Jumaat, 16 Januari 2015

Catatan Baitul Muslim 3



Baitul Muslim Jarak Jauh (BMJJ) semestinya mempunyai cabaran yang tersendiri. Sebelum memulakannya lagi saya sudah memesan diri agar bersabar dan menerima segala kekurangan dan kelemahan yang bakal terjadi. Mungkin ada cabaran yang saya kira memberi manfaat mungkin juga memberi sedikit mudarat. Tetapi andai kita ikhlas dan meyakini dan menyedari tujuan, matlamat Baitul Muslim itu sendiri, inshallah hati yang akan melaluinya akan lebih tenang.

Soalan tipikal yang anda akan dapat sekiranya anda ber-BMJJ adalah seperti berikut:

"Zaujah mana?"

"Tak duduk sekali dengan zaujah ke?"

Jadi anda perlulah tabah menghadapi soalan ini. Sehari mungkin anda akan mendapat 2 soalan yang sama, semakin banyak orang yang anda temui pasti lebih banyak soalan ini akan berkumpul. Saya makin lama makin selesa dengan soalan ini, lama kelamaan saya hanya menjawab dengan berseloroh.

"Saya separa bujang" sambil tersengih.

Komunikasi juga antara perkara yang perlu diperhatikan. Siapa yang melaluinya dia akan faham. Berkomunikasi menggunakan teks message atau talifon sebenarnya tidak sama dengan komunikasi verbal yang mana kita dapat memerhatikan gerak-geri orang yang kita bercakap. Kerana komunikasi bukan hanya terdiri dari perkataan, ia juga merangkupi riak muka dan sebagainya. Jadi body language ini mungkin tidak akan sampai kepada orang yang anda berkomunikasi sekiranya medium yang digunakan adalah teks atau perbualan talifon. Mesej yang disampaikan mungkin tidak begitu jelas.

Ketika saya berada di Pahang untuk misi banjir, saya menalifon zaujah untuk bertanya khabar. Zaujah bertanya:

"Ermm esok 5 haribulan kan?"

Saya pun menjawab sambil tersenyum "Aah esok 5 haribulan, kenapa?"

"Owh, takda pape", dengan nada kecewa.

"Haha, esok monthiversary kan, kena sambut ke? Happy Monthiversary!" balas saya.

Kemudian nada nya kembali gembira (saya rasa la).

Kalau zaujah melihat riak wajah ketika saya menjawab soalan nya pasti dia faham yang saya hanya berseloroh. (Saya memang suka buat provokasi, perangai masih belum boleh ubah). Komunikasi juga mungkin akan menjadi masalah sekiranya salah seorang sibuk dan salah seorang lagi sedang dalam keadaan lapang. Mungkin mesej atau panggilan yang diterima tidak tepat pada masanya. Jadi bersabarlah.

Tapi BMJJ bukanlah semuanya buruk atau menyiksakan. Bagi yang sudah terbiasa beriadhah atau berpogram hingga lewat malam, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana tiada siapa yang menunggu. Jadi, anda boleh rasa seperti bujang sekejap walaupun hakikatnya tidak.

Namun ada sesuatu yang bermain dalam minda saya. Prasangka tipikal apabila seorang akh atau akhawat mendirikan Baitul Muslim adalah bagaimana komitmennya terhadap dakwah dan tarbiyah. Soalan saya, bukankah Baitul Muslim itu juga medan dakwah dan tarbiyah?

Soalan ini mungkin panjang, dan saya tidak juga berniat untuk berhujah, atau menghuraikannya. Namun mungkin anda boleh tanya soalan ini pada seminar-seminar baitul muslim yang anda hadiri. 

Moga kita sedar bahawa dunia ini hanyalah persinggahan. Moga BMJJ yang dibina menjadi medan untuk anda lebih dekat dengan Allah. Moga ia menjadi taman-taman syurga di dunia. Jangan lupa buat usrah keluarga!

Uhibbukifillah.


Tiada ulasan: