Ahad, 13 Mei 2018

Kelahiran Kronisme Baru di Malaysia



Orang kata mata pena mampu menggegar dunia. Sebenarnya yang menggegarkan dunia itu bukan lah mata pena itu semata-mata, namun perspektif dan idea baru yang berjaya di tanam ke dalam masyarakat umpama benih-benih baru, subur, yang bakal tumbuh memberi salam kepada dunia baru, membawa angin baru menghembus dan menghancurkan kuasa korup seyakin mana pun mereka.

Saya sejak awal tidak lagi meletakkan harapan yang tinggi jika perlawanan pemilihan ini antara syaitan besar dan kecil. Ramai yang bertempik gembira, meraikan kemenangan angin baru, seolah-olah mereka kini bebas merdeka. Namun tanpa mereka sedar, mereka masih lagi berstatus hamba, yang bertukar hanya tuan mereka. Politik bukan lagi pentas menguasakan rakyat, hanya arena sempit menawarkan nama-nama besar dalam politik, golongan bangsawan, elitis, kapitalis ekonomi dan tauke kaya.

Saya sememangnya seorang yang sentiasa skeptik, malah sering digelar 'purist' yang mengimpikan kuasa bersih utopia yang tidak akan muncul tiba. Mungkin mereka benar, tapi saya yakin mereka salah. Kita mengimpikan kepimpinan yang ideal, bukan kerana kita tidak tahu yang ideal itu hanya boleh wujud dalam bentuk teori, bukan praktis. Tapi sekurang-kurangnya tampuk kepimpinan itu hampir kepada ideal, tidak tertonjol secara jelas sisi busuk dan bobrok. 

Kelihatan kebanyakan mereka kini seperti lembu yang berjaya di khayalkan. Mengikut, tunduk patuh atas semua langkah dan hilang minda kritis. Semuanya di puji, semuanya bagus. Namun di balik tabir kegembiraan dan sorakan, kronisme baru telah lahir. Umpama harimau kecil yang comel dan tidak berbahaya. Dibesarkan, dibelai, diberi segala ketaatan. Saatnya akan tiba apabila mereka akan tersentak semula, apabila harimau yang mereka sangka akan kekal comel, bertukar ganas dan membaham sang lembu, sang lembu yang berangan seolah-olah kini menjadi tuan.

Bukan tiada petunjuk, malah petunjuk nya sangat jelas. Prinsip sanggup digadai demi kerusi takhta. Siulan angin perubahan umpama candu yang mengkhayalkan, sandiwara tangisan di tayangkan. Terlalu mudah mereka terpesona, gembira seolah mereka berjaya, namun yang berjaya hanyalah ahli politik. Akhirnya yang mengisi kerusi teratas adalah kroni lama, tauke gula dan suku sakat mereka. Terpedaya konon nya suara mereka adalah suara rakyat, tembolok mereka adalah tembolok rakyat. Tidak sama sekali. Tidak sama sekali. Besar bezanya antara kehendak sang pengemis kudung menadah tangan dengan kehendak bangsawan elit menadah undi. Bukalah mata mu, bacalah buku bangsaku. 

Dahulunya katanya mereka hanya membantu kempen, tidak bertanding. Naif, tidak lah sukar kroni di beri kerusi. Kini terserlah sudah, sang kroni kembali duduk di atas, tinggi, terbang, lebih tinggi dari awan, tak tercapai oleh hamba-hamba pengemis yang menghirup kuah.

Segala langkah membelakangkan prinsip sebelum pemilihan satu-persatu kita akan lihat berulang kembali. Bayi kronisme ini akan membesar dengan sekelip mata. Satu persatu harapan akan hancur, janji akan di khianati, kekayaan di rampas dan di bahagi. Bersorak lah, berseronoklah semampunya sekarang. Kau akan bangun apabila matahari tiba, tersedar dari mimpi, kau bukan raja kau hamba.

1 ulasan:

Akmal Sabri berkata...

terima kasih atas perkongsiaan Tuan Fathi