastikan judul yang diterbitkannya sentiasa ada di pasaran, terus diperbaiki dari satu edisi ke edisi baharu. Hal ini ada kaitannya dengan isu “malar hijau” sesuatu karya. Dalam erti kata lain, penerbit yang baik akan sentiasa memperbaiki dan memastikan karya terbitannya sentiasa malar dan hijau dalam pasaran. Mengembangkannya kepada pembaca-pembaca baharu.

Hal ini menyampaikan kepada poin saya yang ketiga perihal makna pesta buku kepada seorang penulis. Iaitu memastikan karya-karyanya bersifat malar hijau dan terus berada di pasaran. Menulis buku bukan satu perkara yang mudah dan singkat. Oleh itu, penulis bukan perlu berkejar-kejar melahirkan buku baharu setiap tahun. Tetapi dia harus membantu mempromosikan buku-bukunya yang sedia ada ke pasaran yang lebih luas. Agar mencapai readership yang lebih luas. Hal ini dapat dicapai dengan menghadirkan diri ke pesta buku. Kerana pesta buku bukan sahaja dikunjungi oleh pembaca lama, ia juga dikunjungi oleh pembaca baharu. Oleh itu, dengan menghadiri pesta buku, penulis dapat memperkenalkan tulisannya kepada pembaca-pembaca baharu dalam masa yang sama mengembangkan lagi lingkungan pembacanya.

Malar hijau juga membawa erti bahawa karya seorang penulis itu terus dicetak apabila stok habis terjual. Dari sudut pandang penerbit, mungkin menghabiskan stok merupakan satu keutamaan kerana mereka memerlukan semula modal yang sudah dilabur. Namun sudut pandang penerbit dan penulis mungkin tidak sama, penulis bukan sahaja mahukan stok bukunya habis dijual, dia juga mahukan stok bukunya kekal ada selepas ianya habis. Kerana karya yang baik bukanlah karya yang meletup sekali sahaja, tetapi harus meletup berkali-kali. Inilah sebenarnya definisi malar hijau, ia tidak hanya diketahui oleh satu generasi, tetapi mengalir ke generasi yang lain. Isi sesebuah karya mungkin sama, tetapi penafsiran terhadap teks yang sama akan berubah mengikut generasi. Setiap generasi akan menafsirkan teks mengikut latar dan semangat zaman mereka. 

Keempat, menghadirkan diri ke pesta buku, selain dapat bertemu pembaca dan penerbit, penulis dapat membina jaringan komuniti. Seperti yang saya sebutkan dalam pendahuluan saya, buku ini mempunyai dunianya yang tersendiri. Jika seorang penulis itu rajin ke pesta buku, rajin berbudi dan berbahasa, sedikit demi sedikit, dia akan diserap ke alam lain, iaitu “alam buku”. Alam buku bukan sahaja terdiri dari pembaca dan penerbit, tetapi lebih luas dengan keberadaan aktor lain seperti penyunting, kolektor, pengkritik, aktivis, dan lain-lain. Dengan bersama dalam sebuah jaringan, penulis akan lebih cakna akan perkembangan dunia buku dan dapat mencari posisi yang paling sesuai bagi menempatkan dirinya. 

Seperti yang saya tulis berulang kali dalam buku Dua Sayap Ilmu bahawa “dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang”, saya berpandangan bahawa seorang penulis itu tidak boleh memisahkan dirinya dengan membaca. Sarjana seperti E.H. Carr berpandangan bahawa membaca dan menulis itu satu proses yang sama dan perlu berjalan seiring. Sebab itu, pada pandangan saya, yang merupakan poin yang kelima dan terakhir, tentang makna pesta buku bagi seorang penulis adalah pesta buku itu berfungsi sebagai sebuah ladang. Ladang kepada seorang penulis itu untuk menambah bahan bacaannya sendiri. Seorang penulis tidak akan menjadi penulis yang baik sekiranya dia sendiri bukan seorang pembaca.

Dengan membaca, seorang penulis sebenarnya sedang menajamkan mata penanya. Dengan membaca, seorang penulis itu sedang melebarkan lagi lembaran kefahamannya. Dia dapat meneroka alam fikir baharu dan mampu masuk ke gelanggang permainan yang baharu. Jika penulis itu sekadar seronok dengan karya-karya lamanya, dia akan segera ditelan zaman, pemikirannya menjadi kaku, dakwatnya tidak lagi dapat merangsang fikir. Aksaranya tidak lagi akan membumi dan buah fikirnya tidak lagi terasa manis untuk dinikmati usai peredaran masa. Penulis yang membaca dapat merawat rawan pembacanya, dia mampu memahami degup nadi semasa bangsanya. Lantas penanya dapat digunakan untuk membangunkan penyelesaian, bicaranya sesuai dengan masalah semasa dalam masyarakat. Dalam kata lain, untai-untai kata-katanya dapat mengarah kepada perubahan yang baik dalam masyarakat. Kerana pada perkiraan saya, itulah fungsi penulis, dia bukan hadir untuk mengkhayalkan pembaca dengan bait-bait yang enak tetapi tidak bermakna, tetapi dia haruslah mampu menjadi ejen pembaikan sosial dengan menggerakkan pembacanya untuk bekerja dan berusaha. Maka dengan untaian kesimpulan itu, bagi saya, inilah makna-makna sebuah pesta buku buat penulis.

Artikel ini turut tersiar di Suara Muhammadiyah dan Nesiapos.

Ahad, 11 Jun 2023

Sejarah Sebagai Memori Kolektif


Membaca tulisan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah, antara perkara yang sangat menarik minat saya adalah memori kolektif. Setiap generasi mempunyai cabaran kehidupan yang berbeza. Generasi yang hidup susah akan mempunyai memori yang kuat perihal kesusahan dan daya tahan dalam kehidupan. Mereka cekal hidup hinggalah mereka dapat mencapai kesenangan. Generasi seterusnya lahir dalam kesenangan yang sudah dibayar harganya oleh generasi sebelumnya, oleh itu mereka tidak mempunyai memori perihal kesukaran hidup, dan daya tahannya tidak sama. Perkara ini akan berubah-ubah, semakin lama memori kolektif itu hilang, semakin lama ketahanan hidup generasi tersebut cair seiring dengan peralihan generasi. Di sini kita dapat lihat asas naik turun kerajaan dan tamadun. 

Saya melihat di sinilah datangnya kepentingan sejarah. Sejarah berupaya menjadi jambatan untuk memindahkan memori kolektif dari satu generasi hingga ke generasi seterusnya. Tentulah pengalaman hidup sendiri tidak sama kesannya dengan membaca bahan sejarah, namun sekurang-kurangnya generasi seterusnya mengenali dan mengetahui identiti dan sifat generasi sebelumnya. Mereka dapat menimbang dan berusaha sama ada mahu menjadi seperti mereka, menjadi lebih baik, atau menjadi lebih buruk. Namun jika sejarah itu tiada, generasi seterusnya tidak dapat membuat perbandingan, tiada satu piawaian yang dapat mereka gunakan untuk mengukur kemajuan mereka.

Dalam hal ini, kepentingan yang diperlukan yang pertama adalah merekod, menulis, dan mewariskan bahan sejarah. Tetapi itu tidak mencukupi. Tiada gunanya bahan-bahan sejarah yang ada andai ia tidak dibaca, tidak difahami, tidak didalami, dan tidak menjadi memori kolektif buat generasi seterusnya. Jadi sejarah hanya boleh berfungsi jika ia ditulis dan dibaca, kehilangan salah satunya akan membuatkan sesuatu sejarah itu menjadi sia-sia.

Rabu, 24 Mei 2023

Catatan Baitul Muslim 63: Keluarga Adalah Koleksi Memori


Menurut ahli sejarah, perbezaan manusia pada zaman dahulu dan zaman moden adalah kesedaran sejarah. Manusia moden bukan sahaja sejar akan kedudukan dirinya dalam sejarah, malah secara aktif membentuk sejarahnya sendiri. Sebelum sejarah itu pergi kepada skop yang lebih besar seperti masyarakat, negara, dan hubungan antarabangsa, ia dicorak oleh unit-unit yang lebih kecil seperti individu dan keluarga. Bagi saya, sejarah keluarga adalah koleksi memori. Apa yang kita rasakan hari ini, kesukaran mengurus dan membesarkan anak, semuanya akan menjadi memori. Jika memori ini ditulis, ia akan menjadi sebahagian dari sejarah keluarga.

Maka pada tulisan kali ini, saya hanya mahu merekod sebahagian dari memori semalam, agar ia tersimpan dalam arkib memori dan menjadi sebahagian dari sejarah. Beberapa hari sudah, saya merasa kepala saya begitu serabut kerana rambut yang sudah panjang. Rambut yang tebal menyebabkan kepala cepat panas apabila bersukan. Jadi saya mengambil keputusan untuk ke kedai gunting rambut di Taman Arkid, Sungai Petani.

Pada petang tersebut, Amni sedang sibuk menyiapkan kerja sekolahnya ditemanu Ummi-nya. Maryam memang begitu teliti dalam hal kerja sekolah ini. Hampir setiap hari dia akan berperang untuk memastikan Amni siap semua kerja sekolahnya. Amni kini berada di tahun dua kelasnya bernama Abu Hurairah. Maka, hanya Idlan yang mengikutiku ke kedai gunting rambut, aku berjanji akan membelikannya sesuatu di kedai runcit selepas itu, jadi dia setuju.

Sampai di kedai gunting rambut, dia sibuk melihat ikan yang ada dalam akuarium di kedai. Akuarium itu sedikit tinggi, jadi dia perlu menginjat sedikit. Aku hanya menjeling sahaja melihat kelibatnya berbaju kuning dan berseluar pendek. Setelah puas mengetuk-ngetuk akuarium untuk melihat ikan bergerak, dia mula menari sambil membuat gaya berlawan di hadapan cermin. Di kedai gunting rambut banyak cermin, jadi dia dapat melihat dirinya beraksi. Aku hanya menjeling sambil rambutku digunting, tukang gunting rambut pun kelihatan terhibur dengan gelagat Idlan sambil tersengih. Apabila sudah menggunting, tukang gunting itu bergurau dan mengambil patung singa mainan dari tangannya. Idlan tidak menangis. Apabila keluar kedai dia bertanya:

"Kenapa orang tu suka bermain dengan budak kecik?"

Soalan sebegini biasanya tidak perlu dijawab kerana dia kemudian akan menjawabnya sendiri. Melihat telatah Idlan ini kadang membuat aku sayu juga, kerana terfikir sekejap sahaja masa berlalu. Dia bukan bayi yang boleh aku kendong seperti dahulu. Kini sudah menjadi anak kecil yang suka bermain. Sekejap sahaja lagi dia akan menjadi remaja dan kemudian mendewasa. Hanya sedikit sahaja masa lagi yang aku ada untuk bersama dengan anak-anak ketika mereka masih kecil. Tulisan ini aku rakamkan agar nanti apabila mereka dewasa, adalah sedikit koleksi memori yang terkumpul buat mereka bernostalgia dan berkenang-kenangan.

Kerana aku fikir, keluarga akhirnya akan menjadi memori dan kenangan.

Isnin, 22 Mei 2023

Rihlah Jiwa: Siri-2


Mudah kita untuk melihat keburukan-keburukan yang ada pada manusia, kadangkala gerak hati kita memang terarah, sensitif, dan sentiasa mahu melihat sisi keburukan manusia. Dari lensa ini, kita gagal melihat kebaikan yang ada pada diri manusia, kerana kecenderungan kita adalah pada keburukan, maka kita hanya mengumpul, melihat, dan mengingati keburukan.

Ketika saya di Masjid Nabawi di Madinah, saya cuba sedaya upaya lari dari perspektif ini. Lari dari kecenderungan mencari keburukan. Walaupun kadang-kala datang manusia yang pelbagai ragam yang menunjukkan sisi keburukan manusia, saya cuba juga untuk memalingkan muka. Mencari ruang maaf dan berlapang dada. Tetap dalam pencarian kebaikan.

Pada bulan Ramadhan, Masjid Nabawi dipenuhi manusia. Aku suka melihat kepelbagaian wajah manusia ini. Melihat pelbagai rupa bentuk manusia dengan bentuk hidung yang berbeza-beza. Melihat warna-warna mata yang berlainan dari warna mataku, satu permandangan yang menyeronokkan. Aku paling suka melihat anak-anak orang Arab yang comel, berlari dan bermain.

Kadang mereka berlari mengejar burung pipit di masjid, menolak adik mereka di atas stroller sehingga adiknya menangis, main lompat-lompat di tempat duduk batu bahagian wuduk. Begitu banyak kreativiti anak-anak bermain, teringat juga akan anak-anak aku sendiri di Malaysia.

Suasana di Masjid Nabawi ketika Ramadhan banyak menukar persepsiku perihal ibadah dan juga orang Arab itu sendiri. Di dalam media mereka digambarkan sebagai orang yang ganas, selalu berperang, seolah mereka tiada emosi lain selain marah. Namun di sini aku melihat mereka membawa isteri, anak-anak kecil, dan bayi bersama ke masjid. Mereka membentang tikar di perkarangan masjid nabi seperti perkelahan keluarga, makan dan berbuka puasa bersama. Aku melihat sepasang suami isteri berbaring di ruangan solat luar, dengan si isteri mengurut kepala suaminya.

Permandangan ini tidak ada di masjid di negaraku sendiri. Ibadah seperti perkara yang serius untuk lelaki yang serius. Tetapi di sini seolah-olah ibadah ini adalah rihlah keluarga. Ia adalah aktiviti yang dikongsi bersama keluarga. Tiada siapa yang memarahi anak-anak yang bermain dan berjalan di dalam saf ketika orang sedang solat. Anak-anak dibawa untuk membaca Al-Qur'an bersama ayah di masjid. Abang solat bersama adik kecil di dalam saf orang biasa. Ada yang berkejaran di dalam masjid. Masjid bukan hanya milik ayah-ayah yang garang tetapi ia juga dimiliki oleh kanak-kanak yang riang.

Aku juga suka melihat perubahan wajah mereka apabila bertemu kenalan di dalam masjid. Wajah mereka tiba-tiba berubah dan bercahaya dengan senyuman. Mereka saling mencium pipi sahabatnya kegembiraan.

Perjalanan ini juga menyedarkan aku tentang satu perkara. Kadang-kadang kita merasakan kita perlukan rehat, me-time dari anak-anak dan isteri. Bagi aku ia adalah satu yang perlu dan sihat. Kita perlu ada masa untuk kesihatan emosi diri. Perlu ada masa bersendiri. Namun kini aku sedar, perasaan ingin menyendiri ini tidak dapat bertahan lama, sekejap sahaja ia berubah kepada rasa merindui.

Ahad, 21 Mei 2023

Rihlah Jiwa: Siri-1


Manusia sentiasa bergerak dalam kehidupannya. Sentiasa dalam perjalanan. Kita bermusafir ke kampung, melawat bandar dan negara lain, atas pelbagai tujuan kita berjalan. Jika tidak berjalan jauh pun manusia akan bergerak, setiap hari ke tempat kerja, ke sekolah, ke kedai, sentiasa manusia itu dalam satu perjalanan. Jika dia tidak keluar rumah pun dia akan berjalan, ke bilik tidur, dapur, bilik tamu, atau bilik air.

Walaupun manusia itu tidak bergerak sekali pun, jika dia tidak berubah tempat dari sudut ruang, manusia tidak dapat lari dari bergerak dalam peredaran masa. Sedar atau tidak, perjalanan kehidupan manusia yang singkat ini adalah satu permusafiran. Yang sementara, kita hidup dan berjalan menuju kematian.

Dalam permusafiran manusia ini mereka dikurniakan hati. Ada manusia yang sedar akan keberadaan hatinya, sentiasa dia menjaganya. Ada juga yang sedar, namun lama kelamaan mereka hanyut dalam dunia objek, realitinya hanya objek, sehingga dia terlupa akan hati yang dibekalkan padanya.

Aku kira begitulah diriku. Dalam permusafiran hidup yang singkat, kadang kesibukan dengan pelbagai objek menumpulkan perasaan, menghilangkan rasa keberadaan hati. Kadang aku merintih pada Tuhan, agar hatiku dikembalikan.

Tuhan memberiku peluang untuk berjalan, bermusafir, mencari hati yang hilang. Hakikatnya pencarian itu adalah pencarian dalaman, namun aspek luaran juga mempengaruhi kita sedikit sebanyak. Dalam pencarian ini. Perjalananku ini aku panggil sebagai "Rihlah Jiwa", di mana Tuhan membenarkan aku melupakan sebentar objek-objek kehidupan. Dengan ini aku boleh fokus mencari kedalaman jiwa, mencari ketenangan, dan jika aku bernasib baik, ditemukan dengan hati yang baharu.

Aku memerhatikan gugusan awan di luar tingkap, begitu cantik penuh kemegahan. Tinggi tak tercapai oleh kawanan burung. Kadang-kadang awannya bertompok, kadang seperti kabus yang sepi, kadang berkepul. Awan-awan ini umpama dunia yang tersendiri, dengan kerajaan dan sistem yang berbeza dari bumi. Awan ini bercahaya apabila disirami mentari, persis seperti sebuah lukisan. Merenung awan, kadang aku bernasib baik, dapat melihat pesawat kecil di ufuk lain, terbang menjauh, sebelum hilang di balik awan. Dan apabila mentari semakin merendah, seolah ufuk adalah garisan pemisah antara langit biru dan langit merah. Tidak puas rasanya merenung awan, jika diizinkan, aku mahu merenungnya selama-lamanya, sepanjang zaman.

Di bawahnya adalah lautan biru yang tenang terbentang. Di atasnya beberapa buah kapal yang kelihatan kecil, membawa kargo-kargo mereka merentas samudera. Permandangan ini sedikit sebanyak menjentik jiwa, perihal keagungan penciptaan alam. Yang luas dan tertib.

Di mata orang lain, mungkin aku kelihatan biasa sahaja. Mungkin mereka lihat aku tidak teruja, seharusnya aku teruja seperti insan lain. Tetapi aku harus jujur dengan diriku, aku tidak mampu menjadi orang lain. Aku adalah aku, yang mahu berjalan mencari ketenangan. Mencari hati yang hilang.

Dalam mempersiapkan diri aku buat perjalanan ini, aku merenung almariku. Mencari lembaran-lembaran untuk dibuat peneman. Baru aku sedar, banyak lembaran yang aku kumpul berkisar tentang politik. Sejarah politik, ekonomi politik, memoir politik, biografi politik dan bermacam lembaran politik lain. Aku mahu berpisah dari semua ini. Sebaliknya aku ingin membawa lembaran yang dapat menemaniku dalam pencarian ke dalam, bukan ke luar.

Antara yang akhirnya aku putuskan adalah lembaran tulisan Hesham Al-Awadi yang membicarakan perihal bagaimana Nabi Muhammad berinteraksi dengan anak-anak kecil di sekelilingnya. Bagaimana beliau menghormati mereka, meletakkan kepercayaan, mengubah riak wajah agar anak-anak sekelilingnya merasa aman. Dalam perjalanan penuh penantian ini, ini adalah salah satu lembaran yang menemaniku. Aku selak selak dalam Rihlah-ku, mengisi masa dengan kisah sang nabi. Moga nanti aku diberi izin menziarahi tempat-tempat kehidupan beliau.

Jadi ini adalah pengenalanku kepada perjalananku ini. Moga-moga Tuhan pelihara daku di dalamnya. Di beri ketenangan, diberi ruang untuk merintih dan meminta. Ruang untuk merasa bahagia, dengan hati yang baharu. Hati yang segar terpelihara.

(Catatan Rihlah Jiwa ini merupakan catatan renungan semasa mengerjakan umrah bersama ibu pada bulan April 2022).

Koleksi Fikir: Intelektual & Perspektif



Intelektual

Bagi saya intelektual adalah orang yang mendalami ilmu sedalam-dalamnya. Dia menguasai bidang dan permasalahan yang kompleks. Dengan kedalaman ilmunya ini, dia dapat menerangkan sesuatu yang sangat kompleks dengan ayat yang mudah difahami. Dalam kata lain, keilmuannya digunakan untuk mencerakinkan kompleksiti agar ia dapat difahami. Bagi saya, orang yang menulis sesuatu yang mudah, dalam bahasa yang begitu kompleks, penuh dengan jargon, dan sukar difahami, itu bukan intelektual. Dia hanya seorang yang mempunyai banyak kosa kata.

Perspektif

Perspektif mengubah makna sesuatu perkara yang hakikatnya sama. Pekerjaan sebagai contoh, bagi sesetengah manusia adalah perhambaan moden. Pekerjaan dilihat sebagai sesuatu yang mengikat manusia dari bebas menggunakan masanya melakukan perkara yang dia suka dan dirasakan produktif. Pada manusia lain pula, pekerjaan adalah pembebasan. Dengan bekerja dan mendapat pendapatan dia dapat membebaskan dirinya dan keluarganya dari lapar, dahaga, dan kemiskinan. Jadi, perkara yang hakikatnya sama, iaitu sebuah pekerjaan, boleh dimaknai dengan makna yang berbeza, malah bertentangan. Boleh menjadi perhambaan atau pembebasan. Terserah pada perspektif mana yang dipilih.

Rabu, 10 Mei 2023

Yang Berkerlipan Bukan Malam


Yang berkerlipan bukanlah malam,
saat bintang keluar di celah pekatnya,
yang berkerlipan bukanlah laut dalam,
saat surya menyuluh kocak kulitnya.

Yang berkerlipan adalah hati,
saat tenang dan bahagia menyelimutinya.

Menyambut Pagi


Awan mega tumbuh berkuntum,
dan kabus perlahan menarik selimut,
surya mula melukis langit,
dengan warna jingga ceria,
sayap-sayap menghiasi udara,
menyambut pagi baru yang tiba.

Ahad, 7 Mei 2023

Mencari Akar dan Susur Galur: Sejarah Changkat Tin & Anak Keturunan Mat Selan

Masjid Changkat Tin, Tanjung Tualang, Kinta, Perak. Foto bertarikh 02 Januari 1965. Foto dari dalam simpanan Tok Imam, Haji Mohamad Jiplus bin Kulup Md Saman.

Sejak ayah meninggal pada tanggal 29 Februari 2020, keinginan hati saya untuk menjejaki dan memahami keturunan dan susur galur keluarga semakin kuat. Benarlah kata-kata pujangga yang mengatakan kita akan menghargai sesuatu apabila ia hilang. Juga seperti yang ditulis oleh Rumi dalam puisi-puisinya, bahawa manusia itu selalu sahaja mencari ketiadaan. Arwah ayah dahulu sering menerangkan asal usulnya, jika menziarahi saudara-maranya, akan diterangkan ini siapa, dan bagaimana kami bertali darah dengan mereka. Tetapi saya tidak begitu mengambil perhatian, mungkin saya merasakan ayah akan bersama lama lagi dengan kami, juga saya merasakan hiraki dan simpulan keluarga yang berselirat ini terlalu kompleks untuk difahami. Hinggalah ayah tiada, saya tersentak, baru perhatian saya tiba-tiba tersedar.

Sejak dari itu saya mula mengambil perhatian hal-hal pertalian kekeluargaan. Apabila membuka minda, baru saya sedar sebenarnya seliratan pertalian keluarga ini tidaklah begitu sukar difahami. Jika kita perlahan-lahan mendengar dan memberi perhatian, sebenarnya ia boleh dikecapi akal. Saya mulakan projek menulis sejarah keluarga. Walaupun saya tidak pasti ia boleh dilakukan atau ia boleh disiapkan semasa saya hidup. Jika tidak, paling tidak, bahan-bahannya ada dikumpulkan. Saya mula rekodkan temubual dengan nenek, makcik, dan pakcik yang masih hidup. Malah saya menyambung pengajian dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia untuk membantu saya dalam projek ini walaupun saya sebenarnya berasal dari bidang kejuruteraan, saya memegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan marin dari sebuah universiti di Rusia.

Apabila mengetahui sejarah keluarga, saya semakin seronok apabila balik ke kampung. Dahulu balik kampung nak mencari ikan haruan, sepat, dan puyu, tapi hari ini nak bersembang dengan pakcik dan makcik, nak tahu cerita-cerita lama, nak catat agar ia tidak hilang dari memori zaman. Antara benda yang saya mahu lakukan adalah masuk semula ke dalam rumah pusaka di Changkat Tin, bukan hanya kerana memori, tetapi kerana sering dikatakan masih ada dokumen-dokumen keluarga yang tersimpan di rumah lama tersebut.

Haji Mohamad Jiplus (berserban dan berkain pelikat) bersama Andak Jijah (berbaju kurung) berjalan menuju ke sebuah majlis kenduri. Foto circa 1985.

Pada 23 April 2023, saya maklumkan pada Makchu (Sharifah Salwah) akan perkara ini, saya bagi tahu saya nak singgah dan ambil barang-barang yang masih tersisa. Terus Makchu menalifon Pakyang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Pakyang memberi saya kunci rumah untuk saya masuk. Kami masuk bersama dan menyelamatkan beberapa dokumen, tapi tidak kesemuanya kerana kesuntukan masa pada ketika itu. Antara yang berjaya diselamatkan adalah album-album gambar lama. Albumnya sudah rabak, tetapi gambarnya sebahagiannya masih terpelihara. Saya beli album baharu untuk menjadi rumah baharu gambar-gambar lama tersebut. Sebahagiannya saya scan dan kongsikan bersama keluarga di whatsapp dan facebook.

Teknologi dan media sosial juga membantu menghubungkan saya bersama keluarga terutamanya yang hubungannya sedikit jauh dan berlapis. Apabila saya berkongsi gambar-gambar lama, antara yang dapat saya hubungi adalah Kak Hanie Shaari yang merupakan dua pupu saya yang tinggal di Taman Raia Sentosa, Ipoh. Saya mengambil peluang sempena cuti hari raya untuk berjumpa dengan Kak Hanie. Kemudian dia membawa saya bertemu dengan ayahnya, Shaari bin Pandak Abbas (yang saya panggil Paklang) di Kampung Paya Rengas, Ipoh. Ayahnya adalah anak Opah Mariam. Opah Mariam adalah adik beradik dengan Opah Andak Jijah Mat Selan. Jadi Paklang adalah sepupu kepada arwah ayah.

Banyak juga yang saya sembangkan dengan Paklang Shaari yang pada ketika itu sudah berumur 82 tahun. Juga bersama isterinya, Rokidah binti Alang Ismail (berumur 79 tahun). Menurut Paklang, dia dahulu selalu berkebun bersama Mat Selan yang dahulunya duduk di Bakap, Batu Gajah. Rumah di Bakap tersebut menurutnya sudah roboh. Ibunya, Opah Mariam merupakan anak dari isteri pertama Mat Selan, sama dengan Opah Andak Jijah. Menurut Opah Rokidah, anak pertama Andak Jijah, Jalaluddin kuat menangis semasa kecil, tidak diketahui mengapa, hingga kadang-kala opah perlu membawanya keluar dari rumah supaya atuk dapat tidur. Jalaluddin kemudian berkerja sebagai pensyarah dan meninggal dunia pada usia 40-an. Anak kedua Andak Jijah, Said Nasir, menurut beliau tidak seperti anak pertama, Nasir tidak banyak menangis semasa kecil, Nasir kemudian menyambung pengajian di Kolej Kuala Kangsar. Ditanya perihal Khair, katanya Khair pernah bersekolah di Sekolah Sultan Yusuf. Atuk, Haji Mohamad Jiplus pula menurut mereka pernah mengajar sekolah agama bersama Andak Jijah, namun fakta ini tidak benar-benar dapat dipastikan dan perlu kepada kajian lanjut.

Menurut Syed Azfar (Yop), fakta dari Opah Rokidah berkenaan dengan pendidikan dan pekerjaan anak-anak Andak Jijah ini sedikit berbeza dengan maklumat yang diperolehinya. Menurut Yop, Jalaluddin menyambung pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kemudian berkerja sebagai pengarah MARDI. Manakala Nasir pula bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Perkara ini disahkan oleh anak Jalaluddin sendiri iaitu Kak Jasmin yang menyatakan bahawa ayahnya bukan seorang pensyarah tetapi ibunya yang bertugas sebagai pensyarah di UPM. Semasa di sekolah, Jasmin masih ingat dia menulis pekerjaan ayahnya Jalaluddin sebagai Pegawai Penyelidik MARDI, anak-anaknya memanggil beliau sebagai doktor tanah kerana beliau mempunyai PhD dalam soil science. Ini dipersetujui oleh adiknya Nadia Jalaluddin. Menurut Jasmin lagi, jawatan terakhir ayahnya adalah Pengarah Bahagian Promosi Teknologi MARDI, beliau meninggal dunia pada tarikh 11 November 1992 pada usia 46 tahun.

Bersama Shaari bin Pandak Abbas (Paklang), Rokidah binti Alang Ismail dan Kak Hanie.

Mat Selan merupakan anak ke-4 kepada Ngah Endah (Mat Selan bin Ngah Endah). Antara adik beradiknya yang lain adalah Manan. Manan mempunyai anak yang terkenal, namanya Radhi Manan. Menantu Radhi Manan pernah menjadi menteri besar Perak, namanya Ahmad Faizal Azumu. Antara adik beradik Mat Selan yang lain adalah Opah Wan Puteh dan Andak Jelas. Andak Jelas adalah seorang lelaki yang mempunyai anak bernama Isa namun sudah meninggal dunia, mereka mempunyai sedara mara di Changkat Lalang. Adik Mat Selan yang bongsu bernama Abdul Ghafur, yang sulung bernama Wan Tua. Seorang lagi adik beradik mereka bernama Hitam Ahmad bin Ngah Endah.

Dari perjumpaan ini juga, dapat dikenal pasti anak-anak Haji Mat Selan hasil perkahwinannya dengan isteri pertama yang bernama Fatimah.

1. Halimah
2. Mariam
3. Rokeah
4. Ahmad (meninggal semasa berusia 6 tahun)
5. Andak Jijah
6. Ramli
7. Hamidah, dipanggil sebagai Wan Chor
8. Samsiah

Selepas saya bertemu dengan Paklang Shaari, saya ke rumah pusaka di Changkat Tin. Saya memberi salam kepada penyewa di rumah bawah, tetapi tidak bersahut, saya rasa dia tiada di rumah. Kemudian saya pun naik ke atas, rumah atas berhabuk teruk dan agak panas. Pakyang tidak bagi membuka elektrik, takut terbakar, jadi perlu membuka tingkap agar ada cahaya masuk. Saya membawa dua kotak untuk mengisi dokumen-dokumen dan gambar-gambar lama untuk diselamatkan. Kali ini saya berjumpa 3 album gambar baharu, dan banyak dokumen-dokumen lama termasuk dua diari Hj. Mohamad Jiplus. Banyak juga kertas-kertas yang sudah reput dan menjadi seperti tanah. Dalam kepanasan berkerja menyelamatkan dokumen-dokumen yang ada ini, saya teringat tulisan al-Mas'udi yang merupakan ahli sejarah Islam yang digelar sebagai Herodotus Arab. Dalam kitabnya Muruj al-Dhahab wa-Ma'adin al-Jawhar (Lapangan Emas dan Lombong Permata), beliau menyifatkan usahanya menulis sejarah sebagai "usaha menyelamatkan cebisan-cebisan berharga masa lalu dari kemusnahan". Dalam kepanasan, memeriksa dokumen berhabuk selama dua jam itu, saya merasakan saya mempunyai misi yang sama dengan al-Mas'udi, iaitu memelihara cebisan-cebisan sejarah keluarga yang masih ada dari luput dihancurkan masa. Masa menghancurkan semuanya, tiada siapa yang dapat terlepas darinya, manakala sejarah adalah sisa-sisa kecil yang terselamat dari penghancuran itu.

Opah Andak Jijah bersama cucunya Nadia Jalaluddin di ribanya dalam sebuah majlis perkahwinan. Foto circa 1985. Antara gambar yang berjaya diselamatkan dan didigitalkan pada 06/05/2023.

Selepas dua jam berpeluh dan berhabuk, saya ke Masjid Changkat Tin membersihkan diri sebelum bertandang ke rumah Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) di Kampung Batu 7, Tanjung Tualang. Opah Imah adalah adik kepada Opah Andak Jijah, ibunya bernama Embun. Apabila Mat Selan meninggal dunia, adik beradik mereka pada ketika itu masih kecil, duit yang diterima Embun dari pembahagian faraid tidak banyak, anaknya ramai, 10 beradik. Maka abangnya Ramli Mat Selan mengarahkan adik beradiknya yang merupakan anak Mat Selan hasil perkahwinan dengan Fatimah, masing-masing memelihara adik-adik tiri mereka. Begitulah kisahnya bagaimana Opah Imah duduk di Changkat Tin selama 3 tahun bersama Opah Andak Jijah, semasa itu beliau masih kecil dan bersekolah. Selepas kematian Ramli, mereka adik beradik, duduk semula semuanya bersama ibu mereka, Opah Embun.

Kerana pernah tinggal 3 tahun di Changkat Tin, Opah Imah memang rapat dengan anak-anak Andak Jijah yang pada ketika itu seusia dengannya. Dia masih ingat tidur sekelambu semasa kecil bersama Salwah dan Basri. Juga Karim yang disifatkannya suka bergurau, menurut Opah Imah, Karim suka meniru gaya pengulas bola, dan Karim mempunyai nama panggilan kelakar untuk adik-beradiknya. Semasa Jalaludin pulang dari Kanada, Opah Imah ingat lagi dia dibawa Jalaludin menaiki sport car-nya, dia merasa seronok kerana Jalaluddin menyuruhnya duduk depan bersamanya.

Menurut Opah Imah, Syed Mohd Khair bersekolah rendah di Sekolah Changkat Tin, kemudian di Sekolah Tanjung Tualang dari tingkatan 1 hingga 3 dalam English Medium. Kemudian dia ada fasa peralihan sebelum menyambung dalam bidang sains di Sekolah Sultan Yusuf. Kerana adanya tahun peralihan, Opah Imah sempat bersekolah bersama Khair semasa di tingkatan 5 di Sekolah Sultan Yusuf. Menurut Opah Imah, walaupun ibunya Embun hidup susah, dia tetap memastikan semua anak-anaknya bersekolah hingga habis SPM dengan mengambil upah menoreh getah. Pernah ketikanya rumah mereka putus beras, ibunya Embun ke rumah jiran mahu meminjam beras, namun jiran turut tiada beras, kerana dahulu semuanya hidup susah. Terpaksa mereka berlapar, kadang hanya minum air paip untuk menghilangkan sedikit lapar.

Tidak puas rasanya bersembang bersama Opah Imah, namun hari sudah larut menghampiri maghrib dan saya terpaksa beransur untuk pulang ke Sungai Petani, esok anak-anak mula bersekolah. Saya berfikir saya perlu mengatur satu rakaman temubual bersama Opah Imah, agar sejarah ini dapat direkod dengan lebih sistematik. Moga kesempatan itu nanti akan hadir di masa hadapan.

Gambar kenang-kenangan bersama Opah Imah (Rosimah binti Mat Selan) pada 06 Mei 2023.