Isnin, 23 Januari 2023

Menyiasat Perasaan yang Hilang


Sepertinya,
aku masih dalam Krasnaya Strela,
dari Piter menuju Moskva,
diulit bunyi gerabak,
yang melaju di atas szheleznaya daroga.

Malam ini diselubung gelap,
kadang muncul lampu malap.
Perasaanku dibuai karma,
yang disiul oleh Daye dan hantu naga.

Titik-titik hujan,
laju berjalan-jalan,
menghempas cermin depan,
sedangku meredah jalan.

Nafasku di utara,
namun akarku masih di kota.
Harus setiap purnama,
berpulang jiwa berjumpa,
insan pertama,
yang menyambutku di dunia.

Tika Ribut dan Tika Mekar


Setiap ribut akan berlalu,
pasti, dan setiap manusia,
pasti mati.

Oleh itu,
usah hilang harap
ketika sukar,
usah lupa diri
ketika sedang mekar.

Memahami Dirimu Adalah Kesalahan


Akan apa yang kau berikan,
takkan pernah dikisahkan.
Akan apa yang tidak kau lakukan,
akan selalu dipersalahkan.

Kau perlu memahami sekalian,
kecuali dirimu sendiri.
Memahami diri sendiri,
adalah satu kesalahan.

Sabtu, 21 Januari 2023

Merenung Pembacaan: Pecahnya Tembok Banjir


Kita tidak boleh memilih permulaan kita, takdir dan sejarah yang memilih di mana kita bermula. Tapi apabila kita sudah bermula, kita diberi pilihan untuk ke mana. Sudah lama rasanya tidak menulis refleksi membaca, bukan sebagai satu reviu buku, tapi sebagai kontemplasi dan perenungan terhadap aktiviti yang begitu mengasyikkan ini. Membaca membawa kita mengembara, membawa kita melihat dan merenungi lautan ilmu yang telah dikumpulkan oleh manusia sepanjang zaman. Masuk ke dalamnya seolah berjalan di padang luas yang tiada berpenghujung. Menggali semula pemikiran manusia lama, serta melihat bagaimana mereka hidup, berperasaan, bercerita, dan berimaginasi.

Sejak kecil saya kira saya digalakkan membaca. Kebanyakannya adalah buku-buku cerita sesuai dengan tahap anak-anak. Semasa kecil, ada juga beberapa ensiklopedia kecil di rumah, kebanyakannya berfokus kepada subjek sains. Zaman tersebut ensiklopedia masih berbentuk buku fizikal, sebelum Jimmy Wales mengasaskan ensiklopedia digital seperti Wikipedia. Namun saya kira, pembacaan saya semasa kecil masih terhad, walaupun keinginan untuk memahami dan mengetahui itu sentiasa wujud dalam kolam-kolam perasaan. 

Masuk ke sekolah menengah pembacaan saya mula bertambah hinggalah ke zaman universiti. Pada masa ini pembacaan saya banyak berfokus kepada buku-buku agama. Juga buku-buku yang ditulis oleh pemikir gerakan Islam kontemporari. Hinggalah pada satu ketika, ada satu tembok yang pecah dalam diri saya. Ia menyebabkan selera membaca saya tiba-tiba memuncak, dan saya mula membaca secara intensif dan rencam. Saya cuba merenung jauh ke belakang, di daerah di mana kehidupan sudah berlalu, dan cuba mencari titik di mana pecahnya tembok ini.

Setelah mengimbau masa silam, saya dapati tembok yang ada dalam diri saya pecah selepas zaman universiti, dengan lebih tepat, pada sebuah kelas semasa pengajian di kelas pasca-siswazah di Johor. Saya masih ingat, kelas tersebut adalah kelas research methodology yang diajar oleh Dr. Nasir Tamin. Sehingga hari ini saya masih ingat gaya mengajar Dr. Nasir, semasa berdiri memberi kuliah, satu kaki beliau biasanya diangkat dengan ditelakkan di atas kerusi. Ada satu sesi kuliah yang menangkap perhatian saya. Beliau membahaskan perubahan yang berlaku di dunia, perubahan yang semakin lama semakin cepat dan kompleks. Ketika itu beliau memetik buku Thomas Friedman yang dibacanya. 

Kuliah Dr. Nasir ini sangat mengesani saya. Saya lantas membeli buku The World is Flat tulisan Friedman itu selepas kuliah. Sejak itu saya merasakan bahawa dunia ini penuh dengan pelbagai perkara yang sangat menarik untuk diterokai. Sejak dari itu, tembok dalam diri saya pecah, saya mula membaca dengan begitu rencam dan intensif. Apa sahaja buku yang saya boleh baca akan saya baca, semakin lama kedahagaan saya untuk mengetahui bertambah besar. Saya mula membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris. Walaupun pada mulanya ini merupakan satu perkara yang sukar, kerana bacaan selalu terhenti kerana saya perlu mencari kamus untuk mengetahui makna beberapa perkataan. Namun semakin lama ia semakin mudah, dan tanpa saya sedari, layarnya sudah tersergam, dan saya mula berlayar di lautan pembacaan dengan mudah. Larut dan hanyut dalam helaian muka suratnya.

Dari perenungan ini, ada dua perkara yang penting yang saya rasakan wajar saya notakan untuk sentiasa saya ulang fikir dan ambil perhatian. Pertamanya kepentingan mencadangkan bahan bacaan yang baik kepada orang lain. Ia mungkin dirasakan sesuatu yang random dan biasa, tetapi ia juga boleh berubah menjadi sesuatu yang sangat signifikan terhadap orang lain. Dengan membincangkan sesuatu idea yang kita rasakan menarik, kita boleh mencetuskan satu kesedaran penting dalam diri orang lain. Kesedaran ini mungkin akan menyebabkan orang tersebut menempuh perjalanan baharu yang mengayakan minda mereka. Apabila minda mereka kaya, ia pula akan melimpah kepada orang lain dan mencetuskan kesedaran baharu. Hasilnya merupakan penyebaran kesedaran yang berlanjutan kepada generasi mendatang.

Kedua, bagi saya penting untuk kita menyebar luaskan bacaan baik yang kita baca kepada orang lain kerana hal ini mungkin mampu memecahkan tembok dalam diri mereka. Saya kira, apabila seseorang itu bertemu dengan sebuah buku yang betul-betul kena dengan jiwanya, ia mampu merobohkan tembok dalam dirinya yang menatijahkan keluarnya perasaan ingin tahu yang membuak-buak dalam dirinya. Dia mungkin akan menempuh satu perjalanan untuk mencari lagi, kalau-kalau wujud buku-buku yang mempu mengubat jiwanya lagi. Dan dalam perjalanan tersebut, dia akan belajar banyak perkara, dia mungkin juga akan menjumpai perasaan cintanya kepada ilmu.

Khamis, 5 Januari 2023

Nota Awal Tahun


Tahun ini seperti tahun-tahun yang lalu, aku tidak ada meletakkan apa-apa azam yang besar. Azamku seperti biasa, ingin hidup dengan lebih gembira dan bahagia. Dalam melaksanakan azam ini, ada beberapa strategi yang telah aku fikirkan. Dan di sini, aku ingin cuba meleraikannya.

Pertama, aku ingin kurangkan bergaduh terutamanya di media sosial. Namun, jika ada isu yang menarik untuk dibincangkan, akan aku cuba sertai. Dalam kata lain, aku hanya mahu melaburkan masa dan tenaga pada benda-benda yang dirasakan penting. Pastilah dalam dunia ini banyak perkara yang menarik dan penting, namun masa, usia, dan tenaga kita adalah finite. Tidak mungkin kita mampu membahaskan semuanya, mendalami semuanya. Kita akhirnya terpaksa memilih. Ha-Joon Chang pernah menyebut dalam satu syarahannya bahawa salah satu kelemahan menjadi warga dalam sistem demokrasi adalah kita harus mengambil tahu akan semua perkara, dari hal keselamatan, alam sekitar, politik, agama, ekonomi, harga barang, keadilan sosial, mustahil kita mampu memperjuangkan kesemuanya walaupun semuanya penting. Kita harus memilih. Pick your fight wisely.

Antara kata-kata Robert Fisk yang saya minati adalah ketika dia mengulas pandangan bahawa wartawan perlu tahu semua perkara. Beliau tidak bersetuju akan hal ini, kerana baginya seseorang itu perlu memilih satu bidang lapangan dan menjadi pakar dalamnya. Bukan cuba untuk mengetahui semuanya. Jika dia mahu mengetahui semua perkara, kata Fisk "he will know about everything, and everything about nothing". Atau dalam kata lain, dia hanya akan berjaya tahu benda yang remeh temeh sahaja pasal semua perkara, bukan pengetahuan yang mendalam dan bermakna.

Jadi dalam usahaku menjimatkan masa dan tenaga, juga menjadi lebih gembira dan bahagia, aku akan cuba memfokuskan tenagaku pada hal-hal yang aku minati sahaja. Seperti kata Edward Said, kita perlu mengenal pasti apa yang penting dalam hidup, dan mengasingkan benda-benda yang tidak penting. Barulah hidup lebih bermakna. Lebih berfokus. Lebih berjaya menyiapkan perkara-perkara yang kita suka. Aku juga akan berusaha untuk tidak memulakan projek-projek baharu, sebaliknya cuba melunaskan projek-projek yang tergendala. Tahun ini aku mahu lebih fokus untuk menghabiskan, bukan memulakan.

Kedua, aku kira aku merupakan manusia yang suka bernostalgia. Jika minda dibiarkan bersendirian, segera ia akan meliar melihat-lihat memori di belakang. Segala yang sudah lepas dan terlepas akan diikat di kaki, menjadikan langkah begitu berat. Bukan tidak sayang, bukan tidak rindu. tetapi tahun ini aku mahu cuba belajar melepaskan. Aku pasti orang-orang yang aku sayang, yang sudah tidak ada lagi di dunia ini mahukan aku terus melangkah. Jadi aku akan cuba melepaskan ikatan-ikatan nostalgia ini, cuba untuk hidup pada hari ini, bukan hidup dalam memori.

Perihal hidup hari ini sebenarnya telah banyak sekali aku tulis perihalnya. Kebanyakannya mengulang fikir idea Eckhart Tolle. Tahun ini aku perlu melakukan apa yang aku tuliskan. Practice what you preach bak kata orang Kedah. Kadang kita telah melakukannya, namun hidup memutar semula kita, perlahan-lahan diresapi semula dengan nostalgia. Oleh itu aku kira penting untuk kita menulis nota nasihat buat diri, untuk kita mengingatkan diri sendiri, janji apa yang telah kita sepakati.

Ketiga, aku ingin meneruskan gaya hidup yang sihat. Menjaga permakanan dan memastikan ada masa diperuntukkan untuk bersukan dan bersenam. Ini penting bukan sahaja untuk kesihatan tubuh badan, tetapi juga kesihatan mental dan pemikiran. Apabila kita bersukan, kita tidak statik untuk bernostalgia, tenaga-tenaga depresi juga dapat dialirkan keluar. Nikmat sihat adalah nikmat yang paling besar, ia adalah kekayaan yang sebenar. Maka wajib untuk kita menjaganya, tubuh kita adalah satu amanah, pinjaman untuk kita peliharanya dengan sebaiknya.

Jadi, ini sebenarnya adalah nota peringatan buat diriku pada awal tahun ini. Untuk digunakan sebagai tanda, sebelum aku melangkah lebih jauh. Tanpa sebarang tanda, kita tidak dapat mengukur sejauh mana kita telah pergi melangkah.

Rabu, 4 Januari 2023

Sehela Nafas Yang Tak Mampu Ku Berikan


Jika aku mampu,
akan aku gerakkan semua di langit,
di bumi dan segala isinya,
agar kau dapat degupan, 
dan menghela nafas kehidupan.

Namun, apakah daya,
aku hanya makhluk fana,
melawan takkan terdaya,
tiada kuasa hebat,
tiada mungkin dapat,
menolak takdir maha adil,
dengan tangan yang kerdil,
dan kecil.

Tidak terbayang kesedihan,
terparut sejuta keremukan,
pada hati insan,
saat menyambutmu kaku,
diwarnai merah biru.

Maka anakku,
terimalah kuntuman airmata,
juga, bisikan esakan hiba,
harap nantinya, akhirnya,
ummi dan abi, bertemu mu di sana.

Ahad, 1 Januari 2023

Diet, Senaman dan Tahun Baharu


Tahun baharu sinonim dengan azam tahun baharu untuk berdiet dan menurunkan berat badan. Akhir tahun 2021, berat badan saya sudah mencecah 78 kilogram. Satu pencapaian yang memberangsangkan. Jadi bermula tahun 2022, saya mula berdiet termasuklah menggunakan teknik intermittent fasting, saya berjaya menurunkan berat hingga ke 68 kilogram. Saya kemudian menyertai acara larian intensif selama sebulan, berlari 716 kilometer dalam sebulan berjaya menurunkan lagi berat badan kepada hanya 63 kilogram. Berdasarkan statistik dari applikasi Strava, pada tahun 2022, saya telah berlari sepanjang 2,069 kilometer selama 274 jam.

Jadi berat mula saya pada tahun 2023 ini adalah 63 kilogram (timbang pagi tadi). Menurut target saya sebelum ini, saya perlu mencapai 58 kilogram untuk sampai ke berat yang ideal dan mencapai BMI di paras yang normal. Jadi tahun ini saya perlu menurunkan lagi 5 kilogram. Selepas itu, apa yang diperlukan adalah hidup dengan gaya hidup yang sihat dan mengekalkan berat berat badan ideal. Posting ini sekadar ingin mencatat beberapa data supaya mudah dirujuk di kemudian hari. Apa-apa pun, selamat tahun baharu diucapkan kepada semua sidang pembaca blog.