Buku Prisoners of Geography: Ten Maps That Tell You Everything You Need to Know About Global Politics yang ditulis oleh Tim Marshall mengisahkan bagaimana faktor georgrafi menjadi faktor utama bagaimana manusia hidup, bagaimana negara-negara bersifat, dan bagaimana geografi mencorak hubungan antara negara-negara.
Sama ada negara itu merupakan negara yang besar, atau negara yang kecil, keadaan dan struktur georgrafinya menjadi pagar yang menghadkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya. Ia menjadi penjara kepada ketua-ketua negara yang membataskan rancangan dan tindak tanduk mereka. Batasan ini merupakan perbatasan yang berkekalan sepanjang zaman, ia terpakai baik buat kerajaan kuno mahupun kerajaan moden. (vii)
Tanah dimana sesebuah negara didirikan akan menentukan bentuk masyarakat yang ada di atasnya. Ia mencorakkan peperangan, pergelutan kuasa, politik dan pembangunan sosial penduduk yang menduduki tanah tersebut. (vii) Menurut Marshall tiada satu faktor georgrafi yang lebih penting dari faktor geografi lain, kawasan pergunungan tidak kurang pentingnya dari padang pasir, sungai tidak kurang pentingnya dari hutan. Semua ini merupakan faktor geografi yang mencorakkan kehidupan manusia, membataskan apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan. (viii)
Sebagai contoh China dan India, dua negara besar yang berjiran dan mempunyai corak politik dan budaya yang berbeza antara satu sama lain. Kedua-dua negara gergasi tidak pernah berperang antara satu sama lain kecuali satu pertempuran kecil pada tahun 1962. Mengapa? Kerana dua negara gergasi ini dipisahkan oleh pagar georgrafi yang sangat besar dan tinggi – Banjaran Himalaya. (viii) Sungai juga boleh menjadi pagar geografi, Sungai Ibar di Kosovo sebagai contoh, menjadi pemisah antara bangsa Serb dan Albania, ia kekal menjadi sempadan yang memisahkan dua etnik sejak Perang Kosovo Polje pada 1389 hinggalah ke hari ini. (ix)
Walaupun teknologi sudah berkembang maju, terdapat banyak kejadian alam yang masih belum boleh dikuasai manusia. Sebagai contoh, teknologi canggih satelit Amerika Syarikat ketika beroperasi di Afghanistan tidak dapat berfungsi semasa ribut pasir. Kejadian-kejadian alam ini merupakan sebahagian dari faktor cuaca dan geografi yang masih mempengarusi kehidupan manusia sejak zaman kuno sehinggalah ke zaman moden hari ini. (xi) Faktor geopolitik ini memberi kesan tidak kira sama ada negara itu sedang berperang atau dalam keadaan aman. (xii)
Jika kita melihat peta timur tengah, kita melihat bagaimana negara dibentuk kuasa kolonial tanpa mengambil kira topografi dan budaya menurut geografi sesebuah kawasan, hal ini merupakan resepi kegagalan. Kita melihat bagaimana negara-negara yang dibentuk kuasa kolonial ini tidak stabil dan masih berkonflik sehingga ke hari ini. (xii) Namun, ini tidaklah bermakna faktor-faktor lain tidak punya peranan langsung, ia tidak bermakna nasib kita telah ditentukan geografi. Teknologi sebagai contoh punya peranan dalam mengatasi batas-batas geografi. (xii)
Rusia
Rusia merupakan negara yang luas. Kedalaman Moscow ditengah-tengah keluasan ini menyebabkan mana-mana kuasa penjajah perlu memikirkan cara untuk memastikan laluan bekalan ketenteraan dapat disediakan untuk misi tersebut. Hal ini sangat sukar dilaksanakan. Pelajaran ini dipelajari oleh Napoleon pada 1812 dan Hitler pada 1941. (5) Sebagai sebuah negara terbesar di dunia, dengan musim pertanian yang singkat, kerajaannya menghadapi tugas sukar untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk dibahagikan ke seluruh negara. (9)
Russia juga bukanlah sebuah kuasa di Asia. Walaupun 75 peratus kawasannya di Asia hanya 22 peratus penduduknya tinggal di bahagian ini. (10) Apabila Soviet Union runtuh, ia seolah-olah balasan geografi ke atas ideologi. Peristiwa ini menatijahkan peta yang lebih logikal yang mana pergunungan, sungai, tasik dan laut menjadi sempadan bagi bangsa-bangsa yang berbeza mengikut budaya dan bahasa mereka. (13)
Tim Marshall juga membahaskan mengapa negara-negara jiran seperti Georgia, Ukraine dan Moldova terikat dengan Rusia. Rusia tidak akan membenarkan negara-negara ini menyertai Kesatuan Eropah atau NATO. Perbahasan beliau ini pada saya mirip apa yang selalu dibahaskan oleh John Mearsheimer, yang mengatakan bahawa negara-negara ini adalah “buffer zone” buat Rusia dari serangan Eropah. Rusia akan bertindak jika kawasan ini masuk ke dalam sphere of influence Eropah, bahkan ia boleh mencetuskan peperangan. (14)
China
China sekian lama merupakan sebuah kuasa darat, dengan tanah yang luas dan populasi yang besar, hari ini populasi China sekitar 1.4 billion manusia. (37) Tindak tanduk China boleh dikatakan merupakan tindakan dari sifat takut, apa yang disebut sebagai geopolitics of fear. Mengapa China mahu menguasai Tibet? Hal ini mempunyai asas dari sudut geografi. Tibet merupakan tanah tinggi yang memberi kelebihan geografi bersempadan dengan India. Tibet juga merupakan sumber bagi 3 sungai utama China iaitu Sungai Kuning, Sungai Yangtze, dan Sungai Mekong. Atas faktor strategik geografi ini, China tidak akan melepaskan Tibet dari penguasaannya kerana ia adalah faktor survival buat China. (45)
Apa pula asas geografi bagi China untuk menguasai Xinjiang yang mempunyai majoriti penduduk Uighur Muslim? Xinjiang merupakan kawasan yang bersempadan dengan 8 negara, selain merupakan buffer zone, ia juga merupakan laluan perdagangan strategik bagi pelan One Belt, One Road. Selain itu Xinjiang juga menempatkan fasiliti persenjataan nuklear China. (49)
Mungkin tindak tanduk China yang penting buat kita adalah aktiviti China di Laut China Selatan. Malaysia pernah menyekat animasi Abominable dari ditayangkan di pawagam negara kerana animasi ini memaparkan peta Laut China Selatan dengan 9-dash line yang merupakan kawasan tuntutan China di Laut China Selatan. Laut China Selatan juga mempunyai First Island Chain yang merupakan sempadan laut bagi China untuk mengakses Laut Pasifik. (54) Tuntutan China keatas Laut China Selatan bukan sahaja bermotifkan akses pada pasifik, ia juga satu perebutan sumber minyak dan gas yang ada di kawasan tersebut juga hak untuk menangkap ikan di kawasan tersebut.
Untuk menguatkan tuntutan, China membina realiti di lapangan. Sebagai contoh, di satu Pulau Spratly, China membina pelabuhan lengkap dengan landasan untuk digunakan oleh jet pejuang. Di batu karang yang lain China juga menempatkan unit artileri mereka. (59)
China juga bergantung kepada pembukaan Selat Melaka untuk digunakan mereka. Hampir 80 peratus bahan tenaga yang diimport ke China melalui Selat Melaka. (61) Negara yang mengawal selat ini, Indonesia, Malaysia, dan Singapura adalah pro-Amerika Syarikat. Selat ini mempunyai bahagian sempit yang hanya berkeluasan 1.7 batu sedangkan 12 juta tong minyak melaluinya setiap hari untuk memastikan kilang-kilang di China dapat terus beroperasi. (84)
Undang-undang antarabangsa yang mengawal kedaulatan di laut adalah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS). Dimana negara yang meratifikasi undang-undang ini mempunyai hak ekonomi sejauh 200 batu nautika dari perairan mereka dan menjadikan kawasan ini Exclusive Economic Zone (EEZ), dimana sesebuah negara boleh meneroka sumber minyak dan gas, juga mempunyai hak perikanan dalam kawasan ini. (278)
Amerika Syarikat
Dalam membahaskan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia, Marshall menolak teori bahawa Amerika Syarikat merupakan satu kuasa yang sedang dalam kemerosotan. Kedudukan Amerika sebagai negara besar yang bersempadan dengan Laut Atlantik dan Pasifik, keluasan tanah dan kesuburan, kemajuan teknologi, serta ketiadaan musuh regional merupakan antara hujah Marshall bahawa Amerika Syarikat akan terus menjadi superpower dunia. Bagi beliau tulisan bahawa Amerika dalam kemerosotan adalah satu exaggeration.
Antara kekuasaan strategik Amerika adalah posisinya sebagai ketua kepada pakatan ketenteraan NATO. Pembentukan NATO oleh Amerika Syarikat pada tahun 1949 membolehkannya mewarisi kuasa ketenteraan Eropah. Walaupun ketua sivil bagi NATO berubah-rubah, komander NATO akan sentiasa merupakan Amerika Syarikat. (77)
Bagi Marshall, Rusia bukanlah lawan Amerika Syarikat pada hari ini, keadaan geografi menafikan keupayaan Rusia untuk mendapat akses terhadap lautan global. Mereka masih tidak mempunyai perlabuhan yang tidak akan membeku, dan akses terhadap lautan terbuka perlu melalui lautan Laut Baltik, Laut Utara, Laut Hitam, dan Laut Mediterranean yang mendedahkannya kepada pelbagai negara yang tidak mempunyai hubungan mesra dengannya. (79)
China pula menghampiri Amerika Syarikat dari sudut ekonomi. Tetapi mereka masih lagi ketinggalan dari sudut strategi dan ketenteraan. Manakala Amerika akan terus menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk memastikan China tidak berjaya mendahuluinya. (80)
Mengakhiri analisis beliau terhadap Amerika Syarikat, Marshall menolak teori bahawa Amerika merupakan sebuah kuasa yang sedang mengalami kemerosotan. Beliau berpendapat sebaliknya. Amerika sedang menuju fasa dimana ia tidak perlu lagi bergantung kepada bekalan tenaga luar. Amerika kekal menjadi kuasa ekonomi terbesar dan merupakan negara yang paling banyak melabur dalam bidang ketenteraan. Populasinya juga tidak menghadapi masalah penuaan, ia kekal menjadi negara pilihan bagi migrasi dan memiliki universiti-universiti terbaik di dalam dunia. Semua faktor ini menurut Marshall akan mengekalkan kekuasaan Amerika ke atas dunia. (90)
Eropah Barat
Menurut Marshall, apa yang kita rasai sebagai dunia moden pada hari ini lahir dari Eropah. Ia adalah anugerah pada dunia berkat lokasi strategik Eropah yang melahirkan idea dan inovasi. (94) Eropah mempunyai banyak sungai-sungai yang sesuai untuk aktiviti perdagangan. Sungai ini tidak bercantum lalu menghasilkan diversiti negara dalam ruang yang sempit dengan sempadan semulajadi. (95)
Eropah juga menyaksikan negara seperti United Kingdom (UK) yang berkedudukan strategik, kepulauan yang terisolasi yang memberinya sekuriti. Marshall menjelaskan bahawa sekuriti yang dikecapi oleh UK menjadikannya sebuah negara yang boleh memberikan kebebasan tanpa despotisma kepada rakyatnya. Menurut teori ini, dengan ketiadaan ancaman luar, UK tidak memerlukan diktator atau pemimpin yang kuat untuk mempertahankannya. Keadaan ini berjaya melahirkan demokrasi sebelum negara-negara lain mengecapinya. (110)
Kemasukan Imigran Muslim ke negara-negara Eropah juga memberi kesan kepada Kesatuan Eropah. Imigran Muslim berhijrah kebiasaannya disebabkan faktor ekonomi, juga terdapat golongan yang melarikan diri dari pergolakan yang berlaku di Timur Tengah. Kemasukan imigran ini bukan sahaja menyebabkan kegelisahan warga Eropah berkulit putih, ia juga memberi kesan kepada polisi Eropah, contohnya terhadap isu Palestin dimana sensitiviti populasi rakyat muslim mereka perlu diambil kira dalam mengetengahkan sesuatu polisi. (114)
Afrika
Berbeza dengan Eropah, Afrika mempunyai sungai-sungai yang hebat, namun sungai-sungai ini tidak dapat digunakan bagi tujuan perdagangan kerana ia mempunyai banyak air terjun. Perkara ini menghambat Afrika dari mencapai kemajuan seperti Amerika dan Eropah. (120)
Antara tragedi dalam pembentukan negara moden yang dibahaskan oleh Marshall adalah bagaimana bangsa kolonial Eropah melukis peta sempadan negara tanpa menghiraukan keadaan geografi dan sempadan kaum. Contohnya di Afrika mereka melukis sempadan di atas peta mereka kemudian memanggilnya sebagai sebuah negara. Antaranya kawasan pertengahan Congo dan kawasan atas Volta, kemudian memanggil kawasan ini sebuah negara. Ini bukan sahaja satu kesilapan malah penipuan. Akibatnya, penduduk Afrika terperangkap dengan sempadan politik yang dilukis oleh orang Eropah hinggalah ke hari ini. Mereka berperang sesama sendiri serta membantutkan perkembangan ekonomi mereka serta tidak dapat merasai hasil semulajadi yang ada dalam sempadan geografi mereka. Perkara yang sama akan kita lihat di Timur Tengah. (125)
Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan sejarah di Afrika. Mereka merupakan satu negara dengan ketamadunan yang hebat ketika bangsa Eropah masih lagi tinggal dalam rumah yang dibuat dari lumpur. Namun Mesir tidak dapat menjadi kuasa global dan hanya menjadi kuasa regional. Walaupun dilindungi oleh padang pasir, dan mempunyai akses kepada Laut Mediterranean. Sebab kepada halangan ini menurut Marshall adalah geografi, Mesir terletak di kawasan yang tidak punya banyak pokok. Tanpa sumber kayu, Mesir tidak dapat membina armada laut untuk meluaskan kuasanya. (132)
Hari ini kita melihat hari ini bagaimana China mula melabur dengan agresif di Afrika. Negara-negara Afrika senang untuk menerima pelaburan dari China kerana pelaburan China tidak datang dengan sebarang kondisi, China tidak mempunyai pandangan terhadap hak asasi manusia atau korupsi, mereka hanya menimbang dari sudut ekonomi. China tidak akan menyuruh negara-negara Afrika melakukan reformasi ekonomi, atau memperbaiki hak-hak manusia, atau menekan pemimpin Afrika untuk membanteras korupsi seperti mana Bank Dunia atau IMF. Dalam perkara ini, Marshall mengetengahkan faktor ekonomi bukan geografi. (140)
Timur Tengah
Perkataan “Timur Tengah” adalah perkataan yang dicipta oleh orang Eropah. Kita harus bertanya, ditengah apa? Timur dari mana? Ia adalah kawasan Timur dari Eropah, kawasan pertengahan sebelum sampai ke bahagian yang lebih Timur di Asia (Far East). Terminologi ini sendiri lahir dari konsep Eropah terhadap dunia, pandangan Eropah terhadap dunia Timur ini dikupas dengan menarik sekali oleh Edward Said dalam makalah beliau Orientalism. Seperti juga di Eropah, tragedi di Timur Tengah lahir dari tangan orang Eropah yang membuat sempadan negara diatas tanah-tanah jajahan mereka, sempadan yang sekarang cuba diubah dengan darah dalam pergolakan di Timur Tengah. (148)
Sempadan yang dilukis ini adalah imaginasi kolonial Eropah. Sempadan yang ada menurut sejarah adalah berdasarkan geografi. Kawasan-kawasan ini terpisah dan ditadbir mengikut keadaan geografi, semangat etnik dan agama. Mereka tidak menubuhkan negara bangsa seperti konsep negara bangsa Eropah, dan penduduknya tidak mempunyai konsep sempadan negara tetap. Mereka telah sekian lama mengembara dalam kawasan ini tanpa sempadan untuk bertemu keluarga, apabila mereka tiba-tiba memerlukan dokumen yang dikeluarkan oleh pihak yang mereka tidak kenali ia merupakan satu konsep yang asing. (148-149)
Dalam menelusuri konflik di Timur Tengah, Marshall seolah-olah mencanggahi thesis utama beliau, hujah yang dipakai banyak membahaskan soal perbezaan fahaman agama berbanding geografi. Di Iraq sebagai contoh, golongan Syiah tidak akan mengiktiraf penguasaan kerajaan Sunni terhadap dua bandar suci mereka iaitu Najaf dan Karbala, di mana mereka mempercayai Ali dan Hussin dikebumikan. Kawasan-kawasan ini sekian lama diperintah sebagai kawasan berbeza: Mosul, Baghdad dan Basrah, pemisahan ini telah berlaku sejak zaman Assyria, Babylon, dan Sumer, begitu juga dibawah pemerintahan Parsi dan Umayyah. Hanya British menurut Marshall yang memisahkan 3 kawasan pemerintahan ini menjadi satu. Ia merupakan satu kemustahilan yang tidak logik yang hanya boleh difahami seperti konsep Triniti, namun realitinya bagi Iraq ia adalah konsep kehancuran. (152-153)
Bagi menyatukan kawasan-kawasan yang tidak bersatu ini, penganalisis politik mengutarakan teori bahawa satu pemimpin yang kuat (strong man) diperlukan untuk menyatukan mereka. Satu per satu diktator diangkat dan dibuang, namun hakikatnya penduduknya tidak pernah bersatu, mereka hanya duduk diam sebentar kerana takutkan diktator. Antara bangsa yang hidup dalam batas geografi Iraq tetapi merupakan satu etnik tersendiri adalah Bangsa Kurdis, mereka menduduki batasan geografi yang boleh ditentukan dengan objektif disamping mempunyai populasi yang besar dan mampu bertindak balas apabila beban diktator terlalu menghimpit. Iraq mempunyai 5 juta penduduk berbangsa Kurdis di bahagian utara di kawasan seperti Irbil, Sulaimaniyah dan Dahuk. Mereka berjaya memelihara identiti mereka yang tersendiri meskipun ditekan dibawah regim diktator. (153)
Marshall juga menolak teori yang mengatakan ketidakstabilan Timur Tengah adalah kerana Israel. Bagi beliau ini adalah penipuan yang diketengahkan oleh diktator Arab. Penipuan ini menurutnya diterima oleh orang-orang Eropah yang bodoh. (168) Namun dalam hal ini saya kira Marshall tidak jujur, beliau tidak membahaskan peranan kuasa Eropah dalam menghalang proses pendemokrasian negara-negara Timur Tengah. Beliau juga tidak membahaskan sokongan Eropah terhadap para diktator yang membolehkan mereka mengawal sumber hasil bumi, juga sikap Eropah yang mengambil keuntungan hasil dari konflik yang berlaku dengan menjual senjata.
Mengapa Kesatuan Eropah tidak menerima Turki sebagai ahlinya? Bagi Marshall sebab pertama adalah kerana rekod hak asasi manusia, terutamanya dalam persoalan Bangsa Kurdis. Juga kerana ketidak setaraan ekonomi. Perbezaan ekonomi ini ditakuti akan menimbulkan migrasi populasi besar-besaran bangsa Turki ke Eropah bagi mencari pekerjaan. Faktor ke-Islaman negara Turki juga dilihat sebagai faktor penolakan Eropah keatas Turki dari menjadi ahlinya. (180-181) Dalam analisa beliau perihal “Arab Spring”, bagi Marshall ia adalah ciptaan media. Media Barat pantas menemuramah protestan muda yang liberal menjadikan ia seolah-olah suara keseluruhan masyarakat Arab. Perkara ini menimbulkan kekeliruan kepada kefahaman masyarakat Barat perihal fenomena ini, mereka membayangkan bahawa masyarakat Arab sudah bersedia menerima kebebasan liberal seperti di Barat. Namun hakikatnya suara yang mereka angkat itu adalah suara minoriti dalam masyarakat Arab. (185) Bagi Marshall, kebencian orang Arab terhadap Barat bukanlah satu prejudis, tetapi sifat mereka. Namun sifat ini tidak dikritik oleh golongan liberal di Barat yang digelar “apologis” oleh Marshall. Ini kerana menurutnya mereka takut digelar dengan gelaran “Orientalis” yang dipelopori oleh kajian Edward Said. (187)
India-Pakistan
Perpecahan antara India, Pakistan, dan Bangladesh juga menurut Marshall adalah kerana perbezaan sejak zaman purba bersabit dengan bahasa, georgrafi, dan agama. Apabila British meninggalkan kawasan jajahan mereka, perbezaan ini muncul kembali dan menatijahkan peperangan dan pembentukan negara yang berbeza. (194) Perkara ini merupakan perkara yang sama, bagaimana kuasa kolonial menggabungkan bangsa yang berbeza identiti untuk membentuk satu negara bangsa. Penjajahan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan juga merupakan sebuah resepi kegagalan. Taliban yang cuba diperangi adalah penduduk Afghanistan dan Pakistan, mereka tiada tempat lain untuk pergi. Mereka akan kekal di sana selepas Amerika Syarikat berundur. Bak kata pepatah “you may have the watches, but we have the time”. (206)
Kesimpulan
Pada hemat saya, buku ini tertingkat sedikit martabatnya kerana beliau menukil dua nama penulis kegemaran saya. Pertama beliau berani mengkritik label "Orientalis" yang dipelopori Edward Said. Kedua, beliau memetik nama Carl Sagan dalam konklusinya. Bagi Sagan masa depan eksplorasi manusia adalah angkasa lepas, dan ini menurut Marshall merupakan tempat dimana konflik masa depan akan mengambil tempat. (288) Pandangan peribadi saya perbahasan geo-politik beliau biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana fokusnya terlalu besar, jadi konflik regional dibahaskan secara surface level sahaja. Banyak juga hujah dan perbahasan beliau yang lari dari central thesis beliau sendiri, iaitu geografi sebagai sumber konflik, sebaliknya banyak perbahasan beliau yang menjurus kepada faktor lain sebagai sumber konflik seperti ideologi, agama dan semangat etnik terutamanya dalam soal India, Pakistan dan Timur Tengah. Walaubagaimanapun saya merasakan kekuatan buku ini adalah pada accessibility-nya, ia mudah dibaca dan difahami oleh sesiapa sahaja.