Ahad, 16 April 2023

Catatan Baitul Muslim 62: Seharusnya Suami Itu Bagaimana?


Baru-baru ini saya ada terbaca di media sosial tentang kesihatan mental lelaki. Tentang bagaimana semua perbelanjaan keluarga perlu disediakan lelaki sahaja. Lelaki yang dibantu oleh isterinya dalam hal kewangan dianggap lemah dan bukan suami yang baik. Hal ini membuatkan segelintir suami meminjam ke sana sini, kerana mahu mencukupkan semuanya untuk keluarga, tanpa bantuan kewangan dari sesiapa. Sering perkara ini dikaitkan dengan nafkah yang menjadi tanggungjawab suami, ia disebut sebagai sesuatu yang dituntut oleh agama, sekiranya suami tidak menyempurnakannya, maka kuranglah nilainya disisi agama.

Di sudut yang lain, lelaki diajarkan oleh media sosial bahawa tugas-tugas rumah bukan tugas isteri, ia tidak pernah diajar oleh agama bahawa ia harus digalas oleh isteri. Hatta seolah-olah isteri tidak punya tugas spesifik dalam rumahtangga, dan para suami pula dituntut untuk menyediakan segala-galanya. Wanita diberi pilihan untuk bekerja atau tidak, tetapi tidak kepada lelaki, lelaki harus bekerja dan menyediakan segalanya buat keluarga. Menghalang isteri bekerja dianggap sesuatu penindasan yang menyempitkan ruang kebebasan isteri.

Sebenarnya, saya sejak dari mula berkahwin sering berfikir akan bab ini. Apakah dia peranan suami dan apa pula peranan isteri? Saya merasakan bahawa peranan yang berbentuk hitam putih dan statik semakin hari semakin sudah tidak relevan dengan susunan sosial keluarga moden. Bagi saya setiap keluarga adalah berbeza, maka tugas dan peranan pasanga dalam setiap keluarga perlu dibincangkan bersama antara suami dan isteri, agar kedua-duanya berasa selesa dan tiada siapa berasa tertindas atau tertekan. Peranan suami dan isteri dalam sesebuah keluarga perlu dibincangkan dan dibahagikan sesuai dengan keadaan keluarga masing-masing. Ia tidak wajar ditentukan oleh apa yang "diajarkan" oleh media sosial kerana ajaran itu mungkin tidak sesuai dengan keadaan keluarga setiap manusia.

Saya berpandangan bahawa kebebasan akan sentiasa datang bersamanya tanggungjawab. Jika wanita itu diberikan kebebasan untuk bekerja dan mencari rezeki, maka dia juga bertanggungjawab membantu keewangan keluarga. Tidak harus ia hanya menuntut kebebasan tetapi lari dari tanggungjawab. Bagitu juga suami, jika isterinya banyak membantu dalam hal-hal keewangan, maka sewajarnya dia juga berkongsi tanggungjawab dalam menguruskan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh baju, menjaga anak dan sebagainya.

Saya tidaklah merasakan bahawa semua wanita dan isteri itu mirip apa yang dipaparkan di media sosial, sering menuntut itu dan ini tetapi tidak mahu mengambil tanggungjawab. Cuma kegusaran saya adalah ia memberi gambaran yang salah tentang keluarga, tentang bagaimana ia berfungsi, juga tentang bagaimana ia sepatutnya disusun dan diurus. Kesalahan gambaran ini akan mewujudkan ekspektasi yang salah dalam kalangan mereka yang mahu memulakan keluarga terutamanya golongan muda, dan apabila ekspektasi mereka tidak tercapai, mereka akan merasakan bahawa mereka diperlakukan dengan tidak adil dan memilih jalan perpisahan.

Saya merasakan keluarga yang harmoni adalah bukan keluarga yang saling menuntut-nuntut sesama sendiri terhadap pasangan masing-masing. Keluarga yang harmoni adalah keluarga yang saling tidak berkira, mengutamakan tanggungjawab dari sibuk mengira hak yang wajar dituntut oleh pasangan masing-masing. Kerana dasar perkahwinan adalah percintaan, masing-masing mahu membahagiakan pasangan, mahu hidup bersama dengan kasih sayang. Jika semuanya saling berkira, tidak boleh terkurang sedikit, maka sifat kasih sayang akan hilang. Tiada siapa yang sempurna, pasangan kita bukan malaikat tetapi manusia biasa sahaja. Mengambil nasihat kekeluargaan dari media sosial adalah sesuatu yang membahayakan, ia lebih banyak mencetuskan prasangka buruk dari mencetuskan rasa kasih dan sayang. 

Seharusnya suami itu memahami isterinya dan seharusnya isteri itu memahami suaminya. Sesuatu yang tidak harus dilakukan adalah mengukur pasangan masing-masing menggunakan media sosial. Jika anda mengejar pasangan yang ideal seperti yang ditulis di media sosial, ketahuilah bahawa anda sebenarnya mengejar sesuatu yang tidak wujud, dan sesuatu yang tidak pernah dan tidak akan wujud. Kebahagiaan akan menjadi sesuatu yang tidak mungkin akan dikecapi. 

Tiada ulasan: