Khamis, 13 April 2023

Kebebasan Untuk Meneroka Dan Beridea


Apabila kita bebas, ketika itulah kita akan melahirkan idea-idea dan pemikiran yang menarik, kita melahirkan sesuatu yang berguna buat manusia kemudian, sesuatu yang memuaskan hati. Namun suasana hari ini, baik struktur sosial ataupun cengkaman ekonomi, tidak memungkinkan hal ini berlaku. Hanya sesetengah orang sahaja yang memiliki kebebasan untuk meneroka minat dan idea mereka.

Saya tidaklah berhasrat untuk mengkritik sistem kapitalis atau hiraki politik seperti biasanya dikritik oleh pemikir lain, kerana saya merasakan ia sudah terlalu klise, dan klise sering membosankan dan tidak membangkitkan minat saya. Tetapi saya mahu menulis perihal kebebasan yang sebenarnya kita ada, disebalik gari-gari yang mencengkam kita. Rousseau menulis bahawa manusia sentiasa digari, tapi saya merasakan, zaman ini, walaupun gari Rousseau itu masih ada, sebenarnya teknologi dan keadaan zaman memberi banyak kelebihan pada manusia moden. Terutamanya kebebasan untuknya meneroka.

Persoalannya mengapa mereka tidak menjadi peneroka?

Pertama, mungkin mereka merasakan hidup mereka sudah terlalu penat, tenaga mereka sudah habis disedut oleh kehendak ekonomi. Baki masa yang ada hanya cukup untuk tidur dan berlibur. Kedua, mungkin mereka merasakan tiada keperluan lagi untuk meneroka, kerana ilmu yang perlu sudah habis diteroka dengan mendapat segenggam sijil universiti, sekeping kertas baginya sudah cukup, kerana dengan ilmu tersebut, makan pakainya sudah pun cukup. 

Tetapi saya merasakan hidup seperti ini terlalu membosankan, sepertinya kita hidup sekadar hidup. Saya ada bersembang dengan aktivis Kumandang Zine di sebuah acara, perihal bagaimana hidup seharian hanya untuk mencari makan dan tidur itu sangat membosankan, sangat tawar dan pudar dari sebarang makna. Saya kira itu adalah salah satu faktor yang menolak saya untuk menulis, kerana menulis memberi saya satu lapangan untuk meneroka idea dan pemikiran, disela-sela kesesakan sosial dan ekonomi, masa yang sedikit itu dapat digunakan untuk meneroka. Dan saya berharap, api lilin penerokaan saya tidak akan padam selagi nyawa masih di badan. Jika sudah terpadam, saya kira saya sudah mati sebelum saya mati.

Baru-baru ini, saya ada mendengar perbualan antara Rupert Sheldrake, Iain McGilchrist, dan Alex Gomez-Marin, perbincangan ini saya kira sangat menarik. Antara yang dibincangkan adalah bagaimana untuk melahirkan idea yang baharu, segar dan kreatif. Mereka berpendapat, antara sebab terhalangnya penerokaan idea-idea kreatif adalah kongkongan universiti dan institusi. Di mana orang-orang di dalamnya dikongkong dengan pandangan utama yang diterima oleh golongan yang dianggap "pakar". Ini menjadikan universiti-universiti besar menjadi kaku, tidak terbuka dengan idea dan paradigma baharu. Semuanya harus terkongkong dalam kerangka pemikiran materialis, saintifik, dan emperikal. Sheldrake berpandangan situasi ini terjadi kerana saintis dan pengkaji sudah ditukar fungsi mereka, sebelum ini mereka adalah peneroka, maka lahir banyak idea-idea baharu. Namun hari ini mereka menjadi pekerja, kajian menjadi kareer, dan pengkaji tidak mahu kareernya terjejas. Jadi dia tidak akan mengeluarkan idea-idea yang segar yang mungkin melawan fahaman konvensional. 

Mereka yang bekerja di syarikat-syarikat juga tidak diberikan ruang untuk menjadi kreatif. Kebanyakannya hanya mengulang rutin yang sama. Kata Sheldrake, pekerjaan kebanyakannya memerlukan manusia menjadi tidak kreatif. Pekerja sering dikawal dan diperhatikan. Dan apabila mereka dikawal secara mikro, bagi McGilcrist, ini hanya akan melahirkan manusia yang biasa-biasa, yang membosankan. Sebaliknya, jika kita mahukan idea-idea segar, kita perlu membiarkan manusia meneroka minat dan idea mereka. Mereka mestilah cukup makan dan pakai, tidak risau akan hal ekonomi dan dapat memfokuskan tenaga dan idea mereka pada penerokaan. Antara yang dibincangkan adalah peluang bagi pekerja untuk mengambil sabbatikal, iaitu ruang masa dimana seseorang itu bebas meneroka minat mereka dalam beberapa selang masa. Idea ini bagi saya sangat menarik, dengan peluang sabbatikal, seseorang itu akan bebas, dan apabila ia bebas, idea dan kreativiti mereka dapat berkembang dengan organik.

Dalam bidang penulisan, saya cukup mementingkan soal kebebasan. Penulis itu perlu bebas. Kesetiaannya bukan patut diletakkan pada penerbit, tetapi pada idea dan pemikiran. Hatta penulis itu perlu bebas dari kehendak dan kecenderungan pembaca. Bukan hanya mengikut arus atau mengikut trend. Sebaliknya dia harus kekal original untuk menjadi segar. Kebebasan adalah pra-syarat kepada originaliti.

Saya merasakan dalam dunia yang sibuk dengan keserabutan dan kegilaan. Dapat duduk dengan tenang, menulis dan menumpah fikir itu satu kenikmatan dan kebebasan. Kenikmatan yang abadi pada setiap saatnya.

Tiada ulasan: