Sabtu, 29 Oktober 2022

Monolog di Dalam Hujan Yang Tidak Mahu Berhenti


Tiada siapa pun yang berhak mencela orang lain, kerana dia tidak memahami apa yang dihadapai oleh orang lain. Meski pun pada wajaran akalnya tampak apa yang dilakukan adalah satu kesalahan. Manusia adalah produk sejarah, dan tiap-tiap produk itu menjalani sejarahnya yang berbeza. Keadaan yang berbeza. Suasana yang berbeza. Situasi yang berbeza. Walau sebesar manapun dosa, sejauh mana pun telah berantakan sebuah keluarga, kadang kala aku mengharap alam ini akan meminjamkan tenaganya agar segala hubungan manusia dapat diperbaiki, agar segala luka lekas sembuh, agar segala amarah segera padam, dan agar kasih sayang kembali berputik. Alangkah bagusnya ika manusia itu menyedari bahawa masa ditangannya hanya sedikit, sangat malang jika dihabiskan untuk dendam dan benci.

Dalam perjalanan hidup yang serba singkat ini, kita bertuah jika dijodohkan dengan teman yang memahami jiwa kita. Yang mana kita boleh membelah isi hati kita dan berikan padanya. Meski pun isi itu buruk dan busuk, dia tetap menerima kita apa adanya. Bahkan dia mengambilnya dan membasuh isi hati kita itu, lalu dipulangkan isi yang sudah bersih dan damai. Teman seperti ini lebih berharga dari seguni emas. Apabila mereka telah tiada, kita sebenarnya sudah jatuh miskin. Tiada lagi tempat untuk kita membuka hati seperti itu, pada seorang teman yang kita tahu, melihat kita dengan penuh sayang. Dia hanya mahu melihat kita gembira dan bahagia dengan jalan apa pun yang kita pilih.

Tulisan ini sebenarnya tiada hala tuju, sekadar mencoret monolog yang hadir bersama hujan yang tidak berhenti di luar sana.

Ahad, 16 Oktober 2022

Meneliti Argumen Kekerasan Agama


Mengikuti perbahasan baik di Timur mahupun di Barat dewasa ini, kita sering akan berjumpa dengan argumen perkaitan antara agama dan keganasan. Jika tidak keganasan pun, akan dikaitkan dengan kekerasan dan sekatan pada kebebasan manusia.

Walaupun sebenarnya perbahasan ini telah lama ada, saya kira nafas moden diberikan dengan adanya tulisan seperti Clash of Civilization tulisan Huntington. Juga tulisan-tulisan seangkatan dengannya yang bukan sekadar berlegar dalam jurnal akademik, tetapi meresap ke dalam perbahasan umum, siaran media dan juga penggubalan dasar dan polisi negara.

Walaupun pada fikiran saya, agama ini neutral sifatnya. Manusia yang memberi makna dan perwatakan kepada sebuah agama. Oleh itu kita boleh jumpa kekerasan dan toleransi dalam sejarah agama-agama, baik agama Islam, Kristian, malah Buddha sekali pun. Jika kita mahu mengatakan agama itu keras, kita boleh pilih satu segmen sejarah untuk menjustifikasikannya. Begitu juga sebaliknya, terdapat banyak contoh-contoh toleransi yang boleh kita petik dalam sejarah agama.

Beberapa hari lalu saya ada mendengar beberapa syarahan Dr. Yasir Qadhi, saya suka ungkapan beliau perihal perbezaan agama Islam dan sejarah Islam. Katanya:

"The religion is divine, but the history is very human".

Jadi begitulah sifatnya. Jika kita mendengar sejarah dalam khutbah dan kuliah, kebanyakannya akan dipetik sejarah yang baik dan romantik. Tetapi jika kita membaca sendiri kitab-kitab dan sumber-sumber primer dan sekunder, kita akan dapati sejarah itu penuh masalah, perang saudara, pengkhianatan, dan tribulasi. Malah ada dalam titik sejarah Islam dimana kita mempunyai 3 kerajaan khilafah pada satu-satu masa. Umayyah di Andalus, Fatimiyyah di Mesir dan Abassiyah di Baghdad. Tetapi bukanlah bermaksud kita tidak boleh mengambil pengajaran pada sisi-sisi yang baik dalam sejarah. Cuma jika kita tidak ceritakan keseluruhannya, pemahaman kita akan menjadi cacat. Kata Hussein Alattas, kita perlu belajar kedua-duanya, ilmu ubat dan ilmu racun. 

Berbalik kepada agama dan kekerasan, saya tertarik sekali dengan kupasan Yasir Qadhi perihal kefahaman pada hukum-hukum agama. Beliau mengupas bagaimana fatwa-fatwa almarhum Yusuf Qaradhawi mendahului zaman. Bagaimana pada mulanya pandangan beliau dianggap menyalahi jumhur dan bersifat minoriti, namun lama kelamaan pandangannya menjadi pandangan yang dominan dan dipegang oleh kebanyakan majlis fatwa.

Itulah sifat agama menurut beliau, berubah sesuai zaman. Yasir Qadhi mengkritik orang-orang yang berfahaman terlalu keras dalam ijtihadnya, kerana beliau melihat ahli keluarga mereka sendiri pun tidak dapat mengikuti pandangan agamanya yang keras itu. Baginya tiada guna berkhutbah perihal benda-benda yang keras dan ideal namun tidak praktikal dan tidak dapat dilaksanakan. Bagi Yasir, kekuatan Qaradhawi adalah kebolehannya melihat bagaimana umat Islam moden dapat melaksanakan agamanya dalam dunia yang baharu, tidak lagi hanya terikat pada fatwa silam ratusan tahun yang lampau. Teras-teras agama mengikut Qaradhawi, tetap kekal sebagai thawabit, tetapi hal-hal perihal hukum sentiasa boleh berubah mengikut zaman dalam daerah mutaghayyirat.

Pandangan saya, kekerasan dalam agama, jika pun tidak secara dasarnya, terlihat dan terasa secara persepsinya apabila ia bergandingan dengan kuasa dan politik. Persoalan ini banyak dibahaskan. Tetapi jika kita melihat secara menyeluruh, tidak semua negara beragama itu keras. Suasana di Afghanistan misalnya, sangat berbeza dengan Indonesia. Arab Saudi contohnya, sangat berbeza dengan Turki. Sekali lagi kita melihat, walaupun semua negara ini majoriti penduduknya beragama, corak pemerintahannya sangat berbeza. Disini kita lihat peranan manusia yang memberi makna dan perwatakan pada sesuatu.

Saya melihat negara-negara yang banyak dianggap keras ini proses mereka memasuki dunia moden banyak diganggu oleh kuasa-kuasa besar dunia. Maksudnya, mereka tidak matang secara semulajadi. Tetapi corak pemerintahan mereka banyak dikawal dan ditentukan oleh kuasa luar. Bagi saya ini faktor yang lebih dominan mengapa mereka menjadi keras, bukan kerana agama. Korea Utara misalnya, bukan negara yang kuat beragama (walaupun tidak dipersetujui oleh Christopher Hitchen akan argumen ini). Korea Utara menjadi kerajaan yang keras dan mencengkam banyak bergantung pada faktor luar. Ancaman dan sekatan yang dikenakan menghalang politik mereka matang secara semula jadi. Sebaliknya mereka mengeras untuk survival.

Saya lebih dekat dengan pandangan bahawa agama digunakan sebagai dalil kepada kekerasan. Namun agama itu sendiri bersifat neutral dalam hal ini. Dan agama bukanlah satu-satunya dalil yang digunakan dalam sejarah untuk menghalalkan kekerasan. Sains juga pernah digunakan sebagai dalil, contohnya social darwinism dan eugenics yang digunakan dahulu di German.

Sabtu, 15 Oktober 2022

Catatan Baitul Muslim 59: Mendidik Melalui Ugutan


"Abi, seronoklah kelas taekwondo"
kata anakku, ketika berjalan apabila aku menjemputnya pulang dari sekolah.

"Memang seronok, tapi kalau pergi taekwondo tak buat kerja rumah lepas ni takde kelas taekwondo!" jawabku dengan nada marah.

Anakku yang baru mahu membuka topik untuk bersembang dengan ayahnya terus terdiam. Aku dapat merasakan bahawa responku telah membunuh perasaan teruja yang baru mahu terbit dalam hatinya. Sekejap sahaja perasaan bersalah meresap masuk ke dalam jiwaku. Entah kenapa aku berkelakuan begitu, mungkin perasaan marah semalam masih aku simpan. Maklumlah selepas sekolah terus ke kelas taekwondo kali pertama, malamnya penat dan liat untuk menyiapkan kerja sekolah. Jadi, rasa marah malam semalam terbawa-bawa ke hari seterusnya. Aku kongsikan adegan itu kepada isteri, beliau menasihatkanku meminta maaf pada anak, takut-takut dia akan berhenti bercerita dan berkongsi kisah dengan ibu bapa.

Aku terfikir juga. Dahulu aku ingin sekali bersembang dengan anak kecil ini. Tetapi apabila kini dia sudah boleh berfikir, bercakap, dan bercerita, aku lebih banyak marah dari mendengar. Aku terperangkap dalam dua dikotomi, satu adalah untuk menghargai perasaan dan emosi anak, mendengar cerita-ceritanya. Dua, mendidik dan mendisiplinkan anak agar dia sentiasa melaksanakan tanggungjawabnya. Kadang dua perkara ini bercampur, dan aku terlebih marah dari mendengar.

Aku merasakan teknik aku mendisiplinkan anak memang penuh dengan ugutan. "Tak buat ini tak boleh ikut balik Kuala Lumpur". "Tak ikut cakap tak boleh pergi jalan-jalan". "Tak buat itu tak dapat aiskrim". Semuanya ugutan. Hingga aku melihat, anak-anak pun mengikut caraku dalam kelakuan mereka. Contohnya apabila bermain dengan adik, si kakak akan berkata "kalau adik tak ikut, kakak tak nak bagi"

Walaupun kedengaran "mendidik melalui ugutan" itu sangat negatif, aku merasakan bahawa ianya merupakan salah satu pendekatan dalam pendidikan. Ia boleh dilihat dan dijenamakan dengan lebih positif, iaitu kita meletakkan syarat kepada anak-anak sebelum dia mendapat sesuatu. Cuma sukar dilakukan adalah memastikan anak itu memahami, bahawa kita mahu mendidik bukan mengugut. Kerana level mereka sekarang mungkin belum dapat memahami niat kita. Mereka hanya melihat perkara-perkara yang dekat dengan mereka. Jadi senang sekali keadaan ini menyebabkan mereka merasakan bahawa kita selalu sahaja mahu memarahi mereka. Ditambah dengan fitrah bapa yang lebih senang marah dari menerangkan sesuatu kepada anak-anak. Mungkin satu hari nanti mereka akan faham, apabila level pemikiran mereka meningkat, namun mungkin ketika itu rasa kasih sayang sudah tidak ada. Jadi, walaupun susah, kita perlu juga berusaha membuatkan mereka faham.

Watak tegas dalam keluarga sebenarnya pada fikiran saya perlu ada. Kerana tidak semua masa pendidikan itu berkesan dengan penerangan. Namun perlu ada pengimbang. Jika ayah marah, ibu perlu memujuk dan menerangkan pada anak. Jika ibu marah, ayah perlu memujuk dan menerangkan pada anak. Tidak boleh kedua-duanya marah tanpa ada tempat anak itu berpaut. Dan saya kira, ibu bapa memang sukar untuk menentukan apakah cara didikannya itu benar, dia cuma hanya mampu berharap anak-anaknya memahami bahawa apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikannya.

Ada juga pandangan dalam pendidikan anak-anak bahawa kita perlu juga kadang-kala mengecewakan mereka. Contohnya jika kita memberi satu syarat, dan mereka tidak memenuhi syarat tersebut, kita tegas melaksanakannya. Contohnya tidak dibenarkan ikut berjalan-jalan. Pertama, objek yang hendak dicapai adalah mereka memahami bahawa kita benar dalam kata-kata, we mean our words. Oleh itu selepas ini mereka akan mengambil serius apa yang dikatakan. Kedua, agar mereka sedar memang dalam hidup ini tidak semua perkara yang mereka ingini mereka boleh dapat. Gembira dan kecewa adalah sebahagian dari hidup.

Cuma semarah mana pun kita pada anak-anak, janganlah dihilangkan kasih sayang. Contohnya, semarah mana pun kita pada anak, jika setiap kali ke sekolah kita mencium pipi mereka, perkara ini tetap perlu terus dilakukan. Agar mereka faham, marah itu marah kerana sayang.

Isnin, 10 Oktober 2022

Tanamlah Impian Sebanyak Bintang di Langit



Tanamlah impian sebanyaknya.

Sebanyak bintang di langit.

Meski perlawanannya sengit.

Meski akhirnya,
kau tak menyentuh kesemuanya.

Meski jalannya menyeksa,
sepertinya kau berada di neraka.

Teruslah menapak,
meski tiada siapa yang bersorak.

Jangan putus kerana sunyi,
walau cedera jangan berhenti.

Kerana impian itu pasti ada harga,
untuk itu kau perlu serahkan segala raga.

Tidak bernilai jika ia boleh dicapai,
hanya dengan rehat dan buai.
Tidak bernilai,
jika jalannya hanya dipenuhi belai.

Jika impianmu setinggi langit menjulang,
maka juangmu perlu setinggi bintang,
baru nanti pabila kau menang,
impian itu punya sesuatu untuk kau kenang.

Ahad, 9 Oktober 2022

Lemoi Praaq


Buku ini bagi saya istimewa, bahkan mungkin terlalu istimewa. Orang kata, siapa makan aiskrim dia yang terasa manis. Buku ini adalah catatan seorang guru, saya juga pernah menjadi guru satu ketika dahulu, jadi catatan ini memang sangat terasa manisnya. Menjadi guru pada anak-anak kecil sebenarnya menjadikan kita lebih dari seorang guru, kita juga menjadi ibu dan bapa mereka, dan kadang kala menjadi teman dan sahabat. Bagi saya profesyen guru sangat menyeronokkan dan membahagiakan (walaupun penat!). Kerana dikebanyakan masa kita bersama anak-anak kecil yang suci dan murni hatinya. Amat susah kita mahu mengasingkan perasaan, sekejap sahaja pasti terbit rasa sayang pada anak-anak murid. Berhenti menjadi guru juga adalah pengalaman yang sangat emosional. Berbalik kepada buku ini, kadang saya merasakan ada dikotomi dalam pendidikan kita. Disebelah sana kita sibuk hendak menggabungkan pendidikan dengan AI dan IR4.0. Pendidikan digital dan virtual. Kita mahu mem-Finland-kan pendidikan kita. Manakala disebelah lain adalah anak-anak yang berjalan 2 jam dari kampung di dalam hutan untuk ke sekolah, meredah hutan, bukit, dan sungai. Dengan peralatan dan pakaian sekolah yang sangat dhaif. Jangankan Finland, mahu pastikan mereka hadir 5 hari seminggu pun satu struggle atau "praaq" (perang). Jangankan internet, lampu elektrik pun tiada. Cikgu Bungo Lale, disebalik semua kesusahan ini membawa keluar kisah-kisah bersama anak-anak orang asli dari suku Lemoi ini untuk ditelusuri oleh kita. Membaca kisah mereka membuatkan kita terharu, terinspirasi, tergelak, dan kadang kala sedih. Sedih kerana kita masih lagi terkebelakang dalam pembangunan pendidikan anak-anak luar bandar. Saya yakin, hal ini bukan hanya berlaku pada anak-anak Lemoi, tetapi banyak lagi kawasan-kawasan luar bandar, pos-pos orang asli di semenanjung, Sabah, dan Sarawak, yang masih struggle untuk mendapatkan akses pendidikan dan keperluan hidup yang lain. Itu belum kita perhalusi pendidikan anak-anak tanpa negara yang tidak dipedulikan untung nasib mereka. Moga banyak lagi catatan pengalaman guru di kawasan pedalaman seperti ini dikeluarkan, dikomersialkan, dan diarus perdanakan. Tidaklah kita duduk sedap sahaja dalam kelas-kelas virtual, bersembang tentang sekolah-sekolah elit seperti MRSM dan SBP, tanpa kita sedari sebenarnya masih banyak anak-anak kita yang tercicir pendidikan mereka. Tanggungjawab mendidik mereka bukanlah tanggungjawab guru seperti Cikgu Bungo Lale sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab kita semua. Langkah pertama adalah mengetahui kewujudan mereka, jika tahu pun tidak bagaimana kita mahu harapkan masyarakat akan bertanggung jawab membantu mereka.

Isnin, 3 Oktober 2022

MATRI: Terima Seluas Lautan Memberi Hanya Sebutir Keringat

Ustaz Dahlan Mohd Zain dan Ustaz Omar Haji Salleh bersama Syed Ahmad Fathi di Hari Kecemerlangan MATRI pada tahun 2005.

Saya merupakan pelajar lepasan Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI). Di sinilah tempat permulaan saya mengenal diri dan belajar. Bukan sekadar belajar ilmu-ilmu akademik, tetapi juga belajar mengenal diri, belajar untuk hidup, belajar berdikari, belajar masak meggi, juga belajar berkawan dan bersahabat. Sepanjang perjalanan hidup, saya rasa sahabat-sahabat yang saya kenali di MATRI adalah yang paling rapat, malah kami masih lagi berukhuwwah sehingga ke hari ini.

Saya masih ingat semasa di Tingkatan 1, ketika baldi, hanger, baju, biskut, telah disusun di dalam locker asrama, ayah meninggalkan saya di sekolah yang terletak di hujung negara ini, MATRI terletak di Perlis. Saya duduk termenung di kantin melihat padang dan memikirkan apalah nasib saya disini. Namun saya tidak menangis, cuma blur.

Namun saya tidaklah ditinggalkan sendirian. Ramai kawan-kawan sekolah rendah saya menyambung pengajian disini. Ada juga geng. Kakak saya juga ketika itu bersekolah di MATRI di Tingkatan 3. Kawan sekolah lama adalah geng awal saya, saya pada mulanya tak berapa bergaul dengan kawan-kawan dari utara. Sebab saya tak berapa faham bahasa mereka pada mulanya, dan mereka pun macam ada puak tersendiri. Tapi lama-kelamaan semua tembok dan dinding cair, kami bergaul tanpa ada lagi rasa kekok, ibarat kangkung, udang, dan nasi yang akhirnya menjadi nasi goreng kampung. Tak ada lagi tembok utara, selatan, barat atau timur. Semuanya adalah sahabat.

Makin lama saya makin selesa disini, malah kalau cuti-cuti pendek pun biasa saya tak balik ke rumah. Namun di MATRI bukanlah semua baik dan indah sahaja, sering apabila kita bernostalgia yang pahit dan manis terangkum semuanya menjadi memori yang indah untuk dikenang. Tetapi, ada juga ketikanya guru-guru juga bertindak diluar batas yang layak bagi mereka, murid-murid yang remaja dan beragam apatah lagi. Namun bagiku itu biasa, sekolah ini adalah sekolah manusia. Guru dan pelajarnya bukanlah malaikat atau dewa-dewi, mereka semuanya manusia biasa dengan segala kelemahan manusiawi.

MATRI sebagai sekolah agama memang menerapkan unsur jati diri Islam dalam setiap pelajarnya. Namun tidaklah bermakna hal dunia ditinggalkan. Saya sendiri mengikuti aliran sains tulen di sekolah. Falsafah ilmu yang dibawa tidak memisahkan Islam dari ilmu dunia. Guru-guru biologi, kimia, dan fizik yang saya sayangi sentiasa mengaitkan ilmu yang diajarkan dengan Islam. Jika kita baca, Al-Qur'an sendiri begitu banyak ayat perihal fenomena alam, tumbuhan, haiwan, hingga ada cendiakawan yang mengatakan ayat perihal alam ini lebih banyak dari ayat-ayat perihal ibadah khusus. Jadi, tidak pelik jika dikatakan bahawa kalam Tuhan menyuruh kita menjadi saintis, kerana saintis tugasnya mengkaji, melihat dan merenung alam.

Falsafah ilmu MATRI tidak membawa bahawa semua pelajarnya perlu menjadi ustaz. Malah banyak lepasan MATRI menjadi golongan professional. Ratusan malahan ribuan, menjadi jurutera di kilang-kilang, menjadi usahawan pemilik toko perusahaan, bekerja di wad hospital, menduduki pejabat tinggi kerajaan, menjadi pengkaji dalam makmal-makmal sains, mengajar di menara gading malah ada yang menjadi artis dan selebriti. Tidak kurang yang kembali berkhidmat sebagai guru di sekolah. MATRI mahu anak-anaknya menjadi duta Islam di penjuru masing-masing.

Mengapa perlu kepada duta Islam?

Sekolah ini dibina oleh orang-orang biasa dengan visi luar biasa. Ada pendirinya bekerja sebagai petani, buruh, pegawai kerajaan dan swasta, juga mahasiswa. Malah pada peringkat awal, di MATRI memang tempat mereka ini bertani bersama. Mereka melihat kerosakan yang berlaku dalam masyarakat, dan merasakan masyarakat yang lebih baik dapat dibina jika anak-anak mereka diasuh dengan didikan Islam. Maka mereka pun berusaha menyemai benih-benih baharu. Meskipun mereka sedar, benih ini akan tumbuh melepasi usia hayat mereka. Dalam kata lain, mereka menanam benih dengan sedar bahawa mereka sendiri tidak akan dapat merasakan buah-buah manis yang bakal tumbuh dari pohon semaian mereka. Mereka beriman dan yakin, usaha mereka ini bakal melahirkan generasi baharu yang lebih baik, generasi yang punya jati diri Islam.

Sekitar 2004-2005 bermula gelombang baharu, iaitu proses nasionalisasi sekolah agama rakyat di Malaysia. Pada mulanya bantuan kepada sekolah agama rakyat dihentikan, kemudian polisi baharu diperkenalkan bahawa sekolah agama yang ingin mendapat bantuan kerajaan perlu duduk dibawah pengurusan kerajaan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). MATRI walaubagaimana pun memilih untuk kekal bebas sebagai sekolah agama rakyat tanpa campur tangan kerajaan meski pun terpaksa berusaha mencari dana sendiri. Namun tidaklah makna ia mengasingkan diri dari pendidikan arus perdana. Ia masih mengikuti kurikulum nasional dan pelajarnya mengikuti peperiksaan PMR (telah dimansuhkan kerajaan), SPM dan STAM.

Pada bulan Julai 2022, saya telah dicalonkan untuk menjadi setiausaha Persatuan Lepasan MATRI (PLM). Saya telah berusaha melobi rakan-rakan se-batch untuk tidak mengundi saya. Walabagaimana pun, melihat semula ke belakang, saya merasakan usaha melobi saya ini memang tempang sejak awal lagi kerana akhirnya mereka tetap juga mengundi saya. Walaupun berat, saya relakan juga hati untuk menerimanya. Saya menganggap ia sebagai medan untuk saya kembali menyumbang tenaga kepada sekolah yang telah banyak mencorak diri saya, saya sudah minum selaut ilmu disini, maka kini tibalah masa saya menyumbang sebutir dua keringat semampu dan seadanya. Walaupun saya sedar, apa yang saya sudah terima tidak mampu saya balas.

Menyertai PLM bererti saya perlu menghadiri mesyuarat di MATRI, dan menyambut amanah, saya hadir ke mesyuarat pertama pada bulan September 2022. Setiap kali saya melepasi pagar MATRI, pasti rasa hati saya membuah sayu dan rindu. Rasa segar hati di sini tak pernah padam. Walaupun setinggi mana saya telah mendaki tangga kerjaya, walau sebanyak mana pangkat dan harta, apabila saya memasuki MATRI, saya akan masuk sebagai anak pelajar kecil. Sebesar mana pun saya di luar, di dalam ini saya akan merasa kecil. Saya akan sentiasa, sampai bila-bila pun, masuk ke MATRI sebagai pelajar, masuk dengan penuh tunduk.

Di sini saya dapat merasakan semula ketenangan hati. Dahulu, semasa di sini, hati-hati kami bersih dan mudah tersentuh. Namun sekian lama keluar, saya merasakan hati saya telah begitu keras. Entah apa yang berlaku, seolah sekelip mata, arus hidup telah membawa lari hati bersih saya. Namun di sini, nyaman, sepertinya saya diberikan hati yang baharu oleh Tuhan. Duduk di musolla MATRI memberikan kesan yang sama pada hati, terasa seperti tidak mahu bangun dan terus sahaja duduk di musolla ini, berdoa kemudian termenung. Melihat bayangan-bayangan kami sewaktu muda di sekolah ini, yang kini sudah semuanya pergi entah ke mana. Saya merasakan, sekarang adalah masa yang sesuai bagi anak-anak MATRI untuk pulang. PKP sudah berakhir, tiba masanya mereka untuk menziarahi sekolah ini, saya pasti, mereka juga akan menjumpai semula hati-hati mereka. Walau sekeras mana, tiba disini, ia pasti berputik dan berbunga semula. 

Seperti mengenggam pasir, pasti ia akan mengalir keluar juga dicelah-celah jari. Begitu jugalah kita, sesayang mana pun kita pada kenangan, ia pasti mengalir hilang dibawa sungai masa. Yang tinggal hanyalah nostalgia. Tetapi nostalgia itu dicipta Tuhan bukan sia-sia. Ia adalah satu pesanan yang sangat berkesan buat hati-hati kita, untuk merenung perjalanan hidup, memperelok laluannya, agar tidak kita terlepas dari landasan yang sebenarnya. Maka pulanglah, dalam nostalgia-nostalgia ini, pasti ia akan menyalakan semula hati-hati kita, sebagai bekal untuk mengharungi masa-masa seterusnya.

MATRI & Tempat-Tempat Nostalgia

Musolla MATRI, September 2022.

Setiap kali aku pulang ke MATRI, aku pasti bernostalgia. Ke mana pun mataku memandang, pasti ada memori yang berputar semula. Masakan tidak, 5 tahun hidupku aku habiskan disini. Hampir kesemua pelusuk MATRI telah aku tinjau, panjat, dan siasat. Cuma mungkin tempat yang tidak aku singkapi adalah aspuri. Pada hujung September 2022, aku pulang semula ke MATRI, kerana ada perlawanan bola sepak persahabatan bersama alumni, juga bagi menghadiri mesyuarat Persatuan Lepasan MATRI (PLM). Sekali lagi memoriku berputar, aku bernostalgia.

Musolla MATRI

Selain menjadi tempat kami berteduh mendengar ijtima'am, musolla juga antara tempat yang paling senang dan nyenyak tidur. Semasa tingkatan 1, kami akan ke musolla untuk kelas hafazan, di sudut kiri depan bersama Ustaz Rosli. Teringat satu hari, aku tertidur semasa hafazan, sedar-sedar kawan-kawan kelas sedang duduk dalam bulatan sambil membaca Surah Yasin dengan aku tidur ditengah.

Di musolla juga tempat perhimpunan sekolah diadakan. Paling tidak boleh dilupakan adalah semasa tingkatan 3, satu perhimpunan khas tergempar telah diadakan, sampai hari ini aku masih ingat tarikhnya iaitu 13 Julai 2005. Pada hari itu telah berlangsung public canning, di mana aku dan rakan-rakan dirotan dan disaksikan oleh satu sekolah. Jadi bukan hari kecemerlangan sahaja aku naik pentas, public canning pun naik nama. Kesalahannya adalah keluar asrama tanpa kebenaran warden. Tukang rotannya adalah Sir Abduh Zainal Abidin. Ada seorang senior mengambil gambar aku dirotan pada hari itu, sehingga hari ini gambar itu masih aku simpan.

Tasik Melati

Tasik ini adalah tempat rekreasi yang paling dekat dengan MATRI, kalau jogging jaraknya 1.5 km, kalau naik motor jaraknya 3 minit. Semasa tingkatan 1, disini kami membuat kajian lapangan perihal tumbuhan air dalam subjek Kajian Tempatan dibawah seliaan Cikgu Nabilah Abdul Halim. Kami juga pernah ke Tasik Melati bersama Almarhum Cikgu Desa Senawi dimana beliau menganjurkan permainan matematik ala-ala explorace.

Namun yang paling tak boleh dilupakan adalah mandi di Tasik Melati. Di MATRI dahulu selalu ada masalah air. Di dorm huffaz, jika habis air, biasanya kami akan gunakan air telaga yang dipam oleh mesin, namun air telaga ini agak payau dan berbau. Pernah satu hari tidak ada air di MATRI. Kami dikejutkan sebelum subuh dan berjalan kaki dari MATRI membawa baldi, cebok, syampoo, sabun, dan tuala ke Tasik Melati dan mandi air tasik di sana. Habis mandi jalan balik ramai-ramai untuk memulakan sesi persekolahan. Begitulah nostalgia dan kenangan.

Ahad, 2 Oktober 2022

Mengatasi Reading Block


Dahulu, saya merupakan seorang monogamist reader. Apakah dia monogamist reader? Maksudnya adalah orang yang membaca satu buku sahaja pada satu-satu masa. Dalam kata lain, pembaca yang setia membaca satu buku sahaja, dia hanya akan membaca buku baharu selepas buku yang sedang dibaca tamat. Saya dahulu seperti itu. Saya dahulu takkan membaca buku baharu selagi saya tidak habiskan buku yang saya mulakan dari kulit ke kulit. Disiplin.

Tetapi lama kelamaan, saya menghadapi masalah dengan cara ini. Kadang kala ketika membaca, kita akan menghadapi reading block dimana kita tak boleh nak membaca. Otak kita tak mahu membaca walaupun kita cuba. Baca satu muka surat kita sudah rasa begitu penat, lemau, mengantuk dan tawar. Jika kita seorang monogamist reader, selama kita berada dalam fasa reading block ini kita takkan membaca. Kalau ia berlarutan sebulan, maka sebulanlah kita tak membaca. Jika setahun, maka, setahun kita tak akan membaca buku.

Biasanya reading block ini akan hadir ketika kita membaca buku yang susah. Subjek yang kita tidak familiar. Atau buku yang laras bahasanya terlalu tinggi dan berfalsafah. Atau buku yang ditulis berjela-jela, satu perenggan tiga muka surat atau satu ayat ditulis sehingga tiga mukasurat. Pembacaan kita terasa berat dan sukar. Maka lama kelamaan otak kita akan secara automatik tertutup dengan buku tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, saya kemudian bertukar gaya pembacaan kepada polygamist reader. Jika ada bacaan yang berat dan besar, yang saya tahu, dalam perjalanan menghabiskannya saya akan mengalami banyak episod reading block, saya akan selangi dan sulami dengan buku-buku yang kecil dan mudah. Jika sudah terlalu tepu dengan sebuah buku, menukar sekejap bahan bacaan mampu meregangkan semula minda, sebelum mula mendaki sekali lagi bacaan yang berat. Jadi tidaklah kita berlama-lamaan dalam reading block. Kita dapat segera sedar dan segar untuk kembali membaca.

Cuma kadangkala, cara bacaan sebegini menyebabkan fahaman kita tentang sesuatu bacaan itu bercampur-aduk. Tambahan jika buku yang diselang seli itu banyak bercakap perihal topik yang sama. Oleh itu, jika boleh, pastikan buku yang diselitkan di tengah bacaan yang besar itu merupakan buku yang membincangkan subjek lain. Agar minda kita mudah mengklasifikasikan idea dan menyusun informasi.

Solitude: Pencarian Diri


Kadang saya tertanya juga, kenapa kadangkala kita suka berseorangan? Kadang ketenangan itu tidak dijumpai dalam keramaian dan pendampingan, tetapi dijumpai jauh di dalam perut alam. Seperti kata-kata "you need to be lost to be found". Kita perlu "sesat" di dalam hutan belantara hijau untuk merenung diri. Kita bersendiri bukan kerana kita tidak menyukai atau membenci sesiapa, tetapi seolah itu fitrahnya. Bersendiri dalam solitude memberi kita ruang dan masa mencari dan mengenal diri.

Saya tidak begitu gemar perbahasan introvert-extrovert dalam hal ini, kerana pada saya perasaan tenang dari solitude ini ada pada semua manusia, walaupun mungkin dalam spektrum dan intensiti yang berbeza. Saya baru usai meneliti dan menghadam tulisan Ibnu Tufail, dalam makalahnya yang terkenal "Hayy ibn Yaqzan". Walaupun ada bahagian makalah ini yang saya kira terlalu filosofikal hingga sukar diterjemah oleh akal awam, namun olahan dan penerangan beliau tentang bagaimana solitude dapat membantu manusia mencapai pengetahuan yang sebenar amat menyegarkan.

Ia juga memberi saya perspektif baharu perihal kenapa manusia suka mencari ketenangan berseorangan. Suka ke tempat yang tiada orang seperti di dalam hutan dan belantara, di tepi sungai dan air terjun, di tepi pantai mendengar deruan ombak, tempat-tempat solitude ini berjaya melahirkan perasaan tenang dalam diri manusia yang tak dapat dihasilkan dari solusi, teknologi dan ciptaan moden manusia.

Bagi Ibnu Tufail, solitude merupakan ruang ideal manusia untuk berfikir dan mengembangkan pemikirannya. Beliau menerangkan, melalui allergori-allergori bahawa ilmu sebenar bukan sekadar ilmu yang dapat dicerap melalui deria, juga bukan sekadar logik, falsafah dan eksperimen minda. Tetapi juga merangkumi perasaan-perasaan yang kita rasai dalam solitude, perasaan yang membawa kita berjumpa dengan diri kita sendiri.

Antara allergori Ibnu Tufail yang paling jelas adalah sebuah pulau yang tidak didiami manusia. Solitude manusia di pulau ini, dengan keindahan alam ciptaan Tuhan merupakan habitat fitrah asli bagi pembangunan minda manusia jauh dari segala kekotoran dan korupsi masyarakat. Bersendiri diselubungi alam buana dapat membantu manusia jauh dari tarikan dan gangguan manusia lain, jadi dia dapat fokus dan memerhatikan dirinya. Merasai dirinya. Merasai hidup.

Bagi Ibnu Tufail, gua adalah simbol kepada tempat manusia bertafakkur dan berfikir. Bukan seperti pemahaman gua kita, gua dianggap tempat penuh kegelapan, kita masuk ke dalam gua hanya ketika pasukan bola yang kita minati tewas. Bagi Ibnu Tufail, gua adalah tempat kita meneroka diri kita, jauh dari hiruk pikuk manusia yang bising dengan urusan dunia mereka. Ia adalah tempat kita mengembara di dalam diri, dari pengembaraan ini kita berpeluang menjumpai ketenangan.

Bagi saya tafsiran dan allergori Ibnu Tufail ini lebih memuaskan dalam menafsirkan sebab manusia suka mencari masa bersendiri. Juga bercuti di tempat-tempat yang jauh dari manusia lain. Kerana meski pun masyarakat menyuruh kita berlari-lari mengejar dunia dan kerjaya, jauh dalam sudut hati kita, kita mempunyai kerinduan untuk bersendiri dalam ketenangan dan kebahagiaan.

Otaknya Tua Sebelum Umurnya

 

Pada pandangan saya, tua atau muda seseorang itu bergantung kepada mindanya. Minda yang telah tua adalah minda “jangan”. Semuanya jangan, jangan buat itu, jangan buat ini. Mereka sudah selesa dengan cara lama. Tak mahu berubah dan mahu semuanya sama seperti purbakala, lagi purba lagi mereka suka. Walaupun kadangkala usianya masih muda, badannya masih kuat, fizikalnya masih sihat, jika fikirannya begitu, mereka telah tua sebelum umurnya. Dan bisa kemungkinan hidupnya tiada beza dengan orang yang mati, kerana semuanya statik dan tiada sumbangan pada masyarakat.

Tetapi ada juga orang tua yang mindanya muda. Berbeza dengan minda “jangan”, minda orang muda adalah minda “cuba”. Dia takkan terkesan dengan andaian-andaian manusia. Dia takkan terikut-ikut dengan ketakutan ciptaan fantasi orang berminda tua. Baginya dalam hidup ini hanya ada dua keputusan sahaja. Jika berjaya dia anggap itu adalah kemenangan. Jika tidak berjaya dia akan belajar. Dia tak mungkin gagal, hanya menang atau belajar.

Minda “cuba” ini biasanya minda yang menongkah arus. Kebanyakan manusia mempunyai “crowd mentality”, dia tidak mahu dan malas buat keputusan sendiri. Dia hanya ikut majoriti dan tak mahu menyatakan pendirian. Jadi dia akan hanya mengikut suara yang dia dengar paling kuat. Jika suara yang paling kuat adalah suara “jangan” jadi dia pun hanya mengikut seperti kawanan kambing, dan duduklah dia dalam karavan yang tidak mahu berpindah, selesa dengan air dan rumput yang sedikit.

Minda “cuba” tak akan duduk dalam karavan seperti ini. Kerana baginya ia adalah suasana yang membosankan, tiada cabaran, dan tiada peningkatan. Baginya hidup adalah peluang dan usaha. Untuk mencapai sesuatu mestilah ada sedikit susah payah, barulah bermakna. Dia tetap berjuang meski pun dia berseorangan, dia tidak akan mengikut majoriti jika majoriti itu mengajak kepada kelemahan dan kelemauan. Jika belum mencuba pun sudah takut itu dan ini, baginya itu bukan hidup yang dia mahukan, orang muda pantang kalah sebelum berjuang. Apalah erti hidup jika menjadi kambing-kambing yang kenyang dan menunggu masa untuk disembelih. Hidup terlalu berharga untuk dihabiskan dengan kebosanan.

Hidup ini memang kadang-kala keras, tetapi bukan bererti kita perlu melemah. Jika hidup menjadi keras, kita perlu menjadi lebih keras dari hidup. Itulah resam orang yang berjaya, mereka berani untuk menjadi lebih keras dari cabaran yang datang. Tidak bersama majoriti itu lumrah perjuangan dalam hidup. Biar teguh dengan cita-cita dan impian, jangan larut dalam kebosanan orang kebanyakan. Jika takut berkeseorangan, janganlah berjuang untuk sebuah impian.

Jumaat, 23 September 2022

Catatan Baitul Muslim 58: Menjadi Cendol di Terik Tengahari


Kita sering mendengar bahawa mood suami bergantung pada mood isteri. Jika mood isteri baik, ceria, dan gembira, si suami pun akan menjadi cermin dan memantulkan mood yang sama. Dalam bahasa Inggeris disebut "happy wife happy life". Sebaliknya jika isteri moodnya tidak baik, si suami juga akan memancarkan mood yang sama pada sekelilingnya. Kadangkala, disebabkan kita sering mendengar perkara seperti ini, kita seolah-olah berserah kepada keadaan, dan kita pun hanya mengikut tanpa berfikir bahawa mungkin kita boleh memberi tindak balas yang berbeza.

Hakikatnya yang mengawal mood dan perasaan kita bukanlah pasangan kita. Ya, mereka akan mempengaruhi kita. tetapi jika kita segera sedar diri, kita boleh memilih dan bertindak untuk tidak terpengaruh. Jika kita sedar, bahawa kita bukanlah emosi kita, kita akan dapat mengawal emosi tersebut. Sebaliknya jika kita merasakan kita adalah sama dengan emosi yang hadir, kita akan hanyut dengan emosi.

Sebenarnya suami boleh memilih untuk gembira dan berada dalam mood yang tenang meski pun ketika mood isteri berada dalam keadaan gundah gulana seperti berada dalam ribut taufan. Dengan syarat dia mestilah sedar bahawa dia boleh mengawal emosinya. Saat-saat yang cemas dan kucar-kacir sebenarnya lebih mudah diurus jika salah seorang bertindak menjadi penenang. Jika kedua-duanya hanyut, suasana kalut akan mudah berubah menjadi ribut.

Maka suami perlulah belajar jurus menenangkan minda di saat-saat getir. Dengan ini mereka dapat menjadi seperti cendol yang sejuk dan dingin, segera mengamankan tekak tatkala matahari menggigit dunia dengan kepanasannya dalam terik tengahari. Tugas pasangan mestilah menjadi pengimbang. Saat seorang jatuh, seorang lagi perlulah menjadi kukuh, agar yang jatuh punya tempat berpaut. Mood suami tidak perlu bergantung pada mood isteri. Sebaliknya suami perlu sentiasa bijak mengawal moodnya, tidak terikut-ikut dan sentiasa menjadi tiang yang boleh diharapkan untuk berpaut.

Jika tidak keluarga mudah sahaja kucar-kacir, tidak ada pengimbang. Jika salah seorang jatuh, seorang lagi ikut jatuh, maka keluarga akan runtuh. Jika suami isteri tidak pandai mengurus mood dan emosi, apakah boleh diharap anak-anak untuk menjadi pengimbang? Merka pasti menjadi magsa keadaan, atau lebih buruk, mereka akan menyerap apa yang mereka lihat, dan menganggap kegagalan keluarga adalah sesuatu yang normal. Maka apabila mereka pula berkeluarga, mereka akan mengulanginya.

Jadi, kita seharusnya bijak mengurus mood dan emosi. Jangan terikut dengan common wisdom popular yang tidak benar. Sebaliknya berusahalah untuk menjadi penawar saat pasangan berada dalam kegelisahan. Ketika tengahari meremang, dan terik mentari mencekik, kita seharusnya menjadi cendol yang dingin dan mengamankan.

Khamis, 22 September 2022

Muzika


Muzik yang indah,
apabila ia melembah,
masuk menyergah,
ke dalam telinga.

Ia umpama,
pembebasan jiwa,
dari sangkarnya.

Bebas ia terbang,
mencapai gembira,
mencapai tenang.

Walau sebentar cuma umurnya,
akhirnya hilang,
habis dalam hamparan,
ombak takdir yang datang.

Tika muzika,
memenuhi ruang udara,
seketika,
hati pun berbunga.

Dingin Hujan Pagi


Dingin.

Hujan pagi
meremangkan jiwa.
Seketika
terasa bernyawa.

Rimbunan awan,
mendung,
berarak sepi.
Seketika,
meremangkan rindu,
yang terbuku
di dalam kalbu.

Pagi yang nyaman ini,
ditemani hujan dan awan,
membuahkan
pelbagai rasa
dalam kedinginannya.

Jumaat, 16 September 2022

Di situ terhenti batas usaha


Dalam hidup ini, kita hanya mampu membuat keputusan. Untuk menentukan keputusan kita itu betul atau salah, itu adalah di luar batasan usaha. Itu sudah masuk ke dalam ruangan lain, ruang rasa, yang tidak mampu lagi kita bendung dengan usaha.

Sebaik mana pun niat dan usaha kita, ada kalanya natijahnya tidak berpihak kepada kita. Bukan tugas kita untuk menangisinya, tugas kita adalah menerima bahawa kuasa manusia itu terbatas. Terlalu banyak faktor luar yang tidak dapat dikawal oleh upaya tangan manusia. Cubaan untuk mengawal semuanya akan membuatkan kita penat, kecewa dan berputus asa.

Betul atau tidak keputusan yang kita lakukan sukar untuk dipastikan. Kadang ia bergantung pada perasaan orang lain. Jika sesuatu keputusan itu mengamankan semua orang disekeliling kita, kita mungkin merasakan ia keputusan yang betul. Meski hati kita sendiri tidak merasa aman. Hati sendiri pun ada ketikanya tidak dapat kita kawal, apatah lagi hati orang lain.

Kita mampu berhati-hati tapi kita tak akan mampu mengawal hati. Dalam jalan yang panjang dan berselerakan ini pasti sahaja keputusan kita akan menyebabkan hati orang lain terkesan. Itu adalah di luar kawalan kita. Pilihan yang ada adalah kita berhenti bergerak, jika kita tidak bergerak tiada siapa pun yang akan tersentuh.

Tetapi adakah kita boleh katakan sesuatu yang tidak bergerak itu hidup?

Maka resamnya begitu. Setiap hari akan ada pilihan dan keputusan yang perlu kita lakukan. Kecil dan besar. Yang akan mengesani orang lain. Kita tidak pasti yang mana yang betul. Kita hanya mampu berbekal niat yang baik dan usaha yang berhati-hati. Selepas itu kita hanya mampu memejam mata dan menerima, kerana apabila panah sudah keluar dari busurnya, disitu terhenti batasan usaha.

Seronok ke menulis?


Ada orang tanya, apa yang seronoknya menulis buku?

Sebenarnya bagi aku, menulis dan menerbitkan buku itu dua perkara yang berbeza. Tak semua penulisan akan berakhir dalam helaian buku. Buku bagi aku adalah sejenis rumah kepada penulisan, tetapi ia bukan satu-satunya rumah yang ada. Ia adalah rumah yang perlu dicari. Tetapi jika tidak jumpa, tak bererti ia tidak boleh mendiami rumah-rumah jenis yang lain.

Kalau penerbit besar tak mahu terbit, aku akan cari penerbit kecil. Kalau penerbit kecil tak mahu aku akan cari penerbit halus dan mikroskopik. Kalau tiada juga aku akan terbitkan sendiri. Kalau aku sendiri rasa tak yakin aku akan tulis di blog sahaja. Kalau aku mahukan pendapatku diketahui mungkin aku akan menulis di media sosial. Jika aku mahu mencatat sesuatu yang aku rasa tidak sesuai disingkap oleh orang lain, aku akan tulis di blog rahsia. Jika tidak, aku akan garap dalam diari sahaja. Jika tiada satu pun tempat yang sesuai, aku tetap akan tuliskannya di dalam hati.

Mungkin orang melihat penulisan itu sesuatu yang ingin aku zahirkan. Tetapi bagiku menulis adalah sesuatu yang peribadi. Menulis membuatkan aku gembira dan bahagia. Dengan menulis aku mampu berjumpa semula dengan perasaan-perasaan yang lalu, yang aku sendiri sudah lupa. Kalau boleh aku ingin menulis tentang semua perkara, tapi masa tidak menyebelahiku. Kadang hidup memaksa aku berjauhan dari pena. Ada yang sempat ditu;is lengkap, ada yang tercarik-carik disini sana.

Aku pernah juga berfikir mahu mengumpulkan semua penulisanku yang bertaburan di pelbagai rumah, untuk duduk bersama di dalam satu manuskrip. Tapi kini aku rasa perkara itu terlalu besar untuk aku lakukan sendirian. Aku rasa, jika ada benda yang menarik dalam penulisanku, mungkin satu hari nanti ada orang yang terlebih rajin untuk mengumpulkannya. Atau mungkin ada anak dan cucu yang ada masa untuk melakukannya.

Aku akan terus menulis. Tetaplah menulis biar pun tiada siapa yang membaca. Bagi aku penulisan adalah hal peribadi yang menyeronokkan dan menggembirakan. Kalau ada yang rasa menarik, bagus, jika tidak, aku bahagia dengan tulisanku sendiri. Syok sendiri kata orang. Menulis tak semestinya besar dan panjang. Tulisan dan anekdot kecil kadang lebih berharga bagiku, serangkap puisi juga kadang lebih dalam ertinya dari penulisan panjang penuh jargon yang berpusing-pusing mendewa tinggi di langit. Bagiku biarlah penulisan itu kecil dan sederhana, asal ia membekas pada diri kita.