Tiada siapa yang mahukan keburukan. Tiada siapa yang mahukan kejahatan. Semua orang mahukan kebaikan , kebahagiaan , ketenangan dan kejernihan. Kita bermula sebagai bayi yang suci. Bersih dari dosa dan noda. Kemudian mula merangkak. Memulakan langkah pertama berjalan diatas dunia. Kemudian di ikuti langkah kedua ketiga dan seterusnya. Seiring dengan langkah itu kita mula terdedah dengan masyarakat. Suasana dan persekitaran. Sedikit sebanyak mencorak hidup kita.
Tanpa kita sedari atau kita sedari kita bukan lagi bayi yang suci itu. Kita berubah mahu atau tidak mahu. Suasana sekeliling mewarnai hati bayi yang putih dengan pelbagai warna. Kita mencuba benda-benda baru tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang. Sedikit kepuasan diraih. Hati semakin lama semakin pekat warnanya. Hati kita sudah tidak lagi sesuci dulu!
Namun kita bernasib baik. Diterima ke universiti. Dari alam persekolahan kita melangkah lagi ke alam baru. Suasana yang lebih terbuka , lebih longgar tanpa kongkongan. Tiada lagi guru disiplin. Tiada warden dan tiada pengawas sekolah.
Alam universiti menyaksikan pelbagai perubahan. Ada mereka yang dilihat berubah menjadi lebih baik. Memperbaiki diri. Menggabungkan diri dengan golongan 'usrah'. Ada mereka yang cuba mengubah diri menjadi lebih baik tapi tidak bergabung dengan mana-mana 'usrah'. Ingin menyertai tapi masih skeptikal , ragu-ragu , sukar beri komitmen.Ada juga yang menyertai pada mulanya. Tapi kemudian tercicir kemudian malu untuk menyertai semula.
Bagi yang ingin berubah ketahuilah perubahan anda tidak akan sia-sia. Sekiranya anda teguh dalam perubahan 10 atau 20 tahun akan datang anda akan tersenyum melihat ke belakang. Tetapi ketahuilah perubahan memerlukan sokongan. Anda tidak akan berjaya jika keseorangan. Suasana yang ada tidak membantu anda menjadi lebih baik. Bergabunglah dengan mereka-mereka yang baik. Carilah teman yang suci niatnya. Sertailah mereka dalam kebaikan. Anda akan lebih teguh bila bersama!
Bagi yang masih skeptikal dan ragu-ragu ketahuilah anda tidak akan tahu rasa manisnya epal jika anda tidak memakannya. Anda tidak akan tahu sejuknya salji selagi tidak menyentuhnya. Tidak perlu malu atau takut untuk mencuba. Mungkin rakan-rakan sebaya anda telah lama menyertai tetapi tidak mengajak anda atas kekurangan mereka. Jangan malu atau rendah diri untuk menawarkan diri untuk bersama. Mereka pasti menerima anda dengan senyuman gembira!
Bagi yang sukar memberi komitmen ketahuilah bahawa jalan mendidik hati bukanlah jalan singkat. Bersabarlah dan ketahuilah kesabaran anda akan membuahkan hasil.Anda telah bertahun-tahun terdedah kepada suasana yang mengotorkan hati tidak mungkin ia dapat dibersihkan dengan hanya satu semester!
Bagi yang telah tercicir namun malu untuk bersama semula ketahuilah perubahan yang anda lakukan bukanlah untuk orang lain tetapi diri sendiri. Tiada siapa yang rugi selain anda. Tiada siapa yang untung selain anda. Rendahkan lah sedikit keegoan , berilah kemaafan dan lapangkanlah dada. Tiada siapa yang terlepas dari kekhilafan!
Kita semua adalah aset yang berharga. Walaupun mempunyai latarbelakang yang berbeza ketahuilah kita mampu bersama. Carilah teman yang mampu menjadi penolong dan pembantu kearah kebaikan. Bersamalah mereka berpegang kepada tali yang sama. Jadilah teman yang saling menguatkan!
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.."
(Ali Imran:103)
2 ulasan:
very inspiring! aku akan cari tali itu....=]
:)
Catat Ulasan