Selasa, 17 Februari 2026

Apa Yang Dipelajari Selepas Empat Tahun

Memasuki fasa-fasa akhir pengajian, kadang kala saya tertanya juga, termenung, akhirnya sebenarnya apa yang aku belajar selepas empat tahun ini? 

Bagi saya apa yang paling signifikan bukan konsep, bukan teori, bukan metodologi, yang menjadi pelajaran penting adalah untuk belajar kita perlu merendahkan hati. Perlu sentiasa letak posisi kita di bawah. Perlu bersedia untuk dibetulkan. Perlu anggap pembetulan adalah sebahagian dari proses belajar. Sebijak mana pun kita rasa, kita perlu bersedia mendengar pandangan balas.

Jika tiada kerendahan hati ini kita tidak akan belajar apa-apa. Kita akan merasakan pembetulan sebagai satu kesusahan, bukan satu proses pembelajaran. Kita tidak bersedia menerima cabaran baharu, meneroka kemungkinan bahawa mungkin idea kita salah, mungkin ada penjelasan yang lebih dalam, mungkin ada sumber yang lebih tepat, kita akan hilang pandangan terhadap seribu satu kemungkinan lain. Kita tidak akan belajar apa-apa. 

Tetapi sekiranya kita bersedia memecahkan pemikiran lama, kita mempunyai potensi membina bangunan kefahaman yang lebih baharu dan lebih sistematik. Kita sentiasa bersedia membuat pembetulan dan penambahbaikan. Kita tidak merasakan tambah baik itu sebagai perosak idea, tetapi sebagai satu batu yang akan mengasah dan menajamkan lagi dapatan pengajian kita. Semakin banyak pembetulan kita sudi lakukan, semakin terperinci dan teliti kajian kita. 

Kita mesti sentiasa bersedia untuk mengubah arah dan corak kajian kita sesuai dengan pembangunan dan ketinggian ilmu. Jika tidak bersedia, tidak ada kerendahan hati untuk menerima, kita hanya akan menjadi sebuah batu yang tidak boleh bergerak. Tidak dapat dipecahkan dan disusun menjadi satu struktur yang lebih baharu dan mampu tersergam indah.

Oleh itu, selepas empat tahun, saya belajar bahawa untuk belajar, perlu bersedia merendahkan diri.

Ahad, 15 Februari 2026

Koleksi Fikir: Kedai Buku dan Buku Sejarah

Baru-baru ini saya menjeguk sebuah kedai buku di Cyberjaya. Kedai buku tersebut banyak menjual buku-buku Inggeris tetapi ada juga menjual buku-buku Melayu. Saya pergi ke bahagian sejarah, hampir semua buku sejarah yang dijual adalah perihal Eropah-Amerika. Sepatutnya kedai buku di Malaysia, juallah buku-buku sejarah Malaysia. Bentak hati saya.

Risalah Buat Kaum Yang Berfikir

Risalah Buat Kaum Yang Berfikir.
Buku Risalah Buat Kaum Yang Berfikir selamat dilancarkan di Kuala Lumpur Alternative Bookfest pada 01 Februari 2026. Buku ini sebenarnya merupakan renungan dan sintesis pemikiran saya sepanjang beberapa tahun di dalam dunia kepengarangan. Selain itu dimuatkan juga beberapa polemik pemikiran untuk menambahkan rencah. 

Bersembang Dengan Prof. Bukhari Lubis di KLAB 2026

 

Bergambar bersama Prof. Madya Dr. Akram Ghafar dan Prof. Muhammad Bukhari Lubis di KLAB pada 01 Februari 2026.

Pada 01 Februari 2026, saya berkesempatan berwacana bersama Prof. Bukhari Lubis di Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) di Central Market, KL. Sebelum wacana bermula, saya sempat bersembang dan mengambil ilmu dan pengalaman dari Prof. Madya Dr. Akram Ghafar dan Prof. Muhammad Bukhari Lubis. Dalam persembangan dengan Prof. Bukhari, selain mengimbau pengalaman beliau di UKM dan UPSI, beliau juga menceritakan bahawa 'Lubis' pada namanya itu sebahagian dari suku Mandaleng, sama juga dengan 'Nasution'.

Pada ketika itu, sebenarnya saya baru selesai viva voce. Antara nasihat Prof. Bukhari adalah jangan lupa masukkan nama penilai dalam penghargaan disertasi. Kerana menurutnya, penilai merupakan orang yang menyumbang pada kajian kita selain penyelia. Saya ingat dan genggam nasihat beliau ini, dalam pembetulan saya, saya masukkan penghargaan kepada guru penilai saya. Bagus juga mengambil angin selepas viva voce, tidak terus buat pembetulan. Sempat mengutip nasihat yang berharga.

Viva Voce dan Penjilidan Disertasi

Para pelajar sarjana sejarah dalam sesi viva voce 2025/2026 bersama para pensyarah pada 28 Januari 2026.

Pada 28 Januari 2026, akhirnya saya selamat membentangkan tajuk kajian saya dalam sesi viva voce di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia bagi program Master Mod Campuran, Sejarah Asia Tenggara. Sesi ini dipengerusikan oleh Prof Madya Dr. Jasni Sulong selaku dekan PPIK, dengan Prof Madya Dr. Hasrul Zakariah sebagai pembantu. Penilai dalaman saya adalah Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali @ Abang dan penyelia saya adalah Prof Madya Dr. Azmi Arifin. Tajuk kajian saya adalah ‘Nasionalis Melayu Kiri’: Satu Penilaian Semula Terhadap Pembentukan Imej Radikalnya Dalam Persejarahan Malaysia.

Saya agak gemuruh juga membentangkan hasil kajian. Mujur semua soalan yang ditanyakan tidak begitu 'membunuh' dan saya dapat menjawabnya. Selesai menjawab semua soalan saya diberi masa dua minggu untuk melakukan sedikit pembaikan dengan perbincangan lanjut bersama penyelia.

Disertasi sarjana yang siap dijilidkan.

Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah. Setelah entah berapa kali tukar tajuk, rombak bab, baiki ayat, baiki hujah, baca laporan berjela-jela, termenung dan murung di depan skrin, akhirnya saya selesai melakukan pembaikan dan sampai kepada fasa penjilidan. Disertasi saya siap dijilid pada 09 Febuari 2026. Dua naskah saya serahkan pada PPIK, satu naskah saya berikan kepada penyelia, dan satu naskah saya bawa pulang untuk simpanan peribadi.

Saya fikir, mungkin sudah beratus cawan kopi dihabiskan untuk menulis, juga beratus malam yang dihabiskan untuk membaca dan menulis, sampai otak pun kadangkala jem kerana tidak cukup tidur. Tapi, menyiapkan kajian ini bukan usaha kita sebenarnya, ia adalah nikmat yang Allah bagi, nikmat diberi peluang menimba ilmu. Juga banyak saham orang lain di dalamnya.

Ibu yang mendoakan.

Adik beradik yang mendoakan.

Guru penyelia yang setia menyemak penulisan berkali-kali.

Guru penilai yang gigih membaca dan memberi komen dan ulasan penting.

Isteri yang beri masa bagi suami menyendiri.

Juga anak-anak yang faham ‘abi tengah siapkan homework’.

Alhamdulillah. Maka persaksikanlah ya Allah, akan masa-masa hidupku yang sudah aku wakafkan untuk mencari ilmu. Kau terimalah ia ya Allah sebagai amal soleh. Engkau alirkanlah tulisanku ini dalam sungai khazanah ilmu umat sebagai kajian yang bermanfaat.

Koleksi Fikir: Dunia Akademik


Antara sebab saya malas hendak menyertai dunia akademik adalah kerana saya malas mahu menghadap kerosakan-kerosakan etika yang ada di dalamnya. Budaya tikam-menikam, budaya mengampu, perlantikan berasaskan 'bodek' bukan prestasi dan seribu satu politik tidak bermoral di dalamnya. Baik saya jadi independent researcher sahaja, nothing to fear, nothing to lose, nothing to hide.

Penulis dan Gua Renungannya


Apabila kita menulis, kita ada sebuah urge untuk penulisan itu segera diterbitkan dan dibaca orang. Kadang kala kita belum habis menulis lagi, tapi sudah heboh di sana-sini. Kerana kita hendak melegakan urge kita tersebut. Dari satu sudut, saya rasa okay sahaja perkara ini. Kita boleh dapat feedback awal, dan kemudian membuat timbang tara dari feedback itu untuk melakukan penambahbaikan. 

Di sudut lain, yang saya kira ada poinnya juga adalah biarlah orang tidak tahu apa yang kita kandungkan itu. Biar kita larut dalam sepi menulis kita, jauh dari ribut komen dan pendapat manusia yang bersimpang siur. Kita boleh fokus kepada idea asal kita, berfikir sendiri hingga idea tersebut manis dan ranum. Kemudian selepas itu baru dizahirkan. Dengan cara ini, idea itu dapat dibentuk dengan asli. Walaupun mungkin ia masih mentah dan tidak diuji, sekurang-kurangnya kita dapat mengadunnya dengan penuh aman dan damai.

Selepas dikeluarkan, baru kita fokus pada kritikan dan pandangan balas. Selepas itu kita boleh kumpulkan kritikan tersebut dan bawa semuanya masuk ke dalam gua analisis kita semula. Sekali lagi kita timbang tara idea itu dengan komen-komen baharu dan hasilkan satu pandangan yang mungkin lebih seimbang. Tapi dianalisis dalam keadaan tenang dan jauh dari komen yang bersimpang siur. Mungkin idea yang dihasilkan dalam kecamukan kritikan itu akan lebih tahan lasak. Namun kita sering hilang perspektif dengan cara tersebut, sering terhanyut dengan emosi dan perasaan berbanding renungan yang mendalam.

Maka bagi saya sifat penulis yang lebih baik adalah di dalam sunyi sepi sahaja dia beridea. Apabila tiba masa yang tepat baru dia muncul keluar dari guanya. Habis silat di luar, dia kembali dalam gua renungannya. Kita menulis bukan supaya orang nampak kita penuh dengan idea setiap masa, cukuplah jika kita punya ruang aman untuk berfikir, dan ruang sebentar untuk berkecamuk membentang fikir. Jika berkecamuk sahaja sepanjang masa, ideanya tidak mendalam dan mendasar, kerana elemen renungannya nir-ada.

Sabtu, 24 Januari 2026

Koleksi Fikir: Modus Operandi Kolonial


Ketika Amerika Syarikat menyerang Venezuela pada awal Januari 2026, Elon Musk menyatakan beliau memberikan khidmat internet percuma melalui Starlink di Venezuela. Ini merupakan modus operandi tipikal penjajah. Musnahkan negara yang ingin dijajah, kemudian beri bantuan dan pastikan negara tersebut bergantung pada bantuan dan tidak dapat mandiri. Dalam masa yang sama iklankan kononnya bantuan diberi atas dasar kemanusiaan.

Komkura & Agenda Literasi di Malaysia

Barisan pengasas awal Komuniti Buku Utara (Komkura)

Panjang sebenarnya pengalaman yang hendak ditulis tentang perjumpaan Komuniti Buku Utara (Komkura) hari 18 Januari 2026 di Penaga. Sebenarnya komuniti ini merupakan sambungan usaha-usaha yang pernah dilakukan sebelum ini. Tetapi saya masih belum berkesempatan untuk menulisnya dengan terperinci kerana masih bertarung dengan pengajian sarjana. 

Pertemuan Komkura kali pertama ini bagi saya sangat mengujakan dan berimpak tinggi. Kami berbincang tentang seni-seni berat bermula dengan tadabbur al-Qur'an, bicara sastera, bacaan puisi, juga perkongsian perihal sajak, sejarah, pengalaman menjadi pembaca, laksam sedap di utara, agenda Malaysia Madani, pengalaman hidup, dan seribu satu hal-hal kehidupan yang lain. Di kesempatan lain, saya akan cuba tulis dengan lebih tersusun perihal usaha-usaha literasi ini.

Perkongsian bacaan perihal buku 'After Tamerlane'.

Saya juga telah selesai memuat naik semua rakaman program sulung Komuniti Buku Utara (Komkura) di Youtube sebagai satu dokumentasi untuk rujukan di masa hadapan.  Moga-moga ada rezeki untuk sesi-sesi seterusnya. Rakaman program ini boleh diakses melalui pautan ini. 

Minum Kopi Bersama Komrad Gandipan


Pada 18 Januari 2026, saya sempat minum kopi bersama Komrad Gandipan Nantha Gopalan, saya ingatkan beliau masih mengemudi Pemuda PSM, rupa-rupanya beliau sudah naik pangkat ke dalam central committee. Saya sangat menghargai usaha-usaha beliau bersama komrad PSM terutamanya dalam isu petani, hak pekerja, perjuangan Palestin dan perjuangan anti-imperialis. 

Kami juga bersembang tentang persoalan politik di Malaysia terutamanya perancangan dan strategi PSM bagi pilihanraya yang akan datang. Menurut beliau berdasarkan sentimen sedia ada, mereka tidak berminat untuk bersama PH dan mempertimbangkan idea untuk bersama PN. Namun mereka masih dalam dilema kerana langkah bersama PN akan menyebabkan mereka hilang undi dari base progresif mereka. 

Sebagai pelajar sejarah, saya mengutarakan pandangan bahawa PSM sebenarnya lebih strategik bersama dengan golongan beragama Islam di negara ini. Alasan yang saya berikan adalah kerana kerjasama antara golongan sosialis dan agamawan di Tanah Melayu mempunyai akar sejarah yang panjang. Ini dapat dilihat dari perjuangan Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ahmad Boestamam, juga pakatan yang dilakukan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) satu ketika dahulu dengan golongan kiri di Tanah Melayu. 

Namun saya menasihati mereka, sekiranya hendak bekerjasama, kerjasama itu mestilah bernafas panjang, jangan mengikut perangai DAP yang berulangkali memutuskan hubungan dengan PAS semasa zaman Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Perangai ini hanya akan mengumpulkan pengalaman buruk dan membantu membina perspektif "pengkhianatan" dalam pakatan yang dibentuk. Apabila perspektif ini wujud, pakatan itu tidak akan stabil.

Kami juga bertukar-tukar fikiran perihal hubungan antara kaum di Malaysia dan keperluan untuk mencari jalan tengah dalam membentuk formulasi polisi yang baik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Koleksi Fikir: Blok Eropah Ditampar Oleh Rakan Jenayahnya


Sebelum ini, blok Eropah bersekongkol dengan rakan jenayah dan tuan imperialnya, Amerika Syarikat bagi melakukan sekatan ekonomi kepada negara lain. Antara negara yang dihancurkan ekonominya oleh sekatan ekonomi adalah negara seperti Syria, Cuba, Venezuela, Iran, Russia, dan Korea Utara.

Apabila tuan imperial mereka ingin menjajah Greenland yang merupakan sebahagian wilayah Eropah di dalam Denmark, seperti ditampar, mereka baru sedar yang senjata ekonomi sebelum ini yang digunakan untuk menghancurkan ekonomi negara lain boleh dihalakan semula kepada mereka. Pada penghujung Januari 2026, Parlimen Eropah mula membincangkan pembangunan sistem kewangan yang tidak lagi bergantung pada Amerika Syarikat.

Isnin, 19 Januari 2026

Nota Tentang Gambar Muka Hadapan Buku Homo Historikus

Buku Homo Historikus.
Terdapat beberapa persoalan yang timbul tentang gambar yang menghiasi muka depan buku Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia. Maka di sini yang ingin memberikan sedikit penjelasan.

Gambar muka depan buku Homo Historikus adalah lukisan Kota Melaka dari buku The Life of Ferdinand Magellan and The First Circumnavigation of the Globe 1480-1521 oleh F.H.H. Guillemard (London: George Philip & Son, 1890)., hlm. 65. Gambar tersebut bertajuk “Malacca (from Correa)”. Namun edisi-edisi gambar ini yang ada tidak begitu berkualiti resolusinya. Oleh itu ia telah dilakukan sedikit ubah suai secara digital bagi meningkatkan kualitinya. Disebabkan telah berlaku ubah suai, ia tidak seratus peratus sama dengan lukisan asal dari sumber Correa. Sebaliknya ia adalah gambar Kota Melaka yang sudah diubah suai secara digital bersumberkan gambar Correa di dalam buku Guillemard.

Lukisan asal Kota Melaka oleh Correa di dalam buku Guillemard.

Ahad, 18 Januari 2026

Koleksi Fikir: Protes Iran 2026

Pada awal Januari 2026, media Barat sibuk memainkan berita berlaku protes besar di Iran. Protes ini sebenarnya didalangi CIA-Mossad. Ini bukan kali pertama, sebelum ni pun berlaku benda yang sama, wartawan Barat kecoh tentang protes di Iran walhal semua wartawan ini tidak boleh memahami bahasa Parsi dan tidak mempunyai sumber di lapangan. Sumbernya sekadar akaun Twitter. Rupanya bukan rakyat Iran yang berdemonstrasi, wartawan Barat yang berdemonstrasi di Twitter.

Memahami Perubahan Dalam Masyarakat

Pada 10 Januari 2026, saya bertemu dengan penyelia di Restoran Nasi Kandar Kayu, Pulau Pinang. Selain menambahkan kolestrol dalam badan, kami juga bersembang pasal sejarah. Menurut beliau, dalam sejarah kemerdekaan, gerakan yang paling signifikan adalah gerakan agama. Namun belum ada betul-betul satu kajian yang mampu membuktikan idea ini. Beliau melontarkan idea menggunakan metodologi mapping history untuk buktikan tesis beliau tersebut.

Bila saya dah kenyang, balik tidur, dan bangun fikir balik, saya rasa tesis tersebut ada benarnya. Cuma kerangka fikir kita tidak diprogramkan sebegitu. Kita lebih banyak melihat politik yang mengubah masyarakat. Kajian-kajian perihal negara kebanyakannya disorot dari sudut politik, korpus penulisan politik itu sangat banyak sampai orang hanya faham perubahan masyarakat mesti melalui politik. Namun sebenarnya ada arus lain yang sebenarnya lebih deras, tapi sebab ia tidak ditulis, tidak diterbitkan secara sistematik, tidak dikaji dengan dalam, tidak disebarkan kajian perihalnya, peranannya tidak menonjol. Ia hanya wujud dalam footnotes dan in the margin of history.

Gambar kenyang makan nasi kandar dengan Prof. Madya Dr. Azmi Arifin.

Pada 14 Januari 2026, saya terima sebuah buku yang dipesan perihal usaha gerakan dakwah oleh Ustaz Dahlan Mohd Zain terbitan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan Daerah Tarbiyah. Tajuk buku tersebut adalah Ustaz Dahlan: Murabbi Merentas Zaman. Saya sangat seronok kerana kajian-kajian sejarah gerakan Islam yang merubah masyarakat ini mula timbul. Saya harap banyak lagi kajian dan buku seperti ini akan dihasilkan. Barulah kita dapat memahami dengan benar apa yang merubah masyarakat. Dan dapat keluar dari mentaliti lama yang melihat perubahan dari kaca mata politik sahaja.

Buku rare ini boleh diperolehi di Tamkin Store.

Rex Tan - Pandangan Tidak Popular

Saya ingin berbeza dengan teman-teman di media sosial. Saya tidak setuju dengan premis dan perbandingan yang dibuat oleh Rex dalam soalannya kepada Galloway semasa Forum IAIS pada 12 Januari 2026. Di mana Rex Tan membuat perbandingan penindasan zionis ke atas bangsa Palestin dengan keadaan kaum Cina di Malaysia. Bagi saya Galloway telah menjawab dengan baik soalan tentang perbandingan yang salah itu. Rex juga sudah meminta maaf dan bagi saya itu sudah memadai. Tidak perlu lagi posting memakinya, atau melaporkan beliau pada pihak berkuasa, atau menangkapnya. Bagi saya semua tindakan itu excessive malah counter-productive. Kita tidak akan menang hujah dengan menangkap orang yang berbeza pandangan.

Saya melihat di forum tersebut beliau memakai keffiyeh, bagi saya itu pun sudah melambangkan solidaritinya dengan rakyat Palestin. Sebenarnya apa yang kita perlukan bukanlah menangkap Rex atau memaki hamunnya. Itu hanya memperlihatkan akhlak kita yang buruk dan tidak akan memperlihatkan kita benar.

Apa yang perlu kita lakukan adalah memahami bahawa ada segmen masyarakat yang masih belum jelas tentang keadaan di Palestin. Ada juga segmen yang merasakan ada ketidaksamaan di Malaysia. Dari memaki hamun dan menangkap, tugas kita sepatutnya memberi penerangan, penjelasan dan diskusi. Dengan cara ini pandangan kita akan lebih mudah tersebar dan diterima. Dengan menggunakan kuasa dan kekerasan, kita sebenarnya hanya menjauhkan sesetengah segmen masyarakat, membuatkan mereka takut berdiskusi dengan kita, kerana kita tidak rasional, jika mereka tersilap soalan akan ditangkap dan dihukum. Maka kitalah yang rugi, jangan nanti ditanya kenapa orang lain tidak bersolidariti. Kerana sikap kita sendiri yang reaksionari.