Saya baru selesai membaca buku Seni Dalam Peperangan yang merupakan terjemahan kepada karya klasik tulisan Sun Tzu. Saya tidak dapat menangkap banyak perkara yang diperkatakan dalam buku ini. Mungkin kerana ia tulisan yang sangat klasik dan memperkatakan perihal keadaan perang zaman dahulu, yang kebanyakannya saya kira sudah tidak relevan dengan perang zaman moden. Atau mungkin kerana terjemahannya yang tidak berjaya memberi kefahaman moden kepada pembaca baharu. Atau mungkin masalah kefahaman itu datang dari saya sendiri, yang tidak berapa cekap memahami subjek yang dibincangkan.
Apa-apa pun, tidaklah saya membaca buku ini dengan tangan kosong. Ada juga beberapa point yang melekat di minda. Antaranya kefahaman bahawa perang pada hakikatnya adalah tipu muslihat. Ia bukan tempat menunjukkan kegagahan atau keberanian, sebaliknya ia adalah tempat untuk menggunakan apa juga cara untuk mencapai objektif, malah jika objektif itu dapat dicapai tanpa perang, itu lebih baik. Kerana saya merupakan pelajar sejarah, saya juga tertarik apabila nama sejarawan agung China, Su Ma Chi'en ada disebutkan di dalam makalah kecil ini, sumbangan beliau yang sangat besar dalam pensejarahan China pasti mendapat pemerhatian strategis perang, dan Sun Tzu tidak terkecuali.
Untuk memenangi perlawanan, Sun Tzu menegaskan keperluan untuk memahami pihak lawan, kekuatan pasukan sendiri, juga keadaan medan pertempuran. Oleh itu, perisikan dan pengumpulan maklumat merupakan perkara penting dalam merangka strategi perang. Orang yang menang bagi Sun Tzu adalah orang yang boleh mengubah dan menyesuaikan pendekatannya sesuai dengan perubahan keadaan. Antara strategi yang menarik adalah membuka laluan bagi musuh melarikan diri, ini kerana jika mereka ada peluang untuk selamat, mereka tidak akan bertarung mati-matian. Saya kira strategi ini cocok dengan pemikiran sarjana geo-politik kontemporari seperti John Mearshiemer yang mengatakan bahawa musuh yang terdesak akan melakukan langkah drastik untuk mengalahkan kita, oleh itu, sebaiknya jangan membuatkan mereka terdesak terutamanya jika mereka berkemampuan melakukan serangan balas.
Oleh itu, dalam apa-apa pertarungan, kita harus mengenal diri sendiri. Memilih perlawanan yang boleh dimenangi dan mengelak dari perlawanan yang tidak dapat dimenangi. Mengenali diri, musuh dan medan akan membantu kita memenangi setiap perlawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan