Rabu, 4 November 2015

The Holocaust Industry



Penulis: Norman G. Finkelstein
Penerbit: Verso (London)
Tahun: 2000

Baru-baru ini Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan bahawa Holocaust merupakan idea Mufti Jurusalem pada ketika itu, Amin Al-Husseini. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab keatas pembunuhan beramai-ramai (Final Solution) sekitar tahun 1942-1945. Adolf Hitler pada asalnya hanya mahu mengusir kaum Yahudi, tetapi Al-Husseini membawa idea supaya kaum Yahudi ini dibunuh. Rujuk video.

Sebenarnya perkara ini telah lama dijawab oleh pakar Holocaust dalam buku ini iaitu Norman G. Finkelstein. Ia sebenarnya merupakan sebahagian dari propaganda Israel untuk mengaitkan Arab dengan Nazism. Usaha-usaha untuk mempromosikan Arab Nazism ini adalah usaha terancang bagi memposisikan orang Arab sebagai watak jahat dalam konflik Israel-Palestin. Apabila pandangan dunia dapat dipesongkan, Israel dapat menghalalkan segala jenayah mereka atas nama mempertahankan diri (self defence). Perkara ini walaubagaimana pun sebenarnya merupakan taktik kotor yang senang dipatahkan jika ia dilihat secara objektif. Michael Barenbaum sebagai contoh mengungkapkan "Batu yang dilempar oleh pemuda Paletin kerana marah akan kehadiran penjajahan Israel adalah tidak sinonim dengan jenayah yang dilakukan oleh tentera Nazi terhadap kaum yahudi yang tidak dapat mempertahankan diri".

Buku ini membawakan naratif menarik, perbahasan utamanya merupakan manipulasi Nazi Holocaust kepada 'The Holocaust' yang merujuk kepada fahaman bahawa kaum Yahudi adalah mangsa keadaan, mereka sentiasa dimusuhi oleh Gentile (kaum selain Yahudi) yang mahu membunuhnya. Finkelstein membuktikan bahawa Holocaust diguna pakai oleh Israel bagi menghalalkan jenayah mereka. Ia digembar gemburkan oleh media bukan ketika yahudi dalam keadaan lemah, tetapi ketika kaum Yahudi dalam keadaan kuat iaitu selepas perang pada Jun 1967. Ia dihidupkan semula, disebar, dilobi di Amerika dan di ulang-ulang agar dunia sentiasa bersimpati kepada Israel. Ia digunakan sebagai senjata untuk mematahkan kritikan siapa sahaja keatas Israel, siapa yang mengkritik jenayah Israel keatas Palestin akan dilabel sebagai orang yang anti-Semitic dan menyokong pembunuhan Yahudi ketika Holocaust dan mahu mengulanginya. Akhirnya tiada yang akan mempersoalkan jenayah yang dilakukan oleh Israel.

Dalam bab yang kedua, Finkelstein membongkar penipuan-penipuan sejarah penulisan yang di reka bagi mensensasikan Holocaust. Buku-buku seperti The Painted Bird tulisan Jerzy Koskinski dan Fragments tulisan Binjamin Wilkomirski, ditulis dan dipopularkan walaupun tidak sahih. Wilkomirski yang menulis tentang pengalaman nya semasa di kem Nazi akhirnya terbukti bahawa dia bukan lah seorang Yahudi malah semasa peperangan dia berada di Switzerland sepanjang masa! (pg. 60).

Lobi kuat dari persatuan Yahudi di Amerika menyaksikan penubuhan museum bagi mengingati Holocaust di Washington iaitu United States Holocaust Memorial Museum. Perkara ini tidak masuk akal kerana Holocaust tidak pun terjadi di Amerika. Finkelstein memberi contoh bayangkan German menubuhkan museum di Berlin bagi memperingati pembunuhan etnik Native Amerika di US, tentu saja pelik. Lebih memalukan museum ini memperingati hanya Yahudi yang mati semasa Holocaust, walhal tentera Nazi menurut Peter Novick membunuh 11 juta orang, hanya 6 juta sahaja yang dibunuh adalah kaum Yahudi. Bakinya adalah orang cacat dan juga etnik Romanian yang dikenali sebagai Gypsy. Adakah mereka tidak layak diperingati? Hakikatnya museum ini merupakan alat politik dan digunakan dalam mempromosikan Holocaust supaya dunia bersimpati dengan Israel dalam konflik Israel-Palestin.

Finkelstein juga dalam tulisan nya mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh persatuan Yahudi. Selepas perang pihak German membayar compensation dalam bentuk reparations kepada individu yang menjadi survivor kepada kekejaman rejim Nazi. Walaubagaimanapun pihak Yahudi melalui Conference on Jewish Material Claims Against Germany menggunakan wang tersebut mengikut kepentingan nya dan tidak disalur terus kepada mangsa perang.

Kesimpulan yang dibuat Finkelstein dalam edisi kedua buku ini bagi saya merupakan refleksi yang paling kuat kesannya. Beliau menyingkap penipuan agensi kerajaan Amerika Syarikat, Department of Interior semasa era Clinton dalam prosiding mahkamah pada June 1996 mengenai penipuan keatas wang warga Native American sebanyak 137.2 billion USD, penipuan ini telah berjalan selama 115 tahun! Apa kelayakan US untuk menjadi jaguh moral dan mendesak Switzerland membayar pampasan kepada mangsa Holocaust? Adakah kita hanya menutup mata pada Holocaust yang berlaku di Amerika sendiri?

Tiada ulasan: