Memaparkan catatan dengan label Penulisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penulisan. Papar semua catatan

Jumaat, 7 Ogos 2020

Read Write Coffee Repeat

Christopher Hitchens pernah ditanya dalam satu temuramah oleh Jeremy Paxman berkenaan dengan gaya hidupnya yang gemar merokok dan meminum minuman keras yang mungkin menjadi penyebab kepada penyakit kanser yang dialami beliau. Ketika itu rawatan kanser telah menggugurkan rambut Hitchens. Tetapi Hitchen berkata beliau tidak menyesal akan gaya hidupnya tersebut, kerana perkara itu membantunya berjaga di malam hari, membuatkan beliau terus berjaga untuk membaca dan menulis, walaupun akhirnya ia membinasakan dirinya.

Saya gemar membaca dan menulis, apabila tempoh kawalan pergerakan melanda Malaysia yang memaksa rakyat Malaysia berkurung dirumah, ia seolah-olah satu anugerah buat saya. Secara tiba-tiba saya tidak lagi sibuk dengan perkara-perkara lain. Masa yang ada boleh digunakan sepenuhnya untuk membaca dan menulis.

Tentunya sebagai seorang Islam saya tidak merokok atau mengambil minuman keras. Tapi salah satu kegemaran saya, perkara yang membantu saya berjaga adalah secawan kopi. Seingat saya semasa di St. Petersburg dulu saya minum 3 ke 4 cawan kopi sehari, mungkin lebih. Namun sekarang apabila sudah tua sekitar satu ke dua cawan. Kopi ini mungkin sedikit kontroversi, ada yang mengatakan bahawa kopi ini tidak bagus untuk kesihatan, namun banyak juga kajian yang mengatakan bahawa kopi sebenarnya baik untuk kesihatan. Di zaman kelimpahan informasi ini, sukar untuk membuat keputusan yang objektif, walaupun terhadap perkara yang objektif seperti meminum secawan kopi. Seolah-olah baik atau buruk minum kopi ini adalah relatif, bergantung kepada sumber mana yang kita mahu percaya.

Bagi saya secara peribadi, kopi itu sendiri tidak berbahaya, yang berbahaya adalah kandungan gula dalam bancuhan kopi, kopi yang di brew sendiri mungkin tidak punya apa-apa kandungan yang berbahaya. Tetapi kopi yang diproses dalam sachet 3 in 1 mungkin lebih berbahaya, kerana selain dari kandungan gula, kita tidak tahu bahan lain apa yang ditambah.

Saya pernah juga cuba berhenti untuk minum kopi, namun ternyata tidak berjaya. Kopi tetap terus menjadi sebahagian dari diet saya untuk kekal berjaga untuk menulis dan membaca. Saya tidak pasti sampai bila rutin ini boleh diteruskan. Tetapi sementara peluang ini masih tersedia, saya gembira untuk bangun dari tidur untuk "read write coffee repeat".

Selasa, 28 Julai 2020

Top 10 Bestseller The Bibliophile Bookshop July 2020



Hari ini mendapat khabar gembira buku kecil Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews termasuk dalam 10 buku bestseller di kedai buku The Bibliophile sebaris dengan buku-buku hebat seperti Membaca: Motivasi & Kaedah oleh Zaini Ujang juga buku Islam dan Sosialisme tulisan Professor Dr. Syed Hussein Alatas. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk terus menulis.

Ahad, 19 Julai 2020

Balik ke Kuala Lumpur



Setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan dan pergerakan merentas negeri dibenarkan, saya tidak dapat pulang ke kampung (bandar) di Kuala Lumpur dengan segera kerana perlu menduduki peperiksaan professional. Setelah tamat peperiksaan akhirnya sempat untuk pulang ke bandar halaman untuk menziarahi ibu tersayang.

Menghantar Naskah Buku di Perpustakaan Negara Malaysia

Di kesempatan pulang ini, saya mengambil peluang untuk menyerahkan 5 naskah wajib bagi buku terbaru saya Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews. Ini selaras dengan peraturan dibawah Akta Penerimaan Terbitan yang mewajibkan serahan 5 naskah di Perpustakaan Negara Malaysia. Semoga buku saya tersebut ada sumbangannya kepada perbendaharaan buku negara.

Ada banyak buku-buku yang bagus-bagus yang ditulis penulis muda Malaysia yang saya baca tidak didaftar dan mendapatkan ISBN. Bagi saya ini satu kerugian kerana ia tidak direkod dan dikatalog oleh PNM untuk rujukan generasi akan datang. Jika menulis, saya kira, elok ia di daftar dan dikatalogkan, agar mudah dirujuk generasi akan datang. Tidak kira sama ada kita rasa buku kita itu bagus atau tidak. Malaysia memberi ISBN secara percuma tidak seperti sebahagian negara lain.

Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.
Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara.


Kami ingin masuk Perpustakaan Negara hari ini, tapi kanak-kanak masih belum dibenarkan masuk dek kerana wabak Covid-19. Jadi anak-anak bergambar di luar sahaja.

Menghadiri Pembukaan Kedai Buku The Bibliophile

Alang-alang sudah di Lembah Klang, sempat ke perasmian pembukaan kedai buku The Bibliophile di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya. Kedai buku baru yang diusahakan anak muda Kiridaren Jayakumar. Selain membeli buku, saya juga menghantar buku tulisan saya. Selain buku baru Life full of Reading, buku lama saya Berfikir Tentang Pemikiran juga boleh didapati secara eksklusif di kedai beliau.

Buku lama saya ini sudah out-of-print tapi boleh di dapati di The Bibliophile. Hanya ada beberapa naskah terakhir. Buku ini pernah di kritik oleh Benz Ali dari Republik Buku, kata beliau 

"Buku ini agak tepu dengan nilai-nilai keusrahan, yang kuat unsur didaktiknya".

Ia dikritik sekali dalam siri reviu ke-2, tulis Benz:

"Boleh dikatakan aku agak kecewa juga membaca 100 ms pertamanya."

Buku tersebut juga pernah di reviu, oleh Saudara Akmal Sabri, namun ulasan Akmal tidak begitu ganas, mungkin kerana dia mahu menjaga hati saya. Beliau menulis:

"Begitu dangkalnya manusia sebegini. Tidak mengunakan anugerah akal dari Tuhan untuk berfikir, hanya mengikut sahaja. Saya sangat marah ketika membaca komen tersebut. Saya yakin saranan membaca dalam Islam juga bermaksud membaca, menganalisa dan berfikir. Itulah saranan yang pertama dalam Islam dan sangat cocok untuk zaman ini. Owh isu fictional reality juga menarik."

Saudara Kiridaren Jayakumar founder The Bibliophile bersama buku Life Full of Reading dan Berfikir Tentang Pemikiran


Selain dari buku saya yang tidak menarik, banyak buku-buku menarik boleh didapati di The Bibliophile. Malam ini saya sempat mendapatkan empat buah buku.

1. No Way Home tulisan Teo Ann Siang
2. Fidel Castro oleh Clive Foss
3. Islam And Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
4. The Sejarah Melayu Revisited oleh Ahmat Adam

Banyak lagi buku-buku menarik dalam dan luar negara yang boleh didapati di The Bibliophile. Saya yakin ia akan menjadi tempat bertandang kegemaran buat para pencinta buku!

Menziarahi Pusara Arwah Ayah

Cucu-cucu mengikuti Wo menziarahi pusara arwah atuk mereka.


Pulang kehalaman kali ini benar-benar rasa kelainannya, tiada lagi suara girang ayah yang menyambut kepulangan cucu-cucu. Alhamdulillah berkesempatan bersama ibu, isteri, dan anak-anak untuk menziarahi pusara arwah ayah. Ada satu nafas ketenangan di kubur arwah ayah. Moga Allah ampunkan dosa-dosanya dan terima ayah sebagai orang-orang beriman dan beramal soleh.

Rabu, 1 Julai 2020

Menulis Perlukan PhD



Saya pernah mendapat "nasihat" untuk tidak menulis perihal politik, kerana saya bukanlah ulamak atau ahli akademik yang mempunyai sijil doktor falsafah. Lama juga saya renungkan nasihat itu. 
Pada saya politik ini sebahagian sahaja dari apa yang saya tulis, banyak lagi perkara yang saya tulis bukan pun perihal politik. Ada kala saya rasa berminat, saya tulis, saya tak berminat tak tulis.

Cuma protes saya cuma sedikit ini, politik ini sepatutnya hal rakyat, maslahat rakyat, jadi ia boleh difikir, ditulis, dikritik oleh rakyat. Lagi aneh jika rakyat yang tidak punya PhD tidak boleh menulis pasal politik tetapi ahli politik sendiri ramai yang tidak punya PhD. Malah ada dikalangan mereka tidak pun ada ijazah, ada juga yang menipu sijil.


Bukan niat dan naluri saya memperlekeh mereka yang punya PhD. Tentulah tulisan mereka yang ada PhD mempunyai bayangan autoriti lebih dari penulis biasa. Jika berkesempatan saya pun ingin menyambung pengajian ke peringkat PhD, tetapi itu tidak harus menjadi halangan untuk kita menulis. Barbara Tuchman misalnya, yang menulis karya terkenal The Guns of August perihal prelude kepada perang dunia pertama bukan sahaja tiada sijil PhD, sijil sarjana pun tiada dalam ehwal sejarah. Tetapi tulisan beliau menjadi teks penting, dan diperdebat ahli akademik sejarah di kemudian hari sehingga kini.


Jika syarat menulis itu perlu PhD, maka kita akan kehilangan banyak karya-karya penting, magnum opus yang ditulis sepanjang sejarah oleh penulis yang tiada PhD, tetapi tetap tulisan mereka merubah dunia, menyedarkan generasi, serta memartabatkan manusia.


Kita semua boleh menulis. Sebab itu kita diajar menulis sejak awal, mungkin karangan pertama kita "Aku sebatang pen" atau "Aku sebiji epal" seharusnya kemahiran yang kita belajar itu kita teruskan, tulislah apa pun, pengalaman hidup, protes polisi, perasaan rindu di hujung malam, apa sahaja, itu akan menjadi helaian sejarah buat anak-anak kita. Mereka juga pasti bersyukur kita menulis, ada perkara yang boleh mereka renungi jika kita telah tiada nanti. Tulisan kita akan menjadi dialog kita dengan generasi baru, apabila kita sudah tiada.

Sabtu, 27 Jun 2020

Abang Posmen Bawa Kegembiraan



Posmen sudah datang!

Tengahari semalam sedikit menggembirakan apabila abang posmen datang dan menghadiahkan pada saya satu bundle buku yang telah dicetak. Buku Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews ini merupakan koleksi reviu buku yang saya tulis dalam bahasa Inggeris. Saya dedikasikan buku ini buat arwah ayah yang sangat saya sayangi, Syed Mohd Khair Jiplus yang meninggalkan kami lewat Februari tahun ini. Moga Allah merahmati ayah.

Terima kasih kepada perusahaan Tukang Buku yang mencetak buku saya dengan pantas dan cergas. Hasil craftmanship mereka sangat memuaskan. Kemas dan professional. Antara buku yang sempat saya reviu dalam naskah ini adalah buku tulisan saudara Izzat Ibrahim Camp de Calais juga buku pengembaraan rockers Malaya Francis Wolf dalam naskahnya Kept In Ink.

Pada asalnya saya cetak buku berbentuk paperback ini hanya untuk simpanan peribadi dan juga simpanan Perpustakaan Negara Malaysia. Buku ini boleh didapati dalam bentuk digital di Amazon, Google Play atau E-sentral, dan saya pada asalnya tidak mahu menjualnya dalam bentuk fizikal. Jika ada yang berdegil nak baca buku dalam bentuk fizikal juga, bolehlah meminjam di Perpustakaan Negara atau datang ke rumah saya untuk membacanya sambil minum kopi.

Tetapi teman-teman menyatakan bahawa saya patut cetak naskah fizikal untuk jualan. Benz Ali menyatakan bahawa elok dicetak banyak kerana nampak menarik. Saya menyatakan bahawa saya lebih minat menulis dan menerbit dari menjual. Saya tawarkan kepada beliau sekiranya beliau ingin cetak dan jual tanpa royalti kepada saya, namun rumah penerbitan beliau lebih fokus kepada buku-buku dalam Bahasa Melayu.

Kemudian teman saya, Kiridaren Jayakumar, seorang penggiat buku yang tidak asing lagi di Malaysia, yang merupakan pengusaha kepada perusahaan The Bibliophile menghubungi saya. Beliau bersungguh-sungguh mahu saya mencetak lagi buku saya untuk dijual secara fizikal. Saya sedikit kagum dengan Kiridaren, beliau lebih yakin dengan karya saya melebihi keyakinan saya sendiri kepada karya saya. Seperti jawapan saya pada Benz, saya terangkan sekali lagi bahawa saya lebih minat menulis dari menjual. Namun beliau tidak berputus asa, beliau menawarkan diri untuk mempromosi dan menjual buku tersebut, akhirnya saya setuju. Jadi sekiranya anda ingin mendapatkan naskah fizikal, bolehlah berhubung terus dengan beliau, saya sertakan pautan The Bibliophile disini.

Sebagai penulis yang masih baru, saya tidak menganggap bahawa keuntungan itu satu yang utama buat masa ini. Benar kita perlukan sedikit keuntungan untuk makan dan terus berkarya. Tapi saya kira apa yang lebih penting bagi penulis muda adalah menghasilkan karya, semakin banyak semakin tertingkat pengalaman dan pembaca. Satu hari nanti mungkin ia boleh menjadi sumber pendapatan, tetapi buat masa ini fokusnya perlulah kepada penghasilan karya. Semoga buku kechil ini menambahkan sedikit pembendaharaan buku di negara Malaysia yang kita cintai ini.

Isnin, 8 Jun 2020

Google Play Books vs Amazon Kindle



Saya memang pembaca buku fizikal, malah jika kawan-kawan beri buku digital dalam bentuk epub atau pdf, tak pernah satu pun yang berjaya saya habiskan. Malah saya pernah menulis artikel kenapa saya lebih gemar membaca buku fizikal (terutamanya paperback berbanding ebook). Tetapi itu tidak menafikan bahawa ebook ada tempatnya dalam masyarakat.

Ada penggemarnya sendiri. Ada kelebihannya sendiri. Kepada pembaca, mereka boleh membeli buku yang sukar didapati secara fizikal. Kepada penerbit, mereka tidak perlu membayar kos cetakan, dan tidak perlu berpening untuk menyimpan stok buku yang berlambak.

Baru-baru ini saya telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Life Full of Reading yang merupakan koleksi reviu buku yang saya tulis dalam bahasa Inggeris. Buku ini sebenarnya, saya cetak juga secara fizikal untuk simpanan peribadi. Tetapi untuk orang lain biarlah didapati secara digital. Selain itu, penerbitan buku ini juga sebagai pengalaman peribadi menerbitkan ebook. Satu sesi pembelajaran amali bagi saya. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Rao Sharmizan, editor professional yang sudi membaca dan mengedit naskah manuskrip saya ini agar ia boleh dibaca oleh manusia. Terima kasih juga kepada illustrator berpengalaman Tuan Abdullah Afiq Nashiron yang menghasilkan karya muka depan yang sangat cantik dan kemas.

Sebenarnya saya bukan sahaja menerbitkannya di Amazon Kindle, saya juga memuat naik ebook tersebut di Google Playbook, tetapi sehingga artikel ini ditulis (sudah 3 hari), buku tersebut masih belum diterbitkan, kerana masih dalam semakan pihak Google. Malah Google memberi tahu bahawa proses review mungkin mengambil masa sehingga 12 hari. Ini jauh berbeza dengan Amazon Kindle yang hanya mengambil masa kurang 24 jam untuk buku yang diterbitkan untuk muncul dalam carian di Amazon.

Walaubagaimanapun, saya dapati proses menerbitkan buku di Google Playbook lebih simplified berbanding Amazon Kindle, perkara yang perlu di isi lebih sedikit. Amazon juga tidak mempunyai Malaysia dalam senarai negara yang mereka boleh membuat bayaran online, jadi kita perlu beri mereka alamat dan nombor cukai Malaysia bagi penghantaran cek. Kita boleh memuat naik buku dalam format pdf sekiranya ia tidak ditukar ke dalam format epub di Google Playbook. Amazon Kindle pula sebaliknya memberikan applikasi Kindle Create secara percuma bagi membantu menukar format buku dari Microsoft Word kepada Kindle Edition. Namun, jika ini sukar dilakukan, mereka menerima format Word dan pdf. 

Ada satu lagi platform ebook yang dicadangkan kepada saya, iaitu E-Sentral. Tapi belum sempat saya cuba.

Khamis, 4 Jun 2020

Kos Proofreading Manuskrip Buku di Malaysia



Baru-baru ini saya baru selesai menghabiskan penulisan buku saya yang ketiga. Buku ini agak berlainan dari buku saya sebelum ini dan ditulis dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertama saya, saya ingin manuskrip itu disemak dan diedit sebelum saya menerbitkannya. Kos semakan atau proofreading manuskrip buku ini merupakan persoalan yang sering bermain di minda penulis, terutamanya jika penulis tersebut ingin menerbitkan buku mereka secara swaterbit (self-publication). Perkembangan teknologi hari ini membolehkan kita, melangkah dari rumah-rumah penerbitan dan penerbit utama, dan menerbitkan sendiri penulisan kita dengan kos yang rendah.

Walaupun anda adalah penulis dan anda juga adalah penerbit. Saya sangat-sangat galakkan anda menghantar penulisan tersebut kepada pihak kedua untuk semakan. Ini bagi tujuan mengelakkan anda, pertama, syok sendiri, kedua, mempunyai pandangan bebas yang menyemak manuskrip anda, dan meningkatkan keboleh-bacaan buku yang anda tulis. Dengan proofreading, ada pihak kedua yang membaca dan membetulkan kesilapan yang mungkin tidak dapat dilihat oleh penulis itu sendiri.

Saya menggunakan khidmat professional seorang editor yang saya kenali. Harga yang diberikan adalah RM20 bagi setiap 1000 perkataan. Bagi buku bersaiz A5 dengan 161 mukasurat dan 36,877 patah perkataan, ini menjadikan harga kesuluruhan sebanyak RM737.54. Saya sangat berpuas hati dengan khidmat dan pertolongan beliau. Saya tidak tahu sama ada harga ini terlalu mahal atau terlalu rendah, anda boleh nyatakan pandangan anda. Kerana ini adalah kali pertama saya menggunakan khidmat professional. Sebelum ini saya hanya meminta pertolongan kawan-kawan untuk membaca dan menyemak. 

Isnin, 13 April 2020

Training at Home: Penulisan Kritis


Alhamdulillah, baru-baru ini berkesempatan untuk memenuhi jemputan IIUM Journalism Club dalam medium Jitsi Meet untuk berkongsi sedikit berkenaan dengan tajuk "Penulisan Kritis". Elok juga jika ditulis sedikit berkenaan dengan perkongsian ini untuk manfaat bersama.

Kenapa kita perlu menulis?

Kata Friedich Nietzsche, seorang ahli falsafah "He who has a why to live can bear almost any how". Kata-kata Nietzsche ini menekankan bahawa kita mesti mempunyai "kenapa" untuk melakukan satu perkara, dengan adanya "kenapa" ini kita akan kekal fokus dan istiqamah melakukan apa yang kita lakukan walaupun didatangi pelbagai cabaran dan dugaan.

Banyak sebab manusia menulis. Tulisan pertama yang direkodkan dalam sejarah adalah tulisan orang Sumer di Mesopotamia yang dikenali sebagai cuneiform, ia bertujuan menyimpan data-data numerik perihal pendapatan, hutang dan percukaian. Namun penulisan ini terhad kepada penyimpanan data numerik, ia tidak boleh digunakan untuk menulis puisi sebagai contoh. Hari ini kita menulis atas pelbagai "kenapa", ada yang menulis bagi menyampaikan cerita, merekod peristiwa dan sejarah, juga menyebarkan idea dan kefahaman. Ada juga orang yang menulis disebabkan sebab-sebab peribadi seperti minat, hobi, sebagai terapi diri, mengisi masa lapang, atau ingin menjadikan aktiviti menulis sebagai kerjaya. Semua ini tidak salah, kita boleh punyai "kenapa" kita yang tersendiri.

Dua sayap ilmu adalah menulis dan membaca. Jadi aktiviti penulisan tidak dapat lari dari pembacaan. Dalam Islam, tiada khilaf dalam penurunan ayat pertama Al-Qur'an iaitu "iqra'", sedangkan ayat terakhir Al-Qur'an mempunyai khilaf dikalangan ulama'. Ini menunjukkan kepentingan membaca bagi umat Islam. Tetapi apa yang hendak kita baca sekiranya tiada orang yang menulis?

Dengan menulis juga kita menjati mata rantai yang menyambung rantaian tradisi keilmuan yang panjang dalam Islam. Tradisi ilmu dalam Islam berkembang dengan penulisan. Perkembangan manusia dalam pelbagai aspek sentiasa memerlukan perkara baru dan sudut pandang baru. Dan penulis sepanjang sejarah telah melaksanakan tugas mereka, kini tiba tugas ini jatuh kepada kita di zaman ini, untuk menulis di zaman baru ini menyambung tugas mereka.

Dari sudut pandang dakwah juga kita memerlukan tulisan-tulisan baru untuk menyegarkan dakwah. Perlu ada idea baru, contoh baru, yang sesuai dengan realiti semasa bagi menarik minat masyarakat terhadap kefahaman Islam.Tidak cukup kita sekadar mengulang baca teks-teks lama era kolonial, tanpa ada usaha menyesuaikan idea mereka dengan situasi semasa kita pada hari ini.

Soalan yang sering bermain di minda kita "jika aku menulis, ada ke orang nak baca?". Kita merasakan diri kita kecil, tidak signifikan, oleh ituia menghalang kita dari menulis. Mari kita telusuri kisah Anne Frank sebagai motivasi untuk kita menulis. Anne mula menulis pada umur 13 tahun apabila bapanya Otto menghadiahkannya sebuah diari. Beliau menulis perkara harian sepanjang Perang Dunia Ke-2 seperti memotong kentang dan bergaduh dengan emak. Perkara-perkara yang mundane dan mungkin beliau juga rasa ketika itu bahawa apa yang ditulisnya tidaklah begitu signifikan. Anne kemudian terbunuh di kem tahanan tentera namun ayahnya Otto berjaya hidup.Otto menerbitkan diari Anne pada tahun 1947 selepas kematian anaknya. Diari beliau telah diterjemah hingga ke 70 bahasa, masih dicetak dan dibaca hingga ke hari ini. Jadi kita tidak perlu risau, kita hanya perlu menulis.

Dengan menulis, kita memberi peluang kepada dunia untuk membaca kisah kita, jika tidak, kisah kita akan mati apabila kita mati. Setiap orang mempunyai kisah mereka tersendiri, setiap dari kita unik dan menarik. Persoalannya hanya, adakah kita akan menulisnya untuk dibaca?

Apa yang hendak ditulis?

Kata penulis British, Aldous Huxley "All that happens mean something; nothing you do ever insignificant". Jadi apa sahaja yang boleh difikirkan atau diimaginasikan boleh ditulis, kita boleh tulis tentang apa sahaja, tiada yang tidak signifikan.

Saya sendiri mula menulis blog pada umur 18 tahun, pada waktu itu saya blogging baru mula terkenal di Malaysia, saya rasa tercabar kerana adik saya mempunyai blog. Saya pun mula menulis blog, walhal saya pun tak tahu ketika mula tersebut blog itu apa. Tapi dunia ini pelik dan punya cara tersendiri dalam putarannya, kadang tak terfikir dek akal manusia. Saya juga pelik ada orang yang baca blog saya, bahkan ada yang menulis tentangnya dan memuji tulisan saya, walaupun saya sendiri tak rasa apa yang saya tulis itu menarik. 10 tahun selepas itu saya mula serius menulis buku yang memuatkan pengalaman saya juga idea-idea dari pembacaan. Kemudian pada tahun seterusnya saya bersama rakan-rakan menerbitkan sebuah antologi puisi kecil.Lebih pelik ada orang yang membeli dan membaca buku saya. Jadi jangan rasa tidak signifikan, tuliskan idea-idea anda.

Antara yang kita boleh tulis adalah pengalaman hidup kita, tiada siapa yang mempunyai pengalaman hidup yang sama, jadi setiap kita mempunyai pengalaman hidup sendiri yang unik. Sejarah keluarga juga merupakan tema yang menarik untuk ditulis, setiap tahun kita balik kampung, dari sekadar makan kuih raya elok kita temubual dan rekodkan perjalanan hidup atuk nenek kita, mesti mereka mempunyai pelbagai sejarah untuk diceritakan jika kita bertanya. Sejarah kelab juga elok ditulis, untuk menjadi pedoman dan rujukan generasi baru yang bakal mewarisi kelab kita, apa yang kita rasa sebagai perkara yang tidak signifikan bakal menjadi bahan sejarah penting satu hari nanti. Kelab juga boleh mengumpul puisi, cerpen, atau esei dan menerbitkannya dalam bentuk antologi. Majalah kecil atau zine juga boleh direka dan dicetak sendiri, selain memperkenalkan barisan penulis, kelab juga boleh menjana pendapatan dengan penerbitan zine yang dijual ketika ada acara yang dianjurkan.

Bagaimana hendak menulis?

Kata Franz Kafka "If the book we read doesn't wake us up with a blow to the head, what are we reading for?". Dalam erti kata lain, Kafka mengungkapkan bahawa pembacaan seharusnya membuka minda kita, buku yang baik adalah buku yang berjaya "membingungkan" pembacanya lantas membuatnya semakin dahaga untuk membaca bagi memberi jawapan kepada mindanya. Jadi kita perlu menulis dengan kritis dan membangunkan pemikiran pembaca kita.

Kita semua belajar menulis sejak tadika, tapi yang hendak kita bangunkan bukan sekadar skil menulis menggunakan pensel, tapi penulisan yang merangsang pembaca. Tetapi kita tak akan mampu menulis secara kritis jika kita dahulu tidak boleh berfikir secara kritis. Jadi kita kena berani berfikir!

Sesetengah dari kita takut membaca falsafah berat, takut tersesat. Kita takut membaca karya-karya yang berlawanan dengan keimanan kita, sedangkan mereka sedikit pun tidak takut membaca karya-karya kita. Ketakutan kita ini menyebabkan kita tak mampu memahami kerencaman pemikiran, gagal menggunakan logik untuk melawan hujah lawan kita kerana kita sendiri tak faham apa yang mereka fikirkan. Tetapi ilmuan Islam sepanjang zaman menunjukkan mereka tak pernah takut dengan pemikiran luar, bahkan mereka aktif menterjemah karya-karya dari peradaban lain seperti dari Yunani dan Parsi. Mufti Perlis sendiri dalam bukunya Aku Ingin Kembara Lagi membaca karya penulis ateis radikal seperti Richard Dawkins yang menulis buku The God Delusion. Bahkan jika kita membaca Al-Qur'an berulang-ulang kali kita akan berjumpa ayat "afala tatafakkarun", Tuhan arahkan kita menggunakan akal yang dikurniakan untuk berfikir. Jadi jangan takut berfikir!

Berfikiran kritis memerlukan kita untuk memastikan setiap idea mempunyai hujahan, boleh bertahan apabila diserang logik. Setiap idea perlu difikirkan, dikaji, diuji, sekalipun idea itu datang dari pembacaan kita dari bahan yang ditulis oleh ahli akademik. Untuk berfikiran kritis kita perlu keluar dari tempat persembunyian kita yang selesa. Kita perlu sertai program yang dianjurkan oleh orang lain untuk belajar ilmu organisasi dari mereka. Kita perlu berani mengetengahkan idea kita dan mempertahankannya dalam diskusi dengan mereka yang punya faham yang berbeza. Kita berlu bergaul dengan masyarakat yang rencam. Yang paling penting adalah kita perlu berani apabila dikritik balas oleh lawan kita.

Thomas Friedman dalam bukunya The World is Flat menceritakan bagaimana pesatnya dunia berubah. Bagaimana pekerjaan lama dihapuskan dan pekerjaan baru dicipta. Sifat kritis memerlukan kita berani berubah untuk kekal relevan. Dengan membaca pelbagai buku kita dapat memahami dunia dengan lebih sempurna, antara tool yang boleh kita manfaatkan adalah Goodreads - yang membolehkan kita menanda dan merekod pembacaan, menulis reviu, mencabar diri setiap tahun, dan melihat progres pembacaan kita.

Kita hari ini beruntung kerana hidup di era moden dimana kita mempunyai pelbagai medium penulisan. Kita boleh menuliskan dan menerbitkan penulisan kita di atas talian melalui Facebook, blog, atau website. Bagi penulisan di blog dan website kita boleh mengarkibkan tulisan kita menggunakan tool percuma seperti Wayback Machine di Internet Archive. Namun kandungan atas talian tidak dijamin kekal, pada April 2019 Google menamatkan laman sosialnya Google+. Jika syarikat besar seperti Google juga boleh gagal, apatah lagi kandungan di medium-medium yang lain. Sebab itu aktiviti pembukuan masih relevan. Buku yang kita terbitkan boleh disimpan dan dikatalog oleh perpustakaan negara dengan memohon ISBN number secara percuma. Perpustakaan negara juga menyimpan buku kita di pusat bencana jika berlaku apa-apa bencana untuk memastikan karya kita kekal terpelihara.

Jadi, menulislah! Menulislah dengan kritis!

Selasa, 17 Disember 2019

Setiap Orang Mempunyai Cerita


Setiap orang mempunyai cerita mereka tersendiri. Mereka diberi Tuhan dua pilihan. Pertama, menyimpan cerita tersebut. Kedua, menulis cerita tersebut. Jika mereka memilih pilihan yang pertama, cerita mereka akan mati dikafankan bersama mayat mereka, ditanam dan tidak akan diketahui generasi kemudian. Jika mereka memilih pilihan kedua, maka generasi akan datang mempunyai peluang untuk mengetahui cerita mereka.

Setiap cerita itu mungkin signifikan, mungkin tidak, ramai yang merasakan tiada apa istemewanya tentang kehidupan mereka, tiada apa yang perlu ditulis buat generasi seterusnya. Tetapi sebenarnya bukan penulis yang perlu menjadi juri dan hakimnya, biarlah tugas itu ditentukan pembaca dan generasi akan datang, ketika mereka membuka semula sejarah dan cerita lalu.

Begitulah sebenarnya sabda nabi, ketika benih berada ditanganmu saat esok merupakan hari terakhir dunia, tugasmu adalah menanam benih itu. Nabi menyabdakan bahawa tugas kerdil manusia adalah usaha. Jadi tika hidup dan cerita berada di tanganmu, maka tugas kamu adalah menulisnya.

Saya menulis bermula dari suatu masa yang saya sendiri tidak memahami apa itu penulisan, apa tujuannya, apa kesannya. Dalam perjalanan penulisan saya temui pelbagai ragam manusia. Ada yang berterima kasih, kerana dapat mengaitkan perasaan mereka dengan penulisan saya. Ada juga yang menegah, siapa awak hendak menulis dan mentafsir, awak bukan doktor falsafah. Jika doktor falsafah adalah syarat manusia untuk menulis, nescaya dunia yang kita hidup pada hari ini akan lebih miskin dengan karya, sedangkan falsafah itu sendiri bermula dari manusia yang tidak punya gelaran doktor falsafah.

Maka menulislah! Turunkan tinta, biar kata-kata berbicara. Persetankan tegahan dari mereka yang mahu manusia semua berlindung di dalam gua yang selesa. Pergi kembara dan meneroka, lihatlah dunia yang dicipta Sang Pencipta, dan apabila sudah terkumpul cerita, perlu kita semua bertinta.

Tetapi tinta sahaja tidak mencukupi tanpa membaca. Menulis dan membaca merupakan dua sayap yang sama pentingnya untuk menerbangkan idea. Apabila banyak membaca kita akan merasa kita perlu banyak menulis, dan ketika kita menulis kita akan merasakan bahawa kita perlu banyak membaca. Dengan dua sayap ini kita dapat membebaskan minda dan jiwa, kita akan sedih dan gembira, kita akan menangis dan tertawa, kita akan tersenyum bila tiba masa menutup mata.

Maka terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang membaca blog peribadi saya ini. Ia ditulis oleh manusia, pastilah ada cacat dan cela disini sana. Jika terjumpa celanya harap di kritik kemudian dimaafkan kekhilafannya. Jika terjumpa baiknya harap disimpan kemudian disebarkan pada dunia.

Sebelum saya pulang bertemu Tuhan, biarlah kata-kata ini tertinggal dan ditinggalkan di dunia. Selamat membaca!

Jumaat, 13 Disember 2019

Penghasilan Kulit Buku Antologi Puisi


Saya masih ingat ketika di Pesta Buku KL tahun lalu, membeli dan menyelak naskah buku 'Kept In Ink' tulisan pemuzik dan penulis, Abang Francis Wolf. Buku beliau bukan sahaja memuatkan penulisan tetapi lukisan-lukisan yang beliau sendiri lukis sepanjang pengembaraan beliau. Saya bertanya tentang lukisan original, dengan tegas beliau katakan "Not for sale!".

Buku Francis merupakan antara inspirasi kami ketika kami mula merancang konsep dan isi antologi puisi kami. Pada asalnya kami ingin berkolaborasi dengan mana-mana artis baru-nak-up untuk memasukkan karya mereka diselingkan dengan puisi-puisi kami. Namun, ibarat kata pepatah "sediakan payung sebelum hujan", kami tidak berjaya menjumpai mana-mana artis yang sudi berkolaborasi dalam masa yang singkat.

Namun itu tidaklah mematahkan semangat kami. Ibarat kata pepatah "air yang tenang jangan disangka tiada kura-kura". Akhirnya kami menjumpai seorang artis kecil berusia 4 tahun bernama Amni. Karya-karya beliau begitu abstrak dan sukar difahami manusia dengan mata kasar. Walaupun tidak dapat memenuhi konsep asal iaitu selingan antara puisi, karya beliau akhirnya kami jadikan kulit buku.

Memilih kulit buku bukanlah semudah yang disangka. Designer kami menghasilkan karya kulit beberapa kali. Cubaan pertama adalah menggunakan gambar bunga liar dengan sinar low-light. Kemudian konsep corak batik Melayu. Juga gambar kulit menggunakan hasil fotografi retro dan moden. Namun semuanya seperti, tiada unsur uniqueness dan personal



Sehingga lah kami mengambil keputusan untuk menggunakan karya lukisan Amni. Kini karya lukisan Amni menjadi sebahagian simpanan karya di Perpustakaan Negara Malaysia melalui naskah antologi puisi kami. Apabila mendapat tahu karya beliau digunakan sebagai kulit buku, kini setiap kali dia melukis dia akan lipat dan masukkan kedalam beg kerja ayahnya sambil berkata "Abi painting ni nanti buat buku, kakak masukkan dalam beg abi".

Mungkin satu hari nanti kami akan jumpa artis lain yang sudi berkolaborasi, bolehlah kami terbitkan edisi kedua "updated and revised". Semoga karya kecil kami ini, memberi sumbangan kepada pembendaharaan puisi negara.

Hari-hari lebih indah dengan puisi!

Khamis, 12 Disember 2019

Pengalaman Menulis dan Menerbitkan Buku



Buku 'Berfikir tentang pemikiran' merupakan buku pertama yang saya terbitkan bersama syarikat Independent Insight. Saya cetak sedikit sahaja sebab tak berani nak cetak banyak, tak habis nanti nak buat apa? Ia merupakan dilema yang selalu mengeluti penerbit-penerbit kecil dan indie, yang tidak mempunyai modal yang besar juga capaian pemasaran yang luas. Berjaya menjual 100 naskah pun merupakan satu kejayaan yang besar buat penerbit kecil.

Saya masih teringat nasihat sahabat saya Najmi Abd Rahim, dia usahakan syarikat percetakan. Ketika saya menghantar manuskrip untuk cetakan dia nasihatkan "Aku dah baca, boleh jual ni, cetak la seratus". Tapi saya tetap tak berani, jadi saya cetak hanya 50. Alhamdulillah, sebulan sahaja habis semua, saya hanya tulis di Facebook sahaja, itu pun bukanlah promosi pun, sekadar memberi tahu buku saya telah siap ditulis. Malah kawan-kawan saya di pejabat juga membeli, baik kawan Melayu mahupun kawan-kawan Cina, India, Singh dan lain-lain.

Lega, saya pun malas hendak mencetak lagi. Kemudian, tidak lama selepas itu sahabat saya Izzat Ibrahim mengajak saya menyertai beliau untuk menjual buku di Pesta Buku KL 2018. Saya pun fikir, ada ke orang nak beli? Beliau tak putus asa terus mengajak saya. Akhirnya saya cetak lagi 50. Itu pengalaman pertama dalam hidup pergi PBAKL jual buku, selama ni pergi beli buku sahaja. Kami dapat menyewa reruai yang murah dan dikongsi dengan syarikat penerbitan lain. Ramai juga yang membeli pada masa itu, ada cikgu, ada adik-adik sekolah, mahasiswa, yang paling kelakar mungkin ada seorang wartawan FMT datang booth kami dan beli buku. Ada juga orang-orang yang saya pun tak tahu muncul dari mana. Alhamdulillah habis. Lega sekali lagi.

Tapi selepas itu masih ada sahabat-sahabat yang masih bertanya. Ada yang istiqamah tanya hampir setiap bulan. Saya pun fikir, apa guna tulis buku kalau orang yang nak baca tak dapat beli dan baca. Saya ambil keputusan untuk cetak lagi buat kali yang ketiga, kali ini hanya 30 naskah. Sebab kali ini, saya sudah mempunyai orang yang order, tidak sampai sebulan juga buku-buku ini hampir habis terjual, yang berbaki juga semua sudah ditempah orang.

Semasa saya mencetak buku kali ke-3 pada Disember 2019, saya bersama rakan-rakan menerbitkan antologi puisi ‘Maka Kitab Itu Pun Menyanyi’. Antologi ini kami cetak sebanyak 150 naskah, jadi setiap penulis mempunyai 50 naskah untuk dijual. Tolak 5 naskah wajib untuk serahan pada Perpustakaan Negara Malaysia, saya mempunyai 45 naskah. Antologi puisi ini nipis sahaja jika dibandingkan dengan buku pertama saya, kurang 100 mukasurat. Setelah beberapa bulan, ditangan saya tinggal kurang dari 5 naskah yang tinggal.

Cabaran kami untuk menerbitkan buku adalah mencari pencetak yang sesuai. Ada pencetak yang memberi harga murah, tapi tidak berkualiti. Semasa ingin mencetak antologi puisi, kami berhadapan dengan cabaran pencetak yang mempunyai servis yang buruk. Selepas membayar deposit, kami dijanjikan dengan jangka masa dua minggu untuk pesanan kami siap dicetak. Hampir dua bulan kami menunggu. Hampir setiap minggu pencetak memberi alasan yang pelbagai, vendor bermasalah, kemudian kata sudah siap tapi belum boleh bagi, alasan kononnya berada di luar negara. Akhirnya kami tuntut semula deposit atau kami membuat tuntutan undang-undang. Akhirnya kami dapat deposit kami semula dan mencari pencetak lain.

Bila saya renung-renungkan semula, ada keseronokan menerbitkan dan menjual buku-buku sendiri. Namun jika dibandingkan, saya lebih suka menulis dari menjual. Sebab itu ketika Muzamel bertanya mengapa ingin segera menerbitkan naskah antologi, saya katakan bahawa saya ingin segera meninggalkan buku ini dibelakang agar saya boleh fokus menulis buku seterusnya. 



Sabtu, 17 Ogos 2019

Dualisme bagi membaca



Saya tak pasti sama ada saya ini pencinta buku atau tidak sebenarnya, ya saya masih membaca, tapi seingat saya tidak sekuat dahulu dimana saya boleh menghabiskan hampir 20 buku setahun. Ketika itu saya membaca hampir setiap masa, sebelum tidur, selepas tidur, masa makan, masa menunggu lampu merah semasa memandu, semasa naik bas. Sekarang tidak lagi, mungkin usia sudah tua, beberapa helai muka surat sudah layu, mungkin masa dan tenaga sudah habis disedut oleh pejabat dan dua anak kecil yang sedang membesar di rumah. Tapi ya, saya masih membaca.

Seingat saya, saya bukanlah minat membaca secara natural sejak kecil. Waktu kami di sekolah rendah, ibu ada beberapa kali membawa kami ke Perpustakaan Negara, mendaftarkan kami sebagai ahli, namun saya lebih gemar ke sudut multimedia dan menyaksikan filem The Lord of The Ring semasa di perpustakaan. Semasa saya kecil memang kempen membaca sering dilakukan kerajaan, sampai hari ini saya masih hafal lagu Membaca Gaya Wawasan yang dinyanyikan secara bersama antaranya oleh Siti Nurhaliza, Nazrey Johani (Raihan), Amy Mastura, Dayang Nurfaizah dan lain-lain, hari ini bila tengok semula video lagu tersebut memang nostalgia, dan sedikit kelakar melihat muka-muka artis masa mereka masih muda. Semasa sekolah rendah pernah juga sertai pertandingan nilam, dimana pelajar perlu pinjam buku di perpustakaan, baca, dan buat sinopsis, siapa paling banyak dia menang.

Ok kembali ke topik asal.

Baru-baru ini seorang sahabat saya, Akif (bukan nama sebenar) berkongsi berkenaan dengan apa yang pencinta buku suka lakukan, antaranya membaca banyak buku dalam satu masa, mengumpul timbunan buku, menulis senarai buku yang ingin dibeli, berasa gembira bila teringat akan buku yang dibaca, berasa sedih apabila tamat membaca buku kegemaran, berhenti dan menghayati ayat yang indah ketika membaca, berasa nostalgik melihat buku lama yang pernah dibaca, gembira membaca semula buku, dan rasa bahagia bila memasuki ke kedai buku dan perpustakaan. Ya, saya boleh relate dengan kebanyakan dari sifat-sifat ini. Tetapi ada satu sifat penting yang tidak disenaraikan.

"Apa? Bookmarking pakai resit, sampul gula-gula? Bau buku, sniffing?" soal Akif.

Bagi saya apa yang tertinggal adalah dualiti bagi membaca. Menulis.

Saya masih ingat apa yang dikatakan oleh antara penulis kegemaran saya, Carl Sagan, 'membaca adalah magik, kita boleh berkomunikasi dengan manusia yang hidup di era yang berlainan dari kita' (bukan quotation verbatim). 

Tetapi untuk itu berlaku, perlu ada orang yang menulis buku. Saya tidaklah mewakili semua penggemar buku. Tetapi bagi saya secara personal, seperti malam dan siang, cinta dan lara, suka dan duka, muda dan tua, salah dan benar, besar dan kecil, panjang dan pendek, perlu dan rindu, hitam dan putih, merah dan biru, kanan dan kiri, kapitalis dan sosialis, tawa dan tangis, dualiti untuk membaca adalah menulis.

Bagi saya apabila membaca minda akan terisi, penuh, mendung, dan terasa berat. Dengan menulis, ia membuka floogate di dalam minda, melepaskan idea dengan analisa, memberi komentari pada idea, membahas wacana, berhujah melawan idea, natijahnya minda kembali ringan, kosong dan dapat diisi dengan idea-idea dari pembacaan baru. 

Apabila saya membaca, ada idea yang sangat mengesan jiwa, kadang ia menyentuh sudut hati yang paling dalam, yang saya sendiri tidak tahu ia wujud dalam diri. Kadang ia merupakan ayat dan kisah yang sangat indah. Semua ini akan membuahkan perasaan ingin berkongsi, menulis. Kerana itulah hakikat ilmu, ia berkembang bila dikongsi melalui tulisan.

Jadi bagi saya secara personal (kita boleh berbeza pendapat dalam hal ini, ia tidak dikira bid'ah), seseorang itu belum betul-betul gemar buku jika dia tidak menulis. Kerana seperti siang dan malam, pahit dan manis, dualiti membaca adalah menulis. Dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang.


Ahad, 28 April 2019

Mengenai penulisan


Benar, jam 1 pagi adalah untuk kreativiti, ia adalah masa emas bagi penyair menulis puisi, masa bagi penyanyi menulis lirik lagu yang bakal menjadi siulan remaja, juga masa yang sangat sayup dimana sang rahib sujud mencari Pencipta.

Seingat saya, saya mula menulis blog seawal tingkatan 3, waktu itu saya sendiri tidak faham apa itu blog. Saya menulis blog kerana melihat adik saya mempunyai blog, sebagai abang, saya rasa tercabar. Zaman itu semua orang mempunyai blog, namun kebanyakanya menjadikan blog sebagai diari peribadi. Jadi, apabila Facebook mula menjadi mainstream, penulis blog beralih ke penulisan di status Facebook, yang mana lebih mudah dicapai dan tersebar.

Saya kira, sehingga hari ini saya telah menulis sekitar 255 posting, well not bad. Walaupun blogger kelihatan sebagai satu platform yang stabil, namun saya masih skeptik, kerana pada tahun ini juga, Google telah menutup satu platform mereka iaitu Google+. Jadi ada kemungkinan tulisan saya disini akan hilang satu hari nanti.

Oleh sebab itu bagi saya, pembukuan masih mempunyai peranan yang penting dalam memelihara penulisan, pemikiran, perasaan yang kita simpan dalam bentuk sambungan perkataan dan perenggan. Selain buku, saya juga ada menulis artikel untuk majalah, tapi malangnya mereka jarang menulis nama atau email saya dengan betul, jadi pembaca mungkin tidak dapat mengenalpasti penulis sebenar.

Ada banyak sebab saya menulis, yang pertama adalah saya rasa, saya menulis untuk diri saya sendiri. Dalam banyak masa dan saat, saya merasakan saya ada terfikir sesuatu, kadang-kadang saya merasakan satu tekanan (pressure) jika saya tidak menulis, tidak tenang, tapi setelah ia di tulis dan dilepaskan, saya boleh kembali berfikir dengan tenang, dan dapat berfikir tentang perkara yang lain pula, menulis bagai sebuah injap, membukanya melepaskan air yang bertakung sekian lama di dalam minda. Selepas ia dilepaskan, kita merasa ringan.

"Siapa awak untuk menulis berkenaan dengan politik, awak tidak ada PhD dalam sejarah Malaysia" saya diberitahu pada suatu ketika. Bagi saya sesiapa sahaja boleh menulis berkenaan dengan politik tanpa PhD, hatta menteri yang menjadi ahli politik pun ada yang tidak mempunyai sijil, mengapa kita yang boleh berfikir ini tidak boleh menulis?

Betul atau salah apa yang kita tulis itu perkara biasa. Kita belajar dari membuat kesilapan. Jika kita tidak melakukan kesilapan kita tidak belajar. Saya tak semestinya berpegang dengan apa yang saya tulis sepanjang hayat. Idea berubah mengikut zaman, manusia berubah mengikut situasi, informasi baru boleh menyebabkan sesuatu fahaman menjadi basi dan obsolete. Jadi tak usah takut jika tersalah, kita boleh berubah.

Saya tetap akan menulis selagi ada hayat, orang baca tak baca bukan itu isunya. Apa yang lebih penting kita belajar skil penulisan, lebih banyak kita tulis, lebih banyak salah, lebih banyak kita belajar. Penulisan adalah satu pengembaraan, ia merupakan satu seni yang memberi kepuasan, ia adalah idea yang mengubah pemikiran.