Isnin, 13 April 2015

Catatan Baitul Muslim 4


Bagaimana saya hendak mengetahui bahawa dialah orang nya?

Saya masih ingat zaman ketika mana kami adik beradik semua masih kecil, semua masih tinggal serumah, masing-masing masih bersekolah rendah dan belum ke sekolah asrama. Rumah yang sederhana besar cukup buat kami bertujuh berteduh. Waktu itu katil king size muat kami berempat lelaki tidur bersama.

Zaman itu memang meriah, bergaduh sesama adik-beradik, menangis, kena marah merupakan penyeri rumah kami, maklumlah empat lelaki. Sungguh besar rasanya pengorbanan ibu dan ayah bersabar membesarkan kami. Ketika itu sering saja bermain di minda saya, mahu cepat membesar dan duduk dirumah sendiri.

Setelah ke sekolah asrama, kemudian menyambung pelajaran ke universiti, pulang ke rumah hanya ketika cuti. Tidak lagi seperti dulu, kini masing-masing di dunia masing-masing. Sukar bagi mencukupkan bilangan bertujuh dirumah, raya pun selalu saja tidak cukup tujuh. Kerana adik beradik pun sudah berkahwin dan mempunyai anak, kami bukan lagi bertujuh. Sekarang sepuluh, tidak lama lagi sebelas.

Apabila mula bekerja, rasa ingin sekali duduk bersama keluarga, dengan harapan dapat merasai semula kemeriahan dan riuh rendah dahulu. Terlalu lama sudah rasanya merantau sendiri mencari ilmu dan pengalaman.

Sekadar mengimbau memori.

Kembali kepada persoalan di garis pertama. Pernah di suatu ketika saya bersama seorang sahabat menaiki kereta bersama pulang dari futsal. Dia sedikit muda dari saya, masih bujang dan baru mula bekerja. Dia bertanya:

"Masa anta berkahwin dulu, macam mana anta tahu bahawa dialah orangnya. Macam mana anta tentukan bahawa pilihan anta tu betul dan sesuai?"

Sebenarnya saya juga pernah bertanya pada zaujah, "Kenapa awak berkahwin dengan saya, why me?" sekadar suka mengusik sahaja sebenarnya. Jawapan yang saya terima "Ermm susah soalan ni".

Bagi saya sebenarnya, dalam membuat keputusan kita hanya mempunyai tiga perkara. Pertama, berusaha memilih dan menilai sebaik mungkin. Kedua, bersangka baik dengan ALLAH. Ketiga, redha. Kita tidak mampu melihat lebih dari itu. Ibarat kata Anne Frank "I cannot see any further than the end of my nose". Kita membuat pilihan dalam keadaan tidak mampu melihat masa hadapan. Sebenarnya itulah yang kita lakukan setiap hari.

Sebagai contoh, kita mahu makan tengah hari. Kita pun mencari restoran, kita melihat dari sudut luaran nya, kebersihan dan sebagainya. Ini adalah usaha. Kemudian kita memilih makanan didalam restoran itu, kita tidak akan bertanya kepada pemilik restoran itu "Adakah makanan ini beracun?" , walaupun kita tidak melihat dia menyediakannya. Kita bersangka baik. Selepas selesai makan bagai mana kita ingin mengetahui bahawa pilihan kita betul atau tidak?

Sekiranya kita sakit perut kemudian adakah pilihan kita salah? Bagaimana kita boleh mengetahui kita akan sakit perut? Kita tidak akan mengetahuinya sama sekali. Disinilah datangnya konsep redha dan tawakkal dalam Islam, kerana kita tidak dapat mengawal kesan dan akibat. Namun sekiranya kita memilih untuk tidak redha, hakikatnya kita tetap tidak dapat mengubah kesan dan akibat.

Ya, memilih pasangan hidup tidaklah begitu mudah seperti memilih restoran untuk makan tengahari. Kesan nya bukan sakit perut selama beberapa hari, kita akan hidup bersamanya, menghabiskan baki usia bersama. Namun, konsep asasnya tetap sama usaha, bersangka baik dan redha.

Pada peringkat permulaan kita berusaha, mencari yang sesuai dari segi fikrah, perwatakan, status dan pararasrupa. Saya masih merasakan sehingga kini, seperti dalam Catatan 1, bahawa dalam proses pemilihan, fikrah merupakan kritiria terpenting. Namun usaha ini perlulah mengikuti garis syarak yang ditetapkan. Contohnya seperti menyuarakan hasrat hati kepada orang tengah, yang kita percayai, mungkin makcik, pakcik, naqib halaqah, nakibah halaqah, ibu bapa atau nenek.

Sekiranya keduanya telah bersetuju, doa dan istikharah telah dibuat, segalanya telah diatur dengan baik maka berbaik sangka lah. Tetap kan hati dan jangan toleh ke belakang lagi. Berbaik sangka kepada Allah bahawa ini adalah ketentuan terbaik untuk kita. Juga berbaik sangka pada pasangan pilihan bahawa nilaian dan sangkaan kita padanya adalah tepat.

Akhir sekali redha lah dengan baitul muslim yang dibina, ketahuilah lelaki dan perempuan itu tidak sama. Baik dari segi fizikal, kemampuan, emosi dan cara fikir. Juga tidak ada manusia yang sempurna, berlapang dada lah terhadap apa yang kurang, dan sentiasa menghargai dan memuji nilai kelebihan nya. Redha bukan bermakna sekiranya pasangan kita itu kurang dari segi sesuatu kita membiarkan nya, kita harus membantunya meningkatkan diri, membaiki, dan menasihati.

Sekiranya dihujung nanti pernikahan itu berakhir dengan perpisahan sekalipun. Konsep redha ini masih terpakai. Ia bukanlah kesilapan takdir Allah, tetapi ia adalah takdir terbaik untuk kita dari Allah yang kita manusia tidak tahu rahsia-rahsia kebaikan disebalik perpisahan itu.

Perkahwinan bukanlah magik, seperti dalam filem dan novel. Segalanya indah setiap masa. Hakikatnya ia memerlukan masa, usaha dan komitmen dari kedua pihak untuk mencipta bahagia. Bahagia itu bukanlah hadir secara luar biasa, tetapi ia terhasil dengan usaha. Bahagia adalah saling redha meredhai, bahagia itu pada hati, ia bukan objek material. Sekadar itulah yang saya fahami.

Buat zaujah yang masih kesedihan, moga terus tabah dan terus bersangka baik dengan ketentuan Ilahi. Utuslah doa buat kesayangan yang telah pergi. Moga syurga buatnya dan buatmu.

Uhibbukifillah.

Tiada ulasan: