Jumaat, 22 Oktober 2021
Catatan Baitul Muslim 47: Kawan Adik Nama Atif
Selasa, 19 Oktober 2021
Biodata & Sosok Peribadi Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam
Pengenalan
Setiap tahun kita menyambut kelahiran Nabi Muhammad dalam sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini tidak seharusnya dijadikan acara tahunan bagi bergaduh sesama kita perihal persoalan sama ada ia adalah sambutan yang baik atau pun merupakan bid’ah. Sebaliknya ia perlu digunakan sebagai wadah untuk kita memperingati kekasih agung kita, membaca kisah-kisah baginda serta memperbaharui kecintaan kita kepada Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam. Pada penulisan ringkas ini, kita akan melihat semula sebahagian dari kisah kehidupan baginda serta akhlak dan peribadi baginda.
Biodata Ringkas Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam
Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam adalah Nabi yang paling hebat dalam sejarah. Mengapa kita mengatakan Nabi Muhammad paling hebat?
Allah berfirman:
“Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Surah Al-Baqarah 2: 253) [1]
Jadi dari ayat ini kita fahami bahawa nabi-nabi ini mempunyai martabat dan darjat yang berbeza disisi Allah. Ada nabi yang kisahnya diceritakan di dalam Al-Qur’an dan ada juga yang tidak diceritakan. Setiap dari mereka diuji dengan tribulasi yang berbeza untuk mengangkat darjat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Dan Nabi Muhammad merupakan Nabi yang diuji dengan ujian yang paling berat. Menurut Mufti Ismail ibn Musa Menk, Nabi Muhammad merupakan insan yang paling disayangi Allah, tetapi Allah tidak memberi segala kesenangan dunia kepada baginda. [2] Oleh itu kita dapat fahami bahawa, jika Allah tidak memberi kesenangan dunia kepada kita, itu tidak bererti Allah tidak sayang kepada kita. Sedangkan Rasulullah sendiri tidak hidup dalam kesenangan, tetapi Allah memberi pada baginda ketenangan hati.
Ayah baginda wafat sebelum kelahiran baginda. Baginda lahir pada zaman ketika mana manusia belum lagi mempunyai teknologi seperti elektrik, kereta, smart phone, atau roket, tetapi beliau merupakan insan yang dipilih Allah untuk menjadi Rasul. Rasulullah yatim sejak lahir. Mengapa Allah memilih seorang yang yatim sebagai insan yang paling mulia? Ini kerana Allah ingin memberi ketenangan kepada anak-anak yatim lain di dunia. Seorang yatim itu bukan menjadi yatim kerana tidak disukai Allah, tetapi mungkin kerana Allah lebi sayang pada mereka jadi Allah menjadikan mereka yatim seperti yatimnya Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad kemudian disusukan oleh Halimatus Sa’diyah, pada ketika dalam jagaan Halimatus Sa’diyah ini Allah menghantar malaikat Jibril untuk membersihkan hati baginda. Beliau kemudian pulang ke pangkuan ibunya pada umur 5 tahun, dan dalam sesetengah riwayat, ibunya meninggal dunia ketika dia berumur 6 tahun. Hari ini umur 6 tahun ini adalah umur tadika, belum masuk darjah 1. Segala kesusahan ini tidak bermakna Allah tidak mencintai baginda Rasul, oleh itu jika kita menghadapi cabaran dan kesusahan dalam hidup, itu tidak bermakna Allah tidak sayang kita, tetapi Allah mahu kita lebih dekat dengan-Nya. Kita kena sentiasa mensyukuri apa yang kita ada, dan mengetahui bahawa setiap orang diuji dengan masalah. Semakin berat ujian itu semakin Allah mahu kita mendekati-Nya.
Selepas itu Nabi dijaga oleh datuknya, namun selepas 2 tahun, datuknya pula meninggal. Bayangkan pada umur 8 tahun (darjah 2), kita sudah kehilangan 3 orang yang kita cintai, orang yang membesarkan dan menjaga kita. Saya sendiri kehilangan ayah pada umur 30-tahun, perasaan sedihnya itu tak mampu diungkapkan. Kemudian Nabi dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Abu Thalib merupakan ayah kepada Ali Radiallahu-anhu, tetapi Ali pada ketika itu belum lagi lahir.
Apabila Rasulullah semakin membesar dan semakin dewasa, baginda dikenali oleh masyarakat pada ketika itu sebagai orang yang boleh dipercayai “Al-Ameen”. Jadi kita pula bagaimana? Adakah ibu, ayah, guru, cikgu kita merasakan kita ini seorang yang jujur dan boleh dipercayai. Adakah orang kampung kita kenal kita sebagai seorang yang baik? Hatta sebelum baginda dilantik menjadi Nabi, masyarakat merujuk kepada beliau untuk menyelesaikan perbalahan yang ada. Sebagai contoh, pada ketika kaum-kaum di Mekah berbalah siapa yang lebih layak meletakkan Hajar-ul-Aswad, Nabi Muhammad dirujuk dan setiap kaum menerima resolusi yang diberikan oleh baginda.
Sosok Peribadi Rasulullah Sallallahu-alaihi-wasallam
Keperibadian Rasulullah ini sangat tinggi dan boleh kita lihat dari pelbagai sudut. Dan banyak penulis yang menulis tentang peribadi Rasul dari pelbagai sudut. Ada yang menulis peribadi Rasulullah ketika perang, bagaimana berinteraksi dengan musuh. Ada yang menulis peribadi Rasulullah dalam menjadi pemimpin masyarakat. Ada juga yang menulis bagaimana Rasulullah mendidik anak-anak, contohnya buku Children Around The Prophet tulisan Dr. Hesham Al-Wadi. Di kesempatan yang singkat ini saya ingin berkongsi peribadi Rasulullah berurusan dan berinteraksi dengan manusia.
Sheikh Abi Khalid Aiman bin Abdul Aziz menulis berkenaan “Syamail Rasul” (penampilan atau keperibadian Rasul) bahawa Rasulullah adalah orang yang paling baik wajahnya dan paling baik perangainya. [3] Rasulullah ini bukanlah seorang yang suka berkata “fahisyan” – perkataan-perkataan kotor. Sedangkan dalam kalangan kita ada sesetengah orang yang fahisyan ini menjadi sifat mereka. Gurauan mereka penuh dengan kata-kata kotor, carutan, dan maki hamun, malah hari ini sosial media mereka penuh dengan perkataan-perkataan kotor. Kata-kata kotor ini seolah-olah menjadi zikir mereka. Dan nabi bukan “mutafahish” – iaitu orang yang apabila dia marah dia mengeluarkan kata-kata yang kotor. Jadi kita juga kena berhati-hati, menjaga perkataan ketika marah, sebaik-baiknya kita diam dan tunggu lepas kemarahan reda. Jangan apabila bergaduh kita menengking kawan kita.
Nabi juga bukan seorang yang suka menjerit-jerit suaranya, seperti orang-orang di pasar. Nabi bukan seorang yang suka jerkah-jerkah orang ketika berkata-kata. Rasulullah juga sangat pemaaf orangnya, baginda tidak pernah membalas sesuatu kejahatan dengan kejahatan. Beliau juga tidak pernah membalas kezaliman yang dilakukan kepada dirinya kecuali perkara yang dilakukan itu melanggar suruhan Allah. Jika seseorang itu melanggar perintah Allah baru kita lihat Rasulullah marah. Jadi inilah peribadi Rasul yang kita kena contohi, mendahulukan kepentingan Allah dari kepentingan diri sendiri.
Rasulullah juga sifatnya memudahkan urusan manusia. Jika diberi pilihan, Rasulullah sentiasa memilih yang senang selagi mana ia tidak berdosa. Dalam Islam ini ada perkara-perkara yang bersifat usul (tsawabit) seperti ke-Esa-an Allah dan ada perkara yang furu’ (mutaghaiyirat) – perkara yang ada pelbagai pandangan mazhab seperti dalam fiqh dan muamalah. Jadi dalam hal-hal pilihan ini kita boleh memilih yang lebih mudah. Jadi kita juga perlu begitu, perlu ada toleransi, dan sifat memahami seperti Nabi, kita memudahkan urusan orang lain.
Selain itu sifat peribadi Rasulullah adalah beliau tidak pernah memukul dengan tangan baginda. Baginda tidak pernah memukul hamba, perempuan, atau khadam melainkan ketika jihad fi sabilillah. Kata Anas Radiallahu-anhu “Aku berkhidmat kepada Rasululullah 10 tahun (ashara sinin), tak pernah baginda katakan kepadaku uff (hei), tak pernah juga baginda bertanya kenapa akan perbuatanku, iaitu kenapa kau berbuat begitu? tidak pernah juga akan perkara yang aku tertinggal, baginda bertanya kenapa tidak kau lakukan?”.
Rasulullah sangat menjaga hubungan sesama manusia. Jika baginda berjabat tangan (bersalaman) dengan seseorang, baginda tidak akan mengangkat tangannya melainkan orang yang bersalam dengannya telah mengangkat tangan. Jika bercakap dengan seseorang, baginda akan menghalakan wajahnya dan perkataannya kepada orang itu, sehingga orang itu merasa dia adalah orang yang dekat dengan nabi, dan dia rasa bahawa Nabi sayang padanya. Seperti kata Amru Bin Asr, apabila beliau masuk Islam dan bercakap dengan Nabi, dia rasakan seolah-olah Nabi paling sayang pada dirinya. Setiap sahabat Nabi rasa mereka disayangi, mereka rasa mereka paling dekat dengan Nabi. Tapi apabila ditanya Nabi, siapa yang dia paling sayang, jawapan baginda adalah Abu Bakr.
Kata Jarir Ibni Abdillah Radiallahu-anhu “Rasulullah tak pernah tengok aku selepas aku Islam, (illa tabassum) melainkan bila dia tengok aku dia senyum”. Kata Abdullah bin Harith “Aku tidak pernah melihat orang yang paling banyak senyum lebih dari Rasulullah”.
Kesimpulan
Semoga dengan penulisan ini kita dapat memperbaharui semula kecintaan kita pada baginda nabi. Dari kisah awal kehidupan baginda kita dapat fahami bahawa segala ujian dan cabaran itu bukanlah bermakna Allah tidak sayang akan seseorang tetapi sebaliknya, dari perjalanan hidup baginda kita dapat fahami bahawa Allah sentiasa menguji hamba-hambanya yang dia kasihi. Kita juga telah melihat keperibadian baginda termasuklah tidak berkata kotor, pemaaf, memudahkan manusia, bercakap baik dengan manusia serta selalu menghadiahkan senyuman. Ini semua adalah sifat-sifat yang perlu kita contohi dan amalkan atas dasar kecintaan kita pada baginda.
Rujukan:
[1] Al-Qur’an. Surah Al-Baqarah. (2:253)
[2] Ismail ibn Musa Menk (Mufti Menk). The Storyof Prophet Muhammad. Light Upon Light Winter Conference, 1 Januari 2021.
[3] Mohd Asri Zainul Abidin. Akhlak dankeperibadian Nabi SAW / Karomah Usaid dan Abbad R.A. (Dirakam pada 01 Mac 2011). Islam Itu Indah, 2 Jun 2013.
Cahaya Terakhir di Kelopak Mata
Angin sejuk berlalu di malam hari,
mengusik jiwa dengan sepi yang melingkari,
mungkin lembaran-lembaran dapat membantu,
membuang batu-batu dari kalbumu.
ibarat pasir pantai dicelahan jemari,
akhirnya akan berguguran jua,
walau sekuat mana kau mengenggamnya.
Maka tinggalkanlah sedikit kata,
buat generasi seterusnya di semesta,
sebelum hilangnya,
cahaya terakhir di kelopak mata.
Isnin, 18 Oktober 2021
Sejarah Penulisan dan Periwayatan Kitab Perjanjian Baru
Saya sebenarnya sudah lama mengenali Bart D. Ehrman melalui video-video beliau di Youtube. Hampir semua syarahan, temubual, dan perdebatan beliau telah saya tontoni tanpa jemu. Malah hampir setiap hari saya mendengarnya. Mungkin syarahan beliau adalah syarahan kegemaran saya selepas Chomsky dan Zinn. Atas minat saya perihal syarahan-syarahan beliau, akhirnya saya membeli buku beliau yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why. Saya dapati gaya penulisan beliau sangat mirip dengan cara syarahan beliau, energetic, persuasive, passionate dan convincing. Saya hanya mengambil masa 10 hari untuk menghabiskan buku beliau, walhal ada buku yang saya masih baca sejak tahun lalu pun belum dihabiskan!
Beliau memulakan penulisannya
dengan autobiografi, perjalanan peribadi beliau, bagaimana beliau masuk ke
dalam bidang kajian manuskrip perjanjian baru (New Testament studies)
dengan fokus pada kritik tekstual (textual criticism). Perkara ini
bermula ketika remaja, apabila beliau merasa kekosongan hidup dan berjumpa
seorang brother bernama Bruce. Bruce meyakinkan beliau kekosongan hidup
yang dirasainya adalah kerana ketiadaan Jesus dalam dirinya. Bart kemudian
mengikuti Bruce dan menjadi born again Christian, mengikuti aliran
Evangelikal pekat yang percaya bahawa Bible adalah perkataan dari Tuhan tanpa
sebarang kesilapan (inerrant word of God).
Komitmen beliau terhadap Bible
ini kemudian diteruskan dengan pengajian beliau di sebuah institusi
fundamentalis bernama Moody Bible Institute. Masih tidak berasa puas, beliau
menyambung pengajian ke institusi lebih tinggi di Wheaton dan kemudian di Princeton
untuk menguasai bahasa kuno Yunani bagi membolehkannya membaca Kitab Perjanjian
Baru dalam bahasa asal mereka ditulis. Pengajian tinggi ini akhirnya membuka
mata Bart bahawa terdapat pelbagai kesilapan dan berbezaan antara
manuskrip-manuskrip Kitab Perjanjian Baru. Beliau akhirnya menukar fikiran dan
tidak lagi berpegang dengan fahaman fundamentalis evangelikal.
“The Bible began to appear to me
as a very human book. Just as human scribes had copied, and changed, the text
of scripture, so too had human authors originally written the texts of
scripture. This was a human book from beginning to end” (11)
Dalam menelusuri sejarah awal
Kristian, Bart Ehrman mengemukakan bagaimana agama Kristian berbeza dari agama polytheist
dan agama pagan pada zamannya dari sudut sifatnya yang bookish –
menutamakan kitab (ahli kitab). Agama polytheist dan agama pagan tidak
mempunyai doktrin moral dan etika seperti agama berpandukan kitab, bukan
bermaksud mereka tidak bermoral atau tidak beretika tetapi moral dan etika
bukan sebahagian dari agama tetapi dianggap sebahagian dari falsafah peribadi.
Berbeza dengan Kristian, mereka tidak mempunyai “kod etika” atau “doktrin yang
benar” tetapi agama pagan lebih memfokuskan tentang bagaimana untuk menyembah
tuhan dengan berkorban dan acara ritual. (19)
Selain Gospels (tulisan
perihal kisah hidup Jesus), kebanyakan kandungan Kitab Perjanjian Baru adalah
surat-surat yang ditulis Paul dan pemimpin awal Kristian kepada komuniti dan
sesetengahnya kepada individu. Contohnya Galatians dan Corinthians (tempat), juga
pada Philemon (individu). (22) Masalah utama dengan Kitab Perjanjian Baru
adalah ketiadaan manuskrip asal (autograf), sebaliknya apa yang ada adalah
manuskrip-manuskrip terkemudian yang merupakan salinan beratus-ratus tahun
selepas salinan asal ditulis. Dan salinan kepada salinan kepada salinan kepada
salinan ini dipenuhi dengan kesilapan dan perbezaan. Untuk menyelesaikan
masalah ini, scholar (cendiakawan) membuat penilaian kritis terhadap
teks (textual criticism) sebagai cubaan untuk menentukan tulisan asal
(original). Walau bagaimanapun perbezaan ini terlalu banyak sehingga sesetengah
cendiakawan merasakan usaha untuk menentukan tulisan yang original ini tidak
mungkin dicapai. Dalam kata lain tulisan asal ini telah hilang dan tidak lagi
wujud. (58)
Antara sejarah penulisan Kitab
Perjanjian Baru yang diketengahkan oleh Ehrman adalah bagaimana Desiderius Erasmus
menerbitkan edisi pertama Kitab ini dalam bahasa Yunani. Namun edisi Erasmus
ini menimbulkan kontroversi kerana ia tidak mempunyai ayat penting dari 1 John
(5:7-8) atau ayat yang lebih dikenali sebagai Johannine Comma. Ayat ini
sangat penting kerana ia merupakan ayat penting untuk menjadi dalil kepada tiga
tuhan (triune God) atau lebih dikenali sebagai doktrin triniti. Ayat ini
tiada dalam kebanyakan manuskrip Yunani yang dirujuk oleh Erasmus oleh itu
Erasmus tidak memasukkannya, tetapi ayat tersebut ada dalam manuskrip Vulgate
dalam bahasa Latin. Erasmus berjanji akan memasukkan ayat tersebut pada edisi
seterusnya dengan syarat pengkritiknya dapat memberikan manuskrip Yunani yang
mempunyai Johannine Comma. Lalu pengkritiknya menterjemahkan ayat
tersebut dari Latin, dan mencipta sebuah manuskrip Yunani baharu dan diserahkan
pada Erasmus. Dari manuskrip yang dicipta ini, Erasmus memasukkan semula ayat
tersebut pada edisi beliau yang baharu. (81-82)
Kebanyakan kesilapan dari
manuskrip-manuskrip yang ada adalah kesilapan kecil yang tidak disengajakan,
hal ini disebabkan oleh scribes yang tidak fokus, tidak attentif,
mengantuk, atau tersilap. Namun terdapat banyak perbezaan-perbezaan yang
disengajakan. Dan para cendiakawan dan pengkaji secara majoritinya bersetuju
bahawa teks asal telah diubah. Yang menjadi pertikaian cendiakawan adalah
bacaan mana yang merupakan bacaan asal apabila membandingkan perbezaan bacaan
dalam kalangan manuskrip ini. (94)
Perubahan bacaan ini juga
menjadi perdebatan sentral dalam perpecahan Katolik dan Protestan. Oleh kerana
manuskrip-manuskrip ini terdapat banyak masalah, scripture (kitab) tidak
dapat dijadikan satu-satunya sumber agama tetapi ia perlu kepada panduan apostolic
tradition (autoriti Pope) hujah kelompok Katolik. Ini bertentangan dengan
pandangan golongan Protestan yang bergantung penuh pada kitab melalui konsep sola
scriptura. Richard Simon menkritik fahaman Protestan menulis:
“The great changes that have
taken place in the manuscripts of the Bible…since the first originals were
lost, completely destroy the principle of the Protestants…, who only consult
these same manuscripts of the Bible in the form they are today. If the truth of
religion had not lived on in the Church, it would not be safe to look for it
now in books that have been subjected to so many changes and that in so many
matters dependent on the will of the copyists”. (104)
Salah satu metodologi yang
digunakan oleh cendiakawan dalam menentukan bacaan original adalah mengutamakan
bacaan yang sukar. Logik dari metodologi ini adalah tendensi scribes
untuk memudahkan bacaan apabila mereka menjumpai ayat yang sukar. Formulasi ini
diasaskan oleh Johann Albrecht Bengel yang berbunyi “the more difficult
reading is preferable to the easier one”. (111) Antara doktrin utama
Kristian adalah ketuhanan Jesus. Bart Ehrman membawakan kisah pengkajian
cendiakawan bernama Johann J. Wettstein yang diberi akses untuk mengkaji antara
manuskrip tertua iaitu Codex Alexandrinus di England. Kajian Wettstein
mendapati ayat-ayat yang digunakan untuk dijadikan dalil ketuhanan Jesus secara
tipikal mempunyai masalah teks (dalam kata lain, ayat-ayat ini telah
diubahsuai). Apabila masalah ini diselesaikan menggunakan metodologi kritik
teks, dalam kebanyakan kes bacaan sebenar tidak mengakui ketuhanan Jesus. (113)
Pada pandangan Ehrman,
kebanyakan naskah terjemahan Kitab Perjanjian Baru dalam bahasa Inggeris yang
ada pada hari ini adalah berdasarkan teks yang salah. Teks yang salah ini
menatijahkan tafsiran yang salah pula dibuat ke atasnya. Dalam kata lain,
tafsiran yang dibuat tidak dapat menyampaikan maksud penulis asal. (127) Antara
motif perubahan teks ini adalah kerana terdapat perdebatan perihal teologi pada
fasa permulaan agama Kristian dan scribes yang menyalin semula manuskrip
ingin memastikan bahawa teks yang disalin menyokong teologi mereka. Perkara ini
berlaku pada peringkat awal sebelum kemunculan scribes yang dilatih
secara professional. Peringkat awal ini, iaitu pada abad ke-2 dan ke-3
permulaan agama Kristian, persoalan teologi masih belum konklusif (aliran yang
boleh dianggap orthodoks belum wujud). Ada Kristian yang mengakui ke-Esa-an
tuhan (hanya ada satu tuhan), ada yang mengakui adanya dua tuhan (tuhan
perjanjian lama dan tuhan perjanjian baru), ada juga yang mengatakan tuhan itu
ada 12 malah ada yang mengatakan ada 365 tuhan! (152)
Bart Ehrman kemudian membawa
pembaca menganalisa perubahan-perubahan yang dibuat bermotifkan teologi ini.
Yang pertama adalah perubahan “anti-adoptionist”. Ada kelompok adoptionist
yang mengatakan bahawa Jesus bukanlah tuhan tetapi manusia biasa yang diangkat
(adopted) menjadi anak tuhan. Scribes menukar ayat-ayat yang
menyokong fahaman adoptionist ini – oleh itu perubahan yang dilakukan
ini ditermakan sebagai “anti-adoptionist”. (155-157) Motif teologi
perubahan teks seterusnya adalah perubahan “antidocetic”. Pengikut docetist
berfahaman bahawa Jesus adalah keseluruhannya tuhan tapi dia kelihatan seolah-olah
seperti manusia. Antara tokoh yang memegang pada fahaman ini adalah Marcion.
(162-165) Motif perubahan disebabkan teologi yang terakhir adalah perubahan “anti-separationist”.
Golongan separationist ini berfahaman bahawa Jesus terpecah kepada dua
bentuk, satu, keseluruhannya adalah tuhan manakala bentuk yang kedua,
keseluruhannya adalah manusia. Fahaman separationist ini dipegang oleh
aliran Gnostic. Scribes membuat perubahan ke atas teks bagi melawan
semua pandangan-pandangan teologi yang dirasakan tidak betul. (170-175)
Selain motif teologi, ada juga
perubahan-perubahan keatas teks yang dibuat berdasarkan faktor sosial. Motif
sosial ini termasuklah fahaman untuk melimitasikan peranan wanita dalam gereja,
penentangan ke atas kaum Yahudi yang dianggap “pembunuh tuhan” (Yahudi
dipersalahkan kerana dikatakan berkonspirasi membunuh Jesus), dan penentangan
terhadap musuh-musuh pagan. (177-206)
Menurut pandangan Ehrman, Bible
versi Raja James (King James Version) banyak bergantung kepada edisi
Erasmus dimana Erasmus mengambil sumber dari satu manuskrip abad ke-12 yang
merupakan manuskrip paling teruk berbanding manuskrip-manuskrip lain yang ada.
Oleh sebab itu kebanyakan terjemahan moden berbeza dengan versi Raja James.
Ehrman mengkritik golongan Kristian yang berpura-pura seolah-olah tiada masalah
pada edisi Bible mereka, seolah-olah tuhan menurunkan kitab dalam bahasa
Inggeris versi Raja James dan bukannya dalam bahasa asalnya iaitu Yunani. Bagi
Ehrman, semua edisi mempunyai perkataan yang telah ditukar, malah ada
tempat-tempat yang tidak dapat dipastikan apakah bacaaan asalnya. (209)
Dalam kesimpulannya, Ehrman
menyatakan perubahan pemikiran beliau terhadap scribes yang menukar
perkataan-perkataan dalam Kitab Perjanjian Lama, beliau semakin kurang judgemental
terhadap mereka apabila mengkaji dan memikir dengan lebih dalam permasaalahan. Bagi
Ehrman, apabila kita membaca sesuatu teks, kita tidak dapat lari dari
menafsirkan teks tersebut. Teks tidak dapat bercakap untuk dirinya, atau dalam
bahasa lain, manusialah yang memberi makna kepada sesuatu teks. Hal ini dapat
kita lihat dari penafsiran teks-teks yang ada. Contohnya teks agama. Teks yang
sama ditafsirkan dengan berbeza bagi setiap pentafsir. Teks yang sama juga
boleh melahirkan pelbagai pemikiran, mazhab dan ideologi yang berbeza. (216)
Buku ini sememangnya ditulis
dengan gaya yang mudah dan seronok dibaca walaupun pada asasnya ia membahaskan
topik yang akademik dan ilmiah. Mungkin inilah kelebihan Bart Ehrman berbanding
cendiakawan-cendiakawan lain dalam bidang kajian yang mengkaji Kitab Perjanjian
Baru. Walaupun dari sudut isi, apa yang diceritakan beliau bukanlah satu fakta
yang baru tetapi fakta yang telah lama diketahui oleh pengkaji dan cendiakawan.
Gaya penulisan dan persembahan yang membuatkan karya beliau berbeza dan
mendapat sambutan yang luar biasa. Buku ini sudah pasti akan menukar pandangan
anda pada Kitab Perjanjian Baru dan membuatkan anda untuk mencari lebih banyak
buku-buku tulisan beliau.
Rujukan: Buku yang dirujuk dalam penulisan ini adalah buku yang bertajuk Misquoting Jesus: The Story Behind Who Changed the Bible and Why tulisan Bart D. Ehrman versi kulit lembut (paperback) dengan jumlah mukasurat sebanyak 266 mukasurat. Ia diterbitkan oleh Harper One pada tahun 2005. Nombor didalam kurungan dalam penulisan ini mewakili mukasurat yang dirujuk dalam naskah ini.
Jumaat, 15 Oktober 2021
Talbis Tuah Naim al-Kalantani
Semalam selepas seharian penat bekerja, abang posmen mengutuskan sebuah bungkusan. Bila dibuka, didapati sebuah skrip drama didalamnya. Tidaklah begitu tebal, berbanding ilusi pada gambar promosi, hanya 100 mukasurat dan boleh dihabiskan dalam sehari.
Skrip drama pentas bangsawan bertajuk "Talbis Tuah" ini merupakan hasil tangan pengkritik sastera dan wali agung dari ASWARA (jangan tertukar dengan ASWAJA), Naim al-Kalantani atau nama sebenarnya Naim bin Abd Aziz. Beliau aktif mengkritik karya sastera tempatan dan kadang kala bergaduh dengan penerbit tempatan.
Saya bukanlah pengkritik sastera, jadi tulisan ini hanya bingkisan ringkas saya sebagai pembaca umum perihal hasil tangan sulung beliau ini. Naskah ini adalah naskah genre "historical fiction", sebuah cerita yang punya susur galur sejarah, tetapi telah ditokok tambah untuk menjadikannya lebih dramatik dan mungkin untuk menjadikannya sinematik.
Inti falsafah utamanya adalah persoalan keadilan undang-undang, juga kesetaraan aplikasi undang-undang tersebut. Sebuah undang-undang itu tidak semestinya adil atau bermoral. Dalam bahasa asing disebut "legal does not mean moral". Sebagai contoh, banyak undang-undang dalam sejarah yang kini tidak lagi dianggap bermoral seperti undang-undang perhambaan manusia, undang-undang kolonial, pada zamannya ianya dianggap legal, walaupun ia bersanggahan dari sudut moral. Legality bersifat tidak tetap, ia berubah sepanjang zaman. Apa yang dianggap legal pada satu ketika dahulu mungkin tidak lagi legal hari ini. Moral pula lebih tetap sifatnya, ia tidak berubah sepanjang zaman (walaupun mungkin pengikut fahaman relativisme akan mengatakan moral juga berubah mengikut zaman dan masyarakat).
Contoh internasional yang saya suka perihal hal ini adalah apa yang ditunjukkan dan dibawakan oleh Prof. Howard Zinn. Zinn during his heyday aktif melawan kerajaan Amerika Syarikat untuk menamatkan Perang Vietnam. Beliau membawakan idea "civil disobedience" sebagai satu taktik politikal yang legitimate untuk melumpuhkan kerajaan yang bersifat dengan sifat kejam dan tidak waras. Dalam kata lain, ketika undang-undang berdiri untuk melaksanakan kekejaman dan ketidak-adilan, tugas masyarakat tercerah adalah mengingkari undang-undang tersebut bukan tunduk patuh mengikutinya atas dasar "kedaulatan undang-undang".
Berbalik kepada hasil tangan wali ASWARA, latar kisah beliau adalah perihal Sultan Mahmud di Melaka yang kejam dan gila perempuan. Manakala Laksamana Tuah menuruti semua kehendak Sultan yang pada hematnya satu keperluan kerana menurut Kanun Negeri, Sultan itu tidak mungkin terkhilaf. Manakala adik bongsunya Lekiu lebih waras dan utuh berpegang pada ajaran agama Islam. Bagi beliau arahan yang menyanggahi kewarasan dan hukum agama tidak wajar dilaksanakan. Perbezaan ini mengakibatkan pertempuran antara Tuah yang taat, dengan Lekiu yang waras.
Mungkin sedikit kritik saya perihal naskah ini adalah perihal dialognya. Latar yang dipilih adalah latar klasik dan tradisional, namun ada dialognya yang kedengaran seperti bahasa Melayu Moden, bahasa yang nuansanya sama dengan bahasa yang dipertuturkan oleh budak-budak KL yang melepak di stesen LRT. Contohnya dialog oleh Tun Mutahir:
"Itulah yang ayahanda nak beritahu"
Kedengaran begitu moden, terutamanya perkataan "nak". Mungkin dialog seperti ini boleh diklasikkan lagi sesuai dengan latar zamannya. Mungkin dialog yang lebih sesuai berbunyi seperti ini:
"Itulah yang ayahanda mahu khabarkan padamu".
Ini hanyalah satu contoh dari pelbagai dialog lagi dalam naskah ini. Saya merasakan dialog-dialog itu perlu lebih teliti dan perlu lebih diperhalusi, kerana banyak darinya bernuansa moden dan kedengaran seperti anachronism (dialognya tidak cocok dengan latar zamannya).
Ala kulli hal, tahniah saya ucapkan pada Naim atas karya penerbitan sulung beliau. Moga beliau terus maju di masa hadapan dengan karya dan penulisan yang kritis dan kreatif untuk anak bangsa.
Catatan Baitul Muslim 46: Abi, are you having fun?
Hampir 2 tahun kita terkurung akibat dari pandemik Covid-19. Hidup yang selama ini teratur menjadi caca merba, kita tidak tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, pergerakan terbatas dan kita tidak bebas. Ada manusia yang nasibnya lebih baik dari yang lain. Banyak juga yang dihempas ombak lain selain ombak pandemik, ada yang kehilangan mata pencarian, hilang pendidikan, malah ramai juga yang hilang nyawa dan kehidupan. Apabila graf dilihat semakin melandai, kita mula merasakan ada harapan di hujung terowong. Dengan pengumuman kebebasan rentas negeri, kita akhirnya boleh menarik sedikit nafas setelah ditahan oleh kesesakan yang berpanjangan.
Antara kegusaran
saya, dan mungkin juga ibu bapa lain diluar sana adalah pertumbuhan anak-anak
mereka. Dengan sekolah yang tergendala, pembelajaran atas talian bukanlah
solusi magik yang dapat mengembalikan suasana pendidikan sebenar. Pembelajaran
itu bukan hanya proses mengetahui dan menghafal, ia juga adalah proses merasai,
mendengar dan melihat sendiri di depan mata, juga melihat contoh dan perilaku
pendidik. Semua ini begitu terhad untuk dinikmati anak-anak yang terkurung
dalam norma baharu. Semuanya berlegar di belakang skrin. Jika sebelum ini hanya
hiburan didapati dibalik skrin, kini pendidikan juga dibalik skrin. Adakah
mungkin mereka mampu menjadi manusia sosial yang baik dengan keadaan ini?
Persoalan ini menghantui saya.
Saya kira
sekolah berfungsi lebih dari kelas. Sekolah juga merupakan tapak semaian
anak-anak berjumpa manusia-manusia kecil lain seperti mereka. Tempat untuk
belajar bersahabat, belajar berkongsi duka dan gembira bersama kawan-kawan,
juga belajar bersosial melalui permainan. Aspek ini hampir semuanya hilang pada
sesi pembelajaran skrin.
Kesan kurungan
di rumah juga menghadkan aktiviti eksplorasi anak-anak. Anak saya yang pertama
dahulu zaman kecilnya dipenuhi aktiviti-aktiviti luar ketika hujung minggu.
Pergi memanjat bukit, menaiki bot, melihat pusat pemuliharaan penyu, mandi
pantai, bermain di taman permainan, melawat perpustakaan, berkenalan dengan
sanak-saudara, namun nikmat ini tidak dirasai oleh adiknya yang mana pengalaman
membesarnya hanya berlegar dirumah, skrin, dan barang permainan. Adakah ini
akan mempunyai kesan berkekalan pada wataknya kelak? Saya tertanya-tanya.
Semasa berkurung
di rumah, anak-anak selalunya mengulang lihat gambar-gambar mereka mandi di
pantai di Pulau Sayak, tempat paling dekat untuk mandi pantai dari Sungai
Petani. Pantainya juga lebih bersih dan sesuai untuk bermandi manda jika dibandingkan
dengan Pantai Merdeka. Dan setiap kali mereka akan bertanya, bila lagi boleh
pergi mandi pantai, dan setiap kali saya perlu menerangkan akan situasi semasa
yang tidak mengizinkan. Pengumuman perdana menteri pada Oktober 2020 perihal
kebenaran untuk melintas negeri juga sebelumnya perihal kebenaran merentas
daerah membolehkan saya menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dalam jangka
masa pendek boleh ke Pulau Sayak untuk berlibur.
Anak-anak
sememangnya teruja apabila diberi tahu sudah boleh ke pantai. Hampir setiap
hari ditanya bila mahu pergi. Dua tiga hari sebelum pergi mereka sudah
mengumpulkan barang-barang ke dalam beg untuk dibawa. Bercerita baju apa yang
mereka mahu pakai untuk mandi. Apabila tiba masanya untuk pergi, dan kami semua
sudah di dalam kereta, anak pertama akan sentiasa mengulang soalan “dah sampai
ke abi?”. Walaupun kereta baru berjalan 2 minit dan baru nak masuk simpang
pertama ke jalan besar!
Tetapi apabila
sampai, ternyata ia adalah satu percutian sebentar yang bermakna. Melihat kegembiraan
anak-anak bermain pantai sedikit melegakan. Mungkin kegembiraan mereka adalah
manefestasi pelepasan perasaan setelah terkurung di dalam rumah hampir dua
tahun, merasai sendiri ombak yang menghempas badan pastinya tidak sama dengan
apa sahaja video di depan skrin. Anak-anak berlari, melompat, berbaring di
dalam air, mengutip kulit kerang, main pasir, cuba berenang, akhirnya mereka
berjaya melepaskan emosi yang sekian lama terpendam dengan kegembiraan. Saya
pula hanya masuk separuh kaki ke dalam pantai, pada mulanya mahu mandi, tetapi
melihat ombak yang agak kuat, lebih baik saya menjadi pemerhati melihat
anak-anak, takut-takut terhanyut. Di tengah-tengah kegembiraan bermandi-manda
ini, ada satu soalan yang dilontarkan oleh anak saya yang pertama, Amni.
“Abi, are you
having fun?”
Saya kira dia
bukanlah mahu bertanya kepada saya sama ada saya seronok atau tidak, kerana
belum sempat saya jawab dia telah berlari semula masuk ke dalam air. Mungkin
soalan itu lebih kepada caranya untuk memberi tahu bahawa dia gembira dapat
bermain di tepi pantai bersama adiknya. Kegembiraan itu terungkap dengan
persoalan. Namun soalan ini meekat di kepala saya, saya cuba memikirkannya dan
memberikannya jawapan dari pelbagai sudut.
Sudut pertama
yang saya fikirkan adalah pendekatan saya dengan anak-anak. Sering kali di
rumah semuanya berbentuk arahan, tiada “fun” yang keluar dari mulut saya. Cepat
bangun, cepat mandi, cepat pakai baju, cepat makan, cepat kemas, cepat baca
iqra’, cepat tidur, semuanya arahan suruh cepat. Saya terfikir sangat kurang
ruang untuk memberi keseronokan pada anak-anak. Padahal usia ini adalah usia
untuk bermain, belajar melalui permainan. Soalan anak ini sedikit sebanyak
menyoal diri saya yang ada kalanya mahu senang, mahu suasana senyap dan aman, dan
mahu semuanya bersih dan tersusun. Walhal anak-anak mahu bermain, bermain
pastilah bising, berselerak, dan sering kali comot. Mungkin mereka perlukan
lebih banyak ruang keseronokan, rumah tidak sepatutnya menjadi kem tentera.
Sudut kedua
mungkin lebih dalam, walaupun mungkin anak saya tidak bermaksud soalannya untuk
bertanya sedalam itu, namun bagi saya ia menusuk begitu dalam. Soalan ini masuk
menziarahi minda saya, ia duduk di ruang tamu dan tidak mahu berganjak. Mungkin
menyuruh saya memikirkannya dengan serious. Sudut kedua ini membawa kepada
persoalan kehidupan saya secara keseluruhannya, adakah saya telah mencapai
keseronokan dan kebahagiaan? Atau, jika pun belum dicapai, adalah jalan hidup
saya kini berada di landasan yang betul menuju kebahagiaan? Ia membuat saya
termenung, lama, panjang, dan dalam. Siang dan malam. Mungkin saya memerlukan
satu muhasabah yang baharu, untuk memperbaharui hidup.
Bila saya fikir-fikirkan, kata-kata dan soalan anak-anak ini kadangkala mempunyai makna yang sangat dalam, meskipun mereka sendiri tidak sedar akan kekuatan soalan mereka. Jadi saya kira penting untuk kita sentiasa menghidupkan komunikasi dengan anak. Bukan sekadar untuk manfaat kepada mereka, tetapi juga untuk kita. Ada sudut-sudut kehidupan yang sudah terhijab dek kedewasaan, namun tersergam luas buat jiwa-jiwa yang masih segar dan suci. Atau mungkin, saya yang terlebih fikir.
Ahad, 10 Oktober 2021
Zine Dari Johor Edisi Ke-5 (ZDJ5)
Akhirnya selesai membaca Zine Dari Johor Edisi Ke-5. Zine ini saya kira merupakan bacaan ringan yang baik, sebagai bacaan rehat dan selingan ketika membaca buku-buku tebal yang lain. Apabila kita selalu membaca buku yang tebal, apabila melihat naskah yang nipis, akan ada satu perasaan 'kerehatan' yang timbul. ZDJ saya kira telah banyak berevolusi dan bereksperimentasi setelah 5 edisi. Konten dan susun atur juga banyak perubahan dan improvement. Bagi saya ia adalah zine yang baik dalam kita memahami pemikiran masyarakat, kita bukan sahaja perlu tahu pemikiran golongan elit intelektual, kita juga perlu mendalami intelektual masyarakat di jalanan, agar teori dan rasa kita tidak terpisah dari masyarakat.
Tentulah banyak tulisan yang menarik, ada yang saya setuju, ada juga yang saya tidak setuju. Di coretan ringkas ini (corkas) saya ingin memetik beberapa tulisan yang kena dengan saya.
Pertamanya adalah nota editor yang sangat positif dan bersemangat, ia adalah kata pemula yang baik untuk pembaca. Juga review acara TERANG bagi saya sangat informatif, ia menyoroti perjalanan sebuah zine, bagaimana ia bereksperimentasi, berkolaborasi, dan berevolusi. Pengalaman ini pastilah sesuatu yang berharga. Usaha untuk mengarkib perjalanan gerakan masyarakat juga saya kira punya nilai yang sangat besar untuk generasi akan datang.
Sejarah keluarga titipan Iltizam Iman Abd Jalil juga sangat mengesani diri. Mengembalikan pemikiran saya untuk menjejaki semula sejarah keluarga saya sendiri. Antara konten menarik lain adalah sejarah dan pengalaman pengasasan jatuh dan bangun Tumpang CoWorking Space oleh saudara Qayyim Miswan. Sangat menginspirasikan, mungkin beliau boleh dijadikan ikon usahawan belia negara. Akhir sekali, tulisan pilihan saya adalah cerpen tulisan Lucy M. Walaupun jalan ceritanya cliché, tetapi ending nya sangat menyentuh kalbu apabila Sara memadam perkataan "cinta pernah tumbuh di sini" dan menggantikannya dengan perkataan "cinta sentiasa tumbuh di sini".
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Pendidikan
Pada bulan Oktober 2021, seorang ahli parlimen muda dari Muar, Johor mencadangkan agar subjek-subjek universiti seperti Pengajian Malaysia, TITAS, Hubungan Etnik, Etika, dan Falsafah ditukar dari wajib kepada elektif. Menurut beliau subjek seperti ini tidak memberi nilai kepada mahasiswa dan memanjangkan tempoh pengajian. Mahasiswa perlu segera dihantar ke industri untuk mendapatkan pengalaman dan menjadi kompetetif. Cadangan beliau ini membuatkan saya terfikir perihal pengajian saya sendiri pada satu ketika dahulu.
Khamis, 7 Oktober 2021
Reviu Zine Memerde(he)kakan Mahasiswa
Di permulaan Oktober ini, saya sebenarnya masih tenggelam dalam pelbagai naskah. Di atas meja baca saya terdapat 6 naskah buku yang sedang saya baca, semuanya belum habis. Sebelum ini saya merupakan pembaca monogamis (membaca hanya 1 buku pada satu masa), namun perubahan zaman memaksa saya menjadi pembaca yang bersifat poligamis (membaca lebih 1 buku dari satu masa). Masalahnya adalah sukar untuk menghabiskan pembacaan apabila membaca terlalu banyak buku serentak. Seperkara lagi, pembacaan saya semakin hari semakin kompleks, sangat susah untuk membaca dengan mood leisure reading, minda saya sentiasa mempunyai impulse untuk menandakan bahan bacaan, dibuat nota dan ulasan, menjadikan pembacaan lama dan perlahan. Namun di sudut lain, walaupun perlahan, ia mengayakan.
Oleh sebab itu pada awalnya saya sedikit gementar membuka bungkusan Garaj Buku yang sampai. Terdapat 5 zine semuanya. Pembacaan sekarang pun sudah melimpah ruah, adakah mungkin ada masa untuk memulakan selakan baru? Namun saya gagahkan diri dan membuka juga bungkusan, dibelek-belek, saya mulakan pembacaan dengan zine yang paling nipis, tulisan Usaid Asmadi bertajuk "Memerde(he)kakan Mahasiswa".
Kata pengantarnya ditulis oleh Hanapi Jamaluddin, walaupun isinya bernas, namun saya kira bahasanya sedikit sukar dihadam, seperti sengaja dijargonkan walhal boleh ditulis dengan lebih mudah. Dari sudut bahasa juga agak comot bagi saya. Contohnya "pembongsaian daya kreatif", yang saya kira meminjam istilah "pembonsaian pemikiran", idea yang dipopularkan oleh Hishamuddin Rais. Namun saya kira ejaan sepatutnya adalah "pembonsaian" tanpa huruf "g". Begitu juga ayat "..mendapat hak yang layak sebagai manusiawi", kedengaran agak janggal dibaca, ayat tersebut sudah cukup maknanya jika digantikan "manusiawi" dengan "manusia". Yang terakhir mungkin ejaan "substantsif" - saya tiada masalah dengan peminjaman perkataan Inggeris, kerana saya bermazhab bahasa memang perlu sentiasa berevolusi, namun jika hendak di-Melayu-kan, sepatutnya digunakan sahaja istilah yang standard iaitu "substantif".
Baik, cukuplah omelan saya perihal gaya bahasa, lebih-lebih nanti kedengaran seperti membawang pula. Dalam pengantarnya Hanapi ada menyentuh tentang pendemokrasian pendidikan (democratization of education). Isi ini saya kira merupakan isi yang sepatutnya diangkat dan dipertingkat. Keupayaan teknologi hari ini membolehkan syarahan-syarahan di bilik kuliah disebar-luaskan kepada masyarakat menggunakan media sosial, media sosial hari ini sudah menjadi media arus perdana. Membawa wacana ilmu ke media sosial adalah membawa ilmu ke dalam masyarakat arus perdana. Ini harus diperbanyakkan oleh mahasiswa, pada isi ini mereka boleh memainkan peranan yang besar dalam pendemokrasian ilmu.
Beralih kepada isi zine, saya sangat bersetuju dengan Usaid dalam kalam awalnya, perihal perlunya mahasiswa bersifat berani, berani mencuba dan berani berkhilaf. Saya sendiri mengenang perkara ini menyesali zaman mahasiswa saya yang telah terlepas, alangkah banyaknya peluang yang boleh dikutip namun kini tidak dapat lagi diputar semula. Maka pesan ini bagi saya merupakan kalam awal yang sangat baik.
Usaid menggagaskan bahawa universiti itu lebih besar gedungnya dari putaran rutin kehidupan belajar, ia adalah masa emas yang harus digunakan untuk meneroka pelbagai perkara lain. Nasihat kepada pelajar baru ini bagi saya amat penting untuk membuka minda pelajar. Saya sendiri merasakan zaman universiti mengajar saya banyak perkara (selain akademik). Belajar berpesatuan, belajar bercakap dikhalayak, belajar menyelesaikan konflik, belajar bernegosiasi dengan universiti, dan yang paling penting belajar untuk hidup dan melihat kehidupan. Melihat kehidupan dengan lensa yang lebih besar dan luas.
Dalam perbahasan kemerdekaan, Usaid membawakan pemikiran HAMKA bahawa "kemerdekaan" itu bukanlah bermaksud kebebasan mutlak, tetapi ia bermaksud kita menerima segala yang merupakan hak kita. Dalam masa yang sama kita masih dibelenggu tanggungjawab, kita tidak hanya punya hak tetapi juga punya tanggungjawab. Kebebasan tanpa tanggungjawab bukanlah satu kemerdekaan. Saya bersetuju dengan pemikiran ini, saya kira ia mirip dengan apa yang diungkapkan oleh Jean-Jacques Rousseau dalam The Social Contract, "man is born free but everywhere is in chains". Beliau kemudian mewacanakan kemerdekaan dari lensa pendidikan budi dan pendidikan akal sebelum melanjutkannya kepada wacana bagaimana mahasiswa berperanan dalam menggugat kekuasaan apabila berlaku ketidak-adilan. Beliau kemudian menyoroti sejarah pergerakan mahasiswa di Malaysia secara ringkas.
Secara keseluruhannya, saya merasakan perbahasan beliau adalah baik, walaupun tidaklah begitu mendalam. Mungkin kerana bentuknya adalah zine, jadi ia lebih sesuai dibahaskan dengan ringan. Di hujungnya beliau sediakan senarai bacaan jika pembaca ingin menggali dengan lebih dalam secara sendiri perihal topik pergerakan dan perjuangan mahasiswa.
Mungkin ada satu dua perkara yang bagi saya hilang dalam perbahasan ini. Pertamanya perihal balance of power antara pelajar dan pensyarah. Perbahasan Usaid lebih banyak menyentuh bagaimana pentadbiran universiti dan kerajaan membataskan pergerakan mahasiswa, undang-undang dan peraturan digunakan sebagai instrumen pembatasan. Namun saya kira, adakalanya yang membataskan mahasiswa adalah golongan pensyarah sendiri, yang kadang kala mempunyai inklinasi dan pegangannya tersendiri. Dan pensyarah juga mempunyai kuasa ke atas mahasiswa kerana mereka yang memberi markah serta boleh meluluskan dan menggagalkan pelajar. Namun mungkin kuasa pensyarah ini tidak sebesar pentadbir atau kerajaan, oleh itu ia tidak mendapat perhatian yang penting.
Yang kedua, yang saya kira tidak ditinjau adalah terpadamnya idealisma sehabisnya mahasiswa itu bergraduasi. Ini merupakan fenomena yang sering berlaku di negara ini (mungkin juga di dunia ini). Ramai mahasiswa yang aktivis dan tangkas di universiti kemudian keluar menjadi economic animal apabila mereka masuk ke alam industri. Soal ke mana, dimana, dan bagaimana ingin diteruskan semangat dan idealisme pasca-universiti itu tidak ditinjau. Apakah ia hanya patut menyala di zaman kampus sahaja?
Yang terakhir, yang saya kira penting untuk ditambah dalam perbahasan ini adalah kepentingan mahasiswa sebagai generasi tajdid. Pergeseran antara kaum tua dan kaum muda pada saya akan kekal berlaku sepanjang zaman. Ia adalah proses berbentuk fitrah dimana mahasiswa merupakan kaum pemikiran baharu yang akan membuat proses re-evaluasi terhadap sistem, pemikiran, dan budaya zaman. Mereka adalah agen yang bakal menilai apa yang sudah lapuk dan perlu ditukar, dan apa pula yang sejati dan perlu dikekalkan. Perbahasan peranan mahasiswa sebagai mujaddid (pembaharu) ini mungkin ada disebut secara tidak langsung tetapi tidak ditekankan. Namun saya kira ia adalah salah satu tugas mahasiswa yang perlu diketengahkan (pendapat saya!). Mahasiswa bukan sahaja perlu belajar tetapi menilai apa yang diajar. Ini adalah peranan besar agar intelektual bangsa tidak stagnant tetapi terus mengalir segar.
Tahniah saya ucapkan pada Usaid Asmadi atas bingkisan ini, ia wajar direnung-renungkan oleh mahasiswa (terutamanya mahasiswa semester 1) agar mereka sedar akan peranan mereka dan mereka mampu berperanan. Akhir kalam, majulah mahasiswa untuk negara.
Ahad, 3 Oktober 2021
Catatan Baitul Muslim 45: Menjadi Pengadil & Penglipurlara
Umum mengetahui bahawa berkeluarga bukan semuanya indah, ada kalanya badai melanda, ada kalanya tsunami merempuh, ada kalanya angin dan ombaknya bergelora. Itulah asam garam berkeluarga, mengambil keputusan untuk berkeluarga adalah mengambil keputusan untuk menerima semua cabaran yang datang ini dan berazam untuk memastikan kapal kekeluargaan dapat keluar dari ribut setiap kali ia melanda, keluar dengan selamat. Walaupun ada kalanya ada yang tercedera.
Ketika anak saya Amni berumur 6 tahun dan Idlan berumur 3 tahun membesar, cabarannya adalah untuk menjadi pengadil dalam setiap perlawanan, perebutan, pergaduhan, dan pertelingkahan mereka. Ketika tempoh berkurung akibat PKP, pergaduhan adik beradik adalah aktiviti utama. Tangisan dari pergaduhan ini adalah musik utama setiap hari bermula mereka celik mata sehinggalah mereka tidur semula. Ada kalanya ia dapat ditangani dengan sabar, ada juga kalanya ia ditangani dengan tidak sabar. Ada kalanya ia dirasakan sebagai satu perkara yang indah, apabila mereka membesar nanti tentu sahaja suara pertelingkahan ini akan hilang dan akan dirindui. Ada juga kalanya ianya merungsingkan, apabila ditambah dengan tugasan kerja dan komitmen lain. Begitulah kehidupan, tak semuanya manis. Jika semuanya manis, itu bukan kehidupan, itu kematian dan telah sampai ke syurga.
Mengadili anak-anak ini saya kira satu perkara yang penting. Kerana jika dia dilayan secara tidak adil sejak dari kecil, mungkin dia membesar dengan rasa tidak dihargai dan besar perasaan pemberontakannya nanti. Ibubapa mungkin otak mereka diprogramkan untuk memarahi anak pertama dahulu apabila mendengar tangisan adik yang kedua, saya juga mempunyai gejala ini. Namun tidak semua keadaan anak yang pertama yang bersalah, saya perhatikan gelagat anak kedua, dia juga sekarang sudah pandai, pandai mengusik, merampas mainan, menumbuk, juga memarahi. Jadi apabila pertelingkahan berlaku cabarannya adalah mengekalkan ketenangan diri, mendengar keterangan semua saksi-saksi, kemudian baru memberi penyelesaian atau resolusi.
Anak-anak juga ketika usia ini semakin meminati cerita sebelum tidur. Satu cabaran yang kadangkala luar biasa untuk ditunaikan setelah seharian penat bekerja. Kadang-kala cerita yang dilipurlarakan adalah dari buku-buku cerita kanak-kanak. Namun ada juga yang lebih menarik, cerita yang disuruh diceritakan oleh imaginasi sahaja. Mereka akan bertanya semasa kami berbaring sebelum tidur:
"Boleh tak Abi cerita seekor lion?"
"Boleh tak Abi cerita seekor whale shark?"
"Boleh tak Abi cerita seekor zebra?"
Saya mengambil peluang ini biasanya untuk mereka cerita yang ada kena mengena dengan situasi semasa mereka. Cerita lipurlara ini bebas, bebas ditokok tambah, dicipta tanpa perlu dibatasi logika. Kanak-kanak memang memerlukan imaginasi di usia ini.
"One day, there is a baby whale shark" saya mula bercerita.
"Nama dia apa?" tanya Idlan setiap kali ada animal yang disebut, diikuti dengan kakaknya, Amni.
Saya mula berfikir, kadang lama juga berfikir nak namakan animal ni.
"Nama dia Wolfaa" kata saya.
"Macam Wolfoo?" tanya Idlan, dia dapat menghidu taktik saya yang meminjam nama dari cerita yang selalu ditontonnya di YoutubeKids.
"Ha..aah macam tu" jawab saya sambil meneruskan cerita. Mereka memang suka menyampuk, terutamanya jika mereka excited atau ada watak yang disebut seperti mereka kenali.
"Wolfaa ni suka makan candy, pagi, tengahari, petang, malam dia makan candy. Isnin dia makan candy, Selasa dia makan coklat, Rabu dia makan jelly, Khamis dia makan kek, Jumaat dia makan donat, Sabtu dia makan cookies, Ahad dia menangis uwaaa..uwaa. Gigi dia sakit, berlubang. Dia makan banyak benda manis tapi tak mahu gosok gigi" cerita saya pada mereka berdua.
"Lepas tu sapa mai?" tanya Idlan. Cerita bedtime ni biasanya ada superhero atau sesiapa yang datang selamatkan apabila ada animal menangis. Saya pun mula menyanyi lagu opening Robocar Poli.
"Ready set, have you met.."
"Amber mai..!" mereka meneka.
"Lepas tu Amber bawak whale shark pergi hospital, jumpa doktor Brown Bear. Shussshh! Doktor cabut gigi whale shark. Uwaaaaa! Whale shark jerit. Lepas tu doktor bagi ubat. Whale shark pun dah tak nak makan candy, dia pun gosok gigi dia everyday. The end." sambung saya hingga habis.
Habis satu cerita biasanya mereka akan minta lagi. Kalau cerita untuk Idlan, wajib lepas itu kena ada cerita untuk Amni. Kalau sorang dapat dua cerita, yang sorang lagi akan menuntut dia pun dapat dua cerita. Begitu mereka nampak keadilan, masing-masing dapat bilangan cerita yang sama. Biasanya untuk menoktahkan sesi bedtime stories, saya perlu declare awal-awal. "Okay ini cerita last, lepas tu tidur". Tanpa declaration ini, sesi lipurlara akan berlangsung sehingga infiniti.
Begitulah sedikit coretan, asam garam kekeluargaan.
Erti Hidup Pada Mencari
Rumi pernah berpuisi.
bahawa setiap seniman itu,
mencari apa yang tidak dia temu,
untuk menghasilkan karyanya itu.
Tukang bina mencari rumah yang berlubang,
bekerja membaharui atap yang hilang.
Pembawa air mencari baldi kosong yang satu,
dan tukang kayu berhenti pada rumah tanpa pintu.
Menurut Rumi begitulah manusia. Mereka mencari erti pada benda yang tiada. Rumah yang berlubang dan tiada atap, itulah yang dicari tukang bina, agar dia dapat melakukan pekerjaannya. Rumah yang telah siap dan cantik tidak menarik minatnya. Pengangkat air mencari baldi kosong, agar bisa digunakannya dan tukang kayu mencari rumah yang rosak pintunya, agar dia dapat membuat pintu yang baru. Tanpa kekosongan dan ketiadaan, manusia tidak dapat melakukan pekerjaannya, keinginannya.
Aku kira benarlah puisi Rumi, erti hidup adalah pada mencari.
Di setiap fasa kehidupan kita mencari, asyik sahaja kita mencari sesuatu dalam hidup. Tanpa pencarian, kehidupan terasa kosong, terasa berlubang, terasa kaku, terasa kosong, terasa tidak hidup. Ketika kita baru lahir ke dunia kita mencari bagaimana untuk menggunakan deria. Anak kecil akan sentiasa sahaja mahu memegang benda, dimasukkan semuanya ke dalam mulut, anak kecil mahu mencari rasa. Sekian lama dia membesar, dia mula mencari cara menggunakan deria-derianya, menggunakan anggota-anggotanya. Dia mula menjalani proses individuasi – dia mula sedar bahawa dia adalah dirinya sendiri. Dia bukan insan yang sama seperti ibu dan ayahnya. Dia belajar menolak dan menyebut “tak nak” sebagai tanda bahawa dia adalah individu tersendiri.
Besar sedikit, anak kecil mula mencari kawan. Pada mulanya kawan yang dia ada hanyalah ibu dan ayah. Juga adik beradik. Namun kemudian dia berjumpa manusia-manusia kecil lain. Mencari persahabatan begitu menyeronokkan. Begitu menghidupkan. Persahabatan sangat mengkhayalkan. Dia juga mula mencari ilmu, mahu memahami dunia perlu belajar. Belajar membaca, menulis, mengira, mendengar, memahami, dan berfikir. Dia mula meneroka, di dalam dan di luar kelas. Dari rumah, tadika, sekolah, universiti, dia terus mencari. Dunia adalah gurunya, semesta adalah batas pencariannya.
Apabila tiba usianya, dia mula pula mencari kerja. Pencarian ilmu berpindah dari dunia akademik kepada dunia industri, dari ilmu kelas dan bilik darjah kepada ilmu di pejabat dan rumah-rumah perniagaan dan kilang perusahaan. Begitulah dia dengan pencariannya. Walaupun sudah punya belanja, punya makan dan pakai. Jiwanya belum aman. Masih terasa ada kekosongan, masih perlu ada yang dicari, dicari pula pasangan. Pasangan untuk berkongsi cinta, tangis, ketawa, dan kebahagiaan. Dari pasangan dicari pula zuriat untuk meneruskan warisan.
Di sela-sela pencarian besar ini manusia mengisi hidupnya dengan pencarian-pencarian kecil. Ketika lapar dia mencari makanan. Ketika dahaga dia mencari kopi dan teh. Ketika mengantuk dia mencari bantal. Ketika kusam dicari pantai, sungai dan pergunungan. Sentiasa sahaja hidup manusia itu dipenuhi pencarian, carian kecil dan besar, kerana tanpanya diri tidak merasa hidup.
Namun aku kira pencarian terbesar manusia adalah untuk mencari bahagia. Pelbagai manusia mencari pelbagai jenis bahagia. Terkait juga dengan pencarian bahagia ini adalah pencarian makna. Makna hidup. Untuk apa mahu dihabiskan hidup yang sebentar ini? Hidup yang boleh hilang pada bila-bila masa. Kadang kala aku berasa sangat takut memikirkan kematian, ketakutan yang sangat dalam sehingga meresap ke tulang rusuk mengenangkan aku akan meninggalkan insan-insan tersayang. Ada di kala yang lain aku berharap aku diciptakan sebagai batu atau tanah, yang tidak perlu merasai kesedihan, ketakutan, dan kekecewaan. Namun sebenarnya peluang untuk hidup ini, walaupun begitu singkat, merupakan satu anugerah. Semasa proses pensenyawaan, berbillion sel lain berpeluang untuk menjadi manusia. Tetapi hanya beberapa yang terpilih, berbillion manusia lain, tidak berpeluang untuk hidup.
Terima kasih Tuhan kerana memberikan aku sedikit masa lagi, untuk terus hidup, dan untuk terus mencari.
Ahad, 26 September 2021
Usaha dan Upaya Manusia Memahami Dunia
Alhamdulillah. Semalam akhirnya selamat juga saya membentangkan kertas kerja saya di Seminar Antarabangsa Falsafah Seni (SAFAS 2021). Sebenarnya kertas kerja itu telah lama ditulis, diperam, tergendala, sebelum disambung semula penulisannya. SAFAS21 memberi ruang ia keluar, diterbitkan dan didengari. Gementar juga pada mulanya, kerana kebanyakan pembentang datang dari dunia akademik, saya pula dari dunia manusia awam sahaja. Mujur masa yang diberikan singkat, jadi cuma ada satu soalan yang ditanyakan, mujur juga tiada profesor yang bertanyakan soalan.
Namun disebalik itu, ada sesuatu perkara yang menangkap pemikiran saya semalam. Iaitu syarahan dasar yang disampaikan oleh Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon bertajuk “Realiti Bersaksi: Perbandingan Antara Perspektif Fizik Dengan Tradisi Visual Islam”. Di dalamnya beliau membawakan pemikiran guru-gurunya yang membantah sebahagian pemikir sains yang hanya mahu melihat dunia dalam perspektif logik linear. Pembuangan Tuhan dari pemikiran membuatkan pemikir-pemikir ini hanya mahu berpegang pada material yang boleh diukur dan disukat. Apa yang tidak boleh disukat dianggap perkara abstrak yang tidak penting, lahirlah masyarakat yang mementingkan pengumpulan harta yang boleh disukat, sedangkan perkara seperti kasih sayang yang tidak boleh disukat dianggap tidak penting.
Sains sebelum ini begitu skeptik dengan intuisi, ia adalah perkara yang meragukan bagi mereka dan tidak boleh dijadikan dasar teori. Namun beliau mempersoalkan berapa banyak pencapaian saintifik yang pada mulanya timbul dari deduksi intuitif. Hari ini sains mempunyai toleransi yang lebih besar untuk mengkaji faktor-faktor yang tidak dapat diterangkan secara logik. Contohnya adalah Prinsip Ketidakpastian Heisenberg.
Beliau menyatakan perlunya pentafsiran semula keatas seni tradisi dan sejarah setelah sekian lama ia ditafsir dalam logik linear. Sejarah sendiri berasal dari bahasa Arab “Shajarat” yang bermaksud pokok. Pokok sifat dan strukturnya bersifat fraktal tidak linear, oleh itu sejarah perlu dilihat pada perspektifnya yang pelbagai, multi-dimensi dan bercapah.
Tetapi tidaklah bermaksud, semua teori sains itu bersifat linear, perkembangan teori-teori sains sendiri terutamanya yang terkini banyak melahirkan soalan-soalan baru, perspektif baru yang menghasilkan saintis baru yang tidak lagi berperspektif linear. Sains ini mempunyai sumbangan tersendiri dalam pemikiran. Beliau memetik kalam gurunya, Ismail Zain yang mengatakan bahawa teori seperti relativiti, infiniti, lupus materi, dan implosi akan membuatkan pemikiran dan pengalaman kita pada masa depan bukan lagi diikat dengan sejarah atau antropologi tetapi fizik.
Beliau menyimpulkan bahawa pengetahuan kita perihal realiti kian berubah, bukan lagi difahami sebagai realiti yang mekanikal, alam bukan lagi satu mesin yang besar, minda bukanlah pengacau kepada alam material, minda kita adalah pencipta dan pengatur material. Tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa alam semesta ini bersifat spiritual bukan material. Di tanya ketika sesi soal jawab “Begitu, adakah realiti ini hanya ilusi?” soal seorang peserta. “Ya betul, tiada perbahasan lagi tentang soal itu, melainkan anda seorang materialis”.
Jika anda pening, dan tidak faham, jangan bimbang. Anda normal, saya sendiri lama juga merenung dan berfikir tentangnya. Tidak semestinya kita perlu bersetuju, bagi saya apa yang penting adalah usaha dan upaya manusia untuk cuba memahami dunia. Tentulah banyak usaha dan caranya, cuba memahami banyak cara fikir itu bagi saya mengayakan dan menumbuhkan. Antara sisi lain yang melintas pada fikiran saya adalah banyak yang diperbahaskan kedengaran seperti berunsur sufi terutamanya terma seperti “kesatuan semesta”. Saya tidaklah ilmuan dalam bidang teologi atau tauhid, bacaan saya juga terbatas dalam selok belok perbahasannya. Namun saya kira ada pergeseran antara aliran pemikiran Islam yang “jumhur” dengan aliran pemikiran sufi. Sehingga seringkali aliran jumhur (kebanyakan) menolak dan mencaci sufi sebagai sesat.
Walaupun begitu, saya agak terkejut ketika membaca kitab Rijal ul-Fikr wad-Da’wah fil-Islam oleh Abul Hasan Ali Hasani Nadwi yang sudah diterjemah dalam Bahasa Inggeris. Abul Hasan Ali Nadwi ini bukan insan calang-calang. Beliau merupakan tokoh agung dalam arena dakwah kontemporari juga nama besar dalam gerakan revival Islam (gerakan haraki). Kita boleh katakan bahawa beliau merupakan ulama “jumhur”. Apa yang menarik perhatian saya adalah bagaimana Ali Nadwi mengangkat Maulana Jalaluddin Rumi sebagai seorang “mujaddid umat” iaitu tokoh yang memperbaharui semangat dan ketekalan umat. Bagi saya ini merupakan sesuatu yang membuatkan saya sangat curious kerana Rumi sering dianggap sebagai pengamal sufi mistik. Saya sudah mengenali Rumi sebelum membaca kitab Ali Nadwi, tetapi hanya puisi-puisinya, tidak pada perbahasan teologi atau idea beliau sebagai mujaddid umat.
Dalam kitabnya, Ali Nadwi mengisahkan bagaimana Rumi lahir pada zaman di mana ummat Islam dilanda pemikiran rasionalima. Era dimana kefahaman agama dianalisa hanya melalui lensa hujah rasional, logika dan perbahasan falsafah. Rasionaliti menjadi faundasi dan diaplikasi kepada persoalan-persoalan metafizikal seperti sifat-sifat Tuhan. Hanya pembuktian yang boleh dirasakan melalui deria manusia diangkat sebagai kebenaran. Walaupun rasionaliti menjadikan mereka kelihatan bijaksana, metodologi rasionalisma ini telah memadamkan kehangatan jiwa dan hati mereka. Disebalik kehebatan logik mereka, banyak persoalan-persoalan perihal perasaan dan rasa hati yang tidak dapat dijawab oleh mereka, mereka menjadi ahli akademik yang kering.
Di dalam kecelaruan krisis rasionalisma ini datangnya Rumi yang digelar Sultan ul-’Ulama. Rumi merupakan anak cendiakawan terkenal pada zamannya, iaitu Baha’ud-din Valed, lahir di Balkh (Afghanistan hari ini), beliau mengikuti ayahnya yang berhijrah ke Konya (Turki hari ini). Apabila ayahnya meninggal dunia Rumi menggantikan tempat ayahnya sebagai guru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Halab dan Dimashq dimana beliau bertemu banyak ilmuan termasuk Ibn Arabi. Rumi mengikuti fahaman Sufi Mistik apabila bertemu dengan Shamsh Tebrez. Kematian beliau diratapi bukan sahaja oleh Muslim pada zamannya, tetapi oleh orang Kristian dan Yahudi pada ketika itu, malah mereka yang menganut agama lain turut dibenarkan untuk menyertai pengkebumian Rumi.
Menurut Ali Nadwi lagi, Rumi sangat kritikal terhadap golongan rasionalis atas sikap mereka yang terlalu mengutamakan deria manusia sebagai sumber kebenaran. Tetapi berbeza dengan ahli sufi lain, beliau tidak hanya menyeru pada cinta dan kejiwaan semata-mata, tetapi beliau cuba memberi jawapan kepada persoalan dialektik dan falsafah ketika logik tidak dapat menjawab sesuatu persoalan. Jawapan yang diberikan sangat halus sehingga pembaca boleh memahami jawapannya tanpa merasakan jawapan itu dipaksakan keatas mereka, maksudnya pembaca boleh faham dengan sendirinya. Kitab Rumi, Mathnawi menjawab soalan-soalan teologi dan metafizikal yang tidak dapat dijawab falsafah.
Oleh itu mendengar perbahasan dasar dalam SAFAS 21 semalam membuatkan saya terfikir akan perlunya kita meraikan kepelbagaian pemikiran. Tidak cepat menyesatkan atau merendahkan orang lain. Terutamanya pemikiran yang merupakan usaha dan upaya manusia yang cuba memahami alam dan kehidupan. Kehidupan ini bukan hitam putih, bukan hanya satu jalur, malah jika kita terlalu jumud dalam satu jalur kita akan terlepas pelbagai keindahan lain. Jalur yang banyak itu saling menguatkan. Bukan bermaksud kita tidak boleh berbeza, tidak setuju dan berbeza pendapat, berbezalah, kerana dengan berbezalah lahirnya perbincangan, perbahasan dan keilmuan. Tapi harus perbezaan itu membawa pada kedamaian bukan permusuhan.
Temasya SAFAS 2021 bersambung lagi hari ini sebagai hari terakhir.
Jumaat, 17 September 2021
Ketika Kolonial Eropah Meruntuhkan Kesultanan Taosug
Kebanyakan sejarah yang ditulis dan dipelajari oleh kita sejak sekolah merupakan sejarah yang berkontekskan negara. Ianya ditulis kebanyakannya untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan negara. Namun sebenarnya konsep negara moden atau negara bangsa yang kita fahami ini merupakan konsep yang sangat baharu jika dibandingkan dengan tempoh sejarah yang direkodkan. Malah sejarah itu sebenarnya lebih jauh ke belakang, kebanyakannya tidak direkod, memorinya hilang ditelan zaman.
Oleh itu menulis sejarah dalam perspektif negara bangsa moden kadangkala merupakan perspektif yang silap, kerana dalam kebanyakan sejarah yang panjang negara bangsa moden itu tidak wujud (atau belum wujud), jadi konteks tersebut juga tidak wujud. Terdapat satu artikel yang menarik perihal hal ini yang ditulis oleh Mohammad Raduan bin Mohd Ariff dalam Jurnal Jabatan Pengajian Asia Tenggara (Jati) Bilangan Ke-2 yang diterbitkan pada Disember 1996 oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Menurut Raduan, kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara pada suatu ketika dahulu merangkumi banyak pulau-pulau, ia tidak pernah didirikan secara eksklusif dalam satu pulau sahaja. Pada zaman itu, bukan manusia sahaja yang berhijrah antara pulau-pulau yang ada, malah kerajaan juga berhijrah dalam dunia kepulauan. Kerajaan Srivijaya contohnya berpindah ke Melaka dari Sumatra sebelum kemudiannya berundur ke Johor Lama. Konsep negara bangsa moden menurut beliau adalah ciptaan kuasa kolonial Eropah yang datang kemudian.
Artikel Raduan menganalisa Laut Sulu yang didiami oleh pelbagai bangsa seperti Taosug, Bajau, Samal, Magindanao, Maranao, Sangil, Yakan, Palawani, Jama Mapun, Melebuganon dan Melayu Brunei. Hasil laut dan hasil hutan dalam kepulauan ini merupakan sumber utama ekonomi bagi kerajaan Sulu yang diperintah oleh Kesultanan Taosug yang mendominasi bangsa-bangsa lain di Kepulauan Sulu. Bangsa-bangsa lain mempunyai kesultanan kecil namun mereka dikuasai oleh “Sultan of Sultans” iaitu orang Taosug yang berpengkalan di Jolo (hari ini dalam Filipina). Sultan pada ketika itu merupakan khalifah, imam, ketua angkatan perang, ketua undang-undang dan pengutip zakat. Sektor ekonomi ditadbir dari Rumah Bichara di Jolo. Mereka mempunyai kekuasaan penuh ke atas kawasan Timur Laut Borneo.
Sumber ekonomi mereka pada ketika itu merupakan mutiara, cengkerang penyu, tripang, sarang burung, sirip ikan yu, dan rotan. Sumber-sumber dikumpulkan dari pulau-pulau oleh penduduk setempat sebelum dieksport ke China. Bangsa Taosug menguasai proses pengumpulan ini. Jolo merupakan pusat pedagangan penting, pedagang Eropah yang tidak dapat menembusi pasaran China pada ketika itu akan ke Jolo untuk mendapatkan produk dari China. Dominasi Taosug ini akhirnya dipecahkan oleh gabungan kuasa kolonial Sepanyol, British dan Belanda. Ia dilakukan melalui beberapa fasa.
Fasa pertama adalah dengan membina pelabuhan-pelabuhan baru untuk mengumpul hasil laut dan bumi untuk eksport ke China. Kemudian kuasa kolonial mula menyerang pelabuhan tentera Kesultanan Taosug. Pada tahun 1848, Sepanyol menyerang tentera laut Samal di Balangingi. Fasa seterusnya adalah sekatan yang dilakukan ke atas pelabuhan Jolo pada tahun 1872. Kebanyakan tentera laut Taosug dikejar di lautan dan dikalahkan. Jolo ditawan Sepanyol pada tahun 1876. Kejatuhan Kesultanan Taosug mengakhiri penguasaan mereka ke atas Laut Sulu dan Celebes yang mana tidak dapat dicapai semula sehingga ke hari ini.
Selepas kejatuhan ini, maka tanah jajahan dibahagikan antara kuasa-kuasa kolonial. Kepulauan Filipina dikuasai Sepanyol, Kepulauan Indonesia dikuasai Belanda, manakala Brunei dan Borneo Utara dikuasai British. Kuasa-kuasa kolonial bukan sahaja merubah lanskap politik Kepulauan Sulu, mereka juga mengubah struktur ekonomi. Jika hari ini Eropah mensyarahkan kepentingan memelihara ekosistem bumi kepada semua negara di dunia, merekalah yang mengubah sistem ekonomi di Kepulauan Sulu dari pengumpulan hasil laut dan bumi kepada pembalakan dan tanaman monokultur bagi menampung keperluan industri Eropah. Hutan-hutan di kepulauan ini bukan lagi dikumpulkan hasilnya tetapi diteroka untuk pembalakan.
Di Utara Borneo, sistem pemerintahan sultan digantikan dengan pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Hutan Borneo memberikan keuntungan yang lumayan kepada ekonomi kolonial. Pada tahun 1940 eksport balak dari Borneo Utara merupakan yang ketiga terbesar di seluruh empayar British dengan Sandakan sebagai pelabuhan utama. Kemusnahan yang dilakukan kuasa kolonial bukan sahaja pada penduduk setempat tetapi juga kepada kehidupan komuniti yang ada. Bandar-bandar baharu dibuka di kawasan pedalaman dan dibangunkan oleh imigran yang dibawa dari luar. Penduduk setempat tidak dilibatkan dalam perusahan ekonomi baharu, pada 1941 satu per tiga penduduk Borneo Utara adalah imigran.